Wang Tepus Ecotourism adalah tarikan terbaru di Kedah yang unik dan mesti dilawati jika anda merancang untuk berkunjung ke negeri Jelapang Padi ini. Ia adalah sebuah perkampungan menarik yang dihiasi bukit-bukau yang menghijau dan sungai yang menyegarkan. Menyedari kelebihan dan keunikan yang ada, komuniti penduduk dan pengusaha di Wang Tepus telah bekerjasama mewujudkan sebuah projek komuniti berasaskan pelancongan. Hasilnya wujud Wang Tepus Ecotourism yang bukan sahaja memperkenalkan tempat ini kepada orang luar dan menarik kehadiran pelancong malah turut membantu meningkatkan sosio ekonomi setempat.
Lokasi
Wang Tepus merupakan kawasan perkampungan yang terletak tidak jauh dari Bandar Jitra. Jaraknya lebih-kurang 15KM dari pusat bandar. Lokasi perkampungan ini berhampiran dengan Hutan Lipur Bukit Wang , iaitu satu lagi tarikan pelancongan disini.
Dari lebuhraya PLUS, anda boleh ikut susur-keluar Bandar Darulaman atau Jitra. Dari sini, anda boleh cari tempat menarik dibawah dalam Google Maps atau Waze.
Alamat:
No 1331 Awanaz
Kampung Cerok Tok Lateh,
06000 Wang Tepus,
Kedah
Hubungi:
Tel: 011-1089 1495, 019-4501495
Email : awanazrarecreation@gmail.com
Facebook : Wang Tepus Ecotourism
Harga tiket:
Harga tiket / Bayaran masuk
Dewasa : RM45 - pakej lawatan dan aktiviti
Kanak-kanak : RM35 - pakej lawatan dan aktiviti
Kanak-kanak (5 tahun kebawah): Percuma
Waktu operasi:
Setiap hari : 10.00 am - 5.00 pm
Apa yang menarik di Wang Tepus Ecotourism?
Wang Tepus Ecotourism menyediakan beberapa aktiviti menarik untuk pengunjung. Beberapa tempat menarik agrotourism dan perusahaan kecil juga boleh dilawati. Antara tarikan yang ada ialah:
Awanaz Agro & Rarecreation
Pernah terfikir untuk bermalam di dusun durian? Rasai, nikmati dan hayati pengalaman unik di Awanaz Agro and Rarecreation. Ia merupakan kawasan dusun buah durian dan buah-buah tempatan lain, dikelilingi bukit dan dihiasi dengan anak sungai. Awanaz adalah tempat rekreasi yang menakjubkan untuk semua orang.
Melawat dusun durian.
Wang Tepus River Cruise
Anda pernah tahu sungai tertua di Kedah? Pernah menaiki bot menyusuri sungai bersejarah ini? Wang Tepus River Cruise akan merealisasikan impian anda. Pengunjung boleh berkelah, ber-BBQ dan bersantai di atas bot bersama orang tersayang menikmati keindahan disepanjang sungai.
Teratak Malinja
Teratak Malinja menyediakan pelbagai kemudahan dan tempat penginapan bagi sebarang aktiviti kerohanian, pembangunan staf , rekreasi, majlis resepsi, dan hari keluarga. Ia juga menyediakan pakej “Percutian Desa Selesa” bagi pengunjung yang berminat bercuti di luar bandar dengan menawarkan perkhidmatan asrama, dewan, dorm, chalet, camp site, makanan & minuman disamping pakej aktiviti indoor dan outdoor yang pasti menyeronokkan.
Teratak Malinja. Chalet yang cukup menarik.
Taufiqillah Stingless Bee Farm
Pernah tahu bagaimana madu lebah kelulut dihasilkan? Di sini anda bakal merasai keunikan madu lebah kelulut dan mengetahui bagaimana manisan alam ini diproses dan menjadi manisan yang bernilai tinggi.
Taufiqillah Stingless Bee Farm adalah sebuah ladang perternakan madu lebah kelulut yang terletak di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra Kedah. Satu-satunya ladang lebah kelulut yg diusahakan oleh pelajar-pelajar Madrasah Tahfiz Taufiqillah.
Mewah Segar Agro Farm
Kebiasaanya kita mendengar keenakan dan khasiat susu kambing, tetapi pernahkah anda mendengar kelazatan dan khasiat susu kerbau? Di Mewah Segar Agro Farm, anda boleh menikmati kelazatan susu kerbau segar terus dari ladang.
Rusa dan kambing juga menjadi tarikan di Mewah Segar Agrofarm. Pengunjung boleh melihat dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ternakan rusa dan kambing di sini sambil bersantai memakan buah-buahan segar yang ada.
Kilang Sos Cili Qasih Ibu
Siapa sangka dalam kawasan kampung terdapatnya kilang sos cili. Sos cili ini kebanyakannya dibekalkan ke kedai-kedai runcit di kawasan kampung dan menerima tempahan sos cili untuk dijadikan door gift dalam majlis keramaian. Pengunjung berpeluang melawat kilang ini dan melihat dengan lebih dekat bagaimana sos cili dihasilkan.
Zati Eco Retreat
Kepada siapa yang nak mandi kolam dan berehat secara santai dalam rumah tradisi melayu, inilah tempatnya. Kawasan cantik dihiasi pemandangan bukit dan sungai yang menakjubkan.
Restoran Bunga Naga
Apabila pengunjung luar mahu menikmati masakan asli orang melayu, Restoran Bunga Naga adalah restoran popular di Wang Tepus yang boleh dikunjungi. Restoran atas bukit ini sudah menerima pengunjung luar dari Thailand dan Singapura.
Kesimpulan
Wang Tepus Ecotourism adalah pakej lengkap untuk anda merasai pengalaman menarik percutian didesa. Berbagai tarikan pelancongan seperti melawat industri kecil, agro farm dan aktiviti menyeronokkan menanti pengunjung. Jika anda merancang untuk ke Kedah pada 2020, jangan lupa masukkan tempat ini dalam itinerari percutian samada individu, keluarga atau rombongan.
Selain dari melawat tempat-tempat menarik diatas, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti-aktiviti penduduk seperti menoreh getah dan menanam padi untuk merasai suasana kehidupan orang kampung. Penduduk Wang Tepus juga ramah dan mesra serta sangat menghargai bila orang luar datang bertandang ke kampung ini.
Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah
Tarikan pelancongan lain
Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.
- Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
- Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
- Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
- Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian