Tempat menarik di Kedah mengikut daerah - Panduan 2022

Terdapat banyak tempat menarik di Kedah untuk dilawati jika bercuti di negeri Jelapang Padi Malaysia ini. Selain sawah padi yang terbentang luas, keindahan alam semulajadi juga cukup mengagumkan. Ada air terjun yang cantik, peranginan tanah tinggi, pulau dan pantai menanti pengunjung.

Untuk pelancongan bandar pula, berbagai destinasi menarik boleh dilawati disekitar Alor Setar seperti muzium, galeri dan tempat-tempat bersejarah. Berikut ialah tempat menarik yang disusun mengikut daerah bagi memudahkan anda mengatur destinasi yang ingin dilawati. Walaupun hampir semua destinasi pelancongan ditutup sementara pada tahun 2020, kebanyakannya sudah dibuka dan kembali beroperasi. Walau bagaimanapun, pelancong perlu mematuhi SOP yang dilaksanakan.

Tempat menarik mengikut daerah

[collapsed title="Klik untuk lihat isi kandungan" class="shut nested1"]

  1. Daerah Kota Setar
  2. Daerah Kubang Pasu
  3. Daerah Pendang
  4. Daerah Padang Terap
  5. Daerah Yan
  6. Daerah Kuala Muda
  7. Daerah Kulim
  8. Daerah Bandar Baharu
  9. Daerah Baling
  10. Daerah Sik
  11. Daerah Langkawi

[/collapsed]

Daerah Kota Setar

Kota Setar ialah daerah yang paling membangun di Kedah. Dalam sektor pelancongan, daerah ini antara yang paling banyak menerima kedatangan pelancong selain Langkawi. Bandar terbesar ialah Bandaraya Alor Setar iaitu ibu negeri dan Bandar Diraja Kedah. Tempat-tempat menarik untuk dilawati kebanyakannya terletak berhampiran pusat bandar dan mudah dicari.

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar.

Menara setinggi 165.5 meter ini merupakan salah satu tempat menarik di Kedah yang menjadi tumpuan pelancong. Terletak di tengah bandaraya Alor Setar, ia dikelilingi taman dengan lanskap yang menarik. Pengunjung boleh menaiki menara ini untuk melihat pemandangan Bandaraya Alor Setar dari atas.

Waktu operasi:
Setiap hari: 8.20 pagi hingga 10.30 malam

Alamat:
Menara Alor Setar
Lot 99, Lebuhraya Darul Aman,
05100 Alor Setar,
Kedah.

Hubungi:
Tel Pejabat : 04-720 2906 / 04-720 2901
Fax : (604) - 720 2073
Website : Menara Alor Setar

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk dengan MyKad:
Dewasa: RM12
Pelajar Berkumpulan: RM8
Kanak-kanak/Warga Emas/OKU: RM8

Muzium Padi

Muzium Padi di Alor Setar, Kedah.

Muzium Padi terletak di Gunung Keriang, Alor Setar. Muzium ini mempamerkan kegiatan penanaman and penuaian padi di negeri Kedah. Berbagai peralatan tradisional yang digunakan dalam proses bersawah turut dipamerkan di ruangan galeri. Selain itu terdapat juga pameran kebudayaan seperti permainan kampung tradisi, membuat dan bermain layang-layang serta permainan gasing.

Waktu operasi:
Setiap hari: 9.00 pagi hingga 5.00 petang

Alamat:
Muzium Padi Kedah
Jalan Gunung Keriang,
06250 Alor Setar,
Kedah.

Hubungi:
Tel: 04-735 1315
Faks : 04-730 5516
Email : -

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM5.
Kanak-kanak: RM2.
Pelajar sekolah: RM2.

Rumah kelahiran Mahathir Mohamad

Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir.

Rumah kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad terletak di Seberang Perak, Alor Setar. Ia dibina dari kayu dan beratapkan nipah. Pengunjung dapat melihat gambar-gambar beliau semasa remaja, barang-barang lama dan perabot rumah yang dipelihara seperti keadaan asalnya oleh Arkib Negara.

Waktu operasi:
Selasa - Ahad: 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat: 9.00 pagi - 5.00 petang (12.00 - 3.00 tutup)
Isnin: Tutup

Alamat:
Rumah kelahiran Mahathir Mohamad
nombor 18, Lorong Kilang Ais,
Persiaran Sultan Abdul Hamid,
05000 Alor Setar,
Kedah.

Hubungi:
Tel: 04-7722319
Email: -

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara

Pusat Sains Negara Wilayah Utara.

Pusat Sains Negara Wilayah Utara terletak di Gunung Kerian, Alor Setar. Lokasinya bersebelahan dengan Muzium Padi. Pusat sains ini sesuai untuk dilawati bersama anak-anak bagi mendedahkan mereka kepada perkara-perkara berkenaan sains, teknologi dan inovasi terkini. Ia membantu memupuk minat, pemahaman serta kepentingan sains dalam kehidupan.

Maklumat lanjut lihat artikel Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara.

Alamat:
Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Jalan Gunung Keriang,
06570 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel Pejabat : 04-720 7700
Email : -
Website : Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM3.
Kanak-kanak: RM1.

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis: 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat: Tutup

Rumah Merdeka

Rumah Merdeka di Alor Setar.

Rumah Merdeka yang terletak di Alor Setar ini pernah didiami oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Pelbagai sejarah berlaku di rumah ini termasuk lokasi berlangsungnya pertemuan muhibbah yang menamatkan konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1966.

Waktu operasi:
Selasa - Ahad: 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat: 9.00 pagi - 5.00 petang (12.00 - 3.00 tutup)
Isnin: Tutup

Alamat:
Rumah Merdeka
Jalan Putra,
05100 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-720 4214
Arkib Negara Malaysia

Harga: Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Masjid Zahir

Masjid Zahir Alor Setar.

Masjid Zahir merupakan Masjid Negeri dan juga Masjid Diraja Kedah. Ia dibina pada tahun 1912 dan dirasmikan pada tahun 1915 oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang mempunyai seni rekabentuk tercantik di Malaysia. Bangunannya berwarna putih dan berkubah hitam, cukup unik dan mendamaikan.

Lokasi / Alamat:
Masjid Zahir
Jalan Kampung Perak,
05150 Alor Setar,
Kedah

Galeri Sultan Abdul Halim

Galeri Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Bangunan asal Mahkamah Tinggi Alor Setar ini telah diubah-suai pada tahun 2007 dan dijadikan sebuah galeri yang menyimpan hampir 2,000 barangan koleksi peribadi Sultan Kedah. Antara lain yang terdapat di galeri ini ialah carta yang menunjukkan susur galur keluarga DiRaja Kedah bermula dari tahun 1136.

Waktu operasi:
Ahad - Khamis: 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat, Sabtu: Tutup

Alamat:
Galeri Sultan Abdul Halim
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-730 3664
Email: -

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri.

Balai Seni Negeri terletak di tengah bandaraya Alor Setar. Galeri ini menyimpan berbagai hasil seni daripada karya anak-anak tempatan dan juga luar dari negeri Kedah. Pameran meliputi hasil seni lukis, seni ukiran kayu dan seni khat yang cukup menarik. Bangunan galeri dengan rekabentuk unik ini dibina pada tahun 1912 dipengaruhi oleh senibina Roman. Ia pernah dijadikan sebagai Mahkamah Tinggi sebelum ditukar menjadi pejabat beberapa jabatan kerajaan negeri.

Waktu operasi:
Hari biasa: 9.00 pagi hingga 8.00 malam
Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Umum: 9.00 pagi hingga 10.00 malam
Kedai makan: 7.30 pagi - malam

Alamat:
Balai Seni Negeri
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-7237937
Fax : 04-7325752

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Muzium Negeri Kedah

Muzium Negeri Kedah.

Bangunan Muzium Negeri Kedah yang cantik ini dibina pada tahun 1997 bagi menampung ruang pameran yang lebih besar. Ia menempatkan dewan pameran, bengkel, perpustakaan dan mini theater. Sebanyak 10 galeri pameran tetap dibuka untuk orang-ramai iaitu Dewan Kebudayaan, Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil, Dewan Manuskrip dan Sudut Bahasa dan Sastera. Pelbagai pusaka kebudayaan termasuk khazanah Kesultanan Kedah dapat disaksikan. Kemudahan lif, kafeteria, tempat letak kereta dan tandas awam disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Waktu operasi:
Setiap hari: 9.00 pagi hingga 5.00 petang

Alamat:
Muzium Negeri Kedah
Lebuhraya Darulaman, Bakar Bata,
06570 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-733 1162
Fax: 04-730 5100

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Alor Setar mempunyai berbagai tarikan pelancongan yang boleh dilawati. Ada tempat bersejarah, muzium, tempat membeli-belah, tarikan alam semulajadi dan lain-lain menjadikannya lokasi percutian yang popular. Ia juga sesuai dijadikan sebagai lokasi penginapan percutian kerana kemudahan hotel, pengangkutan dan makanan yang banyak terdapat disini.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel tempat menarik di Alor Setar Kedah.

Kota Kuala Kedah

Kota Kuala Kedah.

Destinasi lain di daerah Kota Setar yang boleh dilawati ialah sekitar Kuala Kedah. Bandar ini terkenal sebagai tempat persinggahan pelancong yang ingin ke Langkawi. Disini terletaknya terminal feri untuk ke Pulau Langkawi, Pulau Payar dan lain-lain. Mungkin ramai yang pernah ke sini tetapi tidak berkesempatan melawat tempat menarik yang ada. Sebenarnya beberapa tarikan pelancongan boleh dikunjungi seperti tempat bersejarah dan tempat makan.

Kota Kuala Kedah terletak di tebing utara muara Sungai Kedah. Kota pertahanan ini dibina pada tahun 1771 dan siap pada tahun 1780 semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa. Kota ini merupakan salah satu tempat bersejarah di Kedah yang dipulihara oleh Jabatan Muzium Malaysia. Antara yang menarik dapat dilihat disini ialah meriam lama, rumah api dan pintu gerbang Kota Kuala Kedah. Selain itu, sebuah rumah yang terdapat didalam kota ini telah dijadikan muzium. Antara yang dipamerkan di galeri muzium ini ialah pelbagai barangan peninggalan sejarah Kota Kuala Kedah.

Waktu operasi:
Setiap hari: 9.00 pagi hingga 6.00 petang

Alamat:
Kota Kuala Kedah
Kampung Seberang Kota,
06600 Kuala Kedah,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-741 2152
Fax: 04-741 9297
Email: pr.mkkk@jmm.gov.my

Harga:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Daerah Kubang Pasu

Terdapat dua bandar di daerah Kubang Pasu iaitu pekan Jitra dan pekan Changlun. Ada beberapa tempat menarik di Kedah yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke sini.

Wang Tepus Ecotourism

Teratak Malinja Wang Tepus Jitra

Destinasi pelancongan terbaru yang diperkenalkan di daerah Kubang Pasu Kedah ialah Wang Tepus Ecotourism. Ia menawarkan pakej percutian dengan berbagai aktiviti menarik untuk pengunjung. Bagi anda yang tinggal di bandar, tempat ini adalah lokasi paling sesuai untuk bercuti bersama keluarga.

Ada beberapa tempat penginapan unik disediakan seperti rumah tradisional dan resort yang cantik. Antara aktiviti yang ada termasuk melawat agro farm, river cruise dan dusun buah-buahan.

Maklumat lanjut lihat artikel Wang Tepus Ecotourism - Tarikan baru di Kedah 2020.

Alamat:
No 1331 Awanaz
Kampung Cerok Tok Lateh,
06000 Wang Tepus,
Kedah

Hubungi:
Tel: 011-1089 1495, 019-4501495
Email : awanazrarecreation@gmail.com
Facebook : Wang Tepus Ecotourism

Harga tiket:
Harga tiket / Bayaran masuk
Dewasa : RM45 - pakej lawatan dan aktiviti
Kanak-kanak : RM35 - pakej lawatan dan aktiviti
Kanak-kanak (5 tahun kebawah): Percuma

Waktu operasi:

Setiap hari : 10.00 am - 5.00 pm

Fantasia Aqua Park Jitra

Tarikan yang agak popular di Jitra ialah Fantasia Aqua Park. Ia adalah taman tema air yang sesuai untuk seisi keluarga. Walaupun tidak sehebat Carnival Sungai Petani tetapi cukup untuk bersukaria bersama ahli keluarga. Cuma bersedia dengan kos harga tiket jika anda mempunyai keluarga yang besar.

Lokasi: Jalan Golf & Country Club Darul Aman, 06000 Jitra, Kedah

Tiket: Dewasa RM21, Kanak-kanak RM16

Waktu operasi: Isnin - Khamis : 12pm - 7pm, Jumaat - Ahad : 10am - 7pm

Tutup : Selasa (kecuali cuti umum/sekolah)

MnM Home Whimsical Houses

Tarikan utama disini ialah rumah senget dengan rekabentuk unik dan warna yang cantik. Selain itu ada playground untuk kanak-kanak, rumah Hobbit, rumah terbalik, rumah diatas pokok dan binatang ternakan. Ia menarik untuk dilawati namun sekali sahaja sudah memadai kerana harga tiket agak membebankan.

Lokasi: Lot 4424, lorong masjid, Kampung Changkat Setol, 06010 Changlun, Kedah.

Tiket: Dewasa RM35, Kanak-kanak RM15 untuk warganegara yang ada MyKad.

Waktu operasi: 10.30am - 5.00pm

Tasik Darulaman Jitra

Tasik Darulaman Jitra.

Taman Tasik Darulaman terletak di Jitra. Ia merupakan kawasan rekreasi penduduk setempat. Terdapat sebuah tasik yang luas, trek jogging, padang bermain layang-layang, kawasan riadah, gelanggang futsal, gerai makanan, kemudahan tempat meletak kereta dan lain-lain. Pengunjung boleh melakukan aktiviti mengayuh paddle boat dan berkayak di tasik.

Taman rekreasi Bukit Wang

Air terjun Taman Rekreasi Bukit Wang.

Jika anda mencari lokasi pelancongan alam semulajadi di daerah Kubang Pasu, Taman rekreasi Bukit Wang ialah tempat menarik yang boleh dikunjungi. Ia terletak tidak jauh dari bandar Jitra. Kawasan rekreasi air terjun ini agak popular dan sering menjadi tumpuan orang-ramai dihujung minggu. Selain mandi-manda dan berkelah, Bukit Wang juga popular untuk aktiviti perkhemahan. Tempat ini memang cantik dikelilingi hutan semulajadi yang menghijau. Suasana yang tenang dan damai sesuai untuk anda bersantai bersama ahli keluarga. Kemudahan asas seperti laluan pejalan kaki, pondok rehat, tempat letak kereta, tandas dan gerai makan turut disediakan.

Makam Puteri Lindungan Bulan

Makam Puteri Lindungan Bulan.

Makam Puteri Lindungan Bulan ialah makam sejarah yang terletak di Kota Siputeh, Jitra. Ia terletak diatas sebuah bukit dan masih dijaga dengan baik hingga kini. Walaupun bukan tempat menarik, ia menjadi destinasi pelancongan bagi para peminat sejarah terutama mereka yang mengkaji kerajaan Kedah lama. Kisah Puteri Lindungan Bulan atau Puteri Zaleha yang unik mempunyai tarikan tersendiri.

Gua Kerbau dan Gua Batu Putih

Gua Kerbau.

Gua Kerbau dan Gua Batu Putih ialah gua batu kapur yang terletak di Kodiang, Jitra. Penemuan kesan sejarah didalam gua ini membuktikan bahawa ia pernah didiami oleh manusia pada zaman dahulu. Sekarang ia menjadi salah satu lokasi pelancongan menarik di daerah Kubang Pasu.

Daerah Pendang

Daerah Pendang tidak mempunyai banyak tarikan pelancongan untuk dikunjungi. Ia mula dikunjungi ramai setelah Pasar Kemboja dibuka disini. Namun jika anda ke Pendang atas urusan tertentu, anda tidak perlu risau kerana kemudahan penginapan dan makanan tidak menjadi masalah. Antara tempat menarik di Pendang ialah:

Tasik Pendang

Panorama Tasik Pendang yang mengasyikan.

Tasik Pendang terletak tidak jauh dari pekan. Ia adalah tempat rekreasi dan riadah masyarakat setempat. Pemandangan menarik ditepi tasik memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi kawasan ini. Terdapat sebuah resort yang terletak di pinggir tasik sesuai dijadikan tempat penginapan. Aktiviti yang boleh dilakukan disini ialah berkayak, jogging dan permainan outdoor yang menyeronokkan.

Pasar Kemboja

Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang, Kedah.

Salah satu tempat menarik di Pendang yang terkenal ialah Pasar Kemboja. Ia adalah pasar mingguan yang diadakan pada setiap Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 12 tengahari. Antara yang menarik ialah membeli-belah pakaian lelaki dan wanita. Pasar ini menjadi tumpuan ramai kerana harga barangan yang dijual sangat murah berbanding pasar malam biasa.

Maklumat lanjut lihat artikel membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang.

