Tempat menarik di Gunung Jerai Kedah

Ramai yang belum mengetahui bahawa Gunung Jerai adalah salah satu destinasi percutian tanah tinggi yang sangat menarik di Kedah. Ia agak kurang mendapat liputan dan promosi yang sepatutnya. Terdapat banyak lokasi yang boleh dikunjungi di puncak gunung dan juga kawasan sekitarnya. Berbagai aktiviti percutian boleh dilakukan sepanjang berada disana. Tambahan pula terdapat tempat penginapan menarik di puncak gunung iaitu The Regency Jerai Hill Resort untuk pengunjung bermalam.

Artikel ini menyingkap tempat-tempat menarik di Gunung Jerai serta aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan sebagai panduan pengunjung yang ingin bercuti di sini.

Maklumat lengkap lihat Gunung Jerai - Percutian dan aktiviti menarik.

Gunung Jerai terletak di dua daerah di negeri Kedah iaitu daerah Yan dan juga daerah Kuala Muda. Kami akan senaraikan tempat menarik di kaki gunung yang terletak di kedua-dua daerah ini dahulu. Kemudian barulah beralih ke lokasi utama iaitu di puncak Gunung Jerai.

Hutan Lipur Titi Hayun

Terletak di kaki Gunung Jerai di daerah Yan, Hutan Lipur Titi Hayun adalah tempat rekreasi penduduk setempat. Ia merupakan kawasan air terjun yang menjadi lokasi perkelahan dan tempat mandi-manda. Air terjun Titi Hayun adalah air terjun Gunung Jerai yang paling popular di daerah ini. Disini juga terdapat banyak kem pelancongan, chalet dan juga resort yang menarik sesuai untuk dijadikan tempat penginapan jika anda ingin bercuti di Gunung Jerai.

Bagi pelancong yang ingin berkhemah, tapak perkhemahan turut disediakan. Aktiviti yang boleh dilakukan di Titi Hayun ialah jungle trekking, mendaki ke puncak gunung melalui Tangga Kenari, perkhemahan, kem bina semangat, kursus dan tentu sekali mandi air terjun. Kemudahan yang ada serta berbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan menjadikan Titi Hayun sebagai salah satu lokasi percutian menarik di daerah Yan, Kedah.

Alamat:
Peranginan Titi Hayun
Jalan Titi Hayun,
06900 Yan,
Kedah

Maklumat lengkap lihat Titi Hayun Yan Kedah - Panduan percutian 2020.

Air terjun Titi Hayun, Yan, Kedah.

Keterangan gambar: Air terjun yang sejuk dan jernih di Titi Hayun Gunung Jerai, Daerah Yan, Kedah.

Tempat menarik lain disekitar kawasan ini ialah Homestay Kampung Raga, pantai Tanjung Jaga dan Pantai Murni. Selain itu, terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan tanah besar Kedah dengan Pulau Bunting yang menjadi lokasi para pemancing.

Air terjun Puteri Mandi

Air terjun Puteri Mandi ialah air terjun Gunung Jerai yang paling cantik. Bagi penggemar air terjun, jika Titi Hayun tidak memuaskan hati anda, sila ke air terjun Puteri Mandi. Walau bagaimanapun, untuk sampai ke destinasi, pengunjung perlu mendaki beberapa jam mengikut laluan yang bermula dari Titi Hayun. Trek ini agak mencabar dan sesuai bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak.

Kepenatan anda akan hilang sebaik tiba ke destinasi dan melihat air terjun Puteri Mandi yang sungguh mempersonakan. Air terjun tinggi yang mencurah dari batu besar serta kejernihannya membuatkan anda tidak sabar untuk mandi. Kesejukan air disini akan membasuh segala penat-lelah perjalanan anda mendaki tadi.

Alamat:
Air Terjun Puteri Mandi
Taman Rimba Titi Hayun,
06900 Yan,
Kedah

Air terjun Puteri Mandi, Yan, Kedah.

Keterangan gambar: Keindahan air terjun Puteri Mandi di Yan, Kedah.

