Titi Hayun Yan Kedah - Panduan percutian 2020

Titi Hayun ialah kawasan peranginan air terjun yang terletak di daerah Yan, Kedah. Ia adalah tempat menarik yang tidak asing lagi di daerah pelancongan ini. Tempat ini telah dibangunkan dengan baik. Kemudahan awam disediakan termasuk resort yang menyediakan chalet penginapan untuk pengunjung yang ingin bercuti disini.

Selain mandi-manda, ada beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Titi Hayun. Jika anda merancang untuk berkunjung kesini, saya syorkan anda bawa pakaian dan kasut yang sesuai untuk jungle trekking. Jika tidak, kunjungan anda kesini tidak akan sempurna.

Titi Hayun Yan Kedah

Lokasi Titi Hayun

Kawasan Peranginan Air Terjun Titi Hayun terletak di kaki Gunung Jerai. Ia termasuk dalam kawasan Hutan Lipur Titi Hayun. Jarak dari pekan Yan ialah kira-kira 4KM, lebih-kurang 5 minit memandu kereta.

Bagi pengunjung yang ingin melakukan perjalanan sehari (day trip), tempat letak kereta yang luas disediakan untuk pelawat. Jika bukan hari cuti umum, anda tidak ada masalah untuk meletak kenderaan disini.

Alamat:
Titi Hayun
Jalan Titi Hayun,
06900 Yan,
Kedah Darulaman

Hubungi:
Tel Pejabat : 04-447 1310 - D'Yan Chalet

Harga tiket:
Harga tiket dikenakan pada Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Umum
Bas : RM10
Van : RM6
Kereta : RM2
Motosikal : RM1

Waktu operasi:

Setiap hari : Tiada had masa

Apa yang menarik?

Sejujurnya, Air Terjun Titi Hayun tidaklah menarik sangat. Ini kerana tidak ada air terjun pun disini. Cuma sungai berbatu dan kolam semulajadi untuk orang-ramai mandi-manda. Jika musim hujan dan air banyak barulah kawasan ini menjadi lebih menarik.

Kemudahan dan prasarana disini juga banyak yang sudah uzur. Ada yang telah rosak dan tidak dibaiki. Jadi apa yang menarik di Titi Hayun?

Sungai Air Terjun Titi Hayun

Tempat perkelahan

Air Terjun Titi Hayun adalah kawasan perkelahan awam yang popular sejak dahulu. Ia telah dibangunkan dengan baik. Berbagai kemudahan dan fasiliti disediakan untuk pengunjung.

Bagaikan satu tradisi, setiap kali cuti umum atau cuti sekolah, ia akan menjadi tumpuan masyarakat. Ada yang membawa khemah untuk dipasang dikawasan air terjun dan ramai yang lain membawa tikar untuk berkelah menjamu selera.

Tempat mandi-manda

Semestinya yang paling gembira datang ke air terjun ini ialah kanak-kanak. Hampir semua kolam yang ada memang cetek dan sesuai untuk kanak-kanak mandi.

Dibahagian bawah berhampiran tempat letak kereta terdapat kolam yang agak luas, cetek dan airnya perlahan. Biasanya orang dewasa atau keluarga yang anak-anak sudah besar akan mandi dibahagian atas kerana ia lebih menarik. Pengunjung hanya perlu melalui titi gantung dan mengikut laluan sungai air terjun. Walau bagaimanapun, kolam-kolam disini banyak batu dan kurang sesuai untuk anak-anak yang masih kecil.

Mandi-manda di Titi Hayun

Tangga Kenari

Salah satu tarikan yang ada di Titi Hayun ialah Tangga Kenari. Ia adalah laluan mendaki Gunung Jerai. Sebanyak 1000 anak tangga diperbuat dari simen khas untuk pengunjung bersenam mengeluarkan peluh sambil memerhatikan keindahan flora dan fauna yang ada di Hutan Lipur Titi Hayun.

Dipuncak 1000 anak tangga ada pondok rehat menanti pengunjung. Selain menghilangkan penat, ia juga menawarkan pemandangan menarik.

Tangga Kenari

Air Terjun Puteri Mandi

Disebelah atas air terjun Titi Hayun ada satu air terjun yang dipanggil Puteri Mandi. Ia adalah air terjun yang cantik. Pengunjung boleh kesini dengan mengikut laluan mendaki yang terdapat di Titi Hayun. Laluan ini agak mencabar dan tidak sesuai untuk membawa anak-anak yang masih kecil.

Laluan untuk ke air terjun Puteri Mandi

Aktiviti perkhemahan

Satu kawasan yang luas disediakan sebagai tapak perkhemahan di Titi Hayun. Selalunya ia digunakan oleh sekolah dan IPT untuk program mereka. Kemudahan Dewan terbuka dan dewan memasak turut disediakan.

Jika ada pengunjung yang merancang untuk berkhemah, mereka perlu memohon kebenaran dari pihak Majlis Daerah Yan terlebih dahulu bagi tujuan rekod dan keselamatan.

Bagi ibubapa yang ingin membawa anak-anak merasai pengalaman berkhemah, saya nasihatkan anda dapatkan juga bilik penginapan atau chalet di Titi Hayun untuk keselesaan.

Nota: Surat Kebenaran untuk aktiviti perkhemahan boleh dipohon melalui D'Yan Chalet yang diuruskan oleh MDY.

Tapak perkhemahan di Titi Hayun

Kemudahan dan fasiliti

Titi Hayun telah dibangunkan dengan baik. Berbagai kemudahan dan fasiliti disediakan untuk pengunjung. Orang-ramai yang ingin berkunjung kesini boleh terus memandu hingga ke destinasi tanpa masalah.

Dikawasan Titi Hayun terdapat titi yang dibina merentangi sungai air terjun. Titi gantung dengan laluan yang diperbuat dari kayu ini akan berayun bila anda berjalan diatasnya. Mungkin sebab itu ia digelar Air Terjun Titi Hayun.

Beberapa kemudahan awam dan fasiliti disediakan seperti:

  • Tempat letak kereta
  • Gerai makan
  • Tandas awam
  • Chalet penginapan
  • Tapak perkhemahan
  • Pondok rehat

Sangat mengecewakan bila melihat kemudahan awam dan fasiliti ini banyak yang sudah rosak dan tidak diperbaiki. Pondok rehat dan jambatan simen sudah bertahun keadaannya begitu. Malah kayu titi gantung juga ada yang telah reput dan patah. Ia boleh mengundang bahaya kepada pengunjung terutama anak-anak kecil yang berlari diatas titi ini.

Pondok rehat di Titi Hayun

Bercuti di Titi Hayun

Titi Hayun terkenal dengan chalet menarik yang menyediakan kolam mandi persendirian. Banyak pengusaha chalet disepanjang jalan ke Peranginan Titi Hayun yang menyediakan perkhidmatan ini. Bagi pengunjung yang membawa keluarga bercuti, ia adalah satu tawaran menarik dimana keluarga tidak perlu berkongsi kolam renang dengan orang lain.

Dikawasan ini juga terdapat banyak kem yang menarik untuk dijadikan lokasi kursus jati diri, bina semangat dan sebagainya. Selain itu, ia turut sesuai dijadikan tempat reunion, perjumpaan kelab atau family day. Berikut ialah chalet dan kem yang ada dikawasan Titi Hayun.

D'Yan Chalet

D'Yan Chalet adalah resort yang diuruskan oleh Majlis Daerah Yan. Ia terletak dikawasan air terjun Titi Hayun. Resort ini telah lama beroperasi dan ada chalet yang keadaannya agak uzur. Namun berbanding dengan kadar harga, fasiliti dan lokasi, ia masih berbaloi.

Resort ini sesuai untuk family day, reunion dan perjumpaan kelab. Dewan yang selesa disediakan, makanan, bbq dan lain-lain boleh dibincangkan dengan pihak pengurusan.

D'Yan Chalet Titi Hayun

Putri Ayu Chalet

Putri Ayu Chalet ialah kem dan chalet yang popular di kawasan berhampiran Titi Hayun. Ia sering menjadi pilihan sekolah, IPT dan lain-lain sebagai lokasi pelbagai kursus seperti motivasi, jati diri dan lain-lain. Ia juga menjadi pilihan untuk program family day. Selain chalet yang cantik, pelbagai kemudahan disediakan seperti dewan serbaguna, padang aktiviti, tempat bbq dan kolam mandi.

Alamat:
Lot 1634 Jalan Batu Hampar
Yan,
Kedah

Telefon: 019-444 4441

Putri Ayu Chalet Yan

Alang Kenari Chalet

Alang Kenari Resort & Chalet adalah satu lagi lokasi percutian popular di kawasan Titi Hayun. Ia menyediakan chalet penginapan, kolam mandi yang luas, dewan serbaguna dan berbagai fasiliti lain. Tempat ini sesuai dijadikan lokasi family day dan kursus.

Alamat:
Lot 1964, Jalan Titi Hayun,
Yan,
Kedah

Telefon: +60 103029775

Alang Kenari Chalet Yan

Terrabait Chalet

Terrabait Chalet ialah tempat penginapan terbaru di kawasan Titi Hayun. Ia menyediakan beberapa jenis penginapan untuk pengunjung. Ada chalet yang menawarkan kolam mandi sendiri dan ada yang berkongsi. Pengunjung boleh memilih mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

Alamat:
Jalan Titi Hayun,
Kampung Bukit Tumboh,
Yan,
Kedah

Telefon: 0134360363

Terrabait D'Yan Chalet

Anjung Menjaro

Tempat percutian menarik yang cukup terkenal di Titi Hayun ialah Anjung Menjaro Resort. Ia menampilkan ciri-ciri desa melayu tradisional yang cukup unik. Samada percutian keluarga atau family day, resort ini adalah pilihan yang terbaik. Berbagai fasiliti disediakan termasuk kolam mandi.

Alamat:
Jalan Titi Hayun,
Kampung Bukit Tumboh,
Yan,
Kedah

Telefon: 011-3601 3111

Anjung Menjaro Yan

Neo Era Chalet

Satu lagi tempat percutian menarik yang ada di Titi Hayun ialah Neo Era Chalet. Resort ini menggabungkan unsur tradisional dan moden, dimana anda boleh melihat rumah kayu yang cantik serta chalet moden yang kemas. Ia juga menawarkan kemudahan kem untuk kursus motivasi sekolah, IPT dan organisasi.

Alamat:
Jalan Titi Hayun,
Kampung Bukit Tumboh,
Yan,
Kedah

Telefon: 012-557 9607

Neo Era Chalet Titi Hayun Yan

Kesimpulan

Air terjun Titi Hayun bukanlah satu-satunya tarikan yang ada dikawasan peranginan ini. Tangga Kenari dan air terjun Puteri Mandi adalah sebahagian dari keseronokan yang tidak boleh dilepaskan. Jika anda merancang untuk bercuti disini, pastikan segala kelengkapan trekking dibawa bersama. Anda akan membawa pulang pengalaman indah dan unik yang tidak mungkin dilupakan.

Tempat ini juga popular sebagai lokasi family day, reunion dan perjumpaan kelab. Banyak resort, chalet dan juga kem yang menyediakan fasiliti lengkap untuk kursus, bbq, makanan, permainan serta aktiviti menarik lain. Semoga maklumat yang kami sediakan ini membantu anda merancang percutian menarik di Titi Hayun Yan Kedah.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan berhampiran

Tempat menarik berhampiran ada di daerah Yan dan Kuala Muda. Lihat halaman dibawah untuk maklumat lanjut.

  1. Tarikan pelancongan di daerah Yan. Lihat tempat menarik di Yan Kedah - Panduan lengkap
  2. Tarikan pelancongan di daerah Kuala Muda. Lihat tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati
  3. Semua tarikan pelancongan di Kedah, lihat Melawat Kedah
Lokasi