Gunung Jerai - Percutian dan aktiviti menarik

Gunung Jerai ialah salah satu destinasi pelancongan menarik di Kedah. Ia adalah pusat peranginan tanah tinggi yang mempunyai berbagai tarikan semulajadi. Walaupun tidak sehebat Cameron Highlands, ia menawarkan sesuatu yang lain iaitu pemandangan yang cukup mengagumkan. Selain destinasi percutian, ia juga popular dengan aktiviti mendaki gunung, berbasikal dan mandi air terjun.

Jika anda inginkan suasana percutian ditempat yang sejuk, Gunung Jerai adalah destinasi terbaik untuk bercuti di Kedah. Untuk lawatan harian, anda boleh memandu sendiri hingga ke puncak atau menaiki van yang disediakan dikaki gunung. Artikel ini menerangkan dengan lengkap apa yang ada, tempat menarik serta aktiviti yang boleh dilakukan.

Pemandangan laut dari Gunung Jerai

Lokasi Gunung Jerai

Gunung Jerai terletak di dua daerah iaitu Yan dan Kuala Muda. Kaki gunung dimana terdapat jalan tar untuk ke puncak terletak di Gurun. Ia betul-betul ditepi jalan utama Alor Setar - Sungai Petani. Pengunjung dari Pulau Pinang atau Perlis yang ingin ke sini boleh menggunakan Lebuhraya PLUS dan ikut susur keluar Gurun. Jarak dari plaza tol Gurun ke kaki gunung lebih-kurang 5KM, iaitu dalam 10 minit perjalanan.

Pengunjung boleh memandu terus hingga ke puncak atau mengambil van di kaki gunung. Jarak dari kaki gunung ke puncak lebih kurang 12KM. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 30 minit kerana jalan agak sempit dan merbahaya. Ada selekoh tajam dan ada selekoh merbahaya dimana pemandu tidak nampak kenderaan datang dari hadapan. Jika pertama kali datang kesini, anda disyorkan menggunakan perkhidmatan van.

Alamat:
Gunung Jerai
08300 Gurun,
Kedah

Hubungi:
Tel : 04-4212835 (Pej. Perhutanan Daerah Kedah Tengah)
Tel : 04-4681436 (Pej. Perhutanan Sg. Petani)

Harga tiket:
Bayaran van / Harga penumpang.
Dewasa : RM10
Kanak-kanak : RM5

Waktu operasi:

Setiap hari : 10.00 am - 5.00 pm

Fakta Gunung Jerai

Ketinggian Gunung Jerai ialah 1217 meter. Suhu diatas gunung ialah diantara 19 hingga 24 darjah celsius. Pengunjung boleh bersiar-siar dengan selesa pada waktu siang kerana udara yang sejuk dan nyaman. Pada sesetengah waktu, kabus akan menyelubungi puncak gunung dan pengunjung akan dapat melihat dengan jelas kabus putih dibawa angin.

Kabus di puncak Gunung Jerai

Gunung Jerai adalah satu-satunya puncak tertinggi dikawasan ini. Disekelilingnya ialah sawah padi yang mendatar. Pengunjung dapat melihat pemandangan ini hingga ke laut. Jika cuaca cerah, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi juga jelas kelihatan. Menurut sejarah, Gunung Jerai pernah menjadi panduan pedagang Arab, Cina dan India yang belayar di Selat Melaka sekitar 1500 tahun dahulu untuk berdagang di Kedah. Ini menunjukkan yang ketinggian Gunung Jerai dapat dilihat dari tengah laut.

Pemandangan dari puncak Gunung Jerai

Satu fakta menarik, Gunung Jerai ialah singkapan batu kapur yang besar dan merupakan satu-satunya ciri dari geografi disekitarnya. Ia adalah sebuah pulau pada masa dahulu sehingga satu masa berlaku proses pengangkatan akibat rejahan granit menyebabkan paras air laut rendah lalu membentuk daratan. Maka terjadilah gunung seperti hari ini. Maklumat menyebut pulau tersebut dipanggil Pulau Serai.

Pemandangan sawah padi dari puncak gunung Jerai

Kemudahan

Kemudahan asas disediakan di kaki gunung dan di puncak Gunung Jerai. Di kaki gunung terdapat tempat letak kereta yang luas termasuk ruang untuk bas, kereta dan motosikal. Selain itu, medan selera, kedai, taman permainan kanak-kanak, tandas dan surau turut disediakan.

