Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati

Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi beberapa tempat menarik di Kelantan untuk dilawati. Bagi yang ingin bercuti di negeri bergelar Serambi Mekah ini, diharap senarai ini dapat membantu anda merancang percutian dengan lebih berkesan. Bagi memudahkan lagi, setiap destinasi pelancongan disusun mengikut Jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Jadi anda hanya perlu pilih dan tentukan destinasi mana yang ingin dikunjungi.

Pantai Tok Bali Kelantan.

Pengenalan

Kelantan ialah salah sebuah negeri yang terletak di pantai timur semenanjung Malaysia. Bersempadan dengan Negara Thailand disebelah barat-laut, beberapa tempat membeli-belah telah wujud dan dipenuhi barangan dari negara jiran tersebut. Barangan seperti toto, periuk-belanga dan lain-lain boleh didapati dengan harga yang agak murah. Negeri yang terkenal dengan lokasi pelancongan alam-semulajadi ini mempunyai banyak tarikan seperti air terjun yang cantik, gunung-gunung yang boleh didaki serta Hutan Simpan yang kaya dengan berbagai flora dan fauna. Selain itu, negeri ini juga mempunyai beberapa kawasan pantai yang menarik dan sesuai untuk dijadikan lokasi percutian keluarga. Berikut ialah senarai tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Untuk melihat lokasi pelancongan lain, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kelantan.

Tempat menarik di Kota Bharu

Tempat menarik di Kelantan yang paling popular ialah Kota Bharu. Berbagai pusat pelancongan ada di bandar ini. Beberapa buah muzium, warisan sejarah dan tempat membeli-belah boleh dikunjungi. Selain itu kemudahan penginapan seperti hotel murah dan makanan yang sedap turut menjadi faktor utama yang menarik pelancong ke sini. Berikut ialah beberapa lokasi yang boleh dilawati:

Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan.

Kota Sultan Ismail Petra terletak di pusat bandar Kota Bharu. Ia merupakan lokasi yang paling menjadi tumpuan orang-ramai kerana banyak pusat pelancongan yang boleh dilawati. Tempat-tempat menarik yang ada disini ialah:

  1. Menara Rehal
  2. Muzium Kraftangan
  3. Muzium Balai Besar
  4. Istana Jahar
  5. Bank Kerapu - Muzium Perang.
  6. Padang Merdeka

Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.

Pasar ini cukup terkenal dan menjadi tarikan pelancong yang bercuti di Kelantan. Ia adalah sebuah kompleks perniagaan barangan tempatan seperti makanan, pakaian, kain batik, tudung dan bermacam-macam lagi. Bagi pelancong yang melawat Kota Bharu, ia adalah destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pasar Siti Khadijah.

Beberapa lokasi menarik lain untuk membeli-belah juga ada di bandar ini seperti Bazar Tok Guru, Wakaf Che Yeh dan KB Plaza yang menjual berbagai barangan tempatan. Selain itu, tempat menarik di sekitar Jajahan Kota Bharu juga banyak. Antara yang menarik dan mesti dilawati ialah:

  1. Pantai Cahaya Bulan - Pantai popular di Kota Bharu. Jika anda ingin bersiar-siar, bersantai dan minum petang sambil menikmati pemandangan laut, ia adalah lokasi yang paling hampir dengan pusat bandar. Walau bagaimanapun, pantai ini tidak sesuai untuk mandi-manda.
  2. Taman Air Splash Kota Bharu - Terletak di Taman Indera Petra, Kota Bharu, Kelantan. Ia adalah sebuah taman air yang sangat popular bagi mereka yang ingin bersuka-ria bersama keluarga. Ia juga satu-satunya taman tema air yang ada di negeri ini.
  3. Taman Perbandaran Tengku Anis - Juga dikenali hanya sebagai Taman tengku Anis ialah tempat menarik untuk bersantai dan bergambar. Taman ini dihias dengan lanskap yang cantik. Kawasan yang bersih dan menenangkan menjadikan ia lokasi popular untuk bersantai bersama keluarga.

Selain pusat pelancongan yang dinyatakan diatas, Muzium Negeri Kelantan, Istana Batu yang dijadikan Muzium Diraja, Menara Jam Tambatan Diraja, Kampung Kraftangan dan beberapa tempat menarik lain boleh dilawati jika bercuti di bandar Kota Bharu.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Tempat menarik di Kota Bharu Kelantan.

Tempat menarik di Pasir Mas

Jika anda ingin bercuti di Pasir Mas, Kelantan, beberapa tempat menarik boleh dilawati.

Masjid Beijing Rantau Panjang

Masjid Beijing Rantau Panjang.

Jika anda ke Rantau Panjang, jangan lupa singgah di Masjid Beijing Rantau Panjang atau nama sebenarnya Masjid Jubli Perak Sultan Ismail. Seperti namanya, ia adalah sebuah masjid yang mempunyai rekabentuk unik dan sangat mengagumkan.

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Salah satu tempat menarik untuk membeli-belah di Kelantan ialah Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Apa yang menarik? Sudah tentu harga yang lebih murah berbanding tempat lain. Antara barangan yang sering dibeli pengunjung di sini ialah toto, baju dan pinggan mangkuk.

Tasik Danau To' Uban

Danau Tok Uban Pasir Mas.

Tempat menarik lain yang ada di Pasir Mas ialah Tasik Danau To' Uban. Ia terletak di Kampung To' Uban iaitu kira-kira 20 KM dari bandar Pasir Mas. Tasik ini menawarkan pemandangan indah dan permai kepada pengunjung. Kehijauan pokok-pokok hutan yang mengelilingi kawasan ini cukup menenangkan dan sangat sesuai dijadikan lokasi perkelahan atau perkhemahan. Aktiviti memancing juga boleh dilakukan di tasik yang mempunyai beberapa spesis ikan termasuk telapia, kelah, baung dan lampam. Tarikan lain yang ada ialah Masjid Brunei atau Masjid Putih Danau Tok Uban yang cantik terletak ditepi tasik.

Tasik Kwong

Tasik Kwong Pasir Mas.

Tasik Kwong ialah sebuah tasik yang cantik terletak dikawasan Bukit Kwong iaitu kira-kira 20 KM dari pekan Rantau Panjang, Tanah Merah. Berbagai aktiviti pelancongan disediakan untuk pengunjung termasuk jetski, berkayak dan memancing. Ramai yang datang ke sini untuk bersantai atau berkelah bersama keluarga.

Dataran Air Muleh Pasir Mas

Dataran Air Muleh Pasir Mas.

Dataran Air Muleh ialah kawasan rekreasi menarik yang terletak ditebing Sungai Kelantan. Kawasan seluas 1 ekar ini dibangunkan dengan lanskap, tugu dan pokok-pokok bunga menghiasi dataran. Kemudahan turut disediakan seperti restoran, tandas awam, taman permainan kanak-anak dan wakaf untuk bersantai melihat pemandangan sungai.

Galeri Tengku Anis

Galeri Tengku Anis dibina pada tahun 2002 dan dibuka secara rasmi pada tahun 2004. Ia mengumpulkan berbagai maklumat berkaitan nelayan, perikanan dan kawasan muara. Bagi peminat arkitektur, rekabentuk binaan galeri yang sangat cantik ini pasti mengagumkan anda. Diperkarangan Galeri Tengku Anis terdapat kawasan rekreasi yang luas dan menarik. Ia sentiasa menjadi tumpuan orang-ramai diwaktu petang dan hujung minggu. Ramai yang datang beriadah, berkelah, memancing atau bersantai dikawasan yang redup dan mendamaikan ini.

Tempat menarik di Tumpat

Tumpat adalah satu lagi daerah yang mempunyai beberapa tempat menarik di Kelantan yang popular. Ia terletak di tepi pantai menghadap Laut China Selatan. Daerah ini juga bersempadan dengan negara jiran iaitu Thailand.

Pantai Sri Tujuh

Pantai Sri Tujuh, Tumpat.

Salah satu tempat menarik yang ada di Tumpat ialah Pantai Sri Tujuh. Ia adalah antara pantai di Kelantan yang cukup terkenal. Pantai ini sangat cantik malah lebih cantik berbanding Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu. Ia sering menjadi tumpuan orang-ramai untuk berkelah bersama keluarga atau bersantai bersama kawan-kawan. Disini juga terdapat beberapa buah resort yang disediakan untuk pelancong yang ingin bercuti ditepi pantai. Aktiviti yang boleh dilakukan disini ialah mandi laut, bermain layang-layang, melawat Muzium Wau dan melawat perkampungan nelayan.

Pantai Geting

Pantai Geting Tumpat.

Satu lagi pantai yang cantik di Kelantan ialah Pantai Geting yang terletak bersebelahan dengan Pantai Sri Tujuh. Pantai ini turut menjadi pilihan penduduk tempatan dan pelancong luar untuk berehat menikmati pemandangan laut yang menarik. Ia merupakan tempat rekreasi dan perkelahan di hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Kawasan pantai yang luas berpasir landai sangat sesuai untuk mandi manda. Malah ramai yang bermain layang-layang, bola tampar pantai dan lain-lain lagi. Bagi yang ingin bercuti, ada resort dan homestay berhampiran pantai yang boleh dijadikan lokasi penginapan.

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor.

Tempat menarik untuk membeli-belah di Kelantan ialah di Pengkalan Kubor. Ia merupakan satu lagi zon bebas cukai di Kelantan yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Jika anda datang ke Tumpat bolehlah singgah ke sini untuk membeli toto, baju, jersi dan pinggan-mangkuk murah.

Muzium Wau

Muzium Wau Kelantan.

Tempat menarik lain yang ada di Tumpat ialah Muzium Wau Kelantan. Sekitar tahun 80an, pertandingan wau sering diadakan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat setiap tahun. Walau bagaimanapun, pertandingan bertaraf antarabangsa ini semakin kurang penyertaan dan penganjurannya juga kini semakin jarang diadakan. Di Muzium Wau Kelantan, pengunjung dapat melihat berbagai jenis wau termasuk wau bulan, Wau Kekek, Wau Puyuh, Wau Kucing, Wau Jala Budi dan bermacam-macam lagi.

Tempat menarik di Bachok

Banyak tempat-tempat menarik di Bachok terletak ditepi pantai. Pengunjung yang datang ke sini boleh melawat beberapa buah pantai menarik, perkampungan nelayan tradisional dan menikmati makanan hasil laut yang segar.

Pantai Irama

Pantai Irama Bachok.

Tempat menarik yang paling terkenal di Bachok ialah Pantai Irama. Ia merupakan salah sebuah pantai di Kelantan yang telah lama popular. Malah pantai ini pernah disenaraikan sebagai salah sebuah pantai tercantik di Pantai Timur. Walau bagaimanapun, hakisan pantai yang teruk berlaku dan memberi kesan yang sangat ketara. Namun, ia masih tetap menjadi pilihan orang-ramai untuk berkelah, mandi laut, bersantai dan bersiar-siar setiap hujung minggu dan cuti am. Pantai yang panjang, berpasir bersih dengan deretan pokok kelapa yang melambai dibuai bayu laut menghasilkan pemandangan indah yang cukup mempersonakan.

Kuala Kemayang

Pantai Kemayang Bachok.

Kuala Kemayang terletak di daerah Kemasin. Disini terdapat kawasan pantai yang cantik dikenali sebagai Pantai Kemayang. Ia menjadi salah satu tarikan pelancongan di Bachok kerana pemandangan menarik yang boleh dilihat. Selain itu, tempat ini juga terkenal dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan berasaskan makanan laut seperti keropok dan masakan panas. Aktiviti lain yang boleh dilakukan disini ialah memancing. Tempat makan yang mesti dicuba pula ialah Restoran Maggi Tiram yang agak terkenal kerana keenakan maggi tiramnya.

Pantai Pengkalan Petah

Pantai Pengkalan Petah, Bachok.

Pantai Pengkalan Petah terletak dalam daerah Perupok, Bachok. Ia terkenal kerana adanya jeti pendaratan ikan utama bagi Jajahan ini. Selain itu, pengunjung juga boleh melihat pemandangan pantai yang menarik dan juga bot-bot nelayan yang berwarna-warni ditambatan. Jika ingin merasa makanan hasil laut yang segar, singgahlah di Pantai Pengkalan Petah.

Pusat Sumber Kandis

Tempat menarik lain yang boleh dilawati di Bachok ialah Pusat Sumber Kandis. Ia terletak di Kampung Kandis, lebih-kurang 13 KM dari pusat bandar. Pusat sumber ini menyimpan berbagai khazanah seni tradisional tempatan dan juga Pattani, Thailand seperti rehal, mimbar, hiasan dinding dan lain-lain lagi.

