Bercuti di Pantai Merdeka - Tips lengkap 2020

Pantai Merdeka adalah salah satu tempat pelancongan popular yang ada di Kedah. Ia terletak di daerah Kuala Muda. Pantai ini merupakan lokasi percutian pelancong dan tempat menarik yang menjadi tumpuan penduduk disekitar daerah Kuala Muda. Ramai yang datang bersama keluarga untuk mandi laut atau bersantai melihat pemandangan disini. Pengunjung pasti terpesona melihat Gunung Jerai yang tersergam indah dan juga pekan Tanjung Dawai yang terletak bertentangan dengan Pantai Merdeka.

Pantai ini sentiasa dipenuhi orang-ramai dihujung minggu dan musim cuti persekolahan. Sekiranya anda ingin bersendiri menikmati percutian yang aman dan tenteram, elakkan waktu tersebut. Tempat ini juga tersangat ramai pada hari cuti umum menyebabkan keadaan kurang selesa. Kesesakan jalanraya sangat teruk. Pilih destinasi lain kalau boleh.

Menunggu matahari terbenam

Apa yang menarik?

Apa yang menarik di Pantai Merdeka? Sebenarnya Kedah tidak mempunyai banyak pantai pelancongan di tanah besar. Pantai Merdeka ialah salah satu pantai menarik yang ada. Jika ada yang mengatakan tarikannya ialah pantai cantik berpasir putih, pembohonglah.

Pantai ini mungkin cantik suatu masa dahulu tetapi sepengetahuan saya sejak lebih 20 tahun lepas beginilah keadaannya. Lebih menyedihkan, setelah benteng penahan ombak dan hakisan didirikan, kawasan pantai semakin sempit. Jika air pasang, air laut dan ombak akan sampai hingga ke benteng.

Benteng penahan ombak dan hakisan

Pantai ini tidak sesuai untuk mandi laut kerana air laut tidak lagi bersih seperti dahulu. Namun ada juga pengunjung yang membawa keluarga mandi-manda semasa air pasang. Mungkin teringat semasa kecil dahulu ayah bawa mandi disini.

Mandi laut semasa matahari terbenam

Aktiviti watersport? Jetski, banana boat, berlayar? Jangan percaya sangat, ia tidak wujud. Dulu pernah ada aktiviti berkayak. Sekarang sudah pindah ke Sedim. Mungkin resort Pantai Merdeka ada sediakan, saya tidak pasti. Semasa kunjungan saya memang tidak ada sebarang aktiviti watersport. Bot ke Tanjung Dawai ada.

Jadi apa sebenarnya yang menarik di Pantai Merdeka?

Pemandangan cantik

Salah satu tarikan yang ada di Pantai Merdeka ialah pemandangan laut yang cantik. Anda boleh melihat Tanjung Dawai, bot yang berulang-alik membawa penumpang dan perahu nelayan dilaut.

Jika cuaca cerah, pemandangan Gunung Jerai cukup mempersonakan. Gunung yang membiru tersergam indah dengan kumpulan awan putih menghiasi langit biru bagaikan lukisan. Ia adalah satu pemandangan yang cukup mengagumkan.

Pantai ini juga merupakan lokasi menarik untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Jika anda seorang yang menghargai keindahan alam, datang ke sini pada waktu biasa. Anda boleh menikmati semua ini dengan aman.

Pemandangan Gunung Jerai

Keunikan tersendiri

Pantai Merdeka ada keunikan tersendiri. Jika air surut, anda boleh berjalan ditepi pantai. Dihujung sebelah kanan pantai, selepas jeti bot ke Tanjung Dawai, ada kawasan berbatu besar berhampiran kaki Bukit Penjara. Batu-batu landai berwana merah ini cukup unik. Fosil yang ditemui didalam batu menunjukkan ia berusia lebih 450 juta tahun.

Berhampiran tempat ini juga terdapat sebuah kubu pertahanan yang dibina Inggeris bagi menghalang pendaratan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Sayangnya ia tidak dipelihara dan diketengahkan sebagai salah satu tarikan pelancongan yang ada disini.

Kawasan padang yang luas

Pantai Merdeka sebenarnya mempunyai kawasan yang luas untuk orang awam melakukan aktiviti disini. Padang dihadapan resort cukup menarik dengan rumput hijau dan pohon-pohon rendang yang meneduhkan. Dihadapan medan selera juga ada padang yang luas hingga ke kaki Bukit Penjara.

Padang yang luas di Pantai Merdeka

Banyak tempat yang sesuai untuk berkelah dan melakukan aktiviti bersama keluarga. Cuma dimusim cuti kawasan ini diambil-alih oleh resort dan gerai-gerai perniagaan. Namun masih ada ruang untuk pengunjung mendirikan khemah dan menghampar tikar untuk berkelah.

Taman permainan Kanak-kanak

Kemeriahan di musim cuti

Pantai Merdeka memang meriah di musim cuti sekolah dan hari cuti umum. Ia bagaikan pesta. Gerai perniagaan dibuka disepanjang jalan berhadapan Medan Selera. Ada yang menjual makanan, pakaian dan sebagainya. Anda boleh bayangkannya seperti pasar malam.

Aktiviti dan permainan juga disediakan disini tetapi kebanyakannya hanya untuk kanak-kanak. Ada permainan kereta, basikal, skuter, bouncy castle, layang-layang dan bermacam-macam lagi.

Kemeriahan di Pantai Merdeka

Kemudahan

Sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kedah, kemudahan yang terdapat di Pantai Merdeka tidak mengecewakan. Semuanya ada disediakan cuma isyarat penerimaan telefon sahaja yang agak lemah. Antara kemudahan yang ada ialah:

  • Resort dan chalet penginapan - Ada resort di Pantai Merdeka. Chalet dan homestay pula banyak terdapat dikawasan berhampiran.
  • Tandas awam.
  • Medan selera - Terdapat 16 buah gerai menjual berbagai jenis makanan dan minuman tapi tak semuanya buka.
  • Gerai-gerai jualan.
  • Surau - Surau baru didalam kawasan resort dan surau lama dibelakang dewan berhampiran kaki bukit.
  • Dewan.
  • Kemudahan bot pelancong - Pengunjung boleh menyewa bot untuk bersiar-siar melihat pemandangan menarik disekitar Pantai Merdeka. Bot penumpang ke Tanjung Dawai juga terdapat disini.

Pantai Merdeka Resort, Kedah.

Aktiviti menarik di Pantai Merdeka

Pantai Merdeka menjadi destinasi pilihan penduduk negeri Kedah dan negeri berhampiran untuk berkumpul pada musim cuti terutama pada cuti umum. Aktiviti yang biasa dilakukan disini ialah berkelah. Beberapa aktiviti menarik boleh dilakukan semasa anda bercuti ke Pantai Merdeka seperti:

  • Mandi laut.
  • Bermain layang-layang.
  • Memancing.
  • Perkhemahan.
  • Menaiki bot melihat pemandangan menarik.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Padang permainan.
  • Berbagai permainan untuk kanak-kanak.

Pada hari cuti umum, berbagai aktiviti lain boleh didapati seperti bouncy castle, kereta permainan untuk kanak-kanak, basikal, skuter dan macam-macam lagi.

Mandi laut di Pantai Merdeka, Kedah.

Pantai Merdeka Resort

Pantai Merdeka Resort menyediakan chalet penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam disini. Lokasi Pantai Merdeka Resort adalah berhampiran dengan pantai. Manakala chalet yang disediakan ada berbagai jenis dan harga sewa chalet bergantung kepada jenis chalet. Kemudahan yang disediakan serta aktiviti yang boleh dilakukan termasuk:

  • Kolam mandi dewasa.
  • Kolam mandi kanak-kanak.
  • Padang serbaguna - untuk aktiviti sukaneka hari keluarga dan lain-lain.
  • Barbeque.

Harga chalet disini agak mahal untuk percutian bajet. Mungkin kerana ia adalah satu-satunya resort di Pantai Merdeka. Jika anda berkemampuan, ia adalah pilihan terbaik kerana lokasinya betul-betul berhampiran pantai. Bagi pengunjung tempatan, mereka lebih selesa mendirikan khemah beramai-ramai pada musim cuti umum. Cuma kawasan ini banyak nyamuk. Sangat tidak selesa.

Chalet di Pantai Merdeka, Kedah.

Alamat:
Pantai Merdeka Resort
Kota Kuala Muda,
08500 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

Hubungi:
Telefon : +604-4377 551 / 552 / 555
Fax : +604-4377550
Emel : merdekaresort.sales@gmail.com

Harga tiket:
Harga chalet / bilik pada hari minggu dan peak season.

Standard : RM148+
Deluxe : RM190+
Family : RM296+
Executive : RM392+
Royal : RM530+
Dorm : RM445+

Resort Pantai Merdeka.

Tempat makan sedap di sekitar Pantai Merdeka

Anda tidak perlu risau tentang makanan di Pantai Merdeka. Terdapat banyak tempat untuk anda menjamu selera.

Medan selera Pantai Merdeka

Berbagai makanan ada dijual di medan selera ini. Pengunjung boleh menjamu selera dengan makanan goreng atau berkuah. Antara makanan dan minuman yang istimewa boleh didapati disini ialah:

  • Mee udang.
  • Nasi goreng udang.
  • Char kue teaw.
  • Mee ketam.
  • Laksa.
  • ABC special.
  • Cendol.
  • Laicikang.

Medan Selera Pantai Merdeka

Yang agak mengecewakan ialah pengunjung cuma boleh memesan makanan dari gerai dimana mereka duduk sahaja. Makanan juga terlalu lambat. Mungkin kerana terlalu ramai pelanggan di musim cuti sekolah.

Medan Selera Pantai Merdeka.

Gerai ditepi pantai

Pada musim cuti persekolahan terdapat banyak gerai yang menjual berbagai barangan dikawasan Pantai Merdeka. Antaranya ialah:

  • Makanan dan minuman - Berbagai jenis makanan seperti bihun sup, laksa, makanan ringan, air kelapa dan lain-lain ada disini.
  • Buah-buahan - Buah-buahan tempatan turut dijual disini seperti mempelam, tembikai, limau, oren, pisang dan lain-lain.
  • Permainan kanak-kanak - Pelbagai jenis permainan kanak-kanak dijual termasuk permainan belon air dan lain-lain permainan yang sesuai dimain ditepi pantai.
  • Pakaian - Pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sekiranya anda terlupa membawa seluar mandi, anda boleh mendapatkan disini.

Gerai-gerai disekitar Pantai Merdeka.

Tempat makan malam berhampiran

Jika anda bercuti dan menginap di resort Pantai Merdeka atau chalet lain yang ada disini, beberapa tempat makan menarik boleh dikunjungi di waktu malam.

  • Pulau Sayak - Makan mee udang yang sangat terkenal di Kedah dan berbagai jenis makanan laut yang segar.
  • Sungai Petani - Berbagai jenis makanan seperti ikan bakar, masakan ala-Thai, masakan barat dan lain-lain. Lihat Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah.
  • Tanjung Dawai - Makan makanan laut di pantai Tanjung Dawai. Pengunjung perlu menaiki bot dari Pantai Merdeka untuk ke Tanjung Dawai. Walau bagaimanapun, bot cuma beroperasi diwaktu siang sahaja.

Tempat menarik berhampiran

Tempat menarik berhampiran Pantai Merdeka ialah:

  • Tanjung Dawai - Membeli-belah di jeti dan kawasan Tanjung Dawai atau melihat matahari terbenam di pantai Tanjung Dawai.
  • Monumen Tsunami Pekan Kuala Muda
  • Pulau Sayak.
  • Pasar Bisik - Pusat Jualan Ikan Borong di Kuala Muda. Pemborong yang berminat akan membisikkan harga tawaran kepada penjual. Penjual kemudiannya akan memilih pemborong mana untuk menjual ikannya.

Harga tiket bot Tanjung Dawai

Harga tiket bot untuk ke Tanjung Dawai ialah RM5 seorang. Jika tidak ingin menunggu, RM25 untuk satu bot. Perkhidmatan meronda dengan bot juga disediakan dengan harga yang berbeza.

Maklumat lanjut mengenai Tanjung Dawai lihat artikel Tanjung Dawai Kedah.

Tanjung Dawai berhampiran Pantai Merdeka, Kedah.

Kesimpulan

Bercuti di Pantai Merdeka selama 2 hari 1 malam sudah cukup untuk menikmati keindahan dan mengunjungi tempat menarik yang ada dikawasan ini. Apa yang agak kurang menyenangkan sepanjang percutian kami kesini ialah masalah tiada air di surau Merdeka Beach Resort untuk wuduk dan surau yang agak kotor dibahagian muslimah. Semoga pihak berkenaan memperbaiki kekurangan ini. Surau lain boleh anda kunjungi iaitu berhampiran tempat letak kereta persendirian sebelum masuk ke Pantai Merdeka.

Penginapan alternatif ada dikawasan berhampiran Pantai Merdeka seperti Homestay Makteh, Juwita Chalet Pantai Merdeka, Dyan Chalet Pantai Merdeka dan Bayu Samudera Chalet. Jika anda tidak kisah dengan lokasi diluar kawasan pantai, ia menawarkan keselesaan cuma dari segi fasiliti dan aktiviti mungkin kurang dari Merdeka Beach Resort.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Kedah sebelum baca artikel dibawah.

Lokasi