Kaki Gunung Jerai

Jalan tar dari kaki gunung ke puncak gunung disediakan. Pengunjung boleh memandu hingga ke Padang Tok Sheikh, iaitu tempat menarik paling tinggi yang boleh dilawati. Atas dari itu adalah kawasan larangan yang ditutup kepada orang awam.

Kemudahan di puncak Gunung Jerai yang disediakan untuk pengunjung ialah tandas awam, bilik mandi, pondok rehat, kerusi, dewan, tapak perkhemahan, pondok masak dan surau. Tempat penginapan turut terdapat di puncak gunung.

Tempat menarik di Gunung Jerai

Ada banyak tempat menarik di Gunung Jerai yang boleh dilawati jika bercuti disini. Ada yang terletak di puncak gunung dan banyak lagi dikaki gunung.

    Tempat bersejarah

    Gunung Jerai menyimpan beberapa kesan sejarah di negeri Kedah yang penting. Disini terletaknya sebuah menara yang dibina bagi melaungkan azan sebagai mercu tanda bagi meletakkan Ugama Islam ditempat yang tertinggi. Anda boleh melawat Padang Tok Sheikh dimana menara ini didirikan. Disini juga terletaknya hamparan batu saf, iaitu batu yang rata dengan garisan saf diatasnya.

    Batu Shaf di Padang Tok Sheikh

    Satu lagi kesan peninggalan sejarah di puncak Gunung Jerai ialah Telaga Tok Sheikh. Telaga ini digunakan semasa membina menara dan airnya tidak pernah kering sejak dahulu. Kawasan telaga ini telah dimajukan dan kini ramai yang berkunjung untuk mengambil air untuk diminum, mandi dan dibawa pulang.

    Telaga Tok Sheikh

    Nota: Tok Sheikh yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdullah bin Sheikh Jaafar al-Qumairi Beliau tiba di Kedah sekitar 531H/1136M dan telah mengislamkan Raja Kedah pada ketika itu iaitu Maharaja Derbaraja. Telaga ini dikatakan tempat Tok Sheikh mengambil wuduk.

    Muzium Perhutanan

    Lokasi pertama yang anda akan temui setelah mendaki hampir 10KM ke puncak gunung ialah Muzium Perhutanan Negeri Kedah. Ia adalah salah satu tempat menarik di puncak Gunung Jerai. Lokasinya ditepi jalan berhampiran laluan ke Taman Rimba. Berbagai khazanah dan maklumat mengenai hutan simpan Gunung Jerai dipamerkan disini.

    Ia ditutup sejak September 2019 untuk kerja-kerja baikpulih dan penambahbaikan. Menurut perancangan, ia akan dibuka semula pada 16 Disember 2019.

    Muzium Perhutanan Gunung Jerai

    Taman Rimba

    Taman Rimba adalah tapak perkhemahan di Gunung Jerai. Kawasannya luas, cantik dan mempunyai berbagai kemudahan. Ada chalet, dewan terbuka, dewan memasak, surau, tandas dan bilik air. Disini juga terdapat kolam mandi dan kolam air terjun.

    Kolam mandi di Taman Rimba

    Pada 6 Disember 2019, saya mengunjungi tempat ini, ia seakan lama terbiar. Ada pondok rehat yang telah runtuh. Rumah orkid juga usang tidak terjaga. Namun setelah tiba di lokasi utama, semuanya dalam keadaan baik seperti baru diselenggara. Chalet, dewan terbuka, kolam mandi, tandas dan surau kelihatan bersih dan kemas.

    Air terjun agak kurang menarik kerana air kurang, tidak seperti dahulu. Keadaan seolah-olah dimusim kemarau. Monyet yang banyak dahulu telah tiada. Satu berita baik kerana ia sering mengganggu pengunjung disini. Sebagai ingatan, jika berkelah disini, jangan memberi makan monyet jika ada. Sisa makanan hendaklah dibungkus dan dibuang ke tong sampah yang disediakan.

    Taman Rimba Gunung Jerai

    Batu Kapal

    Batu Kapal adalah salah satu lokasi Geotapak di Gunung Jerai. Lokasinya lebih atas dari resort iaitu diantara Telaga Tok Sheikh dan Padang Tok Sheikh. Batu ini berbentuk seperti kapal. Mitos mengatakan ia adalah kapal Merong Mahawangsa yang disumpah Sang Kelembai menjadi batu.

