Tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga

Bercuti bersama keluarga ialah masa dimana ibubapa atau suami/isteri meluangkan sepenuh masa bersama anak-anak di suatu lokasi pelancongan. Untungnya ada banyak sekali tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Malaysia. Malah ada tempat pelancongan yang memerlukan kos perbelanjaan yang sangat kecil untuk bercuti. Kali ini Percutian Bajet telah menyusun lokasi percutian menarik yang ada di setiap negeri yang sesuai untuk percutian keluarga. Fokus percutian ini lebih kepada kegermbiraan kanak-kanak, bermula dengan negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.

Tempat percutian keluarga di Perlis

Ada beberapa tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Perlis yang boleh dijadikan destinasi percutian pengunjung yang tinggal di negeri ini. Namun kami mencadangkan satu lokasi percutian menarik dibawah keranan keistimewaan tersendiri.

Taman Rekreasi Bukit Ayer

Tempat peranginan awam ini adalah lokasi yang sangat sesuai untuk percutian keluarga di Perlis. Ia adalah kawasan taman rekreasi yang terletak di Hutan Lipur Bukit Ayer. Berbagai kemudahan awam disediakan termasuk gerai makanan, tandas, surau dan pondok/wakaf. Taman Rekreasi Bukit Ayer merupakan tempat perkelahan popular pada hujung minggu dan cuti umum. Terdapat air terjun dan kolam untuk mandi walaupun kurang menarik berbanding air terjun lain di Malaysia. Anda boleh memberi pengalaman pada anak-anak untuk berkhemah tapi jangan lupa untuk menyewa chalet cantik yang ada disini. Manakala aktiviti yang boleh dilakukan pula ialah mandi-manda, merentas hutan, melihat flora dan fauna, bbq dan lain-lain lagi.

Air Terjun Bukit Ayer.

Lokasi

Taman rekreasi Bukit Ayer terletak kira-kir 13 km dari Bandar Kangar. Anda boleh memandu terus ke sana.

Alamat:
Kompartmen 9, Hutan Simpan Bukit Bintang
01000 Kangar,
Perlis.

Hubungi:
Tel: 604-9776626, 9765966
Fax: 604-9767901
Email: forestry@perlisforestry.gov.my

Jika anda dari luar dan ingin ke Perlis semata-semata membawa keluarga bercuti, anda boleh memilih penginapan lebih menarik di lokasi strategik seperti hotel di Kangar atau Kuala Perlis. Anda boleh membawa keluarga melawat tempat menarik seperti Gua Kelam, Taman Ular, Taman Herba, Muzium dan banyak lagi yang sesuai dilawati di Perlis.

Tempat percutian keluarga di Kedah

Ada beberapa destinasi pelancongan menarik dan sangat sesuai dijadikan lokasi untuk percutian keluarga di Kedah. Percutian pantai, puncak gunung dan taman tema memang menyeronokkan namun tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga yang kami cadangkan ialah:

Kolam Air Panas Ulu Legong, Baling

Mandi di kolam air panas sepuas hati dari malam hingga ke awal pagi. Untuk penginapan, ada chalet menarik dalam kawasan kolam dan homestay dikawasan berhampiran. Bagi anda yang ragu-ragu untuk bercuti ke sini, jangan bimbang. Anak-anak anda pasti seronok bermain air.

Maklumat lanjut lihat artikel air panas Ulu Legong, Baling.

Kolam air panas Ulu Legong Baling.

Tempat percutian lain

Jika anda kurang berminat, ada beberapa tempat menarik lain yang boleh dipertimbangkan untuk membawa keluarga bercuti di Kedah. Senarai dibawah adalah antara lokasi terbaik yang boleh kami fikirkan. Maklumat lanjut mengenai setiap tempat boleh dicari menggunakan fasiliti carian (Search) dibahagian atas laman web ini.

  • Cinta Sayang Resort dan The Carnivall Water Park Sungai Petani - Ambil pakej penginapan di resort dan water park.
  • Pantai Merdeka, Kuala Muda - Pantai peranginan. Ada resort di kawasan pantai dan homestay di kawasan berdekatan.
  • Titi Hayun, Yan - D'Yan Chalet, Salak Denai Chalet, Putri Ayu Chalet dan lain-lain di di Kawasan Peranginan Titi Hayun, Yan. Semua chalet tersebut mempunyai kolam mandi sendiri.
  • Sungai Sedim, Kulim - Ada chalet dan asrama di tempat peranginan. Homestay dan resort juga ada di kawasan berhampiran. Aktiviti menarik ialah berbagai permainan white water sports dan melihat keindahan hutan di tree top walk.
  • The Regency Jerai Hill Resort - Jika anda ingin membawa keluarga bercuti di peranginan tanah tinggi di Kedah, anda boleh bercuti di The Regency Jerai Hill Resort. Walaupun suhu di puncak gunung tidak sesejuk Genting Highland namun suasana nyaman dan udara segar masih dapat dirasa. Anda juga boleh membawa anak-anak melawat tempat menarik di puncak gunung, mandi air terjun dan melihat pemandangan indah.
  • Chalet terapung PPK Merbok - Tempat yang menarik, suasana juga menarik. Aktiviti yang boleh dilakukan termasuk bbq dan memancing di sangkar ikan berhampiran chalet.
  • Pulau Langkawi - Pulau bebas cukai tempat membeli-belah dan juga untuk bercuti bersama keluarga. Berbagai aktiviti pelancongan disediakan untuk pengunjung. Anda dan keluarga pasti tidak akan puas bercuti disini.

Tempat percutian keluarga di Penang

Penang mempunyai banyak tempat percutian menarik, kemudahan penginapan, berbagai aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan dan juga tempat makan yang sedap-sedap. Jika anda merancang untuk bercuti bersama keluarga, berikut merupakan lokasi percutian menarik yang boleh anda pilih.

Teluk Bahang

Tempat paling menarik untuk bercuti bersama keluarga di Penang ialah Teluk Bahang. Sebab utama ialah kerana disini terletaknya taman tema Escape yang sangat popular. Berbagai permainan menyeronokkan untuk kanak-kanak dan orang dewasa disediakan. Selain itu berbagai tempat menarik dan aktiviti boleh dilakukan. Penginapan juga lebih murah dikawasan ini.

Lihat artikel Bercuti di Teluk Bahang Penang.

Pemandangan pantai Batu Ferringhi.

Tempat percutian lain

Banyak tempat menarik yang sesuai untuk bawa anak-anak anda melawat jika bercuti di Penang. Antara yang paling menarik, kami cadangkan Bukit Bendera, Taman Botani, Taman Rama-Rama dan Toy Museum. Anda boleh menginap di Georgetown jika anda mahu kerana pilihan hotel yang banyak disana. Tempat menarik lain ialah seperti:

  • Batu Ferringhi - Tempat percutian terkenal dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Namun penginapan di Batu Ferringhi agak mahal. Kami cadangkan anda menginap di Teluk bahang atau Tanjung Bungah yang jauh lebih murah dan tidak jauh dari sini.
  • Tanjung Bungah - Kawasan pantai sebelum Batu Ferringhi.

Tempat percutian keluarga di Perak

Perak mempunyai banyak tempat percutian keluarga yang menarik. Ada berbagai jenis tempat menarik yang boleh anda pilih. Jika ingin bergembira bersama ahli keluarga, percutian di taman tema tentu sesuai buat anda. Jika ingin mandi laut di pantai yang cantik dan melakukan berbagai aktiviti sukan air, Pulau Pangkor adalah destinasi anda. Bagi percutian bajet pula, anda boleh ke Teluk Batik atau Teluk senangin. Malah percutian ke Pengkalan Hulu menikmati keindahan alam semulajadi juga tidak kurang menariknya.

Senarai tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Perak yang paling popular:

Bukit Merah Laketown Resort

Resort menarik untuk percutian keluarga yang sangat popular. Ada berbagai jenis penginapan yang boleh anda pilih dari Laketown Hotel dan chalet terapung di Kampung Air. Tarikan di Bukit Merah Laketown Resort ialah berbagai aktiviti yang disediakan untuk pengunjung seperti:

  • Water park - Kolam mandi, gelongsor air dan berbagai permainan lagi.
  • Chairlift - Kereta kabel sepanjang 600 meter yang membolehkan anda melihat pemandangan menarik dari atas.
  • Eco park - Kawasan semulajadi hutan hujan tropika yang menempatkan berbagai spesis binatang.
  • Skycycle - Kereta kayuhan tangan diatas trek yang agak tinggi membawa pengunjung melihat binatang di hutan ini.
  • Paddle Boat/Kayak/Canoe.

Alamat:
Bukit Merah Laketown Resort
Jalan Bukit Merah,
34400 Semanggol, Perak Darul Ridzuan.

Hubungi:
Telefon : +605 890 8888
Fax : +605 890 8000
Emel : reserv@bmlaketown.com.my

Lihat artikel Percutian menarik di Bukit Merah Laketown Resort.

Bukit Merah laketown Resort.

Tempat percutian lain

Sekiranya Bukit Merah Laketown Resort pernah anda kunjungi, ada beberapa lagi tempat percutian menarik untuk keluarga di Perak yang popular boleh anda pilih seperti:

  • The Lost World of Tambun - Salah sebuah taman tema yang paling popular di Malaysia dan menjadi pilihan ramai untuk membawa keluarga bercuti.
  • Pulau Pangkor - Pulau Pangkor mempunyai pantai yang cantik dan pilihan resort yang banyak. Salah satu tempat menarik untuk melancong bersama keluarga di Perak.
  • Pantai Teluk Senangin - Pantai Teluk Senangin, Seri Manjung. Destinasi percutian bajet yang popular dan sesuai dijadikan lokasi untuk hari keluarga.
  • Pantai Teluk Batik - Pantai Teluk Batik, Lumut ini cukup terkenal sebagai salah salah satu lokasi percutian keluarga.
  • Tasik Banding - Tasik yang cantik di Hulu Perak. Tempat percutian menarik untuk bulan madu.

Tempat percutian keluarga di Selangor

Ada beberapa pantai di Selangor yang menarik boleh dikunjungi di daerah Kuala Selangor dan Sepang. Pantai-pantai ini menjadi destinasi percutian popular kerana lokasi yang berhampiran dengan ibukota Kuala Lumpur.

Shah Alam

Tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Selangor pilihan kami ialah Shah Alam. Ini kerana banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Taman Botani Bukit Cerakah, Wet World Water Park Shah Alam, muzium dan lain-lain lagi. Malah di i-City sahaja terdapat berbagai tarikan yang pasti menggembirakan hati anak-anak anda.

Lihat artikel Tempat menarik di Shah Alam untuk dilawati.

Snowalk i City Shah Alam.

Tempat percutian lain

Tempat-tempat percutian menarik lain di Selangor ialah seperti:

  • Pantai Morib, Banting - Pantai menarik yang menjadi lokasi perkelahan keluarga.
  • Sunway Lagoon - Lokasi percutian keluarga paling diminati di Malaysia. Ada taman tema air dan juga amusement park.
  • Pantai Bagan Lalang, Sepang - Pantai yang cantik dan merupakan lokasi menarik untuk bercuti bersama keluarga.
  • Homestay Kampung Sungai Haji Dorani - Homestay Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.
  • The Cabin Pantai Remis - Pantai Remis, Sungai Sembilang, Jeram, Selangor.

Tempat percutian keluarga di Negeri Sembilan

Mungkin ramai yang sudah mengetahui tentang tempat percutian menarik di Port Dickson tetapi ada beberapa destinasi pelancongan lain di Negeri Sembilan yang boleh dijadikan lokasi percutian keluarga.

Wet World Resort Air Panas Pedas

Percutian Bajet memilih Wet World Air Panas Pedas Resort sebagai tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Negeri Sembilan kerana terdapat pelbagai permainan menarik disediakan untuk semua peringkat umur. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu dewasa RM15.00 dan kanak-kanak RM12.00. Antara yang ada disini ialah:

  • Kolam air panas.
  • Permainan gelongsor air.
  • Tempat permainan kanak-kanak.
  • Pondok/Cabana untuk disewa.
  • Kedai cenderahati.
  • Kantin.
  • Surau.
  • Locker.
  • Bilik persalinan.
  • Tandas.

Wet World Resort Air Panas Pedas.

Keterangan gambar: Wet World Resort Air Panas Pedas. Kredit gambar: Faizal Riza MOHD RAF

Alamat:
Wet World Air Panas Pedas Resort
Lot 603, Mukim Pedas,
71400 Pedas, Negeri Sembilan.

Hubungi:
Telefon : +606 6858 027
Fax: +606 6858 030
Emel : sales.wwappr@owg.com.my

Kekurangan Wet World Air Panas Pedas ialah penginapan. Tiada penginapan disediakan disini. Anda perlu mencari sendiri penginapan diluar. Semak Booking.com atau Trivago untuk mendapat harga terbaik.

Tempat percutian lain

Sekiranya anda tidak berminat dengan taman tema air panas, ada beberapa lokasi percutian menarik lain di Negeri Sembilan yang boleh dipilih seperti:

  • Pantai Port Dickson - Pantai Teluk Kemang atau Blue Lagoon.
  • Jelebu - Anda boleh bawa keluarga berkelah ke Jeram Toi atau Lata Kijang. Melawat Muzium Adat dan juga Titi Eco Farm.
  • Kuala Pilah - Anda boleh bawa anak-anak melawat Perkampungan Budaya Terachi, berkelah dan mandi-manda di Hutan Lipur Jeram Tengkek atau Hutan Lipur Ulu Bendul.

Tempat percutian keluarga di Melaka

Negeri yang terkenal dengan industri pelancongan di Malaysia. Ada dua pilihan mudah untuk percutian keluarga di Melaka iaitu yang pertama, bercuti di resort yang ada taman tema air. Untuk percutian singkat, ini yang paling mudah. Pilihan yang kedua ialah bercuti di resort atau hotel yang lebih murah dan berkunjung ke tempat menarik. Ini sesuai bagi anda yang ingin bercuti habis-habisan. Untuk pilihan ini, anda boleh memilih mana-mana hotel atau resort yang sesuai dan tempat pelancongan pilihan kami ialah:

Ayer Keroh, Melaka

Jika ingin bercuti bersama keluarga di Melaka, Air Keroh adalah satu lokasi yang mempunyai segala-galanya. Untuk bergembira bersama ahli keluarga, anda boleh ke taman tema air Melaka Wonderland. Anda mungkin akan menghabiskan masa hingga ke petang disini. Untuk hari dan aktiviti seterusnya, anda boleh membawa keluarga melawat:

Melaka Wonderland.

  • Zoo Melaka.
  • Taman Mini Malaysia dan Mini Asean.
  • Taman Burung.
  • Taman Rama-Rama.
  • Beberapa tempat menarik lain dikawasan ini.

Anda juga boleh ke Bandar Melaka dan melawat tempat menarik yang ada disana. Sekiranya masa percutian anda terhad, ada beberapa lokasi yang sesuai yang boleh dipilih seperti pantai dimana anda boleh berkelah dan melakukan berbagai aktiviti bersama anak-anak. Mandi laut, bermain layang-layang dan aktiviti watersport adalah antara aktiviti yang biasa terdapat dipantai. Lain-lain tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga di Melaka ialah:

  • A'Famosa Resort Melaka di Alor Gajah.
  • Bayou Lagoon Resort Melaka.

Tempat percutian keluarga di Johor

Johor mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang boleh dikunjungi. Untuk destinasi percutian keluarga di Johor, kami mencadangkan lokasi berikut kerana keseronokan yang ditawarkan.

Legoland Malaysia

Sekiranya kos tidak menjadi masalah, percutian keluarga ke Legoland Malaysia yang terletak di Nusajaya, Johor adalah yang terbaik. Anak-anak anda pasti akan seronok dengan pelbagai permainan menarik yang disediakan disana. Malah ibubapa juga boleh turut serta bergembira bersama di Legoland Theme Park dan Legoland Water Park.

Harga tiket Legoland untuk Theme Park dan Water Park.

  1. Dewasa - RM170.
  2. Kanak-kanak dan warga emas - RM135.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Harga tiket dan aktiviti menarik di Legoland Johor.

Legoland Malaysia.

Tempat percutian lain

Sekiranya Legoland Malaysia tidak menarik minat anda atau belum tiba masanya untuk membawa keluarga bercuti kesana, anda boleh memilih destinasi lain yang akan kami cadangkan. Ada banyak lagi destinasi percutian menarik di Johor yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Berikut ialah senarai lokasi percutian bajet untuk membawa keluarga bercuti di Johor:

  • Desaru - Tarikan utama disini semestinya pantai Desaru yang cantik. Anak-anak boleh mandi laut dan bermain pasir. Selain itu anda juga boleh melawat Muzium Nelayan di Tanjung Balau, Dusun Buah-Buahan Desaru di Sungai Cemaran dan melihat kelip-kelip di Sungai Lebam.
  • Air terjun Kota Tinggi - Kanak-kanak mana yang tidak sukakan air? Di air terjun Kota Tinggi ini mereka boleh mandi sepuas hati. Ada gelongsor air menarik seperti di taman tema dan untuk kepuasan maksima, anda boleh bermalam di Kota Tinggi Waterfalls Resort.

Tempat percutian keluarga di Pahang

Ada banyak lokasi pelancongan menarik yang sesuai untuk percutian keluarga di Pahang. Ada taman tema, pantai, pulau dan bermacam-macam lagi. Kami telah memilih lokasi berikut sebagai tempat percutian keluarga paling menarik.

Bukit Gambang Resort City

Untuk percutian keluarga riang-ria dan paling menyeronokkan di Pahang, Bukit Gambang Resort City adalah pilihan utama kami. Tarikan utama tentu sekali taman tema air yang mempunyai berbagai permainan menarik. Selain itu, disini juga terdapat tarikan lain yang sesuai untuk seisi keluarga seperti melawat Jungle Farm, menunggang kuda, menaiki kerta kuda, ATV ride dan banyak lagi.

Harga tiket Water Park:

  1. Dewasa - RM32.
  2. Kanak-kanak - RM22.

Anda boleh memilih penginapan di Bukit Gambang Resort City mengikut kesesuaian keluarga anda. Ada tiga jenis penginapan disediakan iaitu Caribbean Bay Resort, Arabian Bay Resort dan Global Heritage. Harga bilik memang agak mahal tetapi anda boleh menyemak harga online kerana selalu ada tawaran dan potongan harga seperti di Booking.com atau Trivago.

Bukit Gambang Resort City.

Tempat percutian lain

Tempat percutian lain yang menarik untuk membawa keluarga bercuti di Pahang ialah:

  • Cameron Highland - Cameron Highland ialah lokasi pelancongan yang sangat popular. Percutian tanah tinggi dengan suhu sejuk dan berbagai tempat menarik yang boleh dikunjungi pasti menyeronokkan.
  • Cherating - Banyak hotel dan resort menarik di tepi pantai Cherating. Anda juga boleh melakukan berbagai aktiviti pelancongan yang disediakan seperti ATV ride, Cherating Mangrove River Cruise, bermain layang-layang, mandi laut dan macam-macam lagi.

Tempat percutian keluarga di Terengganu

Terengganu merupakan lokasi percutian yang popular terutama pulau-pulaunya yang cantik. Ia menjadi tarikan bukan sahaja pelancong tempatan malah turut mengundang pelancong dari luar negara. Bagi anda yang mempunyai anak-anak yang sudah agak besar dan sudah bersekolah, bercuti di pulau di Terengganu pasti memberi kelainan dan pengalaman baru pada mereka. Namun untuk keseluruhan, lokasi yang lebih sesuai untuk dijadikan tempat percutian keluarga di Terengganu ialah Kuala Terengganu.

Kuala Terengganu

Kuala Terengganu mempunyai beberapa tempat menarik yang sangat sesuai untuk membawa keluarga bercuti. Destinasi pelancongan seperti Taman Tamadun Islam yang mengumpulkan monumen terhebat dari seluruh dunia amat sesuai untuk mendedahkan anak-anak pada seni rekabentuk dan kebudayaan Islam yang agung.

Selain itu, anda juga boleh membawa anak-anak melawat Muzium Negeri Terengganu yang juga merupakan destinasi menarik yang sangat bermanafaat. Terdapat banyak galeri pameran yang dapat menambah pengetahuan dan pembelajaran anak-anak anda.

Lihat artikel Tempat menarik di Kuala Terengganu untuk dilawati.

Tempat percutian lain

Tempat menarik lain yang boleh dijadikan lokasi percutian keluarga di Terengganu ialah:

  • Air terjun Sekayu - Kawasan peranginan air terjun menarik dan sangat popular. Ada kemudahan chalet dikawasan air terjun iaitu Tropical Resort @Sekayu yang boleh dijadikan tempat penginapan anda.
  • Tasik Kenyir - Berbagai tarikan disini seperti houseboat, air terjun dan tentu sekali taman tema yang baru beroperasi, Kenyir Water Park.

Tempat percutian keluarga di Kelantan

Ada beberapa tempat percutian menarik untuk keluarga di Kelantan yang boleh anda pilih. Bagi pengunjung yang merancang untuk bercuti ke negeri ini, Percutian Bajet mencadangkan lokasi pelancongan menarik dibawah.

Seri Nipah Resort

Resort ini terletak ditepi Pantai Irama, Bachok. Ia menyediakan berbagai jenis chalet untuk keluarga dengan harga yang sangat berpatutan iaitu bermula dari RM90 untuk chalet keluarga ekonomi hingga RM300 untuk chalet vvip. Seri Nipah Resort juga merupakan lokasi sesuai dan tempat menarik untuk hari keluarga jika anda merancang untuk membuat perjumpaan beramai-ramai. Kemudahan chalet, dorm, dewan, padang permainan serta bbq telah tersedia disini. Aktiviti menarik tentu sekali mandi-manda di pantai yang landai dan juga aktiviti sukan seperti bermain bola tampar. Selain itu, berbagai tempat menarik berhampiran yang boleh dilawati. Rancang aktiviti menarik untuk semua ahli keluarga. Ia pasti memeriahkan lagi percutian anda.

Alamat:
Kg. Kuala Nipah,
16300 Bachok,
Kelantan Darul Naim

Hubungi:
Tel: +609 778 0288
Email: guests@srinipah.com

Tempat percutian lain

Tempat menarik lain yang boleh dijadikan lokasi percutian keluarga di Kelantan ialah:

  • Villa Danialla Beach Resort.
  • Tok Aman Bali Beach Resort.

Pesanan Khidmat Masyarakat: Bagi pengunjung yang ingin bercuti ke tempat peranginan awam seperti taman rekreasi, pantai awam, dan sebagainya, kami menyeru agar sama-sama menjaga keindahan serta kebersihan tempat-tempat tersebut agar dapat dinikmati semua. Jangan tinggalkan sisa makanan atau sampah-sarap jika anda berkelah dibawah pokok atau di pondok rehat yang disediakan. Tunjukan keperihatinan dan minda kelas pertama dalam menjaga tempat awam.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan senarai tempat menarik untuk bercuti bersama keluarga yang menarik ada disetiap negeri di Malaysia. Untuk percutian bajet, destinasi pelancongan yang murah semestinya di kawasan peranginan awam seperti taman rekreasi air terjun dan pantai. Anda boleh mengambil chalet, guesthouse atau homestay untuk penginapan keluarga yang mana kos sewa adalah jauh lebih murah berbanding hotel. Selain selesa, anda boleh memasak untuk menjimatkan belanja. Akhir kata, semoga senarai tempat percutian keluarga ini berguna untuk panduan anda merancang percutian yang menarik. Selamat Bercuti.

Lokasi