Panduan bercuti ke Pulau Perhentian

Pulau Perhentian ialah destinasi percutian yang sangat popular bukan sahaja di Malaysia malah terkenal dikalangan pelancong luar negara. Ia dikatakan antara pulau tercantik di dunia dan mendapat gelaran island paradise dan tropical paradise. Kebanyakan kawasan di pulau ini masih terpelihara dan diliputi hutan tropika semulajadi. Manakala kawasan perairan disekitarnya telah diwartakan sebagai Taman Laut.

Pulau Perhentian terkenal kerana kecantikan pantai berpasir yang putih bersih, air laut yang jernih. Laut disekitarnya kaya dengan terumbu karang dan berbagai jenis ikan berwarna-warni. Dikawasan pulau pula, hutannya masih belum tercemar dengan pembangunan besar-besaran. Faktor tersebut menjadikan Pulau Perhentian lokasi idaman percutian sesiapa sahaja samada keluarga, kumpulan atau individu. Pelancong boleh mengunjungi pulau ini secara pakej percutian atau merancang percutian bajet sendiri. Bagi sesiapa yang berminat untuk bercuti ke Pulau Perhentian, disini kami kongsikan semua maklumat penting yang perlu anda tahu sebagai rujukan.

Isi kandungan

[collapsed title="Klik untuk lihat isi kandungan" class="shut nested1"]

  1. Lokasi
  2. Pengenalan
  3. Pengangkutan
  4. Tempat menarik
  5. Aktiviti
  6. Penginapan
  7. Makanan
  8. Pakej Pulau Perhentian
  9. Kos percutian bajet
  10. Persediaan
  11. Kesimpulan

[/collapsed]

Jeti Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Lokasi

Pulau Perhentian terletak di negeri Terengganu. Ia termasuk dalam daerah Besut. Lokasinya ialah di perairan Laut China Selatan kira-kira 21KM dari Pekan Kuala Besut. Jadi, destinasi yang perlu anda tuju ialah Kuala Besut.

Anda boleh memandu kenderaan sendiri hingga ke kawasan jeti. Terdapat kawasan letak kereta berbayar disediakan iaitu RM10 - RM15 sehari.

Jika anda ingin menggunakan pengangkutan awam, bas terus ke Kuala Besut ada di kebanyakan bandar besar di semenanjung Malaysia. Jika ia tiada berhampiran tempat anda, pilih Kota Bharu atau Kuala Terengganu, mana yang lebih hampir. Dari situ anda boleh menaiki bas ke Kuala Besut.

Pengenalan

Bagi anda yang belum mengenali Pulau Perhentian, berikut ialah maklumat ringkas mengenai pulau ini.

Asal nama Pulau Perhentian

Pulau ini mendapat nama Pulau Perhentian kerana sejak zaman dahulu ia menjadi lokasi persinggahan kapal-kapal yang berdagang di perairan ini. Antaranya ialah kapal yang mengangkut garam dari Singgora ke Kuala Terengganu dan kapal-kapal dagang dari China, Tanah Melayu dan Kepulauan Jawa yang melalui perairan ini. Ia menjadi tempat perlindungan dari angin kencang, ombak besar dan ribut di laut.

Pulau Perhentian terbentuk dari dua pulau utama iaitu:

  1. Pulau Perhentian Besar.
  2. Pulau Perhentian Kecil.

Pulau Perhentian Besar

Pantai dan air laut jernih di Pulau Perhentian Besar, Terengganu.

Pulau Perhentian Besar ialah lokasi utama percutian disini. Terdapat banyak resort menarik yang menawarkan berbagai pakej untuk pelancong terutama pakej snorkeling dan juga scuba diving. Disini juga terdapat beberapa operator pelancongan yang menawarkan kursus scuba diving termasuk kursus penuh bagi mendapatkan sijil PADI bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk menyelam ke kawasan yang lebih dalam dan menarik.

Jika anda sekadar ingin berehat dan menikmati keindahan di Pulau Perhentian, anda tidak perlu risau. Hampir semua resort terletak di kawasan pantai menarik yang ada di pulau ini. Jika anda ingin bersiar-siar disekitar pulau, ada jalan-jalan kecil yang menghubungkan beberapa resort berdekatan. Untuk melihat keindahan pulau, lebih mudah jika menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan oleh operator pelancongan.

Pulau Perhentian Kecil

Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Pulau Perhentian Kecil juga merupakan sebuah pulau peranginan menarik. Beberapa pantai yang cantik dan lokasi snorkeling terdapat disini. Pulau ini mempunyai banyak resort dan chalet yang menawarkan harga penginapan yang lebih murah berbanding Pulau Perhentian Besar. Lantaran itu, ia lebih terkenal dikalangan pelancong "backpackers" dan lebih sesuai untuk lokasi percutian bajet.

Tiada jalinan jalanraya melainkan hanya jalan kecil yang merentas hutan di pulau ini. Jadi, untuk ke mana-mana lokasi, pengunjung boleh melalui jalan hutan atau menyewa bot dari operator pelancongan yang ada. Pelancong juga boleh menyewa bot untuk ke Pulau Perhentian Besar bagi melihat tempat-tempat menarik disana.

Pengangkutan

Bagaimana caranya untuk ke Pulau Perhentian? Destinasi anda ialah Kuala Besut dimana feri ke Pulau Perhentian disediakan. Jika anda menggunakan pengangkutan awam, anda boleh menaiki bas terus ke sana.

  1. Jika tiada perkhidmatan bas terus ke Kuala Besut dari tempat anda, anda boleh samada ke Kuala Terengganu atau Kota Bharu - Bergantung pada lokasi terhampir dengan anda.
  2. Mengambil teksi untuk ke Kuala Besut.
  3. Menaiki feri ke Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil. Perjalanan lebih kurang sejam untuk sampai ke destinasi.
  4. Di Pulau Perhentian, anda boleh menaiki bot untuk ke resort penginapan pilihan anda atau berjalan kaki melalui jalan hutan untuk ke resort tersebut.
  5. Pengangkutan utama untuk ke mana-mana tempat menarik di Pulau Perhentian Kecil/Besar ialah dengan teksi air, iaitu bot.

Jeti Kuala Besut

Jeti Kuala Besut ialah lokasi utama pengangkutan feri ke Pulau Perhentian. Ia adalah jeti yang paling hampir dimana perjalanan mengambil masa lebih-kurang 45 minit ke 1 jam untuk tiba ke destinasi.

Ia adalah destinasi akhir di tanah besar. Beli bekalan makanan dan air minuman secukupnya untuk percutian anda kerana harga makanan mahal di Pulau Perhentian.

Harga tiket feri

Tiket feri boleh dibeli di kaunter tiket di jeti.Jika menempah secara atas talian, anda akan mendapat diskaun. Harga tiket feri dari Jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian ialah:

Dewasa : RM35 sehala
Kanak-kanak : RM20 sehala

Nota/Peringatan: Feri ke Pulau Perhentian tidak sebesar feri Pulau Langkawi. Biasanya ia cuma boleh memuatkan lebih kurang 20 orang penumpang sahaja. Bot akan berayun dan melambung apabila merempuh ombak besar. Penumpang dinasihatkan agar makan ubat mabuk laut sebelum perjalanan menaiki feri. Wanita mengandung juga tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh membahayakan kandungan.

Tempat menarik

Tarikan utama pelancong ke Pulau Perhentian ialah untuk berehat di pulau cantik yang sunyi dan tenteram serta melakukan aktiviti snorkeling menikmati keindahan hidupan laut disekitar pulau ini.

Jika ingin bersiar-siar melihat pemandangan yang cantik, ada beberapa tempat menarik di Pulau Perhentian boleh dilawati. Hampir kesemua tempat-tempat ini merupakan kawasan pantai. Tidak perlu dijelaskan lagi tentang air laut yang jernih, pasir pantai yang halus dan memutih. Ia sesuai untuk aktiviti snorkeling dan mandi laut. Jika anda mengambil pakej snorkeling, anda akan dibawa ke lokasi ini tetapi bukan semua. Sekiranya ada masa terluang, pastikan anda melawat semua lokasi terbaik yang dinyatakan dibawah.

Teluk Dalam

Pulau Perhentian Besar, Terengganu.

Teluk Dalam ialah lokasi utama di Pulau Perhentian Besar. Kebanyakan resort terletak disini. Pelbagai jenis chalet dan harga boleh ditemui. Begitu juga dengan restoran dan kedai makan.

Anda tentu dapat mengagak kenapa banyak tempat penginapan banyak disini. Ya, kerana Teluk Dalam mempunyai pantai yang sangat cantik.  Ia juga adalah pantai terpanjang di pulau ini.

Teluk Pauh

Teluk Pauh

Teluk Pauh ialah pantai cantik yang terletak di Pulau Perhentian Besar. Lokasinya bertentangan dengan Pulau Perhentian Kecil. Ia merupakan destinasi snorkeling popular. Air laut yang jernih dan ombak yang kecil cukup sesuai untuk pelancong menikmati keindahan coral dan ikan-ikan disini.

Jika penat melakukan aktiviti snorkeling, anda boleh berehat sambil menikmati keindahan pantai yang cukup mempersonakan ini. Pasir pantai yang halus dan putih serta pemandangan air laut yang jernih sangat mengagumkan. Tidak hairanlah ramai pelancong yang menggelarkan pulau ini sebagai paradise.

Lata Air Berani

Lata Air Berani ialah salah satu tempat persinggahan di Pulau Perhentian Besar. Lokasinya tidak jauh dari pantai Teluk Dalam. Apa yang menarik disini ialah sebuah sungai kecil yang turun dari bukit dan mengalir ke laut. Airnya jernih dan sejuk.

Ia tidaklah menarik seperti lata di tanah besar dengan air terjun bertingkat-tingkat. Cuma kolam kecil yang menakung air dari bukit. Mungkin sebab di pulau, ia begitu dihargai.

Turtle Bay

Turtle Bay, Pulau Perhentian, Terengganu.

Turtle Beach terletak di Pulau Perhentian Besar. Lokasinya ialah dibahagian utara dimana hutan semulajadi masih kekal tidak terusik. Tiada resort dan chalet ditepi pantai. Jika bukan musim cuti persekolahan atau cuti umum, pengunjung boleh bersantai di pantai dengan tenang kerana tidak ramai pengunjung seperti di pantai utama lain.

Selain pantainya yang cantik, Turtle Bay terkenal sebagai lokasi untuk melihat penyu. Ramai yang melakukan aktiviti snorkeling disini dengan harapan dapat melihat penyu berenang. Malah jika bernasib baik, anda mungkin melihat penyu yang timbul dipermukaan air semasa berada diatas bot.

Teluk Keke

Teluk Keke

Teluk Keke terletak di Pulau Perhentian Besar. Ia terkenal sebagai lokasi snorkeling kerana terdapat terumbu karang dan ikan-ikan yang cantik. Namun apa yang unik di sini ialah bongkahan batu yang terletak ditepi laut. Pada masa air surut, anda boleh berjalan ke kawasan batu yang terletak agak jauh ditengah laut.

Long Beach (Pantai Panjang)

Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Pantai Panjang atau lebih dikenali sebagai Long Beach terletak di Pulau Perhentian Kecil. Ia adalah pantai popular seperti Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar. Banyak resort dan kedai makan ada disini. Pantai ini ialah tempat yang 'hidup' siang dan malam.

Coral Bay

Coral Bay, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Lokasi lain yang banyak terdapat resort dan chalet di Pulau Perhentian Kecil ialah Coral Bay. Ia merupakan lokasi pilihan untuk penginapan di pulau ini selain Long Beach. Lokasinya juga tidak jauh. Anda boleh berjalan kaki sahaja.

Kampung Nelayan

Kampung Nelayan

Imej via tourism malaysia

Kampung Nelayan atau dulunya dipanggil Kampung Pasir Hantu terletak di Pulau Perhentian Kecil. Lokasinya bertentangan dengan Pulau Perhentian Besar.

Disini terdapat kemudahan seperti sekolah, masjid, kedai makan dan beberapa buah chalet bajet. Antara yang popular dikalangan pelancong ialah:

  • Sealife Inn Perhentian
  • Yellow House
  • Perhentian AB Guest House
  • Perhentian Backpacker
  • Anis Perhentian
  • Oppa Dani Chalet

Masjid Ar Rahman

Masjid Ar Rahman, satu-satunya masjid di Pulau Perhentian ini terletak ditepi pantai di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ia adalah masjid yang cantik. Anda juga boleh melihat pemandangan laut yang tenang disini.

Pantai Romantik

Pantai Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Terdapat dua Pantai Romantik iaitu yang pertama lokasinya berhampiran Turtle Beach di Pulau Perhentian Besar dan satu lagi terletak di utara Coral Bay, Pulau Perhentian Kecil. Persamaannya ialah, kedua-dua pantai ini berada dikawasan yang sunyi dan masih kekal dengan suasana semulajadi. Tiada resort dibangunkan ditepi pantai.

Ada dua cara untuk ke pantai ini iaitu yang pertama dengan menaiki bot dan kedua dengan berjalan kaki. Menaiki bot adalah yang paling mudah dan selamat. Berjalan kaki pula lebih mencabar tetapi kepuasan menikmati keindahan alam semulajadi lebih terasa.

Kincir Angin D'Lagoon

Kincir Angin

Kincir Angin D'Lagoon ini pernah popular satu ketika dahulu dikalangan pelancong yang berkunjung ke Pulau Perhentian. Maklumlah, ia jarang dilihat di Malaysia. Namun sebenarnya tempat ini ialah kawasan larangan.

Kincir angin yang berfungsi sebagai pembekal kuasa elektrik ini dibangunkan sekitar tahun 2007. Disebabkan lokasinya yang terletak diatas bukit, ramai yang berkunjung kesini untuk melihat kincir angin dengan lebih dekat dan melihat pemandangan laut yang cukup menarik.

Tangga untuk ke lokasi turut dibina bagi tujuan kegunaan kakitangan TNB bagi tujuan pemantauan dan baikpulih. Walau bagaimanapun ia semakin uzur dan ada tempat yang perlu dibaiki. Jadi jangan lagi datang kesini.

Nota: Sebagai peringatan, ada resort dan agensi yang menawarkan aktiviti ini didalam pakej. Berhati-hati dan elakkanlah.

Aktiviti di Pulau Perhentian

Percutian yang lengkap pasti mempunyai aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Ini aktiviti yang boleh dilakukan semasa bercuti di Pulau Perhentian.

Snorkeling

Aktiviti snorkeling di Pulau Perhentian, Terengganu.

Aktiviti utama di Pulau Perhentian ialah snorkeling. Seperti yang dinyatakan diatas, banyak lokasi menarik untuk melihat hidupan laut seperti ikan dan terumbu karang yang berwarna-warni (jika bernasib baik penyu mungkin melintas). Jika anda merancang untuk bercuti ke sini, pastikan anda menempah pakej snorkeling. Percutian anda tidak akan sempurna tanpanya.

Menyelam (Scuba diving)

Scuba Diving

Aktiviti kedua yang popular ialah menyelam atau scuba diving. Ia amat popular dikalangan pelancong luar. Aktiviti ini walau bagaimanapun memerlukan lesen. Bermakna anda perlu belajar, mengambil latihan dan memperolehi lesen sebelum boleh melakukan aktiviti ini. Kelebihannya ialah anda boleh menyelam dikawasan laut yang lebih dalam. Pemandangan lebih cantik dan lebih banyak spesis ikan dapat dilihat.

Lokasi popular untuk aktiviti menyelam ialah:

Tokong Laut - Terletak berhampiran Pulau Perhentian Kecil. Kawasan ini memang kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut. Berbagai spesis ikan yang cantik dan terumbu karang berwarna-warni dapat dilihat. Pemandangan cukup mempersonakan terutama waktu sinaran matahari terang.

Terumbu Tiga - Terletak berhampiran Pulau Perhentian Besar. Seperti Tokong Laut, kawasan ini kaya dengan hidupan laut dan menawarkan pemandangan dasar laut yang menakjubkan. Ia adalah lokasi popular pelancong yang gemar melakukan scuba diving.

Aktiviti lain

Aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan di Pulau Perhentian seperti:

  1. Mandi laut di pantai berpasir putih yang jernih airnya.
  2. Island cruises - Menyewa bot untuk meneroka kawasan teluk dan melihat tempat menarik disekitar pulau.
  3. Sailing - Perhentian Resort.
  4. Berkayak - Long Beach dan Coral Bay.
  5. Berkhemah - Pulau Perhentian Kecil.
  6. Jungle trekking - Pulau Perhentian Kecil.

Jika anda ingin memancing atau candat sotong, pakej boleh didapati di kampung nelayan. Harga lebih-kurang RM150 untuk sebuah bot. Walau bagaimanapun, lokasi ialah diluar kawasan Taman Laut.

Nota: Bagi sesetengah aktiviti, pengunjung dinasihatkan membawa penghalau serangga dan air minuman yang banyak.

Penginapan di Pulau Perhentian

Jika bercuti di Pulau Perhentian, terdapat dua jenis penginapan yang boleh anda pilih iaitu:

  1. Sewa chalet atau resort yang banyak terdapat disini.
  2. Perkhemahan.

Resort dan chalet di Pulau Perhentian Besar

Pulau Perhentian Besar sesuai untuk percutian keluarga, berbulan madu, kursus dan lain-lain. Hotel, resort dan chalet yang terdapat di Pulau Perhentian Besar ialah:

  1. Perhentian Island Resort.
  2. Coral View Resort.
  3. Tuna Bay Island Resort.
  4. Paradise Watercolours resort.
  5. Mama's Chalets.
  6. New Cocohut Chalet.
  7. ABC Guest house.
  8. Tunabay Island Resort.
  9. Abdul's Chalet.
  10. Flora Bay Resort.
  11. Fauna Beach Chalet.
  12. Arwana Eco Resort and Beach Chalet.
  13. Samudra Beach Chalet.
  14. Bubbles Dive Resort.

Resort dan chalet di Pulau Perhentian Kecil

Pulau Perhentian Kecil menjadi tumpuan pelancong "backpackers" atau pelancong yang tidak membuat tempahan penginapan. Kos penginapan di Pulau Perhentian Kecil lebih murah dan sesuai untuk percutian bajet. Resort dan chalet yang terdapat di pulau ini ialah:

  1. Aur Bay Chalets.
  2. Fatimah Chalet.
  3. Maya Chalets.
  4. Senja Bay Resorts.
  5. Butterfly Chalets.
  6. Mira Beach.
  7. Petani Beach.
  8. Impiani Watercolours Resort.
  9. D'Lagoon.
  10. Moonlight Chalets.
  11. BuBu Long Beach Resort.
  12. Matahari Chalet.
  13. Lily Beach Chalets.
  14. Simfony Chalets.
  15. Panorama.
  16. Cempaka.
  17. Rock Garden Chalets.
  18. Lemongrass.
  19. Mohsin Chalets

Kemudahan asas terdapat di Pulau Perhentian tetapi kemudahan lain bergantung kepada resort. Anda harus memastikan sendiri apabila memilih penginapan untuk percutian anda. Asasnya kemudahan yang ada ialah:

  1. Elektrik - Bekalan elektrik dibekalkan oleh kincir angin yang terdapat di Pulau Perhentian dan dari generator. Bagi kebanyakan resort, elektrik cuma ada diwaktu malam.
  2. Air - Dari punca air yang terdapat di Pulau Perhentian.
  3. Wifi dan Internet - Tidak semua resort dan jika ada pun ia bergantung pada cuaca lantaran pulau yang terletak jauh di tengah laut.

Makanan

Pulau Perhentian adalah sebuah pulau peranginan yang semakin terkenal dikalangan pelancong dalam dan luar negara. Kemudahan penginapan dan makanan memang tersedia untuk pengunjung yang ingin bercuti ke pulau ini. Jika anda mengambil pakej day trip atau berkhemah dan tidak mengambil pakej penginapan di Pulau Perhentian:

  • Terdapat gerai makan di Pulau Perhentian - Harga makanan dan minuman agak mahal seperti kebanyakan pulau peranginan.
  • Bawa makanan dan minuman sendiri seperti roti, biskut dan makanan ringan untuk jimat.

Bagi pengunjung yang melakukan aktiviti perkhemahan, anda dinasihatkan agar membeli peralatan dan bahan memasak secukupnya di tanah besar sebelum menaiki feri ke Pulau Perhentian.

Pakej Pulau Perhentian

Mira Beach, Pulau Perhentian, Terengganu.

Terdapat berbagai pakej Pulau Perhentian yang ditawarkan oleh agensi pelancongan dan juga yang disediakan oleh resort yang terdapat di Pulau Perhentian seperti:

  1. Pakej Percutian - Pakej biasa yang hanya menyediakan penginapan dan makanan. Pengangkutan feri ke Pulau Perhentian biasanya termasuk dalam pakej.
  2. Pakej Snorkeling - Pakej harian atau penginapan termasuk aktiviti snorkeling.
  3. Pakej Diving - Pakej percutian termasuk aktiviti diving.
  4. Pakej Kursus - Pakej kursus PADI dive atau lain-lain.
  5. Pakej Pelajar - Perhentian Island Resort ada menyediakan pakej untuk pelajar.

Pakej Percutian - Pakej 3 Hari 2 Malam.

  1. Tiket feri pergi balik.
  2. Dua malam penginapan.
  3. Dua kali sarapan.
  4. Dua kali makan tengahari.
  5. Dua kali makan malam.
  6. Untuk penginapan, anda boleh memilih jenis bilik (Deluxe, Superior), katil (Single, Twin, Triple sharing) dan kemudahan tambahan yang dikehendaki.
  7. Harga pakej bergantung kepada apa yang anda pilih.

Pakej Snorkeling - Pakej 3 Hari 2 Malam.

  1. Tiket feri pergi balik.
  2. Dua malam penginapan.
  3. Dua kali sarapan.
  4. Dua kali makan tengahari.
  5. Dua kali makan malam.
  6. Untuk penginapan, anda boleh memilih jenis bilik (Superior, Deluxe), katil (Single, Twin, Triple sharing) dan kemudahan tambahan yang dikehendaki.
  7. Dua kali trip snorkeling. Peralatan snorkeling disediakan.

Pulau Perhentian ditutup semasa musim tengkujuh iaitu sekitar bulan Oktober hingga Mac setiap tahun. Ini kerana ombak besar dan hujan ribut melanda pantai timur dan semua perkhidmatan feri terpaksa dihentikan. Jika anda merancang untuk bercuti ke Pulau Perhentian, anda boleh memilih tarikh antara bulan April hingga September.

Kos percutian bajet ke Pulau Perhentian

Bagi membantu anda membuat perancangan percutian ke Pulau Perhentian, dibawah ialah senarai kos yang perlu untuk seorang. Untuk percutian bajet, pilih aktiviti yang sesuai bagi menjimatkan kos.

  • Kos pengangkutan dari rumah ke Jeti Kuala Besut - Bergantung pada lokasi anda.
  • Kos letak kereta di jeti - RM10 - RM15 sehari.
  • Kos tiket feri ke Pulau Perhentian - Harga tiket feri ke Pulau Perhentian ialah RM35 dewasa dan RM20 kanak-kanak (Harga tiket sehala). RM70 dewasa dan RM40 kanak-kanak untuk tiket pergi balik.
  • Kos penginapan di Pulau Perhentian - Harga penginapan murah ialah dorm iaitu sekitar RM40 - RM99. Resort atau chalet pula diantara RM100 - RM500 untuk 1 malam.
  • Kos makan di Pulau Perhentian - Sarapan pagi RM10 - RM20, Makan tengahari RM20 - RM30, Makan malam RM20 - RM30 (Anggaran untuk seorang). Kedai makan di kampung nelayan (Kampung Pasir Hantu), tempat lain lebih mahal.
  • Kos aktiviti snorkeling di Pulau Perhentian - Harga berbeza mengikut jumlah aktiviti dan lokasi. Biasanya harga snorkeling bermula dari RM50 seorang. Harga pakej harian dari RM150 - RM200 seorang.
  • Kos aktiviti kayak di Pulau Perhentian - RM25.00 sejam, RM60 sehari.

Harus diingat, kos mungkin berubah mengikut musim percutian. Biasanya harga akan bertambah pada waktu hujung minggu, musim cuti sekolah dan cuti umum.

Jika ingin lebih mudah, ambil pakej penginapan + makan + aktiviti. Bagi anda yang baru pertama kali ingin ke sini, ia sangat disarankan.

Persediaan

Akhir sekali, sebelum bercuti ke Pulau Percutian, beberapa maklumat dan persediaan perlu anda lakukan.

  1. Sediakan wang tunai secukupnya. Tiada ATM di pulau ini terutama untuk backpacker. Bagi yang ingin berbulan madu atau bercuti, tempah resort termasuk makan dan aktiviti dan buat pembayaran secara online.
  2. Pulau Perhentian bukannya pulau besar seperti Langkawi atau Pulau Pangkor. Sampah terpaksa diangkut keluar atau dibakar. Jadi, kurangkan bawa barang yang akan menjadi sampah seperti plastik dan lain-lain. Seeloknya bawa bekas makanan yang boleh dibasuh seperti tupperware dan botol air minum.
  3. Bekalan elektrik adalah terhad. Biasanya elektrik hanya ada pada waktu malam. Jadi bawa powerbank untuk telefon dan kamera anda.
  4. Liputan internet terhad.
  5. Harga makanan mahal. Bawa bekalan yang perlu di tanah besar. Roti, sambal kering, keropok, coklat dan biskut adalah sangat disarankan.
  6. Download Maps.Me. Mana tahu anda teringin melakukan aktiviti jungle trekking meneroka hutan semulajadi nanti. Backpacker memang biasa dengan app ini.
  7. Waterproof camera atau kamera dalam air. Rugi kalau tak bawa. Tiada kenangan masa snorkeling nanti.
  8. Mosquito repellent. Nyamuk banyak di pulau ini terutama bila malam menjelma.
  9. Sun protection. Losyen, sunglasses, topi, baju tangan panjang, sarung tangan dan lain-lain.

Kesimpulan

Pulau Perhentian adalah destinasi percutian sempurna untuk pasangan suami isteri berbulan madu dan para pencinta alam untuk menikmati keindahan pemandangan dasar laut yang sangat mengagumkan. Terdapat pelbagai pakej percutian yang ditawarkan untuk pelancong yang ingin bercuti kesana. Malah pengunjung juga boleh merancang sendiri percutian ke Pulau Perhentian dan mengatur aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan. Apapun, bercuti di sini pasti tidak akan mengecewakan anda.

Salah satu risiko apabila tempat-tempat begini dikomersialkan ialah berlaku kerosakan alam semulajadi terutama coral akibat aktiviti snorkeling dan diving. Pulau Sembilan di Perak sudah ditutup. Pulau Payar di Kedah juga mungkin mengalami nasib yang sama. Walaupun telah diwartakan sebagai Taman Laut, ia belum cukup selamat dari kemusnahan. Akhirnya, ia balik kepada kita juga. Etika dan kesedaran perlu ada dalam diri. Sama-sama kita jaga anugerah yang tidak ternilai ini agar generasi akan datang turut boleh menikmatinya juga.

Lihat juga Bercuti di Pulau Redang.

Lokasi