Tempat menarik di Kuala Terengganu untuk dilawati

Salah satu lokasi pelancongan yang menarik di pantai timur ialah Kuala Terengganu. Ia adalah sebuah bandar cantik yang terletak di tepi laut. Kuala Terengganu mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri. Ia terkenal sebagai lokasi pemasaran barangan tempatan yang berkualiti tinggi seperti songket dan batik. Disini juga terdapat beberapa lokasi pelancongan yang cukup menarik dan unik. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi senarai tempat menarik di Kuala Terengganu yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke bandar ini.

Jika anda mencari lokasi menarik untuk bercuti, lihat artikel: Tempat percutian menarik di Terengganu.

Senarai tempat menarik di Kuala Terengganu

Buat pengunjung yang ingin bercuti ke Kuala Terengganu, ada beberapa perkara yang perlu anda ketahui terlebih dahulu. Pertama ialah kemudahan jalanraya di Terengganu sangat baik. Jalanraya ke bandar Kuala Terengganu dibina ditepi pantai. Anda boleh singgah untuk berehat dan menikmati pemandangan laut yang sangat cantik. Ditepi jalan juga banyak terdapat kedai makan dan juga gerai yang menjual satar dan keropok lekor. Anda boleh menjamu selera dan mengalas perut jika lapar. Anda juga boleh singgah melawat tempat menarik lain yang ada di Terengganu.

Lihat artikel: Tempat menarik di Terengganu.

Anda mungkin akan merasa sedikit janggal dengan bahasa Terengganu apabila pertama kali sampai ke negeri ini. Tetapi jangan risau kerana orang disana sangat ramah dan berbudi bahasa. Jadi, jangan malu untuk bertanya jika anda tidak faham. Bercakap dengan orang tempatan adalah satu pengalaman yang menarik sebenarnya.

Apabila telah tiba ke destinasi, selesai check in hotel dan bersedia untuk melancong, anda boleh kunjungi senarai tempat menarik di Kuala Terengganu yang disenaraikan dibawah.

Muzium Negeri Terengganu

Untuk mengenali kebudayaan, sejarah dan warisan Terengganu, anda boleh mengunjungi Muzium Negeri Terengganu yang terletak diatas Bukit Losong, Kuala Terengganu. Muzium yang sangat besar dan menarik ini menyimpan berbagai artifek dan khazanah negeri. Antara galeri pameran yang ada ialah:

  1. Galeri Islam.
  2. Galeri Tekstil.
  3. Galeri Diraja.
  4. Galeri Sejarah.
  5. Galeri Kraf.
  6. Galeri Petroleum.
  7. Galeri Sumber Alam dan Ekonomi.
  8. Galeri Taman Laut dan Perikanan.
  9. Galeri Pelayaran dan Perdagangan.

Muzium Negeri Terengganu terdiri dari Muzium Utama, Muzium Maritim dan Muzium Perikanan. Diperkarangan muzium ini terdapat rumah-rumah tradisional Terengganu yang dihiasi dengan lanskap yang sangat menarik. Selain itu, terdapat juga pameran kapal dan perahu nelayan dan juga taman botani serta herba. Muzium ini adalah lokasi pelancongan dan tempat menarik di Kuala Terengganu yang mesti dikunjungi.

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis: 9.00 pagi - 5.00 petang.
Jumaat: 9.00 pagi - 12.00 tengahari. Rehat dan buka semula jam 3.00 petang - 5.00 petang.
Cuti umum: 9.00 pagi - 5.00 petang.

Bayaran masuk/ Harga tiket:
Dewasa: RM5.
Kanak-kanak berumur 7 hingga 15 tahun: RM2.
Kanak-kanak sekolah berpakaian seragam: RM1.

Alamat:
Lembaga Muzium Negeri Terengganu,
Bukit Losong,
20566 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

Muzium Negeri Terengganu.

Taman Tamadun Islam

Taman Tamadun Islam ialah tempat menarik di Kuala Terengganu yang paling mengagumkan. Tarikan utamanya Taman Monumen (Monument Park) dan juga Masjid Kristal. Taman Monumen adalah sebuah taman tema yang mengumpulkan seni rekabentuk dan kebudayaan Islam dari seluruh dunia. Terdapat 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina disini. Antara monumen yang ada termasuklah Taj Mahal dari India dan Masjidil Haram dari Arab Saudi. Kemudahan pengangkutan seperti trem, basikal dan buggy turut disediakan untuk pengunjung mengunjungi kawasan Taman Tamadun Islam yang luas ini.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Melawat Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu.

Waktu operasi:
Isnin, Rabu dan Khamis: 10.00 pagi - 6.30 petang.
Jumaat, Sabtu, Ahad: 9.00 pagi - 6.30 petang.
Selasa: Tutup.

Alamat:
Taman Tamadun Islam
Pulau Wan Man,
Losong Panglima Perang,
21000 Kuala Terengganu,
Terengganu.

Taman Tamadun Islam.

Pasar Besar Kedai Payang

Sesiapa sahaja yang bercuti di Kuala Terengganu mesti pergi ke Pasar Besar Kedai Payang. Ia adalah tempat membeli-belah pelbagai produk tempatan asli Terengganu. Antara yang menarik ialah kain batik, songket Terengganu dan kain baju. Selain pakaian, Pasar Besar Kedai Payang juga menjual makanan. Anda boleh menjamu selera di gerai makan dan membeli berbagai jenis kuih tradisional tempatan untuk dibawa pulang.

Alamat:
Pasar Besar Kedai Payang
20000 Kuala Terengganu,
Terengganu.

Pasar Besar Kedai Payang.

Bukit Puteri

Bukit Puteri ialah satu lokasi bersejarah dan tempat menarik di Kuala Terengganu yang boleh anda lawati. Bukit ini terletak Kampung Panglima. Lokasinya berhampiran Sungai Terengganu. Anda boleh melihat pemandangan menarik bandar Kuala Terengganu dan muara sungai dari atas bukit ini. Artifek peninggalan sejarah yang boleh dilihat diatas Bukit Puteri ialah meriam, pondok genta, makam lama dan tiang bendera. Disini juga terdapat sebuah rumah api yang menjadi pedoman kapal-kapal yang ingin berlabuh di Kuala Terengganu.

Bukit Puteri mempunyai kisah sejarah dimana ia pernah dijadikan kubu pertahanan semasa perang saudara kerena berebut takhta berlaku di Terengganu. Selain itu, ia juga terkenal dengan kisah dongeng mengenai puteri bunian yang tinggal disini dan memberi pinjam pinggan-mangkuk kepada penduduk kampung yang ingin mengadakan majlis keramaian. Walau bagaimanapun, puteri tersebut telah meninggalkan bukit ini setelah orang kampung yang meminjam pinggan mangkuk tidak memulangkannya kembali.

Alamat:
Bukit Puteri
Jalan Sultan Zainal Abidin,
Kampung Panglima,
20200 Kuala Terengganu.

Meriam di Bukit Puteri.

Taman Panorama

Taman Panorama Bukit Pak Apil ialah kawasan rekreasi menarik di Kuala Terengganu. Ia menjadi lokasi riadah penduduk tempatan setiap petang dan juga hujung minggu. Ramai yang jogging atau berjalan kaki memanjat bukit ini untuk mengeluarkan peluh. Apabila tiba di puncak bukit, segala kepenatan akan berbaloi. Pengunjung boleh melihat penorama bandar Kuala Terengganu yang sangat cantik dari atas menara yang terletak di puncak bukit ini. Di puncak Bukit Panorama juga terdapat restoran yang menyajikan berbagai jenis makanan termasuk masakan barat yang sangat sedap. Ia menjadi tumpuan pengunjung yang ingin menjamu selera sambil bersantai melihat pemandangan menarik Kuala Terengganu waktu malam.

Lokasi:
Bukit Panorama
Kuala Terengganu,
Terengganu.

Pemandangan bandar Kuala Terengganu.

Masjid Terapung

Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung adalah lokasi wajib dikunjungi di Kuala Terengganu. Ia terkenal dengan nama Masjid Terapung kerana dibina diatas air di muara Sungai Ibai. Rekabentuk dan senibinanya sangat cantik.

Masjid seluas 1,372 meter persegi ini mempunyai sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter. Dibina sebanyak dua tingkat, masjid ini boleh memuatkan sehingga 1000 jemaah di dewan solat muslimin ditingkat bawah dan muslimat di tingkat atas. Masjid Terapung ini mempunyai sebuah menara sahaja yang berketinggian 30 meter.

Alamat:
Masjid Tengku Tengah Zaharah
Kuala Ibai,
20400 Kuala Terengganu.

Masjid Terapung Kuala Terengganu.

Masjid Kristal

Masjid Kristal terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, iaitu dihujung Taman Tamadun Islam. Ia mempunyai rekabentuk yang sangat menarik dan dinamakan Masjid Kristal kerana dibina dari kaca dan kristal. Masjid ini boleh memuatkan sehingga 1500 orang jemaah pada sesuatu masa.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Masjid Kristal Kuala Terengganu.

Alamat:
Masjid Kristal
Pulau Wan Man,
21000 Kuala Terengganu.

Pemandangan menarik Masjid Kristal di Kuala Terengganu.

Keterangan gambar: Masjid Kristal merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu.

Dataran Shahbandar

Jika anda mencari tempat bersantai di Kuala Terengganu, Dataran Shahbandar ialah lokasi menarik yang boleh anda kunjungi Ia terletak ditepi muara sungai Terengganu dimana anda boleh melihat pemandangan menarik bot-bot nelayan yang berderetan di tebing sungai. Pengunjung boleh menjamu selera di gerai makan atau membeli makanan dan berkelah dibawah pokok-pokok yang banyak terdapat disini.

Kawasan disini bersih dan cantik. Terdapat lanskap menarik, jambatan mini, rumah api, air pancut yang berirama didalam kawasan taman serta beberapa buah wakaf untuk berehat. Dataran Shahbandar juga merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu untuk dikunjungi waktu malam.

Lokasi:
Dataran Shahbandar
Jalan Sultan Zainal Abidin,
20000 Kuala Terengganu, Terengganu.

Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.

Penginapan di Kuala Terengganu

Untuk penginapan di Kuala Terengganu, ada banyak lokasi menarik yang boleh anda pilih. Bergantung pada bajet anda, hotel, resort dan juga homestay selesa boleh didapati sekitar kawasan bandar. Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Kuala Terengganu, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Ada beberapa lagi tempat menarik di Kuala Terengganu yang boleh dilawati. Kami akan kongsikan nanti bila ada kesempatan. Untuk kali ini, kami harap senarai lokasi pelancongan yang disenaraikan diatas cukup untuk anda dikunjungi. Buat pembaca lain, jangan lupa kongsikan destinasi menarik lain atau pengalaman bercuti di Kuala Terengganu dengan kami dibahagian komen dibawah. Dan jangan lupa kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda.

Lokasi