Hutan Lipur Seri Perigi

Terletak berhampiran Titi Hayun, Hutan Lipur Seri Perigi adalah satu lagi pusat pelancongan menarik di daerah Yan. Air terjun Seri Perigi adalah antara air terjun Gunung Jerai yang sangat cantik di musim hujan. Batunya yang tinggi dan rata membuatkan air yang turun bagaikan meluncur sahaja. Selain menjadi tempat perkelahan penduduk sekitar, kawasan ini juga menjadi tapak perkhemahan popular di musim percutian. Walau bagaimanapun, di musim kemarau, air terjun agak kurang dan tidak sesuai untuk mandi-manda.

Alamat:
Air Terjun Seri Perigi
Kampung Perigi,
06900 Yan,
Kedah

Air terjun Seri Perigi, Yan,Kedah.

Keterangan gambar: Pemandangan air terjun Seri Perigi, Yan, Kedah.

Air terjun Batu Hampar

Satu lagi tempat mandi-manda yang boleh anda kunjungi. Terletak berhampiran Titi Hayun. Pemandangan yang indah dengan pokok-pokok yang menghijau boleh dinikmati disini. Ia amat sesuai untuk pengunjung merehatkan minda. Terletak agak jauh kedalam hutan di kaki gunung menjadikan ia kurang dikunjungi. Namun bagi pengunjung yang inginkan suasana sunyi dan damai, Air Terjun Batu Hampar ini sesuai untuk anda.

Alamat:
Peranginan Batu Hampar
Jalan Peranginan Batu Hampar,
06900 Yan,
Kedah

Air terjun Batu Hampar, Yan, Kedah.

Keterangan gambar: Air terjun Batu Hampar, Yan, Kedah.

Hutan Lipur Rekreasi Tupah

Terletak di Merbok, daerah Kuala Muda. Hutan Lipur Rekreasi Tupah adalah satu lagi air terjun Gunung Jerai. Ia adalah tempat perkelahan dan mandi-manda penduduk disekitar Merbok dan Sungai Petani. Terdapat kemudahan asas seperti tandas, surau dan gerai makan. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah jungle trekking dan perkhemahan.

Alamat:
Hutan Lipur Tupah
Merbok,
08400 Merbok,
Kedah

Air terjun Hutan Lipur Rekreasi Tupah, Merbok, Kedah.

Keterangan gambar: Air terjun Hutan Lipur Rekreasi Tupah dari Gunung Jerai di kawasan Merbok, Kedah.

Tempat menarik lain didalam kawasan Hutan Lipur Rekreasi Tupah ialah Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Tidak jauh dari sini terdapat Jeti Sungai Semeling dan Tanjung Dawai iaitu antara tarikan pelancongan yang terdapat di daerah Kuala Muda.

Tapak Perkhemahan dan Rekreasi (Taman Rimba Gunung Jerai)

Taman Rimba terletak di puncak peranginan Gunung Jerai. Ia merupakan salah satu tempat tumpuan pengunjung yang mendaki gunung ini. Taman Rimba adalah tapak perkhemahan dan biasa dijadikan kem bina semangat, kem jati diri, kem motivasi dan lain-lain oleh institusi pendidikan, jabatan kerajaan, swasta dan juga perseorangan. Kemudahan yang ada termasuk chalet, dewan aktiviti, surau, dewan memasak, tapak perkhemahan, tandas dan bilik mandi. Juga terdapat kolam mandi yang agak besar untuk aktiviti air dan air terjun menarik untuk mandi-manda.

Taman Rimba adalah salah satu tempat paling menarik di atas Gunung Jerai. Bagi pelancong yang sukakan keindahan semula jadi, disini juga terdapat orkid pelbagai jenis yang berasal dari hutan Gunung Jerai yang ditanam dan dikumpulkan disekitar Taman Rimba ini. Lebih menarik lagi ialah pengunjung dapat melihat pemandangan indah kawasan sawah padi, perkampungan, kenderaan yang bergerak perlahan di jalanraya serta laut yang membiru dikejauhan. Yang pasti hati anda akan terasa sayu apabila melihat keindahan alam semulajadi ini. Jangan lupa untuk merakamkan pemandangan indah disini sebagai kenangan bercuti di Gunung Jerai Kedah.

Alamat:
Tapak Perkhemahan dan Rekreasi
Gunung Jerai,
08300 Yan,
Kedah

Taman Rimba Gunung Jerai Kedah.

Keterangan gambar: Pemandangan dari Taman Rimba Gunung Jerai Kedah.

Muzium Perhutanan Negeri Kedah

Muzium Perhutanan adalah satu lagi tempat menarik di Gunung Jerai. Muzium ini terletak di puncak gunung. Lokasinya berhampiran dengan Taman Rimba. Pengunjung tidak akan terlepas Muzium Perhutanan ini kerana ia terletak di tepi jalan dan ia juga tempat adalah tempat meletak kenderaan jika ingin ke Taman Rimba. Muzium ini dibina dari kayu. Bentuknya seakan-akan sebuah rumah tradisional melayu. Terdapat berbagai khazanah hutan yang boleh anda lihat disini.

Alamat:
Muzium Perhutanan Negeri Kedah
Gunung Jerai,
08300 Yan,
Kedah

Muzium Perhutanan Gunung Jerai.

Keterangan gambar: Muzium Perhutanan di puncak peranginan Gunung Jerai.

Telaga Tok Sheikh

Telaga Tok Sheikh adalah satu tempat bersejarah di Gunung Jerai. Ia terletak lebih atas dari Muzium Perhutanan. Telaga yang sentiasa dipenuhi orang-ramai di musim cuti sekolah ini dikatakan milik seorang ulama dari Tanah Arab yang bernama Sheikh Abdullah bin Sheikh Jaafar al-Qumairi yang datang ke Kedah pada zaman kerajaan Kedah Lama. Tok Sheikh inilah yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Kedah pada masa itu, Maharaja Derbaraja (Sultan Muzaffar Syah) sekitar tahun 1136 masihi (531 hijrah). Telaga ini dikatakan tempat Tok Sheikh mengambil wuduk.

Oleh kerana Gunung Jerai sudah menjadi pusat peranginan, Telaga Tok Sheikh juga telah dinaik-taraf dengan kemudahan bumbung dan lantai yang bersih. Kemudahan asas seperti bilik mandi dan tandas juga terdapat disini. Dihari minggu ramai yang datang untuk berkelah, mandi dan berehat di sini. Ada yang membawa khemah atau tikar untuk beristirehat dan bersantai sebelum pulang dipetang harinya.

Telaga Tok Sheikh Gunung Jerai.

Keterangan gambar: Telaga Tok Sheikh di puncak peranginan Gunung Jerai.

Ada juga cerita yang mengatakan air Telaga Tok Sheikh mujarab untuk mengubati penyakit. Malah ada pelancong yang datang dari jauh semata-mata untuk mandi dan membawa pulang air dari telaga ini untuk diminum kerana dikatakan boleh membantu wanita yang sukar untuk mengandung. Walau bagaimanapun, cerita sebegini usahlah dipercayai.

Alamat:
Kompleks Telaga Tok Sheikh
Gunung Jerai,
08300 Yan,
Kedah

Padang Tok Sheikh dan Batu Shaf

Satu lagi kesan sejarah di Gunung Jerai ialah Padang Tok Sheikh yang terjadi sesudah Islam tertegak di Kedah. Sultan Muzaffar Shah ingin mengangkat Islam ke satu tempat yang tinggi lalu meminta pendapat Sheikh Abdullah. Maka dibina sebuah menara diatas Gunung Jerai iaitu tempat yang paling tinggi di negeri Kedah bagi melaungkan azan atas saranan yang diberikan oleh Sheikh Abdullah. Menara itu kekal hingga kini dan tempat dibina menara itu dipanggil Padang Tok Sheikh. Kesan sejarah silam ini merupakan salah satu tempat menarik di Gunung Jerai yang boleh dilawati oleh pengunjung yang bercuti di tempat peranginan tanah tinggi ini.

Pengunjung yang ingin mengunjungi Padang Tok Sheikh boleh memandu kereta hingga ke atas. Ia terletak lebih atas dari Telaga Tok Sheikh. Jika anda meletak kenderaan di kawasan telaga dan mendaki mengikut jalan raya, anda akan dapat melihat pemandangan pokok-pokok dipersekitaran yang sangat cantik. Hembusan angin yang dingin membawa kabus putih dan udara yang bersih sangat menyegarkan. Disesetengah tempat pula anda akan dapat melihat pemandangan dibawah yang sungguh mempersonakan. Perjalanan memakan masa setengah jam jika anda berjalan santai.

Berada di Padang Tok Sheikh ini, pengunjung dapat melihat pemandangan yang cantik dan mengujakan. Disini juga terdapat hamparan batu yang rata dan sangat luas dipanggil Batu Shaf. Terdapat garisan shaf diatas batu ini yang boleh dilihat dengan jelas. Kawasan sekitar juga dibina tembok yang mengelilingi padang ini bagaikan sebuah kota di zaman dahulu.

Alamat:
Padang Tok Sheikh
Gunung Jerai,
08300 Yan,
Kedah

Padang Tok Sheikh Gunung Jerai.

Keterangan gambar: Padang Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

Batu Kapal

Batu Kapal adalah sebuah batu besar yang unik dan menarik yang terletak puncak Gunung Jerai. Lokasi batu ini ialah berhampiran dengan The Regency Jerai Hill Resort di puncak gunung. Mitosnya Batu Kapal ini dikatakan ia asalnya adalah sebuah kapal yang disumpah menjadi batu oleh Sang Kelembai.

Alamat:
Batu Kapal
Gunung Jerai,
08300 Yan,
Kedah

Batu Kapal di puncak Gunung Jerai.

Keterangan gambar: Permukaan atas Batu Kapal yang terletak di peranginan Gunung Jerai.

Batu Ikan

Ia adalah sebuah batu besar yang berbentuk seperti ikan. Batu ikan ini terletak berhampiran Batu Kapal. Ia cuma batu yang unik dan apa jua cerita mengenainya hanya sekadar kisah dongeng sahaja.

Batu Sejadah

Batu sejadah ini terletak paling tinggi di puncak Gunung Jerai. Tidak ramai yang tahu akan kewujudan Batu Sejadah ini. Ia adalah batu yang rata berbentuk seperti sejadah. Dikatakan disinilah tempat Tok Sheikh solat pada zaman dahulu.

Batu Tapak Kaki

Batu berbentuk tapak kaki. Jika dilihat batu ini memang nampak seperti kesan tapak kaki dengan jari-jari yang sangat besar memijak batu tersebut. Berbagai kisah misteri Gunung Jerai boleh didengar dari penduduk sekitar kawasan ini. Anda boleh mendengar sendiri kisah tersebut jika bercuti ke sini.

Gua Naga

Gua Naga ini jarang dikunjungi oleh pelancong. Disini terdapat air terjun yang agak tinggi jatuh di tepi Gua Naga dan membentuk sebuah kolam yang dipanggil Kolam Naga atau Lubuk Naga. Pengunjung yang ingin ke Gua Naga boleh mengikut Tangga Kenari Seribu Tahun dari puncak gunung.

Penginapan

Terdapat banyak tempat penginapan yang sesuai jika anda ingin bercuti di Gunung Jerai. Yang paling popular sudah tentulah The Regency Jerai Hill Resort yang terletak di puncak gunung. Resort ini mempunyai 75 buah bilik yang disediakan untuk pelancong. Pengunjung juga boleh memilih untuk tinggal di resort, chalet di kaki gunung atau kawasan pekan berhampiran.

Penginapan di puncak Gunung Jerai:

  • The Regency Jerai Hill Resort - Tempat yang paling sesuai untuk merasai kedinginan dan menikmati keindahan di puncak Gunung Jerai. Untuk melihat potongan harga, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.
  • Perkhemahan di Taman Rimba - Anda perlu memohon kebenaran dari Jabatan Perhutanan terlebih dahulu dan membawa sendiri semua peralatan perkhemahan.

Penginapan di daerah Yan:

  • Homestay di Guar Chempedak atau Yan.
  • D'Yan Chalet atau lain-lain chalet di Titi Hayun, Yan.
  • Motel D'Guar di Guar Chempedak.

Penginapan di daerah Kuala Muda:

  • Hotel di Sungai Petani
  • Homestay sekitar Merbok atau Gurun.
  • Chalet di Merbok.

Jika anda mencari destinasi pelancongan bajet di Malaysia, pastikan Gunung Jerai Kedah termasuk dalam senarai percutian anda. Selain suasana sejuk dan nyaman di puncak gunung, terdapat banyak tempat menarik di Gunung Jerai yang boleh anda lawati samada di daerah Yan atau Kuala Muda seperti yang telah kami senaraikan. Jika anda pernah ke sini, sila kongsikan pengalaman bercuti di Gunung Jerai di ruangan komen dibawah.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi