Pasar Karat Kampung Berjaya Alor Setar

Pasar Karat Kampung Berjaya ialah tempat membeli-belah di Kedah yang paling unik dan menyeronokkan. Ia diadakan seminggu sekali iaitu setiap hari Jumaat. Pasar ini terkenal dengan barang-barang lama 'retro' dan 'vintage' tetapi bukan itu sahaja. Saya akan cuba menggambarkan keseluruhan apa yang ada kepada anda sebaik mungkin. Untuk merasai suasana dan kemeriahannya, anda perlu datang sendiri.

Pengunjung pasar karat ini memang ramai. Masing-masing datang dengan niat dan sasaran sendiri. Ada yang datang jauh dari negeri-negeri berhampiran seperti Perlis dan Pulau Pinang. Mereka ini biasanya ialah para pengumpul barang lama dan para peniaga kecil-kecilan.

Barang karat

Bagi anda yang merancang untuk kemari, datang seawal mungkin. Pengunjung tetap selalunya datang selepas subuh. Anda jangan ketinggalan. Tempat letak kereta tidak disediakan, jadi anda harus merebut ruang-ruang kosong ditepi jalan atau kawasan perumahan berdekatan jika tidak, berjalan jauhlah jawabnya.

Barang niaga di pasar karat

Lokasi Pasar Karat Kampung Berjaya

Pasar Karat Kampung Berjaya terletak di Alor Setar. Lokasinya tidak jauh dari Masjid Zahir. Dari pusat bandar, anda hanya perlu ikut Jalan Putra dan selepas jambatan Sungai Kedah, destinasi disebelah kiri.

Pasar karat ini diadakan dilorong-lorong kedai dan perkarangan pasar basah. Kawasannya sangat luas. Letih berjalan kalau nak teroka semua.

Alamat:
Pasar Karat Kampung Berjaya
Kampung Berjaya,
05150 Alor Setar,
Kedah

Hubungi:
Tel: -
Email : -

Harga:
Harga barangan tidak tetap. Pandai-pandailah pujuk.

Waktu operasi:

Jumaat : 7.00am - 1.00pm

Berbagai barangan ada

Apa yang menarik?

Apa yang menarik di Pasar Karat Kampung Berjaya ialah barang-barang lama yang jarang ditemui. Selain itu, ada juga barangan terpakai yang menarik dijual dengan harga yang sangat murah. Jarang sekali pengunjung pulang dengan tangan kosong.

Macam-macam barang ada

Barangan lama

Barangan lama yang dijual adalah berbagai-bagai. Bagi pengunjung yang pertama kali datang ke Pasar Karat Kampung Berjaya mungkin terasa lucu. Barangan yang dijual kadang-kadang tidak masuk akal. Mungkin pada kita ia tak berharga tapi pada orang lain ia bermakna.

Barang tembaga

Antara yang banyak dijual disini ialah barangan tembaga. Anda boleh lihat talam, acuan kuih tradisional, tepak sireh, cerek dan bermacam-macam lagi yang saya sendiri tidak tahu benda apa. Barangan ini diletakkan diatas meja atau tikar yang dihampar diatas jalan.

Syiling lama

Barangan lain yang menarik perhatian ialah duit-duit lama. Ada syiling dan wang kertas. Asal-usul duit ini ada yang tidak dapat dikenal-pasti. Mungkin pengumpul sahaja yang tahu. Kata orang, hanya jauhari yang mengenal maniam manikam.

Majalah lama

Lain-lain barang yang saya rasa menarik ialah buku-buku lama, majalah, komik, kalendar, risalah, resit pajak gadai dan seumpamanya. Melihat buku teks dan majalah lama membuatkan saya terkenang zaman kanak-kanak. Nostalgia sungguh.

Buku lama

Barangan lain yang menjadi buruan pengumpul ialah piring hitam, CD lagu, kaset dan VCD lama. Saya tak pasti DVD ada atau tidak. Tapi yang menarik perhatian saya ialah VCD koleksi filem melayu lama.

Pakaian pun tidak ketinggalan. Ada baju-T, kemeja, seluar, topi dan kasut. Ini biasa kita lihat dimana-mana pasar malam dan uptown.

Barangan elektronik

Barangan elektronik juga tidak kurang hebatnya. Ada amplifier, speakers, segala jenis kabel audio, telefon bimbit lama, charger, tablet, laptop dan jam tangan dijual dibeberapa tempat.

Kalau nak cerita tentang barang yang dijual memang tak habis. Keris, pedang, golok, pisau, tengkolok, cangkul, pisau motong, lampu chimni, lampu gasolin, lesung batu, batu giling, beg, briefcase, steering kereta, skru, spanner, bateri dan bermacam-macam lagi.

Keris dan golok

Makanan

Pasar karat ini bersambung dengan pasar basah yang terletak berhampiran. Saya tahu anda datang dari jauh bukan nak beli ikan dan sayur. Jangan risau kerana ada yang menarik disini, makanan.

Bihun sup

Diluar pasar basah ada banyak gerai makanan yang menjual kuih-muih, nasi, bihun sup, roti canai dan macam-macam lagi. Oh, ia betul-betul menyelerakan. Anda boleh menjamu selera samada sarapan pagi, snek atau makan tengahari.

Sarapan pagi

Buah-buahan

Buah-buahan juga banyak dijual diperkarangan pasar basah. Ada pisang, epal, oren, lai, jagung dan lain-lain. Saya tahu buah-buahan ini biasa bagi anda tetapi ..... durian?

Buah durian

Sayur-sayuran

Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga banyak dijual. Jika anda datang dari jauh, jalanlah dikawasan ini. Ada barang 'rare' yang boleh dijadikan buahtangan untuk orang di rumah seperti petai, jering dan genuak. Anda juga mungkin tertarik dengan jagung, ubi kayu, daun pisang, daun palas, ikan kering dan ikan pekasam.

Daun palas

Tips dan panduan

Datang seawal yang boleh. Pertama, mudah parking. Kedua, boleh sarapan dulu untuk tenaga. Ketiga, orang terawal pilih barang. Empat, kurang panas dan kurang sesak.

Anda perlu bijak tawar-menawar. Jangan risau, orang Kedah baik-baik. Minta elok-elok harga yang anda mahu. Kalau dapat, ambil. Kalau tak, kita kena hormat.

Jika bertemu barang yang anda suka dan berniat untuk membeli, jangan tangguh. Kalau jalan dulu, nanti patah balik takut terlepas. Pengunjung yang datang kesini semua cari barang 'rare'.

Kalau ada penjual ubat tarik tangan nak sapu ubat, lari. Kalau tidak, memang kena belilah jawabnya. Tak mahal pun, RM10 saja.

Kesimpulan

Melihatkan barangan yang dijual di pasar karat ini membuatkan saya tertanya-tanya, dari mana peniaga dapat barangan berkenaan. Apapun, Pasar Karat Kampung Berjaya adalah tempat membeli-belah di Kedah yang paling menarik dan unik. Jika bercuti di negeri ini, anda mesti datang. Kemeriahan pasar ini tidak terdapat ditempat lain. Ia pasti memberikan anda pengalaman yang menyeronokkan. Ingat, pagi Jumaat bukan malam Jumaat.

Akhir sekali, jangan datang ke Kedah sebelum anda baca artikel dibawah.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Kedah sebelum baca artikel dibawah.

Lokasi