Rimba Rekreasi Bukit Perak

Lata Bukit Perak Pendang.

Rimba Rekreasi Bukit Perak ialah air terjun yang terletak di kawasan hutan lipur Bukit Perak. Ia terletak di Sungai Tiang, lebih kurang 20 km dari pekan Pendang. Aktiviti yang boleh dilakukan disini ialah mandi-manda, berkelah dan merentas hutan melihat keindahan alam semulajadi.

Telaga Gajah

Telaga Gajah Pendang.

Telaga Gajah ialah perigi lama yang masih kekal dijaga di pekan Pendang. Perigi yang tidak pernah kering walau di musim kemarau panjang ini menjadi sumber air dan tempat mandi gajah pada masa dahulu.

Daerah Padang Terap

Bandar Kuala Nerang adalah bandar terbesar di daerah Padang Terap. Terletak di hulu negeri Kedah, ada beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda berkunjung ke daerah ini.

Hutan Lipur Puncak Janing

Air terjun Puncak Janing.

Terkenal dengan air terjun Puncak Janing. Terletak tidak jauh dari pekan Kuala Nerang, kawasan air terjun ini sentiasa menjadi lokasi perkelahan penduduk tempatan. Air terjun yang sejuk dan menyegarkan sesuai untuk mandi manakala suasana hening serta kehijauan pokok-pokok hutan pula memberi ketenangan pada pengunjung yang datang.

Tasik Pedu

Pemandangan Tasik Pedu yang cukup menarik.

Tempat percutian di Kedah yang sangat popular suatu ketika dahulu. Tasik yang luas dan cantik serta aktiviti menarik yang disediakan menjadi tarikan utama pelancong ke sini. Walau bagaimanapun, resort yang dibina di tasik ini telah ditutup. Pengunjung yang ingin ke sini masih boleh menikmati pemandangan menarik dan memancing di tasik.

Daerah Yan

Yan ialah satu daerah yang mempunyai banyak tempat menarik di Kedah. Sungai Yan adalah bandar terbesar di daerah ini. Terdapat banyak destinasi pelancongan di daerah Yan yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya tarikan alam semulajadi di Gunung Jerai. Kemana saja anda pergi di daerah ini, pemandangan indah Gunung Jerai pasti mempersonakan anda. Selain itu, pemandangan sawah padi yang luas terbentang juga sangat memikat hati.

Daerah Yan ini adalah kawasan perkampungan yang masih mengekalkan cara hidup tradisional. Kebanyakan penduduk di daerah ini masih melakukan kerja-kerja bertani dan nelayan. Bagi pelancong yang ingin merasai cara kehidupan, adat resam dan kebudayaan masyarakat setempat, terdapat program homestay di daerah Yan yang sangat terkenal iaitu Homestay Kampung Raga.

Selain itu, Daerah Yan juga terletak di pinggir laut menghadap Selat Melaka. Terdapat beberapa pantai menarik yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk berehat, bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan, memancing dan juga makan-makan di medan selera di tepi pantai. Di perairan ini juga terdapat pulau-pulau yang menjadi tempat persinggahan nelayan dan juga destinasi pemancing serta penyelam seperti Pulau Songsong, Pulau Telor, Pulau Bidan dan Pulau Bunting.

Gunung Jerai

Pemandangan dari puncak Gunung Jerai.

Gunung Jerai adalah salah satu tempat menarik di Kedah yang sangat popular. Terdapat sebuah resort di puncak gunung yang menyediakan tempat penginapan selesa untuk pengunjung. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mendaki gunung, mandi air terjun dan melawat tempat menarik di atas gunung.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Gunung Jerai - Percutian dan aktiviti menarik.

Air terjun Titi Hayun

Mandi di Titi Hayun, Yan, Kedah.

(Update 2022) Air terjun Titi Hayun telah rosak teruk akibat banjir kepala air yang melanda Ogos 2021. Kawasan ini masih lagi ditutup kerana kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan. Walau bagaimanapun, chalet penginapan dan kem pelancongan disekitar kawasan ini telah kembali beroperasi.

Air terjun Titi Hayun ialah tempat perkelahan dan mandi-manda yang sangat terkenal di daerah Yan. Berbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung seperti chalet, gerai makan, tandas awam dan tempat meletak kereta yang luas. Di musim cuti sekolah atau cuti umum, ramai yang membawa keluarga berkelah seharian di sini. Kawasan air terjun ini juga sesuai dijadikan lokasi percutian. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti merentas hutan, mendaki gunung, menjejak air terjun dan lain-lain.

Maklumat lengkap lihat artikel Titi Hayun Yan Kedah - Panduan percutian 2020.

Air terjun Batu Hampar

Air terjun Batu Hampar di Yan.

(Update 2022) Air terjun Batu Hampar merupakan salah satu kawasan yang terkesan dengan tragedi kepala air yang melanda Yan pada Ogos 2021. Tempat rekreasi ini telah rosak teruk dilanda tunggul-tunggul balak dan terkambus oleh tanah yang dibawa air bah.

Air terjun Batu Hampar ialah kawasan rekreasi air terjun yang sangat cantik dan cukup terjaga. Walaupun tiada air terjun yang memukau disini tetapi ia tetap menjadi tumpuan kerana sesuai untuk aktiviti perkelahan keluarga dan untuk kanak-kanak mandi. Kawasan ini boleh dikatakan bersih dan terjaga. Suasana yang tenang dan damai cukup terasa. Kehijauan pokok-pokok hutan dan udara bersih menjadikan tempat ini lokasi sesuai bagi mereka yang ingin berehat dan bersantai.

Air terjun Seri Perigi

Air terjun Seri Perigi.

Air terjun Seri Perigi adalah satu lagi air terjun yang terletak di daerah Yan. Air terjun di kaki Gunung Jerai ini sangat cantik dan tinggi. Untuk menikmati keindahan sebenar, anda boleh datang pada bulan November dan Disember atau pada musim hujan kerana waktu ini pemandangan air terjun paling menarik. Untuk perkelahan dan mandi-manda, terdapat kolam yang luas serta kawasan lapang disediakan untuk pengunjung.

Jika anda ingin berkelah dan mandi air terjun, inilah satu-satunya lokasi yang boleh ada kunjungi di daerah Yan kerana ia paling kurang terjejas akibat banjir kepala air yang melanda pada Ogos 2021.

Pantai Murni

Pemandangan matahari terbenam di Pantai Murni, Yan, Kedah.

Pantai Murni adalah kawasan pantai yang popular di daerah Yan. Ia merupakan lokasi untuk bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan sambil menikmati keindahan matahari terbenam. Ada kemudahan medan selera, surau, taman permainan kanak-kanak dan bangku rehat. Selain itu, bazar malam atau uptown turut dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Lihat artikel Bersantai di Pantai Murni, Yan.

Pulau Bunting

Pulau Bunting di daerah Yan.

Pulau ini adalah yang terbesar di daerah Yan. Ia juga merupakan pulau paling hampir dengan daratan. Terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan tanah besar Kedah ke Pulau Bunting. Jambatan ini pernah dibuka untuk laluan kereta namun kini ia telah ditutup. Pulau Bunting juga tidak terdapat perkampungan penduduk.

Walaupun jambatan Pulau Bunting kini ditutup namun orang-ramai tetap datang untuk melihat pemandangan cantik, beriadah dan memancing. Pulau Bunting berpotensi untuk dimajukan menjadi sebuah tempat pelancongan menarik di daerah Yan.

Pulau Songsong

Pulau Songsong.

Salah sebuah pulau menarik di daerah Yan ialah Pulau Songsong. Ia semakin dikenali kerana keindahan semulajadi yang mengagumkan terdapat di pulau ini. Walaupun tanpa kemudahan asas, ia tetap menarik minat pelancong tempatan dan luar untuk ke Pulau Songsong.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pulau Songsong Yan Kedah.

Jika anda merancang untuk bercuti di daerah Yan, dapatkan maklumat lengkap tentang tarikan pelancongan di halaman tempat menarik di Yan Kedah.

Daerah Kuala Muda

Terdapat dua bandar utama di daerah Kuala Muda iaitu bandar Sungai Petani dan Gurun. Bandar Sungai Petani adalah bandar terbesar di daerah ini. Berbagai kemudahan pelancongan seperti hotel, pengangkutan awam, tempat membeli-belah terdapat di Sungai Petani. Manakala Gurun pula ialah bandar kedua terbesar di daerah Kuala Muda. Walaupun tidak sepesat Sungai Petani tetapi Pekan Gurun menjadi tumpuan kerana terletak di kaki Gunung Jerai iaitu Gunung tertinggi di Kedah yang menjadi pusat pelancongan utama di daerah ini.

Muzium arkeologi Lembah Bujang

Gambar tempat bersejarah Lembah Bujang, Kedah.

Muzium arkeologi Lembah Bujang terletak di Merbok. Disini terdapat berbagai artifek dan kesan peninggalan sejarah kerajaan Hindu yang pernah bertapak di Kedah pada kurun ke 3 masehi hingga ke 14 masehi. Pengunjung boleh melawat muzium yang mempamerkan koleksi seramik, manik-manik kaca, rempah ratus dan lain-lain yang ditemui di sekitar Lembah Bujang. Selain itu terdapat candi-candi agama Hindu/Buddha yang dibina semula dari tinggalan asal.

Pantai Merdeka

Pemandangan matahari terbenam di Pantai Merdeka. Kedah.

Pantai Merdeka ialah salah satu tempat menarik di Kedah yang cukup terkenal. Ia sudah semakin maju dan terjaga. Ada resort, chalet dan juga homestay untuk pelancong yang ingin bercuti disini. Selain itu, kemudahan turut disediakan untuk orang-ramai termasuk tempat letak kereta yang luas, gerai makan, tandas awam dan surau. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mandi laut, bermain layang-layang, memancing dan menaiki bot melawat lokasi menarik disekitar kawasan ini.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel bercuti di Pantai Merdeka.

Taman Rekreasi Sungai Merbok

Jeti Sungai Merbok.

Taman Rekreasi Sungai Merbok ialah destinasi pelancongan menarik sesuai untuk membawa keluarga bersiar-siar. Disini terdapat laluan pejalan kaki dipinggir sungai yang dipenuhi hutan bakau yang menarik. Selain itu, ada jeti dan bot nelayan serta restoran untuk pengunjung menjamu selera. Perkhidmatan "river cruise" turut disediakan bagi membawa pelancong menyusuri Sungai Merbok. Ia juga adalah lokasi yang strategik untuk kaki pancing.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Taman Rekreasi Sungai Merbok.

Air terjun Tupah

Air terjun Tupah.

Hutan lipur air terjun Tupah terletak di kaki Gunung Jerai di kawasan Merbok. Ia merupakan lokasi menarik untuk mandi-manda dan berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan.

Taman Tema Air The Carnival

Gelongsor air yang sesuai untuk pelbagai usia.

Taman tema air atau water park yang terletak di bandar Sungai Petani. The Carnival Water Park adalah tempat pelancongan di Kedah yang sesuai untuk percutian keluarga. Berbagai permainan air disediakan untuk semua lapisan umur.

Lokasi / Alamat:
The Carnival
Persiaran Cinta Sayang,
08000 Sungai Petani,
Kedah

Maklumat lanjut lihat artikel The Carnival Water Park Sungai Petani.

Tanjung Dawai

Pantai Tanjung Dawai.

Salah satu lokasi pelancongan yang popular di Kedah ialah Tanjung Dawai. Disini terdapat pantai dan juga jeti nelayan. Ramai yang mengunjungi kawasan ini untuk bersantai di tepi pantai bersama keluarga. Ada yang berkelah dan bermain layang-layang bersama anak-anak. Penggemar ikan bakar boleh menikmati makanan laut yang segar di restoran yang banyak disekitar pantai. Tanjung Dawai popular dengan belacan dan ikan bilis. Selain itu, terdapat berbagai barangan hasil nelayan seperti keropok ikan, ikan masin dan lain-lain boleh dibeli sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Maklumat lanjut lihat artikel Tanjung Dawai Kedah.

Chalet Terapung Persatuan Peladang

Chalet Terapung Segantang Garam.

Chalet Terapung Persatuan Peladang terletak di Kuala Segantang Garam, Merbok. Ia adalah resort menarik yang menyediakan tempat penginapan diatas air. Chalet ini memang tidak asing lagi bagi kaki pancing. Selain sungai, terdapat kolam memancing yang menyimpan berbagai spesis ikan menanti pengunjung. Apa yang menarik, suasana disini cukup menenangkan. Chalet yang disediakan juga pelbagai, sesuai untuk percutian keluarga. Jika anda bercadang untuk bermalam disini, jangan lupa membawa barangan memasak dan juga bbq.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati.

Daerah Kulim

Bagi pengunjung yang ingin berkunjung ke Kulim, berbagai tempat menarik di Kedah boleh dilawati di daerah ini. Bandar Kulim adalah bandar terbesar. Disini ada segala kemudahan pelancongan yang anda mahu. Untuk penginapan, ada hotel, rumah tumpangan dan juga rumah rehat. Homestay juga tidak menjadi masalah. Bagi pengangkutan, ada bas, teksi dan kereta sewa untuk ke mana-mana. Jika anda suka merasai kelazatan makanan tempatan, bandar Kulim mempunyai banyak restoran yang menyediakan makanan yang sedap-sedap seperti Nasi Ayam Periuk Besar, Angah Nasi Ayam Hainan, restoran ikan bakar, nasi campur makan tengahari dan lain-lain lagi. Berikut adalah lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi.

Taman Burung Kulim

Taman Burung

Taman Burung Kulim terletak dipinggir bandar Kulim. Lokasinya tidak jauh dari Menara Jam Merdeka. Taman ini mempunyai lanskap menarik dengan kolam ikan, gazebo dan taman bunga. Sesuai untuk bawa anak-anak ke sini. Berbagai spesis burung dapat dilihat. Pengunjung boleh memberi makan burung, itik dan ikan yang ada di taman ini. Selain itu, pengunjung dapat bermain dengan arnab, kura-kura dan beberapa haiwan lain.

Lokasi Taman Burung Kulim: 60, Jalan Tunku Bendahara, 09000 Kulim, Kedah

Harga tiket: Dewasa: RM5, Kanak-kanak: RM3

Merdeka Clock Tower

Jam Besar Kulim

Menara Jam Merdeka ini terletak di Bandar Kulim dan menjadi mercu tanda bandar ini. Ia telah dirasmikan pada 15 September 1957 oleh DYMM Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Hamid. Kawasan menara jam ini terdapat dataran yang agak luas untuk pengunjung berkumpul memerhatikan menara ini dengan lebih dekat.

Lokasi: Bandar Kulim, 09000 Kulim, Kedah

Tree Top Walk Sungai Sedim

Laluan Kanopi Tree Top Walk Sungai Sedim, Kedah.

Tree Top Walk ialah tempat menarik yang cukup terkenal bukan sahaja di Kedah malah negeri berhampiran seperti Penang dan Perak. Jika anda peminat alam semulajadi, datang diawal pagi untuk melihat pelbagai jenis haiwan, burung-burung dan mergas lain dari atas laluan Canopy. Tapak perkhemahan dan chalet penginapan juga terdapat disini untuk anda bermalam.

Alamat:
Tree Top Walk Sungai Sedim
Kampung Sedim,
09700 Karangan,
Kedah

Maklumat lanjut lihat artikel Tree top walk Sungai Sedim, Kulim.

Taman rekreasi Sungai Sedim

White water rafting Sungai Sedim.

Taman rekreasi Sungai Sedim terletak di lokasi yang sama dengan Tree Top Walk. Tempat pelancongan di kedah yang terkenal dengan aktiviti lasak sehingga ke peringkat antarabangsa ini cukup menarik. Ada berbagai aktiviti air yang disediakan disini seperti whitewater rafting, tubing, dan lain-lain. Jeram yang dalam dengan air yang bergerak laju melalui celah-celah batu besar pasti mengujakan anda.

Alamat:
Rekreasi Sungai Sedim
Kampung Sedim,
09700 Karangan,
Kedah

Hutan Lipur Ulu Paip

Hutan Lipur Ulu Paip Kulim

Hutan Lipur Ulu Paip ialah kawasan air terjun yang terletak dalam Hutan simpan Gunung Bungsu. Ia merupakan lokasi perkelahan popular dan sering dipenuhi orang-ramai terutama di musim cuti persekolan dan cuti umum. Kawasannya yang redup dikelilingi hutan semulajadi cukup menenangkan. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah berkelah, mandi-manda, jungle trekking dan perkhemahan.

Alamat:
Hutan Lipur Ulu Paip
Jalan Kulim-Mahang,
09700 Karangan,
Kedah

Taman Tasik Putra Kulim

Taman Tasik Putra, Kulim.

Taman Tasik Putra Kulim ialah taman rekreasi popular yang terletak di bandar Kulim. Aktiviti menarik disini ialah memancing, berkelah, berkayak dan beriadah. Kemudahan yang ada termasuk medan selera, wakaf, tandas awam, tempat meletak kereta dan pelbagai peralatan sukan 'outdoor gym' dan 'physical fitness'.

Air terjun Junjong

Satu lagi tempat menarik alam semulajadi yang terkenal di Kulim ialah Air terjun Junjong. Ia merupakan kawasan perkelahan penduduk setempat. Air terjun Junjong tidaklah menarik namun airnya yang cetek sesuai untuk kanak-kanak mandi. Kemudahan tempat meletak kereta dan gerai makanan turut disediakan untuk pengunjung.

Alamat:
Air terjun Junjong
Jalan Ayer Puteh,
09000 Kulim,
Kedah

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel tempat menarik di Kulim.

Daerah Bandar Baharu

Bandar Baharu ialah daerah yang terletak di selatan negeri Kedah. Ia bersempadan dengan Perak dan juga Pulau Pinang. Tidak banyak tempat menarik untuk dilawati di daerah ini. Namun jika anda sampai ke sini, beberapa lokasi boleh dikunjungi.

Taman Tasik Seri Serdang

Taman Tasik Seri Serdang terletak di tengah-tengan pekan Serdang. Ia adalah kawasan riadah di tepi tasik yang cantik. Lokasi menarik ini turut menjadi tempat perkelahan masyarakat sekitar dihujung minggu dan cuti umum. Antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak dan peralatan senaman.

Rimba Rekreasi Batu Hampar

Air terjun Batu Hampar yang terletak di Serdang, Bandar Baharu.

Rimba Rekreasi Batu Hampar terletak di Air Putih, Serdang. Ia adalah kawasan rekreasi yang pernah menjadi tumpuan penduduk sekitar daerah Bandar Baharu suatu ketika dulu. Disini terdapat air terjun yang agak cantik. Kawasannya juga tenang dikelilingi kehijauan hutan semulajadi. Namun kerana virus kencing tikus, tempat ini kini terbiar.

Daerah Baling

Masih belum puas melawat tempat menarik di Kedah? Ada satu daerah lagi yang boleh anda kunjungi iaitu Baling. Daerah ini bersempadan dengan negeri Perak. Terdapat dua bandar utama di daerah Baling iaitu pekan Baling dan pekan Kuala Ketil. Pekan Baling sangat unik dan menarik dengan pemandangan gunung yang tersergam gagah di pinggir bandar. Ia juga terkenal dikalangan pengunjung sebagai lokasi membeli-belah peralatan dapur yang murah terutama periuk belanga.

Gua Sireh

Gua Sireh Baling

Destinasi pelancongan baru di daerah Baling yang unik. Gua Sireh ini cukup menarik. Dinding dan kubahnya berwarna putih secara semulajadi. Pengunjung boleh meneroka gua sepanjang 400 meter ini melalui laluan yang dibina persatuan penduduk setempat.

Gua ini baru dibangunkan dan kemudahan yang disediakan termasuk lampu didalam gua adalah inisiatif persatuan penduduk. Tiada kemudahan moden lain disediakan buat masa sekarang.

Lokasi: Kampung Padang Che Mas, 09100 Baling, Kedah

Ulu Legong Hot Springs

Gerbang pintu masuk ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Kedah.

Ulu Legong Hot Springs ialah tempat percutian di Kedah yang sangat menarik. Terdapat beberapa kolam air panas yang luas disediakan untuk pengunjung. Setiap kolam berbeza mengikut suhu kepanasan air dan kedalaman kolam. Ia bukan sekadar untuk merendam kaki malah pengunjung boleh berenang dan menyelam sepuas hati jika mampu. Kolam untuk kanak-kanak juga disediakan. Disini juga terdapat kemudahan chalet dan homestay. Ulu Legong Hot Springs adalah lokasi percutian bajet untuk seisi keluarga.

Lokasi / Alamat:
Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong
09100 Baling,
Kedah Darul Aman.

Maklumat lanjut lihat artikel Taman Rekreasi air panas Ulu Legong Baling.

Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau Baling.

Lata Bukit Hijau terletak di Hutan Lipur Bukit Hijau, Baling. Lata ini mempunyai air terjun yang cantik dan kolam mandi semulajadi yang luas. Airnya jernih dan sejuk. Terdapat beberapa tingkat air terjun disini. Pengunjung boleh mendaki tangga untuk ke kemuncak atau boleh berkelah dibahagian bawah sahaja. Kemudahan chalet, gerai makan, surau, tandas awam dan kawasan meletak kereta yang luas disediakan. Peranginan lata Bukit Hijau merupakan salah satu lokasi air terjun yang paling cantik dan merupakan tempat menarik di Kedah yang mesti dilawati.

Maklumat lanjut lihat artikel Lata Bukit Hijau.

Lata Bayu

Lata Bayu Baling.

Lata Bayu turut dikenali dengan nama Lata Asam Jawa. Ia merupakan kawasan perkelahan yang popular di daerah Baling. Lata ini mempunyai kolam yang luas dan juga air terjun yang menarik. Semua kemudahan asas turut disediakan termasuk tempat letak kereta, gerai makan, tandas awam dan pondok rehat.

Maklumat lanjut lihat artikel air terjun Lata Bayu Baling.

Gunung Baling

Gunung Baling Kedah.

Gunung Baling terletak berhampiran pekan Baling. Ia adalah sebuah bukit batu kapur dengan ketinggiannya cuma 420 meter. Gunung ini adalah lokasi terbaik untuk melihat pemandangan menarik daerah Baling dari tempat tinggi. Pendakian ke puncak gunung mengambil masa lebih kurang 2-3 jam.

Gua Jepun

Gua Jepun Baling.

Gua Jepun terletak di Gunung Baling. Ia adalah produk pelancongan baru yang giat dibangunkan oleh Majlis Daerah Baling bangi menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini. Walaupun belum siap sepenuhnya, pelancong masih boleh ke lokasi dan melihat kawasan gua. Malah anda boleh mengunjungi gua ini pada waktu malam kerana lampu spot di pasang dan pemandangan cukup menarik dapat disaksikan

Banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati jika anda bercuti di Baling. Jika anda bercadang untuk kesini, dapatkan senarai aktiviti yang boleh dilakukan dan tempat makan popular yang ada di daerah ini.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel tempat menarik di Baling.

Daerah Sik

Daerah Sik adalah daerah terbesar di negeri Kedah. Pekan Sik adalah bandar utama daerah ini. Terkenal dengan berbagai jenis pelancongan terutamanya alam semulajadi. Beberapa tempat menarik yang popular boleh dikunjungi seperti:

Pelancongan Pertanian Bendang Man

KEDA Bendang Man, Sik.

Pelancongan Pertanian Bendang Man ialah salah satu tempat menarik di Kedah untuk bercuti. Projek pelancongan yang diusahakan oleh KEDA ini adalah ladang buah-buahan yang mempunyai 12 buah chalet serta kemudahan dewan mesyuarat. Tapak perkhemahan juga disediakan. Ia sesuai untuk aktiviti kem motivasi, seminar dan lain-lain. Lebih menarik jika anda melawat pada musim buah-buahan dimana durian, manggis, langsat dan lain-lain dapat dinikmati terus, segar dari ladang.

Air terjun Lata Mengkuang

Air terjun Lata Mengkuang.

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang terletak dalam Hutan Simpan Rimba Teloi. Air terjun ini cukup popular dan menjadi lokasi perkelahan masyarakat setempat. Lokasinya tidak jauh dari KEDA Resort Bendang Man. Air terjunnya menarik dan terdapat beberapa kolam mandi yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Maklumat lanjut lihat artikel Rimba Rekreasi Lata Mengkuang Sik.

Ulu Muda Eco Park

Ulu Muda Eco Park di daerah Sik.

Pelancongan alam semulajadi meredah hutan simpan untuk melihat flora dan fauna yang masih kaya disini. Pengunjung perlu menaiki bot di Empangan Gubir sebelum sampai ke kawasan hutan Ulu Muda Eco Park. Biasanya pelancong akan tinggal beberapa hari dan bermalam di hutan. Kemuncak percutian alam semulajadi di Kedah sebelum anda ke Taman Negara.

Lata Hujan Lebat

Lata Hujan Lebat di Sik.

Air terjun ini terletak di Kampung Landai, Gulau. Walaupun agak kurang terkenal, Lata Hujan Lebat mempunyai air terjun yang sangat menarik. Beberapa tingkat air terjun, kolam semulajadi yang luas serta air yang sejuk menyegarkan pasti memberi kepuasan kepada pengunjung. Ia adalah lokasi sesuai untuk berehat kerana suasana damai alam semulajadi yang dikelilingi hutan yang menghijau cukup menenangkan.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel tempat menarik di Sik Kedah.

Daerah Langkawi

Langkawi adalah tempat pelancongan yang cukup terkenal di Malaysia. Gugusan kepulauan ini merupakan salah satu daerah yang menyimpan banyak tempat menarik di Kedah untuk dilawati. Bandar Kuah adalah bandar terbesar di Langkawi. Ia adalah tempat membeli-belah dan juga sesuai untuk penginapan. Perkhidmatan pengangkutan darat di Pulau Langkawi adalah sangat baik. Terdapat jalinan jalanraya yang menghubungkan setiap lokasi utama di pulau ini. Terdapat banyak teksi dan van yang boleh membawa pelancong kemana-mana. Anda juga boleh menyewa kereta jika ingin lebih kebebasan melancong. Bagi makanan pula, ada berbagai pilihan makanan tempatan dan juga luar.

Kuah

Dataran Helang Langkawi.

Kuah ialah lokasi membeli-belah yang sangat popular di Langkawi. Ia menjadi tumpuan orang-ramai yang berkunjung ke Langkawi untuk membeli pelbagai barangan seperti pinggan-mangkuk, cokelat, kain batik dan bermacam-macam lagi. Selain itu, beberapa tempat menarik boleh dilawati seperti Dataran Helang, MARDI Langkawi Agro Technology Park dan Jeti Pekan Rabu.

Pantai Cenang

Pantai Cenang Langkawi.

Pantai Cenang ialah kawasan pantai yang paling menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Terdapat hotel yang banyak, pantai yang cantik, deretan kedai yang menjual berbagai barangan pelancongan dan kraftangan, restoran dan cafe serta bermacam-macam lagi. Ia adalah lokasi percutian yang menyeronokkan sesuai bagi anda yang sukakan suasana meriah. Tempat menarik yang ada selain pantai ialah Underwater World Langkawi dan Laman Padi.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel bercuti di Pantai Cenang Langkawi.

Oriental Village

Tasik Oriental Village

Oriental Village ialah tempat menarik yang terletak di kaki Gunung Mat Cincang. Berbagai tarikan pelancongan ada disini termasuk cable car ke puncak gunung, 3D Art Museum, 6D Cinemotion, F1 Simulator, tempat penginapan dan restoran makanan antarabangsa. Selain itu, terdapat berbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk pelancong.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Oriental Village Langkawi.

Banyak lagi tempat menarik untuk dilawati di Langkawi. Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pulau Langkawi.

Penginapan di Kedah

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Kedah, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Kesimpulan

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Kedah dan juga tarikan pelancongan utama yang sempat kami kongsikan kepada anda. Kami akan sentiasa mengemaskini halaman ini dan menambah berbagai tarikan pelancongan baru yang diperkenalkan. Jika anda rasa artikel ini berguna, sila kongsikan di laman sosial, blog dan sebagainya. Sokongan anda amat bermakna bagi kami. Sekiranya ada kekurangan, sila komen agar dapat diperbaiki. Terima kasih dan selamat bercuti!

Lihat semua tempat menarik disetiap negeri: Tempat Menarik.

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi