Tempat menarik di Perak mengikut daerah

Perak Darul Ridzuan adalah negeri yang luas, mempunyai banyak tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Ia kaya dengan alam semulajadi yang indah seperti hutan lipur, air terjun, gua dan gunung yang sesuai untuk pelancongan alam semulajadi. Selain itu, terdapat beberapa tempat menarik di Perak kesan peninggalan sejarah untuk dilawati seperti Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah, Kota Ngah Ibrahim di Larut Matang dan banyak lagi.

Sekiranya anda merancang untuk membawa keluarga bercuti di negeri ini, terdapat dua tempat percutian riang-ria bersama keluarga iaitu Taman Tema Bukit Merah Lake Town Resort dan juga Taman Tema Lost World Of Tambun. Manakala untuk destinasi percutian bajet pula, terdapat beberapa tempat menarik yang terkenal seperti Pulau Pangkor, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Gerik. Bagi membantu anda membuat perancangan itinerari, kami senaraikan tempat-tempat menarik yang boleh anda kunjungi mengikut daerah sebagai panduan.

Nota: Untuk bercuti di Perak, sila lawati halaman Tempat percutian menarik di Perak.

Daerah di negeri Perak.

Tempat menarik di Daerah Batang Padang

Daerah Batang Padang bersempadan dengan negeri Pahang dan juga negeri Selangor. Bandar utama di daerah ini ialah Tapah. Berikut ialah senarai tempat pelancongan menarik di Perak mengikut kawasan dalam daerah ini.

Tempat menarik di Tapah

Tapah adalah bandar terbesar di daerah Batang Padang. Jika anda ingin melancong ke tempat menarik sekitar Tapah, anda boleh mengunjungi:

  • Perkampungan Orang Asli di Batang Padang - Perkampungan orang asli disekitar kawasan air terjun Lata Iskandar dan Kuala Woh. Pengunjung boleh melihat cara kehidupan masyarakat disini yang masih mengamalkan cara hidup tradisional serta mencari rezeki dengan hasil hutan. Apa yang menarik ialah barangan kraftangan, ukiran kayu, buah-buahan dan lain-lain hasil hutan boleh dibeli untuk dibawa pulang.
  • Hutan Rekreasi Kuala Woh - Terletak kira-kira 13 KM dari pekan Tapah. Satu destinasi pelancongan alam semulajadi yang sangat menarik. Selain melihat keindahan flora dan fauna, terdapat kolam air panas di Lubuk Merbau yang merupakan lokasi perkelahan popular. Lebih menarik lagi, terdapat jambatan gantung sepanjang 30 meter yang merentasi Sungai Batang Padang dimana pengunjung dapat melihat keindahan hutan tropika dari atas.
  • Air terjun Lata Iskandar - Terletak dijalan Tapah ke Cameron Highland. Air terjun Lata Iskandar merupakan air terjun yang popular dan menjadi persinggahan pelancong yang ingin bercuti ke Cameron Highland. Airnya jernih dan sejuk menyegarkan. Juga terdapat gerai-gerai makanan dan cenderahati berhampiran air terjun ini.
  • Air terjun Lata Kinjang - Air terjun menarik ini boleh dilihat dari lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Puncak air terjun tertinggi ialah lebih kurang 850 meter. Terdapat kolam yang luas dikawasan air terjun untuk mandi-manda dan juga kemudahan pondok untuk pengunjung berehat atau berkelah bersama keluarga.
  • Air terjun Lata Sungai Bil - Salah satu kawasan air terjun yang menjadi lokasi perkelahan dan mandi-manda di daerah Batang Padang.

Tempat menarik di Sungkai

Sungkai pula adalah tempat yang sesuai untuk penginapan jika anda merancang percutian bajet ke daerah ini. Disini terdapat banyak homestay dengan harga berpatutan sesuai untuk membawa keluarga atau bersama rakan-rakan. Dikawasan ini juga terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati, antaranya:

  • Felda Residence Hot Springs, Felda Sungai Klah - Kawasan rekreasi kolam air panas ini merupakan tarikan utama pelancong di Sungkai. Ia ini dibangunkan dan dijaga dengan baik menjadikannya cukup menarik untuk pengunjung berehat. Kemudahan asas yang ada termasuk kerusi rehat, surau, tandas dan bilik persalinan. Kolam air panas awam percuma disediakan namun bagi pengunjung yang inginkan privasi, anda boleh menyewa jacuzzi peribadi dengan harga bermula RM75 sejam. Disini juga terdapat hotel bagi pengunjung yang ingin bermalam.
  • Sungkai Wildlife Reserve - Sebuah pusat pemuliharaan binatang liar yang terletak di kampung Manderang, Sungkai, Perak. Terdapat ladang ternakan rusa seluas 100 hektar diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar.
  • Ladang Herba - Kawasan hutan seluas 5 hektar ini dibangunkan untuk projek tanaman herba secara besar-besaran. Penyelidikan dan pembangunan dilakukan oleh pihak MARDI. Selain itu, kawasan nurseri seluas 3 hektar yang ditanam dengan pelbagai jenis herba juga terdapat di Sungai Selinsing, Tapah.
  • Pusat buah-buahan - Kawasan Sungkai dan Bidor merupakan pusat buah-buahan segar di negeri Perak. Pengunjung boleh membeli pelbagai jenis buah-buahan dengan mudah jika melalui kawasan ini. Ladang Tanaman Kekal Untuk Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungkai seluas 260 hektar telah diusahakan oleh penduduk dengan berbagai jenis tanaman buah-buahan seperti jambu, betik, belimbing dan mangga.

Tempat menarik di Bidor

Di Bidor ada tempat perkelahan terkenal yang menjadi tempat rekreasi masyarakat setempat, iaitu Lubuk Degong. Walau bagaimanapun tempat ini tidak terdapat kemudahan asas untuk pengunjung.

Tempat menarik di Daerah Hilir Perak

Bandar utama di daerah ini ialah Teluk Intan. Terdapat beberapa tempat bersejarah yang boleh dilawati jika anda bercuti kesini. Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi di daerah Hilir Perak ialah:

  • Batu Bertenggek Perang Dunia Pertama - Memorial peringatan Perang Dunia Pertama bagi perajurit yang terkorban yang diletakkan oleh tentera British semasa zaman pemerintahan mereka.
  • Beting Beras Basah, Bagan Datoh - Tempat menarik untuk melihat matahari terbenam.
  • Kawasan kemalangan pertama keretapi di Malaysia - Kemalangan kereta api yang pertama dalam sejarah berlaku di Sungai Kerawai, Teluk Anson, Perak pada tahun 1888. Walaupun tiada lagi keretapi dan laluannya juga sudah semakin hilang ditelan zaman namun ia kekal dalam lipatan sejarah.
  • Limbungan Bot Teluk Intan - Limbungan Kering yang pertama didirikan di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1952. Ia adalah untuk pembaikan bot dan motorbot. Antara kemudahan yang ada di Limbungan ini ialah bengkel, bilik stor dan 'tool sheds'.
  • Menara Condong Teluk Intan - Salah satu tempat menarik di Perak yang unik. Menara jam setinggi 25.5 meter, 8 aras dan sedikit condong ini terletak di Teluk Intan. Rekabentuknya adalah seperti pagoda. Pengunjung boleh masuk kedalam menara ini dan melihat bahagian dalamannya yang kemas dan terjaga. Ia dibina oleh Leong Choon Chong.
  • Bangunan-bangunan era British - Antaranya ialah Stesen Keretapi Teluk Intan (sekarang dijadikan sekolah memandu), Hock Soon Temple yang dibina pada tahun 1883.
  • Bekas Istana Raja Muda - Walaupun disenaraikan sebagai tempat menarik di Perak, istana lama ini kini merupakan kawasan terbiar yang ditumbuhi semak-samun.

Menara Condong di Teluk Intan.

Keterangan gambar: Menara Condong yang terletak di Teluk Intan, Perak.

Tempat menarik di Daerah Hulu Perak

Daerah Hulu Perak merupakan destinasi percutian popular bagi para pencinta alam di Malaysia. Banyak tempat-tempat menarik di Perak berada didalam daerah ini terutama tarikan alam semulajadi. Bandar utama di daerah Hulu Perak ialah Gerik. Daerah ini bersempadan dengan negeri Kedah, negeri Kelantan dan juga negara jiran iaitu Thailand. Berikut ialah senarai tempat menarik untuk dilawati mengikut kawasan didalam daerah Hulu Perak.

Tempat menarik di Gerik

Bandar Gerik terletak di tengah-tengah antara negeri kedah dan Kelantan jika anda melalui lebuhraya Kedah-Kelantan. Ia menjadi destinasi persinggahan dan lokasi percutian bajet yang sangat strategik bagi pelancong yang ingin ke Kelantan atau ke Kedah. Bagi yang belum pernah kesana, rancanglah percutian ke Gerik. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati seperti:

  • Hutan Belum - Merupakan lokasi utama bagi eko-pelancongan di daerah Hulu Perak. Hutan Belum adalah taman simpanan semulajadi hutan hujan tropika. Ia kaya dengan berbagai jenis herba, pokok-pokok yang jarang ditemui seperti meranti, cengal dan keruing serta pelbagai spesis tumbuhan lain. Di hutan ini juga terdapat bunga Rafflesia, iaitu bunga terbesar di dunia.
  • Pulau Banding - Tempat pelancongan menarik yang terletak di Tasik Banding (Tasik Temenggor).
  • Tasik Temenggor - Terletak di Lebuh raya Timur Barat antara negeri Perak dengan negeri Kelantan. Ia adalah sebuah empangan hidroelektrik. Juga dikenali dengan nama Empangan Temenggor.
  • Gua Gendang - Gua yang pernah menjadi tempat persembunyian komunis suatu masa dahulu. Bagi yang gemar melakukan aktiviti lasak, meneroka gua ini pasti memberi kepuasan kepada anda.
  • Taman rekreasi Air Beruk - Kawasan rekreasi dan perkelahan penduduk setempat. Airnya yang jernih dan udara yang nyaman memberi kesegaran kepada pelancong yang berkunjung kesini.
  • Lata Pinang - Terletak kira-kira 25 minit dari Pekan Grik. Anda terpaksa melalui jalan tidak berturap selama 20 minit untuk sampai ke Lata Pinang yang mempunyai 3 tingkat air terjun ini.
  • Empangan Pong - Empangan menarik ini terletak kira-kira 20 minit dari Pekan Grik. Anda terpaksa melalui 30 minit jalan yang tidak berturap daripada simpang masuk ke Kampung Pong.
  • Batu Hampar - Satu lagi tempat perkelahan yang ada didaerah ini.
  • Kampung Bongor Taman Rafflesia - Bagi pelancong yang gemar merentas hutan melihat keindahan alam semulajadi, anda boleh melihat spesis bunga terbesar dunia disini.
  • Kawasan Perkelahan Lata Ulu Lawin - Kawasan taman rekreasi ini menjadi tumpuan pengunjung yang datang berkelah, mandi-manda dan bersantai menghirup udara segar disini. Lengkap dengan kemudahan asas untuk pengunjung.
  • Pulau Tali Kali - Hutan Lipur Pulau Tali Kail adalah tempat menarik untuk perkhemahan bagi pencinta alam semulajadi. Kemudahan asas disediakan. Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan seperti menaiki bot disekitar tasik, memancing ikan air tawar, merentas hutan dan lain-lain lagi.
  • Dataran Pengkalan Buaya - Terletak di Kampung Kuala Rui. Aktiviti menarik yang boleh dikakukan disini ialah memancing, river cruise, berkayak dan berakit.
  • Air terjun Tanjung Kala - Mempunyai air terjun yang agak menarik. Pengunjung perlu berjalan kai dan merentas hutan untuk sampai ke kawasan air terjun ini.
  • Kawasan perkelahan Ulu Rui - Salah satu kawasan perkelahan keluarga di daerah Gerik.
  • Gunung Kenderong - Bagi pengunjung yang gemar mendaki gunung, ini adalah satu lagi cabaran buat anda.

Air terjun di Gerik, Perak.

Keterangan gambar: Pemandangan menarik air terjun di Gerik, Perak.

Tempat menarik di Lenggong

Lenggong terletak paling selatan dalam daerah Hulu Perak, iaitu lebih hampir ke Ipoh. Jika anda ke Lenggong, jangan lupa singgah ke tempat menarik seperti:

  • Galeri Arkeologi Kota Tampan - Juga dikenali dengan nama Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Menyimpan khazanah silam seperti rangka manusia berusia lebih 10,000 tahun (perak man) yang di temui di negeri Perak.
  • Air terjun Lata Kekabu - Kawasan rekreasi air terjun menarik ini sesuai untuk mandi-manda dan berkelah. Terdapat kolam air terjun yang luas dan dalam sesuai untuk orang dewasa mandi.

Tempat menarik di Daerah Kerian

Bandar utama dalam daerah Kerian ialah Parit Buntar. Bila baca tentang Parit Buntar pasti ramai yang teringat tentang Pasar Kemboja. Jika anda berkunjung kesana, terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti:

  • Kuala Gula Bird Sanctuary - Sebuah taman perlindungan pelbagai spesis burung yang berhijrah dan membuat sarang disini. Sekitar bulan September hingga April setiap tahun, dianggarkan sekitar 200 ribu ekor burung dari 50 spesis yang singgah di Santuari Burung Kuala Gula ini termasuk spesis eksotik dan diancam kepupusan.
  • Pantai Ban Pecah - Terletak di Tanjung Piandang, pantai ini adalah tempat menarik untuk bersantai dan menjamu selera. Terkenal dengan kari ikan sembilang serta mi udang Tanjung Piandang.
  • Ladang Arowana - Lawati ladang ternakan ikan arowana atau ikan kelisa di kawasan Kampung Tebuk Panchor, Bukit Merah.
  • Galeri Banjar - Terletak di Bagan Serai.
  • Membeli-belah di Pasar Kemboja Parit Buntar - Pasar ini merupakan tarikan utama pelancong ke daerah Kerian. Berbagai barangan terutama pakaian dijual dengan harga murah.

Daerah Kerian adalah salah satu destinasi percutian bajet di negeri Perak. Terdapat banyak homestay yang menawarkan harga berpatutan yang boleh dijadikan tempat penginapan jika anda bercadang untuk bercuti lama disini.

Bird Sanctuary

Keterangan gambar: Bird Sanctuary.

Tempat menarik di Daerah Kinta

Banyak tempat menarik di Perak terletak di daerah Kinta. Bandar terbesar di daerah ini ialah bandaraya Ipoh. Bandar-bandar lain di daerah Kinta ialah Batu Gajah, Chemor dan Tambun. Senarai dibawah adalah antara tempat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong.

Tempat menarik di Batu Gajah

Batu Gajah mempunyai beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi, antaranya seperti:

  • Istana Kellie (Kellie's Castle) - Bangunan yang terkenal ini sudah berusia lebih 100 tahun. Ia dibina pada tahun 1905 oleh William Kellie Smith untuk isteri beliau, Agnes. Bangunan yang hanya siap separuh sahaja ini kini menjadi lokasi pelancongan menarik di Perak kerana struktur senibinanya yang mengagumkan.
  • Taman Alam Kinta - Taman Burung.
  • Warisan Kapal Korek Bijih Timah di Tanjung Tualang.

Kellie Castle di Batu Gajah, Perak.

Keterangan gambar: Peninggalan sejarah, Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak.

Tempat menarik di Ipoh

Ipoh adalah ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Ia adalah destinasi percutian bajet yang paling popular di Malaysia. Ini kerana Ipoh mempunyai banyak tempat menarik disekitarnya serta mempunyai perkhidmatan pelancongan yang sangat baik. Pengunjung tiada masalah untuk mendapatkan tempat penginapan, tempat makanan yang banyak dan murah serta pengangkutan awam untuk kemana-mana. Berikut ialah senarai tempat menarik di Ipoh untuk dilawati:

  • Gua Tempurung - Terletak di Gopeng, ia adalah sebuah gua batu kapur yang cantik. Ia mempunyai bumbung kubah yang berbentuk seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini adalah sekitar 1.9 KM. Terdapat berbagai kemudahan didalam gua ini seperti lampu, tangga dan titi bagi memudahkan pelancong menyusuri gua dan menikmati pemandangan indah yang terbentuk didalam gua.
  • Menara Peringatan Birch - Sebuah menara sejarah yang terletak di bandaraya Ipoh. Ia merupakan menara jam yang dibina bagi memperingati pembunuhan J.W.W Birch, bekas Residen British yang pertama negeri Perak, semasa peristiwa Pasir Salak..
  • Masjid Negeri - Masjid yang menjadi mercu tanda di Ipoh ini mempunyai rekabentuk dan senibina yang sangat cantik. Salah satu keunikan masjid ini ialah terdapat 125 buah kubah dibina diatas bumbung masjid.
  • Muzium Darul Ridzuan - Terletak berhampiran Bangunan SUK Negeri Perak. Bangunan ini dibina dengan ciri-ciri Inggeris. Terdapat dua buah kubu pertahanan udara dibina pada 1940 untuk berlindung dari serangan tentera Jepun. Tujuan asal muzium ini adalah untuk menyimpan bahan sejarah perlombongan bijih timah dan perhutanan di Ipoh.
  • Muzium Geologi - Muzium ini dibina pada tahun 1957. Terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Muzium Geologi ini mempunyai lebih 600 koleksi sampel mineral yang dipamerkan kepada pengunjung.
  • Stesen Keretapi Ipoh - Bangunan menakjubkan dengan struktur senibina Turki ini begitu terkenal sehingga digelar Taj Mahal Ipoh. Ia dibina pada tahun 1935 oleh British. Bangunan ini turut menempatkan Hotel Majestic selain daripada pejabat urusan Keretapi Tanah Melayu sendiri.
  • Taman D.R. Seenivasagam - Taman rekreasi ini adalah salah satu lokasi menarik di Ipoh. Terletak ditengah bandaraya Ipoh, Taman D.R Seenivasagam lengkap dengan berbagai kelengkapan riadah, tempat bermain, lorong pejalan kaki, padang serbaguna dan lain-lain.
  • Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz - Satu lagi taman rekreasi di Ipoh. terletak di Jalan Tambun, Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz lebih dikenali dengan nama Padang Polo oleh masyarakat tempatan. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini lebih kepada beriadah seperti berbasikal, jogging, bermain bolasepak dan sebagainya.
  • Kompleks Sukan DBI.
  • Ladang Penternakan Kuda Kebangsaan - Ladang penternakan kuda ini terletak di Tanjung Rambutan. Kuda-kuda yang dibiak adalah dari berbagai spesis berkualiti untuk perlumbaan.
  • Taman Rekreasi Gunung Lang - Salah satu tempat menarik di Ipoh yang harus dikunjungi. Kesan peninggalan sejarah perlombongan zaman dahulu ini telah dimajukan dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pengunjung. Antara yang menarik disini ialah tasik yang luas, menara pandang jauh, jeti bot serta air terjun buatan tertinggi di Malaysia.
  • Bulatan Sultan Idris Shah - Mercu tanda Bandaraya Ipoh yang mempunyai rekabentuk yang cantik. Pemandangan lebih menarik di waktu malam dengan pancutan air dan lampu berwarna-warni yang menghiasi tempat ini.
  • Kelab Lumba Kuda Perak - Terletak di Bandaraya Ipoh, kelab ini telah dirasmikan pada tahun 1926. Pengerusi pertama Kelab Lumba Kuda Perak ialah F Douglas Osbourne, pengusaha bijih timah di Ipoh pada masa itu.
  • Kelab Golf Diraja Perak.
  • Kelab Golf Meru Valley.
  • Perpustakaan Tun Abdul Razak - Perpustakaan awam terbesar di Ipoh. Ia merupakan tempat untuk mendapatkan maklumat, mencari bahan bacaan dan pusat rujukan penduduk di bandaraya ini.
  • Tokong Kek Lok Tong dan Tokong Sam Poh Tong - Tokong yang dibina dicelahan batu kapur di Gunung Rapat, Ipoh. Mempunyai rekaan senibina dan lanskap yang menarik.
  • Tokong Perak Tong - Terletak di Jalan Kuala Kangsar, kira-kira 6 KM dari bandaraya Ipoh. Menjadi tarikan pelancong kerana keunikan rekabentuk dan pemandangan gua yang mengagumkan.
  • Kuil Kallumalai Arul Migu Subramaniam.

Lihat artikel: Tempat menarik di Ipoh - Panduan 2020

Stesen Keretapi Ipoh mempunyai rekabentuk bangunan yang unik.

Keterangan gambar: Bangunan Stesen Keretapi Ipoh yang menarik.

Tempat menarik di Chemor

Chemor adalah sebuah pekan kecil di daerah Kinta. Ia terkenal dengan pertanian ubi kayu suatu ketika dahulu. Chemor mempunyai kemudahan pengangkutan yang baik malah terdapat stesen keretapi disini. Tarikan pelancong di Chemor antaranya ialah:

  • Kraftangan Taman Seramik.
  • Ulu Chepor - terkenal dengan pusat perkelahan Chepor yang merupakan tempat mandi dan rekreasi popular di Chemor. Airnya yang sejuk dan nyaman serta kehijauan hutannya memberi kesegaran kepada pengunjung yang datang kesini.

Gunung Lang di Ipoh Perak.

Keterangan gambar: Pemandangan Gunung Lang yang terletak berhampiran Ipoh, Perak.

Tempat menarik di Tambun

Tambun terkenal dengan taman tema Lost World of Tambun. Selain itu terdapat tempat menarik alam semulajadi yang boleh dikunjungi di kawasan Tambun seperti:

  • Gua Tambun.
  • Kolam Air Panas Tambun.
  • Lost World of Tambun - Tempat menarik untuk percutian keluarga yang terkenal ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong taman tema air dari seluruh negara.

Lihat artikel: Percutian ke Lost World of Tambun

Tempat menarik di Daerah Kuala Kangsar

Kuala Kangsar ialah Bandar Diraja. Ia merupakan satu lagi destinasi popular percutian di Perak. Bandar ini sangat bersih dan cantik. Terdapat beberapa kawasan pelancongan dan rekreasi serta tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh dilawati. Jika bercuti di daerah ini, anda boleh kunjungi lokasi-lokasi berikut:

  • Pusat Pembangunan Kraftangan Perak - Pusat jualannya terletak di tebing Sungai Kuala Kangsar. Terdapat pelbagai barangan kraftangan yang diperbuat daripada mengkuang, rotan, seramik dan sebagainya. Ramai pelancong singgah membeli cenderahati dari Kuala Kangsar disini.
  • Pokok Getah Pertama dan Tertua di Malaysia - Dibawa ke Malaysia pada tahun 1876 dan ditanam di rumah residen Perak di Kuala Kangsar.
  • Memorial Keris.
  • Menara Pavilion Segi Empat.
  • Istana Iskandariah, di Bukit Chandan.
  • Galeri Sultan Azlan Shah - Galeri ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ia menyimpan himpunan dan kisah-kisah dan perjalanan hidup Sultan Azlan Muhibbudin Shah untuk dilihat dan diikuti sendiri oleh rakyat jelata.
  • Masjid Ubudiah, di Bukit Chandan.
  • Muzium Diraja - Dahulunya dikenali sebagai Istana Kenangan (Istana Lembah atau istana Tepas) terletak di Bukit Chandan. Bangunan reka bentuk tradisional melayu ini begitu mengagumkan dan dibina tanpa menggunakan paku walau sebatang.
  • Resort Sungai Perak.
  • Air Terjun Kampung Hulu Kenas.
  • Pusat Kraftangan Mariwasa.
  • Pusat Rekreasi JPS.

Lihat artikel: Tempat menarik di Kuala Kangsar untuk dilawati.

Sungai Siput mempunyai ladang yang banyak dan luas. Ia juga mempunyai jalinan jalanraya yang sangat baik. Jika melalui kawasan ini, anda boleh singgah melawat tempat menarik seperti:

  • Ladang Infoternak.
  • Taman Rekreasi Raja Intan Suraya.

Industri Kraftangan juga terdapat di Kuala Kangsar. Antara produk yang terkenal ialah:

  • Labu Sayong - Salah satu kesenian tradisional melayu, labu asalnya dibuat di Mukim Sayong, Kuala Kangsar, kerana itu ia dipanggil labu sayong. Ia diperbuat daripada tanah liat. Gunanya ialah untuk mengisi air untuk diminum. Juga terdapat labu sayong yang diukir dengan cantik untuk perhiasan.
  • Tekatan Benang Emas - Seni tekat ialah seni jahitan benang emas pada kain baldu untuk hiasan pakaian. Ia adalah kesenian tradisional orang melayu di negeri Perak. Asalnya ia adalah untuk golongan diraja sahaja tetapi kini dijadikan produk industri pelancongan dengan menghasilkan pelbagai barangan tekatan seperti tepak sirih, cadar, bantal dan lain-lain.

Jika masih belum puas melawat tempat menarik di Kuala Kangsar, masih ada aktiviti menarik yang boleh anda lakukan. Aktiviti menarik lain di Kuala Kangsar ialah:

  • Melawat kubur Tok Temong.
  • Melawat Makam Daeng Selili Padang Changkat.
  • Menaiki bot penambang menyusuri tebing Sungai Perak.
  • Medan Cendol dan Laksa bersebelahan bazar kraf dan Laman Budaya.
  • Kolam Air Panas Ara Panjang, Manong.
  • Jambatan Sayong.

Tempat menarik di Daerah Larut, Matang dan Selama

Tiga kawasan yang luas di Perak ini digabungkan menjadi satu dearah iaitu Daerah Larut, Matang dan Selama. Tempat pelancongan yang paling terkenal di daerah ini ialah Taiping dan Bukit Merah Laketown Resort.

Tempat menarik di Bukit Gantang

Bukit Gantang tidak mempunyai banyak tempat menarik namun ia terkenal dengan Gunung Bubu yang menjadi tarikan pelancongan alam semulajadi. Selain itu, bagi anda yang kerap menggunakan lebuhraya PLUS pasti teringat RnR Bukit Gantang yang menjual banyak buah-buahan tempatan.

Tempat menarik di Selama, Perak

Selama ialah kawasan utara Perak yang bersempadan dengan negeri Kedah. Ia terkenal kerana mempunyai banyak tempat menarik alam semulajadi yang menjadi tumpuan pelancong. Berikut adalah senarai tempat yang boleh dikunjungi di Selama:

  • Lata Rambong, Sungai Bayor.
  • Lubuk Gajah, Sungai Seputih.
  • Lata Damak,Sungai Bayor.
  • Lata Mengkuang,Rantau Panjang.
  • Kolam air panas Trong.

Tempat menarik di Taiping

Taiping merupakan salah satu destinasi percutian bajet yang paling popular di Malaysia. Ia mempunyai banyak tempat menarik dan menawarkan berbagai jenis pelancongan. Bagi anda yang ingin bercuti kesana, berikut ialah senarai tempat menarik di Taiping yang boleh dilawati:

  • Bukit Larut (Maxwell Hill) - Pusat peranginan tanah tinggi yang telah lama terkenal di Malaysia. Bukit Larut adalah kawasan yang paling banyak menerima hujan. Terdapat pelbagai spesis flora dan fauna menarik boleh ditemui disini. Ia adalah tempat menarik di Taiping yang harus dikunjungi jika melancong kesini. Lihat artikel Bercuti di Bukit Larut.
  • Taman Tasik Taiping - Ia merupakan taman tasik tertua di Malaysia. Taman Tasik Taiping adalah bekas lombong bijih timah. Kawasan ini dimajukan dan terdapat berbagai kemudahan seperti trek jalan kaki, taman permainan kanak-kanak, berkayak ditasik dan lain-lain lagi. Panorama yang indah dengan pohon-pohon yang menghijau merupakan daya tarikan untuk orang-ramai bersantai bersama keluarga disini.
  • Muzium Perak - Terletak di bandar Taiping. Muzium Perak mempamerkan beberapa binatang liar yang diawet, rangka binatang, kebudayaan, pakaian pengantin melayu tradisional dan berbagai khazanah lagi. Lihat artikel Muzium Perak di Taiping
  • Zoo Taiping - Tempat menarik di Perak yang menjadi tumpuan pelancong di musim cuti persekolahan. Zoo Taiping adalah zoo yang pertama dibina di Malaysia. Menempatkan berbagai spesis haiwan eksotik dari dalam dan luar negara. Ia terletak berhampiran Taman Tasik Taiping, iaitu di kaki Bukit Larut. Zoo Taiping juga menawarkan Night Safari dimana pengunjung boleh melawat dan melihat aktiviti binatang diwaktu malam.
  • Burmese Pool Taiping - Kolam berbatu semulajadi yang menarik dan menjadi lokasi mandi-manda penduduk sekitar Taiping ini terletak di kaki Bukit Larut. Kolamnya yang luas dan air yang sejuk sangat menyegarkan. Ia juga sesuai untuk anda merehatkan diri dalam suasana kehijauan hutan yang sungguh mendamaikan.
  • Tanah Perkuburan Perang Taiping - Taiping War Cemetery merupakan kawasan perkuburan askar yang mati semasa perang dunia kedua.
  • Port Weld, Kuala Sepetang - Tempat bersejarah dimana ia pernah menjadi pelabuhan di zaman penjajah British dahulu. Terdapat stesen keretapi lama dan laluan keretapi yang pertama dibina dari Taiping ke sini. Antara lain yang terkenal di Kuala Sepetang ialah mee udang.
  • Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim - Kota ini juga dikenali sebagai Muzium Sejarah Matang. Ia adalah kota lama yang dibina oleh Che Ngah Ibrahim sebagai pusat pentadbiran dan pertahanan daerah Larut, Matang. Disini terdapat rumah yang pernah didiami oleh Ngah Ibrahim yang kini dijadikan pusat pameran sejarah.
  • Kediaman Residen British - Tempat sejarah peninggalan penjajah.
  • Stesen keretapi Taiping - Stesen keretapi pertama yang dibina di Tanah Melayu bagi menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang). Ia dibina pada tahun 1882 dan dirasmikan pada tahun 1885.
  • Taman Tema Air Bukit Merah - Terletak di Gunung Semanggol, Taiping. Satu lagi tarikan utama pelancongan di negeri Perak, Bukit Merah lake Town Resort ada berbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Ada berbagai permainan air, mini cable car, mini zoo, Pulau Orang utan dan macam-macam lagi. Disini juga terdapat tasik yang luas dan cantik. Kemudahan penginapan juga ada berbagai seperti bilik, apartmen dan chalet diatas air.

Terdapat banyak lagi tempat menarik di Taiping yang boleh anda kunjungi jika bercuti di sini. Ia adalah lokasi yang sangat sesuai untuk membawa keluarga melancong. Kos perbelanjaan juga rendah dan anda boleh memilih untuk tinggal di homestay. Jika tidak puas melawat lokasi diatas, dibawah ini ada beberapa destinasi menarik lagi untuk anda kunjungi:

  • Paya Bakau Daerah Kerian.
  • Pantai Ban Pecah.
  • Kg Dew Fireflies Eco Tourism.
  • Kolam air panas Trong - Trong mempunyai kolam air panas yang boleh anda kunjungi jika ingin merasai air panas semulajadi.

Lihat artikel: Tempat menarik di Taiping Perak.

Tempat menarik di Daerah Manjung

Daerah Manjung ialah daerah di negeri Perak yang menghadap Selat Melaka. Ia terkenal dengan pantai yang cantik, resort yang menarik serta restoran makanan laut yang sedap. Banyak tempat-tempat menarik di Perak berada dalam daerah Manjung. Antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong di daerah ini ialah:

Tempat menarik di Pulau Pangkor

Pulau Pangkor adalah salah satu tempat pelancongan paling popular di Malaysia. Walaupun hanya sebuah pulau kecil tetapi Pulau Pangkor mempunyai berbagai faktor yang menarik kehadiran pengunjung saban hari seperti pantai yang cantik dengan air yang jernih, hutan semulajadi yang belum tercemar, kesan sejarah peninggalan Belanda, resort dan chalet yang menarik, banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan serta berbagai-bagai lagi. Berikut adalah senarai tempat menarik di Pulau Pangkor dan juga tempat peninggalan sejarah yang boleh anda lawati:

  • Batu Bersurat - Tempat sejarah.
  • Kota Belanda - Tempat sejarah.
  • Bukit Pangkor.
  • Pangkor village - Pantai.
  • Pangkor Laut - Resort.
  • Pantai Pasir Bogak
  • Pantai Puteri Dewi - Pantai, resort.
  • Teluk Nipah - Pantai.
  • Teluk Segadas - Pantai.

Maklumat lanjut lihat Pulau Pangkor - Tempat menarik, aktiviti dan percutian.

Tempat menarik di Lumut

Lumut mempunyai kawasan yang luas. Sesuatu yang menarik di Lumut ialah kapal-kapal tentera laut di dermaga kapal TLDM. Ia adalah pemandangan mengagumkan jika menaiki bot melihat pemandangan dari laut. Tempat menarik yang boleh dikunjungi di Lumut ialah:

  • Bukit Engku Busu.
  • Taman Esplanade - Taman rekreasi.

Jeti Lumut untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor.

Keterangan gambar: Jeti Lumut ialah tempat menaiki feri ke Pulau Pangkor, Perak.

Tempat menarik lain dan aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan di Lumut ialah:

  • Teluk Batik - Resort, pantai, taman permainan, rekreasi. Lihat artikel Bercuti di Teluk Batik Lumut.
  • Pasir Panjang, Segari - Pantai, pusat pembiakan penyu, memancing.
  • Teluk Senangin - Pantai menarik di Perak ini merupakan lokasi percutian popular di Perak dan sentiasa dikunjungi pelancong di hari minggu dan musim cuti sekolah. Lihat artikel Bercuti di Teluk Senangin.
  • Pulau Sembilan - Pulau, memancing, menyelam.
  • Jambatan Gantung - tempat rekreasi terkenal di Lumut, Perak.
  • Damai Laut Resort - Sebuah resort popular di Lumut yang turut menawarkan berbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.
  • Restoran Terapong Teluk Gedong - Tempat makan popular di Lumut yang menyediakan menu makanan laut yang sedap.
  • Kampung Bharu - Terkenal dengan aktiviti sukan air di Lumut, Perak.
  • Kampung Teluk - Sebuah perkampungan pertanian yang menarik di Lumut.
  • Lata Ulu Licin Beruas - Kawasan rekreasi air terjun. Lata ini menjadi lokasi perkelahan dan mandi-manda yang popular bagi penduduk sekitar Lumut dan daerah Manjung.
  • Muzium Beruas - Muzium yang memaparkan peninggalan silam dan kesan sejarah di Perak.
  • Pulau Marina (Teluk Muruh) - Sebuah jeti dan tempat pelancongan menarik di Lumut.

Teluk Senangin di Lumut Perak.

Keterangan gambar: Pemandangan waktu senja Pantai Senangin yang terletak dalam daerah Manjung, Perak.

Tempat menarik di Daerah Perak Tengah

Daerah Perak Tengah terkenal dengan sejarah Pasir Salak. Selain itu terdapat beberapa tempat menarik lain yang boleh dilawati jika anda berkunjung kesana.

Tempat menarik mengikut kawasan

Bota Kanan mempunyai sebuah Pusat Penternakan Tuntong Sungai yang boleh anda lawati.

Parit pula terdapat tempat rekreasi popular yang menjadi tumpuan masyarakat setempat iaitu Taman Chempaka Sari.

Pasir Salak terkenal dengan cerita sejarah pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang dan mengusir penjajah daribumi Perak. Jika melalui kawasan ini, jangan lupa untuk singgah ke tempat menarik yang disenaraikan dibawah:

  • Kompleks Sejarah Pasir Salak - Sebuah kompleks peringatan bagi mengenang kembali perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela yang menentang penjajah. Pengunjung boleh melawati Kubu Datuk Maharajalela, Meriam Lela Rentaka, Makam Siputum, kubur J.W.W Birch dan sebagainya didalam kompleks ini.
  • Pusat Kraftangan Pulau Tiga - Berbagai produk kraftangan tradisional Perak boleh didapati disini seperti barangan hiasan suji, labu sayong dan lain-lain.

Program Homestay di Perak

Program homestay merupakan cara terbaik bagi pelancong untuk menghayati budaya masyarakat tempatan. Homestay juga selalunya terletak berhampiran lokasi percutian. Jadi selain mengikuti aktiviti harian penduduk, menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan, melihat cara pembuatan makanan tradisi dan sebagainya, pelancong juga boleh melawat tempat-tempat menarik dikawasan berkenaan.

Pogram homestay yang terdapat di Perak ialah:

  • Homestay Bukit Gantang, Kuala Kangsar - Hubungi En.Ghasali Bin Hjai Mohd Yunus, 012-484 2742.
  • Homestay Felda Sg. Klah, Sungkai - Hubungi Pn Sa’adiah Bt Mohamad, 05-438 6515.
  • Homestay Bagan Datoh - Hubungi En. Mohd Saed Bin Mohd Hamzah, 019-549 9777.
  • Homestay Selama - Hubungi En. Ismazul Izwan Bin Ishak, 019-508 2461.
  • Homestay Gopeng - Hubungi En. Azuan Bin Md. Nasir, 017-506 4783.
  • Homestay Kampung Beng, Lenggong - Hubungi En. Mohd Alias Bin Mohd Arshad, 016-565 4303.
  • Homestay Kg.Pendiat, Bota Kanan - Hubungi Pn. Mariam Binti Ishak, 017-579 6251.
  • Homestay Maju Manik, Teluk Intan - Hubungi En. Ahmad bin Ismail, 012-591 7771.

Selain menjadi tumpuan pelancong, homestay juga kerap menerima program anak angkat dari institusi pengajian tinggi. Sekiranya anda berminat mengikuti program yang ditawarkan, sila hubungi penyelaras homestay berkenaan untuk maklumat lanjut mengenai program yang disediakan, harga dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Setakat ini dahulu yang sempat kami senaraikan tempat menarik di Perak untuk anda. Kami akan sentiasa mengemaskini produk pelancongan dan memasukkan maklumat baru untuk panduan pengunjung. Semoga perkongsian ini memberi manafaat dalam merancang percutian keluarga atau apa jua yang anda lakukan. Sila kongsikan artikel ni di laman fb, twitter atau g+ sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Sekiranya ada kekurangan atau cadangan tempat menarik dan juga aktiviti menarik lain yang terdapat di negeri Perak, kongsikan diruangan komen dibawah. Ianya amat bermakna bagi kami. Terima kasih dan selamat bercuti!

Lihat semua tempat menarik d isetiap negeri di Malaysia: Tempat Menarik.

Lokasi