Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau ialah air terjun cantik yang terletak di Baling, Kedah. Ia boleh dikatakan air terjun paling cantik di negeri ini. Sekitar tahun 90an, ia sangat popular dan sering menjadi pilihan orang-ramai berkelah di hujung minggu atau cuti umum.

Setelah lama tidak berkunjung kesini, saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga pada cuti sekolah bulan Disember 2019. Disini saya kongsikan maklumat tentang air terjun menarik di Baling kepada anda pengunjung setia laman web percutian bajet.

Hutan Lipur Bukit Hijau Baling

Lokasi Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau terletak di sempadan daerah Baling dan Kulim. Lokasinya ialah di Hutan Lipur Bukit Hijau, iaitu dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Inas.

Jaraknya hampir sama, jika dari pusat bandar Kulim 42KM atau Baling 45KM.

Alamat:
Lata Bukit Hijau
09100 Baling,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04 490 3760 - Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan
Email : webmaster@kedforestry.gov.my

Harga:

Harga tiket : Masuk percuma.
Letak kereta : Percuma.

Waktu operasi:

Setiap hari : 8.00am - 6.00pm

Apa yang menarik?

Lata Bukit Hijau Baling terkenal dengan air terjun bertingkat yang cantik, kolam semulajadi yang menarik dan air yang sangat sejuk. Ia telah dimajukan dengan kemudahan seperti tangga simen untuk ke air terjun di bahagian atas, pondok rehat, jambatan dan lain-lain. Berbagai prasarana telah dibina seperti bangunan kedai, surau, chalet, pondok rehat dan tempat letak kereta. Kawasan lata ini telah memenangi pertandingan landskap kategori pertanian/hutan anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1997.

Air yang jernih dan sejuk

Air terjun bertingkat

Lata Bukit Hijau Baling mempunyai 5 tingkat air terjun tetapi saya cuma biasa mandi di 3 air terjun sahaja iaitu dibahagian bawah, tengah dan atas sekali.

Air terjun dibahagian paling bawah mempunyai kolam yang dalam kerana air terjun yang besar dan laju. Biasanya orang dewasa dan remaja yang pandai berenang sahaja mandi disini. Kanak-kanak biasanya mandi dikawasan kolam selepas air terjun ini.

Seterusnya, air terjun tengah. Pengunjung perlu mendaki tangga simen untuk sini. Dalam perjalanan, pengunjung akan perasan air terjun ini sebelum tiba ke kawasan paling atas. Saya rasa ia adalah air terjun paling tinggi di Lata Bukit Hijau. Walau bagaimanapun, tiada tangga disediakan untuk ke kawasan air terjun. Semasa remaja, disini ialah lokasi pilihan saya dan rakan-rakan untuk mandi kerana tidak ramai orang.

Akhir sekali, air terjun paling atas. Jika mendaki hingga ke penghujung tangga simen, anda akan tiba dikawasan air terjun dengan kolam mandi yang sangat cantik. Batu tempat air terjun lebih mendatar dan kolam yang luas, jadi air agak kurang deras. Semua peringkat usia boleh mandi dikawasan ini. Kolam bahagian tepinya cetek tetapi semakin dalam dikawasan berhampiran air terjun.

Air terjun Lata Bukit Hijau

Kolam mandi

Semua kolam air terjun di Lata Bukit Hijau terbentuk secara semulajadi. Tidak seperti di Lata Bayu dimana beberapa kolam dibina dibahagian bawah untuk keluarga mandi-manda.

Disini, cuma kolam di air terjun paling atas yang menarik dan sesuai untuk keluarga. Dibahagian bawah, ia lebih kepada sungai dengan kolam yang kecil.

Kolam air terjun Lata Bukit Hijau

Air terjun dan kolam mandi bahagian bawah.

Bahagian bawah Lata Bukit Hijau

Sungai dan kolam mandi bahagian paling bawah.

Trekking

Kawasan ini pernah popular sebagai lokasi jungle trekking dan mendaki gunung pada masa dahulu. Gunung Inas yang setinggi 1454 meter merupakan hutan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna.

Jalan ke air terjun

Kemudahan dan fasiliti

Setelah hampir 20 tahun tidak kesini, saya benar-benar terkejut apabila melihat keadaan Lata Bukit Hijau sekarang. Ia benar-benar terbiar. Semasa saya tiba, kawasan ini dipenuhi askar yang sedang bersedia untuk membuat latihan. Tiada seorangpun orang awam.

Kemudahan asas seperti tandas disediakan tetapi saya rasa besar kemungkinan ia sudah tidak boleh digunakan lagi. Dua buah surau disediakan. Surau berhampiran kedai makan mungkin boleh digunakan tetapi surau dikawasan air terjun saya pasti sudah rosak sepenuhnya.

Tempat letak kereta percuma yang agak luas terletak dikawasan berhampiran air terjun. Selain itu, bangunan pentadbiran sudah tidak berfungsi lagi dan terbiar. Manakala sebuah bangunan yang mempunyai beberapa buah kedai makan suatu ketika dulu masih ada cuma tidak dibuka.

Saya tidak berani meninjau kawasan chalet tetapi saya pasti ia telah rosak seperti bangunan lain yang ada disini.

Tempat letak kereta

Tempat letak kereta yang luas.

Pejabat pusat penerangan

Pejabat Pusat penerangan.

Bangunan kedai makan

Bangunan kedai makan yang tidak dibuka walaupun pada musim cuti sekolah.

Surau berhampiran kedai makan

Surau berhampiran kedai makan kelihatan seperti masih boleh digunakan. Mungkin ia telah dibersihkan oleh askar yang akan membuat latihan disini.

Tandas dan Bilik Mandi

Tandas dan bilik mandi yang sudah rosak tetapi masih dibuka. Walau bagaimanapun saya tak berani nak masuk.

Surau dikawasan air terjun

Surau dan Taman Permainan Kanak-kanak di kawasan berhampiran air terjun.

Ulasan Lata Bukit Hijau Baling

Melangkah masuk ke kawasan air terjun Lata Bukit Hijau Baling, dua perasaan menusuk hati saya. Satu, seram. Kawasan ini benar-benar terbiar. Jalan yang dipenuhi daun-daun kering, bangunan-bangunan usang dan pondok rehat yang sudah roboh kelihatan seperti set dalam filem cerita hantu.

Dua, perasaan sayu. Tempat ini menyimpan banyak kenangan semasa saya remaja. Ia adalah tempat yang sangat menarik satu ketika dulu (dan masih lagi) tetapi kini saya merasa seram untuk menyusuri tempat yang menyimpan memori indah semasa kecil.

Lata Bukit Hijau adalah tempat menarik yang cukup unik dan istimewa. Air terjun yang cantik dikelilingi kehijauan hutan semulajadi merupakan anugerah yang tidak ternilai. Namun, kita masih tidak tahu menghargainya. Mungkin lebih baik ia dalam keadaan begini dan menjadi warisan kepada generasi akan datang.

Jambatan di kawasan air terjun

Jambatan kelihatan masih kukuh walaupun terbiar sekian lama.

Kerusi rehat yang rosak

Kerusi rehat yang rosak dimamah alam.

Papan Tanda Hutan Lipur Bukit Hijau

Semuanya terbiar.

Pondok rehat yang roboh

Pondok rehat yang telah roboh.

Hutan Simpan Gunung Inas

Kesimpulan

Apa yang boleh saya katakan, Lata Bukit Hijau Baling Kedah tidak lagi sesuai untuk anda membawa keluarga berkelah. Jika ingin melihat keindahan air terjun disini, jangan datang sendirian. Bawa kawan-kawan dan jangan datang awal pagi. Balik sebelum lewat petang.

Saya bercadang untuk kesini lagi satu hari nanti. Hati benar-benar terkilan kerana tidak ke air terjun bahagian atas.

Bagi anda yang teringin melawat air terjun yang cantik di Kedah, sila ke Lata Bayu, satu lagi air terjun menarik di daerah Baling. Lihat artikel Air terjun Lata Bayu Baling.

Kembali ke Tempat menarik di Baling.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Kedah sebelum baca artikel dibawah.

Lokasi