Nasi Kandar Line Clear Penang

Restoran Nasi Kandar Line Clear adalah tempat makan yang sangat popular di Penang. Ia terkenal dengan tagline 'line clear' yang sering diucapkan semasa pengunjung memesan makanan. Beroperasi lebih 70 tahun, keenakan masakan di restoran ini tidak perlu dipersoalkan lagi.

Bukan hanya terkenal dengan masakan yang sedap, malah kes berebut hak antara pengusaha restoran ini juga pernah gempar satu ketika dulu. Krisis tersebut hampir menyebabkan restoran ini ditutup selamanya. Walau bagaimanapun, mungkin berkat doa para penggemar nasi kandar Line Clear, semua itu berlalu dan ia kembali beroperasi seperti biasa.

Bagi anda yang belum pernah mendengar nama restoran ini atau belum pernah berkunjung ke sini, jangan terkejut kerana restoran Line Clear hanya terletak di lorong kedai. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana lokasinya ditepi jalan besar. Kawasannya juga bersih dan tidak berbau longkang.

Lihat semua: Tempat menarik di Penang - Panduan 2020.

Restoran Nasi Kandar Line Clear Penang

Lokasi Nasi Kandar Line Clear

Restoran Nasi Kandar Line Clear terletak di pusat bandar George Town. Lokasinya ialah di Penang Road. Jika ingin menjamu selera di sini, anda perlu berjalan kaki, menaiki beca atau grab kerana tempat letak kereta memang tidak disediakan.

Alamat:
Restoran Nasi Kandar Line Clear
Beside 161 & 177 Penang Road,
10000 George Town,
Penang

Hubungi:
Tel: -
Email : -

Harga:
Harga berbeza mengikut jenis lauk dan saiz.

Waktu operasi:

Setiap hari : 24 jam

Masuk Restoran Nasi Kandar Line Clear Penang

Apa yang menarik?

Apa yang menarik di Restoran Nasi Kandar Line Clear tidak lain dan tidak bukan ialah masakannya yang sedap seperti kari, masak hitam, kurma dan lain-lain. Bila saya katakan sedap, ia bukan sekadar sedap kerana cukup rasa tetapi kerana perbezaan rasa yang sangat ketara dari masakan ditempat lain. Rasa rempah-ratusnya jelas, penuh, cukup, LINE CLEAR.

Zaman muda remaja saya kerap makan disini. Pada masa itu, saya tidak rasa keistimewaannya. Setelah berpuluh tahun hidup diluar, makan semula di Restoran Line Clear setelah dewasa, saya sedar bahawa nasi kandar di Penang memang tiada tandingannya.

Seterusnya, persoalan biasa yang berlegar diminda, nak makan apa? Apa yang sedap disini? Pada saya, makan apa yang saya suka makan hari-hari. Baru boleh tahu apa perbezaan dan keistimewaannya. Walau bagaimanapun, berikut ialah lauk yang popular di restoran nasi kandar ini.

Pilih lauk Nasi Kandar Line Clear

Ayam goreng

Ayam goreng adalah menu standard di setiap restoran nasi kandar. Ia juga adalah lauk kegeraman kegemaran ramai orang. Agak menghairankan kerana rasa ayam goreng boleh menjadi begitu berbeza bila dicampur kuah dan kari.

Kepala ikan

Kari kepala ikan ialah menu wajib di restoran nasi kandar. Ramai yang mengatakan ia adalah makanan yang tiada tandingan sedapnya. Sukar untuk memberi komen kerana saya memang elak memakan kepala ikan dan organ dalaman seperti hati, perut, paru dan lain-lain.

Daging / Kambing

Daging masak hitam atau kambing masak kurma adalah salah satu masakan popular disini. Anda boleh mencuba atau campurkan kuahnya sahaja. Rasa rempahnya memang lain macam.

Kawasan meja makan

Telur sotong

Telur sotong pada asalnya cuma boleh didapati di restoran nasi kandar. Walaupun sekarang ia boleh ditemui di banyak tempat, namun masih ada yang tidak pernah melihatnya. Ramai yang menggemari telur sotong namun ia bukan citarasa semua orang. Jika anda pernah merasanya atau ingin mencuba, silakan.

Kacang bendi

Kacang bendi ialah satu lagi menu wajib ada di restoran nasi kandar. Jika anda tidak makan, beritahu awal-awal sebelum mereka mencampurkan kedalam pinggan. Begitu juga dengan ulam timun. Ia bukan percuma.

Berbagai jenis lauk

Berbagai jenis lauk lagi yang popular dikalangan pengunjung seperti sotong, udang dan ikan goreng. Oleh kerana citarasa adalah soal tekak masing-masing, anda boleh cuba sendiri. Dari apa yang saya makan, ia memang sedap sehingga menjilat jari.

Menu makanan dan harga

Tips dan panduan

Jika tidak pasti apa yang hendak dimakan, pilih saja lauk kegemaran anda contohnya ayam goreng dan mereka akan campurkan selebihnya. Anda juga boleh minta mereka cadangkan, tapi anda perlu bersedia dengan bayaran.

Jika anda pasti dengan lauk pilihan sendiri, pilih dan suruh mereka berhenti atau beritahu semua sudah cukup sebelum mereka menambah sayur, tauhu dan lain-lain yang anda tidak mahu. Anda perlu membayar untuk semua itu nanti.

Makan nasi kandar tidak seperti kita makan di restoran seafood, western atau Thai food dimana kita boleh bajet harga dari menu. Di restoran nasi kandar, udang, sotong, kepala ikan dan seumpamanya, harga ikut saiz. Jadi, beringat. Jangan nanti terkejut bila dapat harga.

Jangan minta separuh. Nasi separuh, telur sotong separuh atau sayur separuh, harga tetap sama macam biasa. Pesan saya, kalau makan nasi kandar ambik banyak-banyak, nanti bayar puas hati.

Kesimpulan

Melainkan anda memang tidak suka makan di lorong, Restoran Nasi Kandar Line Clear adalah tempat makan di Penang yang mesti anda cuba. Resepi masakannya memang terbaik, berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Harga makanan juga boleh dikatakan biasa sahaja, tidak mahal.

Jangan tinggalkan Penang sebelum anda rasa nasi kandar Line Clear dan jangan datang ke Penang sebelum anda baca artikel dibawah.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Penang sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Penang
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Penang
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Penang
  4. Terokai semua: Penang - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi