Tempat menarik di Johor

Banyak tempat menarik di Johor yang boleh dilawati jika anda bercuti di negeri ini. Antara destinasi yang popular ialah pulau-pulau peranginan yang terletak di perairan Mersing, beberapa kawasan pantai, kawasan pelancongan alam semulajadi seperti di Taman Negara, taman tema dan banyak lagi. Dalam artikel ini, Percutian Bajet akan senaraikan semua lokasi menarik yang ada di Johor dan di susun mengikut daerah. Semoga perkongsian ini membantu anda memilih tempat percutian yang diingini dan merancang tempat-tempat menarik yang ingin dilawati.

Ingin bercuti? Lihat artikel Senarai tempat menarik untuk percutian di Johor.

Tempat menarik di Johor Bahru

Johor Bahru ialah ibu negeri Johor. Banyak tempat menarik ada di daerah ini termasuk disekitar pusat bandaraya sendiri. Bagi anda yang merancang untuk bercuti di sini, berikut ialah antara destinasi pelancongan yang boleh dilawati.

Zoo Johor

Zoo Johor adalah antara taman haiwan yang terawal diwujudkan di Malaysia. Jika bercuti ke Johor Bahru, anda boleh melawat zoo ini yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Abu Bakar, berhampiran dengan Istana Besar Johor Bahru. Terdapat lebih-kurang 100 spesis binatang dipelihara di sini. Ia adalah destinasi menarik yang mesti dikunjungi jika anda membawa keluarga bercuti. Kawasannya bersih dan cantik. Terdapat sebuah tasik yang agak besar dimana pengunjung boleh menaiki paddle boat atau memberi makan ikan. Zoo Johor bakal dipindahkan ke Iskandar Puteri tidak lama lagi. Di tempat baru sudah tentu ia akan lebih menarik dan jumlah binatang juga mungkin semakin bertambah.

Zoo Johor.

Danga Bay

Danga Bay ialah taman persisiran pantai yang sangat menarik untuk dikunjungi di Johor Bahru. Terdapat berbagai tarikan seperti permainan, medan selera, tempat rekreasi dan kebudayaan. Lokasinya yang berhampiran pantai membuatkan ia bertambah menarik. Apabila malam, tempat ini menjadi bertambah meriah dan sangat cantik kerana lampu berwarna-warni dari Danga World Mini Theme Park. Anda juga boleh mengunjungi pasaraya membeli-belah Danga City Mall yang juga terletak di sini.

Petting Zoo Danga Bay Johor Bahru.

Pasar Karat JB

Jika anda menginap di hotel sekitar bandaraya Johor Bahru, jangan lupa untuk melawat Pasar Karat JB. Ia dibuka setiap malam seawal jam 7 petang hingga lewat malam. Pasar ini menjual berbagai barangan seperti pakaian, aksesori, makanan dan lain-lain. Suasana memang meriah kerana ramai orang berniaga. Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Pasar Karat JB.

Suasana dalam Pasar Karat

Galeri Mawar

Galeri Mawar ialah muzium yang memaparkan maklumat mengenai wanita-wanita Johor yang terkenal dan baik budi. Ia adalah satu-satunya galeri di Malaysia yang diwujudkan bagi mengiktiraf wanita yang banyak memberi sumbangan khasnya di negeri Johor. Antara yang dapat dilihat ialah potret Sultanah semenjak tahun 1886 sehingga kini termasuk wanita-wanita di dalam Keluarga Diraja Johor. Galeri yang terletak dalam bangunan bersejarah berusia lebih 100 tahun ini adalah destinasi yang cukup menarik untuk dilawati.

Hutan Bandar Mutiara Rini

Hutan Bandar Mutiara Rini ialah sebuah taman rekreasi cantik yang terletak di Skudai. Jika anda ingin membawa anak-anak beriadah, disini terdapat taman permainan kanak-kanak yang agak menarik. Berbagai kemudahan disediakan seperti trek jogging, surau, tandas, gelanggang futsal, pentas terapung dan wakaf untuk berehat.

Hutan Bandar Mutiara Rini.

Taman Tema Legoland Malaysia

Taman Tema Legoland Malaysia terletak di Iskandar Puteri (Nusajaya). Ia adalah destinasi percutian keluarga yang cukup popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara. Taman Tema antarabangsa ini turut menyediakan taman tema air dan berbagai permainan menarik berasaskan lego. Lihat artikel: Harga tiket dan aktiviti menarik di Legoland Johor.

Legoland Malaysia.

Kota Iskandar

Kota Iskandar ialah pusat pentadbiran negeri Johor yang terletak di Iskandar Puteri. Tarikan pelancongan yang ada disini ialah keindahan rekabentuk bangunannya yang sangat mengagumkan. Bangunan Dewan Undangan Negeri yang dikenali sebagai Bangunan Sultan Ismail mempunyai ciri-ciri Moor-Andalus dan reka bentuk Melayu-Johor. Manakala Bangunan Dato' Jaafar Muhammad yang menempatkan pejabat Menteri Besar, pejabat-pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan kerajaan pula cukup unik berkonsepkan "rumah dalam taman". Keindahan alam semulajadi, dihiasi taman-taman dan kolam air menjadi unsur utama bangunan ini. Sememangnya ini adalah salah satu tempat menarik di Johor yang mesti dilawati.

Kota Iskandar.

Lihat senarai penuh tempat menarik di Johor Bahru.

Tempat menarik di Batu Pahat

Daerah Batu Pahat terletak ditepi Selat Melaka bersempadan dengan Muar di utara dan Pontian di selatan. Bandarnya adalah yang kedua terbesar di Johor. Banyak lokasi pelancongan menarik yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke daerah ini.. Selain itu, Batu Pahat terkenal sebagai destinasi membeli-belah dan tempat menikmati beberapa jenis makanan yang sedap seperti mee bandung, mee rebus, mee racun dan asam pedas. Berikut ialah antara tempat menarik yang popular dikalangan pelancong.

Tugu Batu Pahat

Tugu Batu Pahat yang unik ini terletak di Dataran Penggaram, di pusat bandar Batu Pahat. Ia adalah rekaan unik tangan tergantung yang memegang pahat. Tidak lengkap percutian anda jika tidak bergambar disini.

Tugu Batu Pahat.

Pantai Minyak Beku

Tempat menarik paling terkenal di Batu Pahat ialah Pantai Minyak Beku. Ia menjadi tumpuan orang-ramai bersantai bersama keluarga melihat pemandangan laut. Pantai ini juga merupakan lokasi menarik untuk menikmati keindahan matahari terbenam. Bagi yang minat memancing, jangan lupa bawa peralatan anda kerana beberapa lokasi menarik di pantai ini adalah tempat sembilang, tuka, kurau dan berbagai jenis ikan lain menanti.

Pantai Minyak Beku.

Pusat Perniagaan Ayer Hitam

Salah satu tempat menarik di Batu Pahat yang mesti dikunjungi ialah ialah Ayer Hitam. Ia adalah tempat membeli-belah barangan hiasan rumah dan kraftangan tempatan. Dahulu, ia cukup terkenal dengan produk seramik dan tembikar. Kini berbagai barangan lain turut dijual termasuk produk makanan dan harga yang ditawarkan sangat murah.

Pantai Punggur

Pantai Punggur terletak di Rengit, iaitu kira-kira 30km dari bandar Batu Pahat. Pantai ini memang agak popular dikalangan kaki pancing. Walaupun kelihatan landai, namun pantai ini berselut dan tidak sesuai untuk mandi. Pengunjung yang datang kebanyakannya untuk berkelah bersama keluarga ditepi pantai, berehat sambil melihat pemandangan laut dan menikmati keindahan matahari terbenam.

Pantai Punggur Batu Pahat.

BP Walk

Aktiviti paling menarik di Batu Pahat waktu malam ialah mengunjungi BP Walk. Ia adalah pasar malam yang terletak di kawasan sepanjang Jalan Rahmat. Disini anda boleh menikmati berbagai jenis makanan tempatan dan barat. Ia dibuka setiap hari hingga ke pukul 3 pagi.

Wet World Batu Pahat

Jika anda bercuti bersama keluarga di Batu Pahat, jangan lupa berkunjung ke taman tema menarik yang ada di sini. Wet World Batu Pahat yang merupakan sebuah taman tema air, adalah destinasi pelancongan yang cukup popular dikalangan penduduk tempatan. Berbagai tarikan dan permainan disediakan seperti Wave Pool, menara BP, Big Splash, Lazy River dan Kiddie Pool untuk kanak-kanak. Jika anda inginkan percutian riang-ria, ini adalah antara tempat menarik di Johor yang sesuai untuk dikunjungi.

Wet World Batu Pahat.

Hutan Lipur Bukit Soga Perdana

Jika anda peminat alam semulajadi, Hutan Lipur Bukit Soga Perdana ialah tempat menarik yang harus dikunjungi. Ia adalah taman rekreasi yang terletak didalam hutan simpan yang kaya dengan berbagai jenis flora dan fauna. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan termasuk jungle trekking, jogging atau berehat menenangkan fikiran dikawasan yang cukup mendamaikan ini.

Hutan Lipur Bukit Soga Perdana.

Taman Botani Johor

Taman Botani Johor terletak di Seri Medan, Yong Peng. Taman ini dibangunkan dikawasan tinggalan lombong yang dikelilingi bukit menghijau. Kawasannya memang cantik. Lanskap menarik dibina ditepi tasik. Suasana cukup tenang dan mendamaikan. Bagi anda yang gemar bergambar, abadikan kenangan percutian anda di taman ini.

Taman Botani Johor.

Ladang Nanas terbesar di Asia

Ladang Nanas terbesar di Asia ini terletak di Kampung Parit Tengah, Rengit. Jika berkunjung pada masa yang tepat, anda akan dapat melihat pemandangan ladang yang cukup cantik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah melawat ladang, merasa nanas yang sangat manis dan membeli produk makanan tempatan yang banyak dijual disini.

Ladang Nanas terbesar di Asia.

Tempat menarik di Kluang

Kluang ialah bandar ketiga terbesar di Johor. Tempat menarik yang terkenal di daerah ini ialah lokasi pelancongan alam semulajadi iaitu Gunung Belumut dan Gunung Lambak. Selain itu, beberapa destinasi agro-tourism juga menarik untuk dilawati.

Hutan Lipur Gunung Belumut

Tarikan pelancongan yang ada di Hutan Lipur Gunung Belumut ialah air terjun dan mendaki gunung. Lokasinya di Felda Ulu Dengar, Kluang. Ia cukup popular dan agak sesak di musim cuti sekolah. Ramai yang membawa anak-anak berkelah dan mandi air terjun. Suasana tenang alam semulajadi menjadikan hutan lipur ini lokasi terbaik untuk berehat. Malah ada yang datang dari pagi membawa khemah, tikar dan makanan tinggal hingga ke petang.

Hutan Lipur Gunung Belumut.

Hutan lipur ini juga menjadi tarikan para pendaki gunung. Gunung Belumut memiliki ketinggian 1,010 meter dan mengambil masa 4 hingga 6 jam untuk sampai ke puncak. Ramai yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Singapura semata-mata untuk mendaki gunung ini. Treknya agak curam dan mencabar. Namun kerana tarikan hutannya yang masih belum tercemar dan keindahan pemandangan yang boleh dinikmati, ia adalah cabaran yang perlu ditempuh.

Hutan Lipur Gunung Lambak

Hutan Lipur Gunung Lambak ialah salah satu tempat menarik di Kluang yang popular. Tarikan yang ada disini ialah taman rekreasi dan trek pendakian Gunung Lambak. Taman rekreasi ini menjadi tempat riadah dan berkelah masyarakat setempat. Ada kemudahan kolam mandi, trek jogging, jambatan gantung, pondok rehat dan tandas disediakan untuk pengunjung.

Hutan Lipur Gunung Lambak.

Gunung Lambak yang memiliki puncak berkembar merupakan tarikan utama hutan lipur ini. Walaupun ketinggiannya cuma 510m namun lokasinya tidak jauh dari bandar dan pemandangan cantik yang boleh dilihat dari puncak gunung menjadikan ia pilihan untuk aktiviti riadah. Pendakian ke puncak tertinggi mengambil masa kira-kira 2 jam sahaja. Beberapa laluan berbeza menjadikan ia tidak jemu untuk didaki.

Tropical Village

Tropical Village adalah tempat menarik yang sesuai dilawati bersama anak-anak. Disini terdapat replika dan monumen menarik dari serata dunia. Antara yang menarik ialah Tembok Besar China, Taj Mahal, Pisa Tower dan Kota A Famosa. Kawasannya juga bersih dan cantik. Bayaran masuk dikenakan.

Tropical Village.

Aw Pottery

Aw Pottery mungkin agak kurang popular dikalangan pelancong tempatan. Ia sebenarnya adalah lokasi yang sangat menarik. Aw Pottery telah beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu. Pengunjung dapat melihat berbagai produk tembikar yang dihasilkan dan ia cukup mengagumkan. Selain ruang pameran, anda pasti terpesona melihat lanskap taman dan juga tandasnya yang sangat cantik dengan rekabentuk seramik yang berwarna-warni.

Aw Pottery.

Taman Organik Zenxin

Taman Organik Zenxin terletak Jalan Batu Pahat, lebih kurang 3km dari susur keluar Ayer Hitam lebuhraya Utara Selatan. Tarikan utama di taman ini ialah lawatan ke ladang organik melihat berbagai jenis tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan herba. Antara yang menarik termasuk ladang buah naga, markisa, nenas dan betik. Disini juga terdapat kemudahan restoran, kedai serbaneka dan tapak semaian bunga dimana anda boleh membeli cenderahati untuk dibawa pulang.

Kompleks IKS

Kompleks IKS terletak di Simpang Renggam. Ia adalah kompleks yang mengeluarkan pelbagai produk kerepek, makanan sejuk beku, sos nenas, air rozel, seramik, pencetakan dan kuih-muih tradisional. Jangan lupa berkunjung ke sini untuk membeli buah-tangan dari Johor untuk dibawa pulang.

Tempat menarik di Muar

Muar ialah daerah yang agak popular dikalangan pelancong. Ia terletak ditepi pantai mengadap Selat Melaka. Banyak tempat menarik di Johor terletak di daerah ini. Antara tarikan pelancongan yang ada termasuk alam semulajadi, tempat bersejarah, taman rekreasi dan agro-tourism. Selain itu, bandar Muar yang juga dikenali dengan nama Bandar Maharani merupakan destinasi menarik untuk bercuti.

Gunung Ledang

Terletak di daerah Muar, Gunung Ledang cukup dikenali kerana cerita Puteri Gunung Ledang. Gunung setinggi 1,276 meter yang terletak di Taman Negara Gunung Ledang ini menyimpan pelbagai khazanah alam semulajadi dan kaya dengan flora dan fauna. Ia adalah antara gunung yang paling popular dikalangan para pendaki di Malaysia.

Gunung Ledang.

Bangunan Pejabat Kastam Diraja

Bangunan Pejabat Kastam Diraja adalah salah satu bangunan peninggalan sejarah di Johor yang cukup menarik. Ia dibina lebih 100 tahun lalu dan masih digunakan hingga ke hari ini. Terdapat sebuah menara jam ditengahnya dan kubah diatasnya.

Bangunan Pejabat Kastam Diraja Muar.

Masjid Jamek Sultan Ibrahim

Salah satu tarikan pelancongan Islam di Muar ialah Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Ia dibina pada tahun 1927 dan terletak ditebing Sungai Muar. Masjid ini sangat cantik dan mempunyai rekabentuk yang unik. Senibinanya dipengaruhi senibina Inggeris. Ia adalah lokasi mesti singgah jika anda ke Muar.

Masjid Sultan Ibrahim Muar

Banyak lagi tempat pelancongan di Muar yang boleh dilawati. Lihat senarai penuh dalam artikel Tempat menarik di Muar.

Tempat menarik di Kota Tinggi

Kota Tinggi adalah salah satu daerah yang terletak ditepi Laut China Selatan. Banyak tempat-tempat menarik di Johor untuk dilawati terdapat di daerah ini. Antara yang popular termasuk destinasi pelancongan pantai, alam semulajadi, tempat-tempat bersejarah dan agro-tourism. Ia adalah salah sebuah lokasi pelancongan menarik yang menjadi tumpuan ramai setiap kali tiba musim cuti sekolah.

Pantai Peranginan

Beberapa pantai yang cantik ada di Kota Tinggi.

  • Desaru - Ia terletak 100 kilometer dari Johor Bahru dan merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Johor. Desaru terkenal kerana kecantikan pantai dengan pasir memutih serta barisan pokok Rhu disepanjang pantai yang mengadap laut China Selatan. Desaru juga mempunyai banyak hotel, resort dan chalet menarik ditepi pantai yang menjadikannya salah satu tempat percutian menarik di Johor.
  • Pantai Tanjung Balau - Pantai menarik di Desaru yang cukup popular. Pantainya cantik yang sangat memikat hati ini menjadi lokasi perkelahan popular penduduk Kota Tinggi.
  • Pantai Batu Layar - Terletak berhampiran Kota Tinggi.

Pantai Desaru Johor.

Hutan Lipur Gunung Panti

Hutan Lipur Gunung Panti terletak di daerah Kota Tinggi. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan juga pelancong yang bercuti di daerah ini. Berbagai kemudahan asas disediakan untuk pengunjung.

Air terjun Kota Tinggi

Air terjun Kota Tinggi adalah salah satu tempat menarik di Johor yang sangat terkenal. Ia terletak di kaki Gunung Muntahak. Air terjun setinggi 36 meter ini mempunyai beberapa kolam untuk mandi. Tempat ini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bercuti dan bersantai bersama keluarga. Di hujung minggu dan musim cuti sekolah, suasana memang sesak dengan pengunjung yang datang dari merata-rata tempat. Bayaran masuk dikenakan.

Air Terjun Kota Tinggi.

Muzium dan Tempat Bersejarah

Anda juga boleh melawat beberapa buah muzium dan tempat bersejarah yang ada Kota Tinggi.

  • Muzium Kota Tinggi - Terletak di Bandar Kota Tinggi, ia dibuka pada tahun 2001. Muzium ini mempamerkan khazanah peninggalan sejarah zaman kegemilangan Lembah Sungai Johor, zaman Bendahara dan zaman moden. Bahan pameran seperti artifek, senjata, manuskrip, busana, tembikar dan barang tembaga.
  • Muzium Nelayan Tanjung Balau - Muzium Perkampungan Nelayan di Tanjung Balau.
  • Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang - Tempat bersejarah di Johor yang terkenal. Cerita Sultan Mahmud mangkat dijulang turut difilemkan suatu masa dahulu. Makam ini terletak di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor.
  • Makam Laksamana Bentan - Laksamana Bentan yang menikam Sultan Mahmud dan terkena sumpahan daulat telah meninggal dunia dan disemadikan di Kota Tinggi, Johor. Makam ini terletak di Jalan Sungai kemang, Kota Tinggi.
  • Makam Tun Habib - Makam Bendahara Abdul Majid Tun Habib Seri Maharaja Padang Saujana. Beliau menaiki takhta Johor setelah Sultan Mahmud Shah II mangkat dan tidak meninggalkan waris. Bendahara Abdul Majid menaiki takhta dan menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah. Keturunan Tun Habib inilah yang menjadi Sultan Terengganu, Johor dan Pahang sehingga kini.

Tempat menarik di Kulai

Kulai ialah sebuah daerah baru di Johor. Dahulunya ia termasuk dalam daerah Johor Bahru. Beberapa tempat menarik boleh dikunjungi jika anda berkunjung ke daerah ini.

Johor Premium Outlets

Jika anda ingin membeli-belah, Johor Premium Outlets adalah lokasi menarik yang mesti dikunjungi. Ia adalah satu-satunya cawangan yang ada di Malaysia buat masa ini. Apa yang menarik ialah, terdapat berbagai kedai jenama antarabangsa yang menjual barangan asli dengan harga yang murah. Jangan tak percaya. Untuk maklumat lanjut, lihat artikel membeli-belah di Johor Premium Outlets.

Johor Premiun Outlets

Hutan Lipur Gunung Pulai

Bagi pencinta alam semulajadi, jangan lupa untuk mengunjungi Hutan Lipur Gunung Pulai. Ia adalah salah satu destinasi pelancongan popular yang menawarkan berbagai aktiviti menarik. Terletak di Pekan Nanas, tarikan utama di sini ialah air terjun dan kolam yang luas untuk mandi-manda. Airnya jernih dan sejuk, cukup menyegarkan. Kawasannya agak luas, teduh dan nyaman sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Jika anda gemar melakukan aktiviti lasak, anda boleh mendaki gunung melalui trek jalan tar yang disediakan. Pemandangan menarik dapat dilihat dari puncak Gunung Pulai. Selain itu, aktiviti jungle trekking juga boleh dilakukan untuk melihat flora dan fauna atau menjejak air terjun cantik yang ada di hutan lipur ini.

Air Terjun Gunung Pulai.

Nanyan Aquarium

Nanyan Aquarium Centre adalah tempat menarik yang mesti dikunjungi jika anda peminat ikan dan akuarium. Berbagai jenis ikan boleh dilihat didalam akuarium yang dipamerkan. Kawasannya agak luas dan seronok untuk dilawati termasuk bahagian kolam ternakan.

Nanyang Aquarium Centre.

Nanyang Fish Farm yang terletak di Ayer Bemban, Kulai ini menternak dan menjual berbagai jenis ikan peliharaan yang menarik termasuk spesis klasik. Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan berbagai barangan akuarium berkualiti seperti aksesori akuarium, makanan ikan dan lain-lain.

Hutan Bandar Putra

Hutan Bandar Putra Kulaijaya ialah taman rekreasi yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Senai. Kawasan seluas 20 ekar ini dilengkapi kemudahan trek jogging, trek basikal, kawasan berjalan kaki, taman permainan, tasik dan macam-macam lagi. Tempat ini agak menarik untuk beriadah. Berkonsepkan alam semulajadi, ia sesuai untuk seisi keluarga.

Hutan Bandar Putra.

Tempat menarik di Pontian

Daerah Pontian mempunyai beberapa destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi. Antara tarikan yang terkenal ialah Taman Negara, muzium dan produk makanan laut. Sesuatu yang menarik mengenai daerah ini ialah fakta penghujung tanah Benua Asia yang terletak di Tanjung Piai.

Taman Negara Tanjung Piai

Destinasi pelancongan alam semulajadi yang terkenal di Pontian ialah Taman Negara Tanjung Piai. Ia terletak di mukim Serkat, dalam daerah Pontian. Berbeza dari Endau Rompin, Taman Negara ini terdiri dari hutan paya bakau menarik yang belum terdedah kepada pencemaran dan pembangunan.

Taman Negara Tanjung Piai.

Pengunjung dapat menyaksikan keunikan hutan paya bakau dan haiwan yang menghuni kawasan ini melalui laluan yang dibina di Taman Negara ini. Laluan platfom ini membawa pengunjung melawat lokasi menarik hingga ke hujung paling selatan negeri Johor dan Benua Asia. Sebuah mercu tanda berbentuk globe dibina disini.

Taman Negara Pulau Kukup

Pulau Kukup tidak berpenduduk dan di dominasi sepenuhnya oleh hutan bakau. Ia telah diisytiharkan sebagai Taman Negara pada tahun 1999 dan mula dibuka kepada umum pada Julai 2003. Hutan paya bakau ini adalah yang kedua terbesar di dunia selepas Pulau Belerong di Brunei. Spesis yang terdapat disini terdiri daripada pokok bakau nyireh batu, bakau minyak dan bakau kurap.

Taman Negara Pulau Kukup.

Pelancong yang ingin mengunjungi Taman Negara Pulau Kukup boleh menaiki bot di Kukup Ferry Terminal. Apabila tiba di Jeti Taman Negara, pelancong boleh menikmati keindahan hutan paya bakau, melihat ikan tembakul, kera, burung dan berbagai hidupan liar lain yang mendiami kawasan ini. Taman Negara ini agak luas. Pelantar pejalan kaki disediakan dan pengunjung hanya perlu mengikut laluan tersebut untuk melawat keseluruhan tempat ini. Bagi pencinta alam semulajadi, Taman Negara ini memberi kelainan dan merupakan tempat menarik di Johor yang mesti dilawati.

Muzium Nanas

Muzium yang mempamerkan berbagai jenis nanas dan produk nanas di Malaysia. Dibuka pada tahun 2002, terletak di Pekan Nanas, Pontian. Banyak maklumat berkenaan nenas boleh diperolehi di Muzium ini.

Muzium Nanas.

Muzium Bugis

Muzium Bugis menyimpan berbagai maklumat dan khazanah lama yang cukup menarik. Pameran berbentuk barangan, gambar dan artikel boleh dilihat di muzium ini. Berbagai pengetahuan dapat diperolehi terutama golongan muda.

Tempat menarik di Segamat

Daerah Segamat mempunyai banyak tarikan pelancongan. Antara yang terkenal ialah alam semulajadi, tempat bersejarah dan beberapa tempat menarik. Berikut ialah senarai tempat menarik yang boleh dilawati jika anda bercuti ke Segamat.

Taman Negara Endau Rompin

Taman Negara Endau Rompin terletak di sempadan Johor-Pahang. Hutan yang berumur lebih 250 juta tahun ini mempunyai keluasan 50,000 hektar mengandungi berbagai spesies burung, harimau, gajah, badak sumbu Sumatera, ungka, binturung, katak, serangga dan pelbagai eksotik orkid, herba dan tumbuh-tumbuhan perubatan terdapat disini. Hanya kawasan eko pelancongan tertentu dibuka untuk pelancongan dan anda perlu mendapat kebenaran Johor National Park Corporation terlebih dahulu jika ingin memasuki tempat ini.

Taman Negara Endau-Rompin

Air Terjun Sungai Bantang

Air Terjun Sungai Bantang terletak di Bekuk iaitu kira-kira 64km dari bandar Segamat. Ia adalah air terjun yang cantik terletak didalam Hutan Simpan Labis, hutan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna. Tempat ini sering menjadi lokasi perkelahan penduduk setempat. Ramai yang datang untuk mandi-manda, berehat dan juga untuk aktiviti perkhemahan. Jika anda suka melakukan aktiviti lasak, daki hingga keatas dimana terdapat air terjun yang lebih cantik menanti pengunjung.

Air Terjun Sungai Bantang.

Air Terjun Takah Merluh

Air Terjun Takah Merluh terletak di Kampung Tenang, Labis. Ia adalah salah sebuah air terjun yang cantik ada di daerah Segamat. Ramai yang datang berkelah, mandi-manda dan berkhemah dikawasan ini setiap hujung minggu dan cuti umum. Kemudahan awam seperti tandas, bilik persalinan, pondok rehat, pondok solat, tapak perkhemahan dan tempat letak kereta turut disediakan.

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas

Kolam Air Panas yang terletak di Kampung Tenang, Labis ini agak terkenal dan telah lama menjadi tarikan pelancongan di daerah Segamat. Sebanyak 4 buah kolam air panas semulajadi disediakan untuk pengunjung. Ramai yang mengunjungi Pusat Rekreasi Kolam Air Panas ini kerana dikatakan dapat mengubati pelbagai penyakit kulit. Kemudahan awam seperti taman permainan kanak-kanak, surau dan tandas turut disediakan.

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis.

Makam Bendahara Tepok

Makam Bendahara terakhir Kesultanan Melayu Melaka terletak di Kampung Lubuk Batu, kira-kira 2 kilometer dari Pusat Bandar Segamat.

Dataran Segamat

Dataran Segamat ialah tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika bercuti di bandar ini. Kawasannya yang luas, bersih dan cantik sesuai dijadikan lokasi rekreasi bersama keluarga. Disini juga terdapat mercu tanda yang unik iaitu replika durian dan menara jam.

Dataran Segamat.

Taman Bunga Batu Hampar

Taman Bunga Batu Hampar ialah taman rekreasi yang terletak di tengah bandar Segamat. Disini terletak kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat dan Istana Hinggap khas untuk kerabat diraja Johor.

Bazar Karat Segamat

Bazar Karat Segamat adalah destinasi menarik yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di daerah ini. Ia adalah sebuah pasar malam yang terletak berhampiran Dataran Segamat. Konsepya seperti Bazar Karat JB juga. Dibuka dari jam 5.00 petang hingga jam 12.00 malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Bazar Karat Segamat

Tempat menarik di Ledang

Daerah Ledang (dahulunya Tangkak) mempunyai beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi. Seperti namanya, destinasi pelancongan yang peling terkenal di daerah ini ialah Gunung Ledang. Manakala bandar Tangkak cukup dikenali dengan gelaran Syurga Kain atau Bandar Fabrik kerana terdapat banyak kedai yang menjual kain-kain dengan harga berpatutan. Anda akan dapat melihat sediri deretan kedai-kedai kain di kiri kanan jalan bila berkunjung ke sini. Berikut ialah beberapa tempat menarik di daerah Ledang yang boleh dilawati.

Air Terjun Sagil

Air Terjun Sagil adalah air terjun Gunung Ledang. Ia cukup popular dikalangan penduduk setempat dan sering dijadikan lokasi perkelahan bersama keluarga dan rakan-rakan. Kawasan yang redup dikelilingi kehijauan hutan semulajadi memang mendamaikan. Kolam air terjun juga luas dan airnya sejuk menyegarkan.

Air Terjun Sagil.

Lihat artikel Mandi-manda di air terjun Gunung Ledang Sagil, Johor.

Ladang Cendawan

Ladang cendawan memang banyak diusahakan di Tangkak. Pelbagai jenis cendawan boleh didapati seperti cendawan mutiara, cendawan tiram kelabu, cendawan putih, cendawan hitam dan lain-lain. Anda boleh melihat dengan lebih dekat bagaimana cara-cara memproses cendawan bermula dari penyediaan beg, pengukusan, penyuntikan benih, penuaian hingga ke pembungkusan.

Antara ladang cendawan yang boleh dilawati ialah:

  • Ledang Agro Mushroom di Lot 8532, Jalan Naib Long, Tangkak.
  • Forest Fine Foods (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Grisek.

Tempat makan menarik

Salah satu tarikan pelancongan di Ledang ialah makanan. Banyak tempat makan sedap dan menarik ada di daerah ini. Antara destinasi popular ialah:

  • Restoran NMR Briyani Gam – Terletak di Tangkak. Ia terkenal dengan nasi briyani gam yang sedap.
  • Mee Udang Banjir – Terletak di Jalan Tanjung Agas. Ia terkenal dengan keenakan Mee Udang Banjir dengan udang yang banyak.
  • Restoran Sup Lembu Tangkak – Terkenal dengan keenakan sup lembu dan dagingnya yang lembut.

Tempat menarik di Mersing

Mersing adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri pelancongan di Johor. Selain dari Taman negara Endau Rompin, ia menjadi lokasi persinggahan pelancong yang ingin bercuti ke pulau-pulau peranginan yang ada di daerah ini.

Lihat senarai penuh tempat menarik di Mersing Johor.

Pulau Peranginan

Tempat menarik di Johor yang mesti dikunjungi tentu sekali pulau-pulaunya yang banyak terdapat di daerah Mersing. Ia menjadi destinasi popular penyelam-penyelam dari dalam dan luar negara yang ingin melihat coral dan hidupan laut yang cantik. Selain itu ia juga menjadi lokasi percutian yang mendamaikan dan paling sesuai buat anda yang ingin lari dari kesibukan kota. Antara pulau yang terkenal dan menjadi tarikan pelancong ialah:

  • Pulau Rawa - Pulau cantik di Johor yang terletak 16 kilometer diluar pesisir pantai Mersing. Pulau ini terkenal kerana kejernihan air laut, pasir pantai yang putih bersih serta pohon palma yang tinggi melambai. Disini juga terdapat banyak ikan berwarna neon dan hidupan laut eksotik.
  • Pulau Sibu - Sebuah pulau yang cantik dengan air laut yang jernih kehijauan. Pulau Sibu merupakan salah satu tempat bercuti di Johor yang sangat popular. Banyak aktiviti air yang boleh dilakukan di pulau ini seperti snorkeling, scuba diving, meluncur angin dan belayar. Selain itu anda juga boleh meredah hutan paya bakau, melawat kampung dan jeti untuk melihat cara kehidupan masyarakat disini. Lihat artikel Pulau Sibu destinasi percutian menarik di Johor.
  • Pulau Aur - Pulau yang mempunyai laut yang sesuai untuk aktiviti menyelam. Terdapat terumbu karang serta laut yang dalam sesuai untuk menyelam dan menikmati keindahan hidupan laut.
  • Pulau Tinggi - Terletak berhampiran Pulau Sibu. Pulau cantik berbentuk bujur ini terletak kira-kira 37 KM dari Mersing. Ia merupakan salah satu lokasi popular untuk scuba diving.
  • Pulau Tengah - Pulau cantik yang terletak di perairan Johor. Perjalanan dari jeti Mersing ke pulau ini mengambil masa kira-kira sejam. Ia adalah sebuah pulau yang tidak berpenghuni dan telah diwartakan sebagai sebuah taman laut. Perairan disekitar pulau ini kaya dengan hidupan laut yang menarik serta jarang ditemui. Pulau Tengah juga merupakan tempat bertelur penyu belimbing gergasi. Dari segi pelancongan, pulau ini menjadi salah satu destinasi persinggahan untuk pelancong berjalan di tepi pantai yang cantik, mandi laut, snorkeling dan juga melakukan aktiviti selam skuba.
  • Pulau Pemanggil - Salah sebuah pulau percutian yang sangat cantik di Johor. Pulau ini menawarkan aktiviti menarik sama seperti di pulau-pulau lain iaitu snorkeling, berenang dan mandi laut serta lain-lain. Terdapat beberapa resort dan chalet menarik di Pulau Pemanggil yang sedia menanti kehadiran pelancong.
  • Pulau Besar - Pulau yang mempunyai pantai yang cantik dan pasir yang putih ini merupakan antara destinasi percutian pulau yang sangat popular di Johor. Bagi pengunjung yang sukakan percutian yang tenang dan aman, Pulau Besar adalah lokasi yang sesuai untuk anda. Terdapat banyak resort menarik menanti bersama aktiviti percutian yang sangat menyeronokan.
  • Pulau Pisang - Salah sebuah dari gugusan pulau-pulau di Johor. Terdapat sebuah rumah api didirikan di pulau ini milik Singapura.
  • Pulau Lima - Terdiri dari Pulau Lima Besar dan Pulau Lima Kecil.

Pulau Pemanggil

Pantai Peranginan

Jika anda suka mengunjungi pantai, beberapa tempat menarik di Johor memang sangat cantik dan sesuai untuk bercuti. Antara yang terkenal ialah pantai-pantai yang terdapat di daerah Mersing. Anda boleh berkelah bersama keluarga, mandi laut atau bermalam di resort menarik yang terletak berhampiran pantai.

Senarai pantai menarik di Mersing:

  • Pantai Ayer Papan - Pantai menarik di Mersing ini adalah lokasi terbaik untuk bercuti bersama keluarga. Terdapat kemudahan chalet penginapan, kemudahan rekreasi sukan air, bilik mandi untuk bersihkan badan selepas mandi laut, wakaf untuk berkelah dan lain-lain lagi. Pantainya juga sangat cantik dan mempersonakan.
  • Pantai Penyabong - Satu lagi pantai cantik yang terletak di daerah Mersing. Lokasinya di utara timur-laut daerah Mersing iaitu kira-kira 30 KM dari bandar Mersing. Kemudahan awam turut disediakan seperti di pantai Ayer Papan.
  • Pantai Sekakap - Pantai yang turut menjadi tumpuan pengunjung di daerah Mersing. Pantainya landai dan sangat menarik.
  • Sri Pantai - Pantai menarik ini terletak di Kampung Sri Mersing. Menjadi lokasi untuk bersantai melihat keindahan pemandangan ditepi laut.

Pantai Air Papan Mersing Johor.

Hutan Lipur Gunung Arong

Gunung setinggi 274 meter ini terletak kira-kira 17 KM dari Mersing. Antara aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan disini ialah berkhemah, merentas hutan dan mendaki gunung.

Apa lagi yang menarik di Johor? Lihat artikel Tarikan pelancongan di Johor.

Penginapan di Johor

Jika anda ingin bercuti di Johor, berbagai kemudahan penginapan disediakan seperti hotel, resort, chalet dan juga homestay di bandar-bandar utama dan juga lokasi pelancongan. Anda boleh membuat tempahan terus melalui hotel atau secara online. Untuk melihat potongan harga, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu perkongsian kami berkenaan tarikan pelancongan di Johor dan keunikan lain yang menggamit pengunjung ke sini. Kami akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik halaman ini agar menjadi panduan kepada pengunjung yang ingin bercuti ke Johor. Jika artikel ini memberi maklumat yang anda cari, mohon agar anda tidak keberatan untuk berkongsi di laman fb, g+ atau twitter sebagai tanda penghargaan. Sekiranya anda ingin berkongsi tempat menarik di Johor atau pengalaman percutian ke Johor, sila kongsikan dibahagian komen dibawah. Kami amat menghargainya. Terima kasih dan selamat bercuti!

Lihat semua tempat menarik disetiap negeri: Tempat Menarik.

Lokasi