Tempat menarik di Pasir Puteh

Pasir Puteh Kelantan terkenal dengan air terjun cantik dan kawasan pantai yang menarik. Jajahan ini bersempadan dengan negeri Terengganu. Bahagian timur-lautnya ialah pantai manakala disebelah barat-dayanya pula ialah kawasan bukit-bukau. Jika anda datang ke sini, beberapa tempat menarik boleh dilawati seperti:

Air terjun Jeram Pasu

Air terjun Jeram Pasu.

Air terjun Jeram Pasu sangat popular sebagai kawasan mandi-manda dan perkelahan. Ia terletak di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh. Walau pun tidak banyak kolam air terjun, namun ia tetap menerima kunjungan ramai terutama di musim cuti. Gelongsor yang dibina juga sangat menyeronokkan. Jeram Pasu sesuai untuk mereka yang ingin membawa anak-anak mandi air terjun.

Jeram Mengaji, Selinsing

Jeram Mengaji atau Jeram Mak Nenek.

Jeram Mengaji atau turut dikenali sebagai Jeram Mak Nenek terletak di Selinsing, Pasir Puteh. Ia semakin dikenali dan mendapat sambutan orang-ramai untuk datang berkelah, mandi air terjun dan melakukan aktiviti pelancongan disini. Kemudahan awam turut disediakan seperti surau, tandas, pondok, chalet, tapak perkhemahan dan gerai makan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk perkhemahan, mendaki bukit dan merentas hutan.

Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Pantai Tok Bali ialah tempat menarik di Kelantan yang cukup terkenal. Ia adalah sebuah pantai yang cantik dan mempunyai beberapa resort menarik untuk bercuti. Antara resort yang popular dikalangan pelancong ialah Tok Aman Bali Beach Resort, Sudara Beach Resort, Dee Wana Resort dan Villa Danialla Beach Resort. Selain bersiar ditepi pantai dan mandi laut, aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah memancing, melawat tempat menarik disekitar kawasan ini seperti replika kapal, jambatan melengkung serta menjamu selera dengan ikan bakar dan makanan laut lain yang segar. Pantai Tok Bali adalah pilihan paling popular untuk percutian pantai di Kelantan pada masa ini.

Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu.

Pantai Bisikan Bayu adalah satu lagi pantai yang menarik di Pasir Puteh. Ia terletak di Kampung Pantai Dalam Rhu, Cherang Ruku. Disepanjang pantai ini terdapat deretan pohon cemara yang sentiasa terbuai dihembus bayu laut. Bunyi yang terhasil dikatakan seperti bisikan dan dari sinilah dikatakan timbulnya nama Pantai Bisikan Bayu. Seperti pantai lain, pengunjung boleh bersiar-siar dikawasan pantai, bersantai menikmati pemandangan laut atau berkelah menikmati juadah dibawah pohon cemara sambil dibuai angin laut yang pasti memberi kenikmatan tersendiri.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pantai Bisikan Bayu.

Tempat menarik di Machang

Tempat menarik di Machang yang boleh dikunjungi ialah lokasi pelancongan alam semulajadi. Ada air terjun, hutan lipur dan kolam air panas yang pasti memberi keseronokan pada pengunjung.

Air terjun Jeram Linang

Air Terjun Jeram Linang di Machang, Kelantan.

Hutan Lipur Jeram Linang adalah tempat percutian alam semulajadi yang menarik di Kelantan. Ia merupakan kawasan air terjun yang telah dibangunkan dengan kolam-kolam mandi yang besar dan sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Suasana hutan yang redup dan udara yang nyaman pasti mendamaikan hati anda. Air terjun yang sejuk cukup menyegarkan.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah mandi air terjun, mandi air terjun dan mandi air terjun lagi. Memang tidak puas mandi dan berendam air yang jernih dan sejuk. Jika anda ingin melakukan aktiviti lain, anda boleh:

  • Merentas hutan.
  • Mendaki ke puncak air terjun.
  • Melawat mini zoo.

Pastinya percutian anda tidak akan sempurna jika tidak berkelah dan bbq di malam hari. Disini juga terdapat kemudahan kedai makan untuk pengunjung menjamu selera, taman permainan kanak-kanak, tandas dan bilik persalinan, wakaf, dewan terbuka dan tertutup, chalet serta tapak perkhemahan.

Hutan Lipur Bukit Bakar

Air terjun Bukit Bakar, Machang.

Kawasan rekreasi popular ini cukup menarik dan sering menjadi tumpuan orang-ramai di musim cuti. Ia adalah lokasi menarik untuk berkelah, mandi air terjun dan berehat menikmati keindahan hutan yang mendamaikan. Suasana yang sunyi dan tenteram amat sesuai bagi mereka yang ingin berehat menenangkan fikiran.

Kolam Air Panas Labok

Kolam Air Panas Tok Bok, Labok.

Kolam air Panas Labok atau juga dikenali sebagai Kolam Air Panas Tok Bok ialah pusat rekreasi yang boleh dilawati jika bercuti di Kelantan. Ia terletak di Kampung Rengas, Labok dalam Jajahan Machang. Kolam air panas ini sesuai untuk berendam kaki atau menyiram badan bagi melepaskan penat. Malah ada yang mengatakan ia sesuai untuk merawat penyakit kulit. Kemudahan asas seperti tandas, bilik persalinan, wakaf rehat, papan gelongsor untuk kanak-kanak, gerai makanan dan kawasan beriadah turut disediakan.

Tempat menarik di Jeli

Jeli terletak di bahagian barat Kelantan. Tempat menarik di Jeli yang paling terkenal ialah Tasik Pergau.

Tasik Pergau

Tasik Pergau, Jeli.

Tasik Pergau ialah antara tempat menarik di Kelantan yang sering menjadi lokasi percutian terutama para pencinta alam semulajadi. Keindahan tasik ini yang dikelilingi kehijauan hutan amat sesuai bagi mereka yang ingin keluar dari kesibukan kota. Suasana yang damai membolehkan pengunjung berehat dengan tenang.

Tasik seluas 460 hektar ini kaya dengan pelbagai spesis ikan termasuk lampam, telapia dan toman. Pengunjung boleh mengisi masa percutian dengan aktiviti memancing. Selain itu, aktiviti merentas hutan juga boleh dilakukan untuk melihat keindahan flora dan fauna yang banyak terdapat disini.

Tempat menarik di Tanah Merah

Tanah Merah ialah destinasi pelancongan yang agak terkenal. Beberapa tempat menarik di Kelantan boleh dilawati jika anda berkunjung ke kawasan ini.

Pusat membeli-belah Bukit Bunga

Bukit Bunga, Tanah Merah.

Sesiapa yang melalui Lebuh Raya Utama Timur Barat dari Perak ke Kelantan pasti pernah singgah di pusat membeli-belah Bukit Bunga. Kawasan yang bersempadan dengan negara Thailand ini terdapat deretan gerai yang menjual pelbagai barangan dari negara jiran tersebut dan juga barangan tempatan dengan harga murah. Kebanyakan pengunjung singgah untuk membeli-belah, menjamu selera atau untuk rehat dan rawat kerana disini terdapat kemudahan tandas awam, masjid, wakaf dan tempat letak kereta.

Air Terjun Lata Hujan

Air Terjun Lata Hujan terletak dalam kawasan Taman Rekreasi Lata Hujan di Tanah Merah. Ia merupakan lokasi pelancongan popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara. Kawasan air terjun ini telah dimajukan dengan pembinaan berbagai kemudahan awam seperti tandas, wakaf, chalet, gerai makanan, tapak perkhemahan dan tempat meletak kereta. Keunikan air terjun Lata Hujan ini pasti memikat ahti pengunjung. Pemandangan aliran air terjun dengan batu-batu besar, airnya yang jernih, sejuk dan menyegarkan membuatkan pengunjung tidak ingin pulang.

Homestay Blok Ulu Kusial

Jika anda ingin menyelami cara hidup masyarakat tempatan di Tanah Merah, Homestay Blok Ulu Kusial ialah tempat menarik yang boleh anda pilih untuk bercuti. Pelancong akan tinggal bersama dengan tuan rumah yang mesra. Berbagai aktiviti masyarakat yang boleh diikuti seperti menoreh getah, turun ke sawah padi, menangkap ikan, melawat dusun buah-buahan dan bermacam-macam lagi. Disamping itu, pengunjung juga berpeluang melihat secara dekat persembahan kebudayaan masyarakat Kelantan seperti persembahan dikir barat, silat dan muzik traditional. Homestay ini juga popular kerana kedudukannya berhampiran Hutan Simpan Ulu Kursial dimana terdapat air terjun Lata Hujan yang sangat menarik.

Jambatan Guillemard

Jambatan Guillemard ialah jambatan keretapi terpanjang di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1920 di Kursial, Tanah Merah dan dibuka untuk lalulintas pada tahun 1924. Pembinaan jambatan ini oleh Inggeris bertujuan memudahkan pengangkutan hasil ladang untuk dihantar ke pelabuhan. Ia pernah dimusnahkan semasa perang dunia kedua oleh Inggeris bagi mengekang kemaraan tentera Jepun. Walau bagaimanapun ia telah dibaikpulih dan dibuka semula untuk lalulintas pada tahun 1948.

Tempat menarik di Kuala Krai

Kuala Krai terletak dalam Jajahan Gua Musang. Beberapa tempat menarik di Kelantan boleh dilawati jika anda berkunjung ke daerah ini. Terkenal sebagai lokasi percutian alam semulajadi yang mengagumkan, ia adalah destinasi wajib dikunjungi bagi anda yang mencari ketenangan.

Air terjun Jelawang

Air terjun Jelawang, Kuala Krai.

Air terjun Jelawang adalah antara air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Ia terletak di Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai. Air terjun yang cantik ini dapat dlihat dengan jelas oleh sesiapa yang melalui kawasan ini. Biasanya, sesiapa yang ingin bercuti disini turut melakukan aktiviti mendaki gunung dan meneroka gua batu kapur yang sangat menarik.

Taman Negeri Gunung Stong

Gunung Stong di Kuala Krai, Kelantan.

Bagi pencinta alam semulajadi, Taman Negeri Gunung Stong adalah tempat menarik di Kelantan yang mesti dikunjungi. Ia merupakan salah satu destinasi pelancongan alam semulajadi yang terbaik di Malaysia. Antara tarikan yang ada disini ialah Gunung Stong dan Gunung Ayam yang sering menjadi pilihan para pendaki.

Selain itu terdapat beberapa air terjun menarik yang boleh anda kunjungi seperti air terjun Jelawang, air terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan air terjun Dua Gunung. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti menarik lain seperti ekspedisi meneroka gua, merentas hutan serta menikmati pemandangan matahari terbit dan matahari terbenam dari puncak gunung.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Hutan Lipur Gunung Stong Kelantan.

Gua Ikan

Gua Ikan ialah antara tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di Kelantan. Ia terletak tidak jauh dari Pekan Dabong. Gua ini merupakan tarikan alam semulajadi yang terkenal di Kuala Krai. Selain itu, ekspedisi ke Gua Ikan juga membolehkan pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna, mandi sungai yang jernih airnya didalam gua, berkelah dan melihat keunikan stalaktit dan stalagmit yang sangat mengagumkan.

Lata Kertas

Lata Kertas Kuala Krai.

Lata Kertas terletak di antara jalan Dabong ke Gua Musang. Ia adalah kawasan air terjun yang cantik dan sangat popular sebagai lokasi perkelahan. Bagi anda yang suka mandi air terjun, air yang jernih, sejuk dan menyegarkan ini pasti menyeronokkan. Kemudahan yang disediakan disini termasuk wakaf, laluan pejalan kaki, tandas awam, surau dan juga kedai.

Lata Rek

Air terjun Lata Rek.

Lata Rek terletak kira-kira 27KM dari bandar Kuala Krai. Ia adalah satu lagi tempat menarik di Kuala Krai yang boleh anda kunjungi. Jika anda ingin membawa anak-anak mandi air terjun, lata ini adalah lokasi terbaik kerana airnya yang cetek dan sangat sesuai untuk kanak-kanak. Airnya bersih dan sangat menyegarkan. Kemudahan asas juga disediakan bagi anda yang ingin berkelah disini.

Lata Beringin

Lata Beringin ialah air terjun yang sangat menarik terletak di Sungai Pas, Kuala Krai. Ketinggian air terjunnya hampir 120 meter dengan kehijauan pokok-pokok hutan semulajadi memberikan pemandangan yang cukup mengagumkan. Walau bagaimanapun, air terjun ini terletak agak jauh dikawasan pedalaman.

Tempat menarik di Gua Musang

Gua Musang terkenal dengan pelancongan alam semulajadi dimana tarikan utama yang ada disini ialah Taman Negara, gunung dan gua batu kapur. Pekannya juga cantik dan bersih. Sesiapa sahaja yang pertama kali mengunjungi Gua Musang pasti terpesona melihat pemandangan bukit-bukit batu kapur yang cantik menghiasi kawasan ini.

Gua Madu

Gua Madu ialah salah sebuah gua menarik yang boleh dilawati jika anda bercuti di Gua Musang. Ia terletak di Kampung Batu Papan, iaitu kira-kira 4 KM dari pusat bandar. Gua ini cukup unik kerana terdapat sumber air dan surau yang dibina didalam gua untuk pengunjung solat. Dahulunya, gua ini pernah menjadi tempat lebah membuat sarang. Dari situ ia dikenali sebagai Gua Madu.

Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara Kuala Koh.

Taman Negara Kuala Koh ialah salah satu tempat menarik di Kelantan yang mesti dilawati oleh para pelancong alam semulajadi. Kawasan ini telah diwartakan sebagai Taman Negara yang meliputi sempadan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir yang terletak dalam Taman Negara ini cukup kaya dengan berbagai spesis flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah memerhati lebih 300 spesis burung, memancing, meredah hutan, berakit, menaiki titian kanopi dan perkhemahan. Kemudahan chalet, asrama, restoran, tapak perkhemahan, perkhidmatan bot dan lain-lain disediakan oleh pihak Taman Negara Kuala Koh.

Sungai Nenggiri

Sungai Nenggiri Gua Musang.

Sungai Nenggiri ialah rangkaian utama sistem saliran sungai di Gua Musang. Ia terkenal sebagai salah satu tarikan pelancongan utama di Kelantan khasnya bagi penggemar aktiviti kayak dan berakit. Sungai ini mempunyai lebih dari 40 buah jeram yang mencabar dan cukup mengujakan. Nenggiri Challenge yang merupakan acara tahunan anjuran KESEDAR dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dan Majlis Belia sering mendapat sambutan luar biasa dari peserta dalam dan luar negara.

Selain itu, Sungai Nenggiri juga merupakan sistem perhubungan utama bagi perkampungan orang asli di kawasan pedalaman Jajahan Gua Musang. Pengunjung boleh mengambil pakej lawatan menyusuri sungai ini melawat perkampungan orang asli, melawat gua, memancing dan lain-lain.

Taman Etnobotani

Taman Etnobotani Gua Musang.

Taman Etnobotani ialah tempat menarik yang tidak boleh dilepaskan jika anda bercuti di Gua Musang Kelantan. Ia adalah pusat penyelidikan hutan dan rekreasi yang terletak berhampiran pusat bandar. Selain menawarkan berbagai maklumat ilmiah berkaitan herba dan hasil hutan, Taman Etnobotani turut menyediakan aktiviti menarik seperti rock climbing, mendaki bukit, perkhemahan, titian kanopi dan menikmati keindahan gua kepada pengunjung. Taman ini merangkumi kawasan seluas 35 hektar. Antara yang dibangunkan didalam kawasan taman ialah taman herba, chalet, taman mini haiwan dan galeri herba. Untuk lawatan dan aktiviti, tempahan awal perlu dibuat melalui KESEDAR.

Tasik Ketitir

Jika anda ke bercuti di Gua Musang jangan lupa untuk ke kawasan rekreasi Tasik Ketitir. Ia adalah sebuah tasik yang cantik dan cukup menenangkan. Dahulunya tasik ini adalah sebuah lombong dan telah dimajukan menjadi pusat pelancongan ditengah bandar Gua Musang. Tempat ini kini menjadi tumpuan orang-ramai yang datang untuk berehat, beriadah dan bersiar-siar menikmati pemandangan yang cukup mempesonakan.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Kelantan, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Nota: Bagi pengunjung yang ingin melawat Kelantan, anda dinasihatkan agar memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Ini kerana negeri ini majoriti penduduknya beragama Islam dan sangat menitik-beratkan ajaran agama. Jaga pemakaian anda agar tidak menyinggung masyarakat tempatan terutama jika anda ke kawasan luar bandar.

Kesimpulan

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Kelantan untuk dilawati yang sempat kami kongsikan. Diharapkan maklumat lokasi pelancongan yang dikongsi mengikut Jajahan memudahkan anda menyusun destinasi yang ingin dikunjungi dan lebih menjimatkan masa. Sekiranya artikel ini berguna untuk anda, jangan lupa kongsikan di laman fb, twitter dan lain-lain sebagai tanda penghargaan. Jika ada kekurangan, sila tinggalkan komen untuk kami perbaiki. Sokongan anda sangat dihargai. Terima kasih dan selamat bercuti!

Lihat semua tempat menarik disetiap negeri: Tempat Menarik.

Lokasi