    Air terjun

    Antara keistimewaan Gunung Jerai ialah banyak air terjun yang cantik boleh dikunjungi. Terdapat dua air terjun di puncak gunung dan beberapa air terjun dikaki gunung. Antara air terjun popular di Gunung Jerai ialah:

    • Air terjun Titi Hayun - Tempat perkelahan popular di Yan.
    • Air Terjun Batu Hampar - Terletak berhampiran Titi Hayun.
    • Air terjun Seri Perigi - Terletak bersebelahan Titi Hayun.
    • Air terjun Puteri Mandi - Pengunjung perlu mendaki dari Titi Hayun.
    • Air terjun Tupah - Terletak di Merbok.

    Maklumat lanjut lihat Tempat menarik di Gunung Jerai Kedah.

    Aktiviti di Gunung Jerai

    Bagi masyarakat setempat, Gunung Jerai adalah tempat riadah harian. Setiap petang, jalan tar ke puncak gunung menjadi trek untuk berbasikal atau berjalan kaki. Dihujung minggu pula lebih ramai yang melakukan aktiviti ini di awal pagi dan petang. Jalan yang teduh dan udara yang bersih menjadikannya semakin popular hari ke hari.

    Gunung Jerai juga adalah lokasi popular untuk aktiviti perkhemahan dan berkelah. Taman Rimba yang merupakan tapak perkhemahan menjadi tumpuan pengunjung untuk berkumpul bersama keluarga pada musim cuti. Kawasan yang luas dengan berbagai kemudahan asas serta pemandangan menarik menjadikannya pilihan terbaik untuk aktiviti ini.

    Kem Rekreasi Gunung Jerai

    Bagi pelancong atau pengunjung yang bercuti disini, beberapa aktiviti boleh dilakukan seperti melawat tempat menarik, mandi air terjun, trekking dan mendaki gunung. Jika merancang untuk kemari, pastikan anda membawa pakaian mandi, pakaian trekking, kasut dan peralatan yang perlu untuk melakukan aktiviti yang dinyatakan.

    Aktiviti terakhir yang mesti dilakukan semasa berada di puncak Gunung Jerai ialah melihat pemandangan menarik. Terdapat beberapa lokasi yang mesti dikunjungi untuk aktiviti ini iaitu:

    1. The Regency Jerai Hill Resort - menawarkan pemandangan sawah padi dan laut. Lokasi ini adalah yang terbaik.
    2. Taman Rimba - pemandangan daerah Yan hingga ke laut, sawah padi dan perkampungan sekitar Guar Chempedak.
    3. Padang Tok Sheikh - Lokasi paling tinggi. Pemandangan sekitar Gurun dan Bedong.

    Lihat pemandangan di Padang Tok Sheikh

    Terdapat beberapa lokasi lain yang turut menawarkan pemandangan menarik. Ada lokasi yang termasuk dalam aktiviti trekking. Walau bagaimanapun, keselamatan perlu diutamakan. Jangan sesekali melepasi had yang ditetapkan. Ramai pengunjung yang tidak mempedulikan perkara ini. Malang tidak berbau. Batu licin, angin kuat dan sebagainya boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini. Jadi, beringatlah.

    Pemandangan dari puncak Gunung Jerai

    Penginapan

    Terdapat banyak tempat penginapan yang sesuai jika anda ingin bercuti di Gunung Jerai. Yang paling popular sudah tentulah The Regency Jerai Hill Resort yang terletak di puncak gunung. Disebabkan penginapan yang terhad, selalunya ia akan penuh terutama di musim cuti sekolah. Anda boleh memilih untuk tinggal di hotel, chalet atau homestay dikawasan berhampiran.

    Chalet Gunung Jerai

    The Regency Jerai Hill Resort

    Gunung Jerai adalah satu-satunya pusat peranginan tanah tinggi di Kedah yang mempunyai tempat penginapan untuk pelancong. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sebuah Gunung Jerai resort iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Resort ini mempunyai 13 chalet dengan 75 bilik disediakan untuk pelancong. Anda boleh menempah bilik melalui laman web atau di pejabat Regency Resort di kaki gunung.

    Antara kemudahan dan fasiliti yang terdapat di resort ini ialah:

    • Kolam renang
    • Taman permainan kanak-kanak
    • Botanical Park
    • Restoran
    • Masjid
    • Tapak perkhemahan

    Harga bilik disini agak mahal mungkin kerana ia adalah satu-satunya Gunung Jerai resort. Walau bagaimanapun, hampir semua maklum-balas dan ulasan pelancong yang bermalam disini berpuas hati. Jadi tentu ia berbaloi. Bagi pengunjung tempatan, mereka lebih selesa mendirikan khemah ditempat awam. Cuma suhu disini agak sejuk terutama diwaktu malam.

    Alamat:
    The Regency Jerai Hill Resort
    Jalan Kaki Bukit, 08300 Gurun,
    Kedah

    Hubungi:
    Tel : 04-466 7777, 04-466 7778
    Email : thejeraihill@thejerai.com.my
    Website : The Regency Jerai Hill Resort

    Harga bilik:
    Superior : RM298
    Premier : RM388
    Executive : RM438

    Penginapan di puncak Gunung Jerai

    Perkhemahan di Taman Rimba. Anda perlu memohon kebenaran dari Jabatan Perhutanan terlebih dahulu dan membawa sendiri semua peralatan perkhemahan.

    Penginapan di daerah Yan

    Anda boleh menginap di chalet atau homestay di daerah Yan yang lebih banyak, murah dan menarik. Berikut ialah antara tempat penginapan menarik yang ada.

    • Anjung Menjaro - Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 012-424 7810.
    • Neo Era Chalet - Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 012-557 9607.
    • Terrabait Premium Chalet -Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 013-520 2855.
    • Damai Gunung Terletak tidak jauh dari Seri Perigi. Ada kolam mandi. Telefon 019-457 2738.
    • Chalet dan Kem Warisan Ayahanda - Terletak di Batu Hampar. Ada sungai dan aktiviti menarik. Telefon 012-475 0661.
    • Salak Denai Chalet - Terletak berhampiran Batu Hampar. Ada kolam mandi. Telefon 012-537 6151.
    • Chalet Rimbun Hijau - Ada kolam mandi. Telefon 012-510 8191.
    • Pawana Jerai Resort - Terletak di tepi pantai Ruat. Telefon 019-630 4799.
    • Casa Bayu Chalet - Terletak di tepi pantai Ruat. Telefon 019-529 4736.
    • Shafi Chalet - Terletak di Teroi. Kaki Gunung Jerai. Ada kolam mandi. Telefon 013-428 3325.
    • Dangau Ayahanda Chalet - Terletak di Teroi. Kaki Gunung Jerai. Ada kolam mandi. Telefon 019-357 9450.

    Penginapan di daerah Kuala Muda

    Ada banyak tempat penginapan di daerah Kuala Muda yang hampir dengan Gunung Jerai. Paling hampir ialah di Gurun. Walau bagaimanapun hanya homestay ada disini. Chalet menarik pula ada disekitar Merbok.

    Bandar Sungai Petani terletak lebih-kurang 27KM sahaja dari kaki Gunung Jerai. Disini banyak pilihan hotel menarik untuk anda pilih.

    Lihat semua hotel, resort, hotel bajet, chalet dan homestay berhampiran Gunung Jerai, harga serta kekosongan pada tarikh anda ingin bercuti di booking.com.

    Tempat makan di Gunung Jerai

    Tidak banyak pilihan tempat makan di puncak Gunung Jerai. Anda boleh menjamu selera di Restoran Puncak Kedah di The Regency Jerai Hill Resort atau Jerai Food Court.

    Jerai Food Court

    Dikaki gunung pula ada beberapa buah kedai makan di medan selera dan deretan kedai berhampiran taman permainan kanak-kanak.

    Walau bagaimanapun, Yan dan Sungai Petani mempunyai banyak tempat makan sedap yang boleh dikunjungi. Lihat Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah.

    Tarikan pelancongan berhampiran

    Jika anda merancang untuk bercuti di Gunung Jerai, beberapa destinasi pelancongan ada di daerah Yan dan Kuala Muda. Lihat halaman dibawah untuk maklumat lanjut.

    1. Tarikan pelancongan di daerah Kuala Muda. Lihat tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati
    2. Tarikan pelancongan di daerah Yan. Lihat tempat menarik di Yan Kedah - Panduan lengkap
    3. Semua tarikan pelancongan di Kedah, lihat melawat Kedah

    Kesimpulan

    Gunung Jerai adalah destinasi pelancongan yang menarik dan mesti dikunjungi jika anda bercuti di Kedah. Berbagai aktiviti menarik boleh dilakukan. Malah, percutian di puncak Gunung Jerai juga adalah pilihan yang popular bagi pelancong yang berkunjung ke negeri ini. Sekiranya anda merancang untuk datang kesini, jangan lupa membawa pakaian dan kasut yang sesuai untuk melakukan aktiviti yang ada.

    Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

    Tarikan pelancongan lain

    Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

    1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
    2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
    3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
    4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
    Lokasi

    Add new comment

    Restricted HTML

    • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
    • Lines and paragraphs break automatically.
    • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
    CAPTCHA
    This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.