Bercuti ke Bukit Bendera

Sebut sahaja Bukit Bendera pasti ramai yang membayangkan suasana yang sejuk, pemandangan menarik dan keretapi kabel. Jika bercuti ke Penang, tidak lengkap jika tidak mengunjungi lokasi percutian menarik ini. Ia adalah pusat peranginan yang telah lama dibangunkan, lebih 200 tahun yang lalu. Pasti ada keistimewaan yang tersendiri mengapa Bukit Bendera sering dijadikan lokasi percutian menarik bersama keluarga atau rakan-rakan. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi pengalaman bercuti ke Bukit Bendera, tempat menarik yang boleh dilawati dan aktiviti yang boleh dilakukan di puncak bukit sebagai panduan pembaca semua.

Lihat semua: Tempat menarik di Penang - Panduan 2020.

Sejarah Bukit Bendera

Mengikut sejarah, Bukit Bendera atau Penang Hill ini mula dibangunkan pada tahun 1788 oleh British. Bukit setinggi 830 meter dari aras laut ini menjadi pilihan kerana suhu yang sejuk dipuncak bukit dan pemandangan yang cantik amat sesuai dijadikan lokasi istirehat pegawai British semasa cuaca panas. Di puncak bukit ini terdapat Bel Retiro iaitu penempatan gabenor British dan beberapa buah rumah lain milik pegawai awam dan tentera British. Kemudian pejabat pos dibina pada tahun 1894, Crag Hotel pada 1895 dan balai polis pada tahun 1929.

Tea Kiosk Bukit Bendera.

Diawal pembangunannya, Francis Light telah mengerahkan banduan-banduan sebagai buruh untuk membangunkan Bukit Bendera. Pada tahun 1897, permohonan rasmi telah dibuat kepada Penang Resident Counselor bagi membina perkhidmatan keretapi tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera. Walau bagaimanapun Rang Undang-Undang hanya diluluskan pada tahun 1899.

Gerabak keretapi Bukit Bendera lama.
Keterangan gambar: Gerabak keretapi Bukit Bendera lama ini terletak di puncak Bukit Bendera.

Dengan terbinanya perkhidmatan keretapi tarik ini, Bukit Bendera semakin terkenal dan menjadi lokasi istirehat kawasan tanah tinggi yang utama selain Bukit Larut atau Maxwell Hill di Taiping, Perak.

Lukisan dari jarum peniti.
Keterangan gambar: Percaya atau tidak lukisan ini adalah dari jarum peniti.

Harga tiket Keretapi Bukit Bendera

  1. Fast Lane (Adult) – RM60 standard biasa, Mykad RM20
  2. Fast Lane (Child) – RM30 standard biasa, Mykad RM8
  3. Dewasa – RM30 standard biasa, Mykad RM10
  4. Warga emas – RM30 standard biasa, Mykad RM4
  5. Kanak-kanak 4-12 tahun – RM15 standard biasa, Mykad RM4
  6. Pelajar sekolah/Kolej/Universiti – RM15 standard biasa, Mykad RM4
  7. Sehala (dewasa) – RM17 standard biasa, Mykad RM5
  8. Sehala (kanak-kanak) – RM10 standard biasa, Mykad RM2
  9. Pass bulanan– RM100 standard biasa, Mykad RM40
  10. Pass tahunan – RM1000 standard biasa, Mykad RM400
  11. Orang kurang upaya – Percuma

Apa yang menarik di Bukit Bendera?

Destinasi menarik ini akan mula sesak apabila musim cuti sekolah, cuti umum dan hari minggu. Seperti yang dinyatakan diatas tadi, antara tarikan yang ada di Bukit Bendera ialah kesan peninggalan sejarah yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini. Pengunjung dapat melihat stesen keretapi asal yang dibina pada tahun 1923, gerabak keretapi lama yang dipamerkan di puncak bukit, rumah-rumah lama peninggalan British, balai polis dan lain-lain.

Stesen Keretapi Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Stesen Keretapi Bukit Bendera yang asal masih wujud hingga sekarang.

Pengalaman menaiki keretapi Bukit Bendera juga sangat menarik. Walaupun tidak teruja seperti menaiki roller-coaster, ia ada keunikan tersendiri kerana inilah satu-satunya keretapi kabel yang ada di Malaysia. Jika dahulu, masa lebih-kurang 25 minit diambil untuk ke puncak Bukit Bendera, perjalanan keretapi sekarang tidak sampai 5 minit untuk tiba ke destinasi. Bagi orang lama yang pernah merasa pengalaman menaiki keretapi kabel dahulu pasti merasa sesuatu yang telah hilang.

Puncak Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Suasana di puncak Bukit Bendera.

Seperti destinasi pelancongan tanah tinggi lain, antara tarikan di Bukit Bendera ialah melihat pemandangan menarik dari puncak bukit. Sebaik tiba di puncak dan keluar dari stesen atas, pengunjung pasti terpegun sejenak. Apa yang menarik di Bukit Bendera ialah pemandangan yang sangat cantik boleh dilihat dari menara dan beberapa lokasi lagi. Pengunjung boleh melihat bandaraya Georgetown, Jambatan Pulau Pinang, laut yang luas membiru hingga ke Seberang Perai.

Pemandangan dari puncak Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Pemandangan menarik dari puncak Bukit Bendera.

Aktiviti menarik di Bukit Bendera yang mesti anda lakukan ialah menaiki buggy melawat tempat menarik di puncak bukit. Bayaran yang dikenakan ialah RM30 dan boleh memuatkan penumpang seramai 6 orang dewasa. Anda akan dibawa ke laluan yang menempatkan rumah-rumah besar peninggalan penjajah British yang kini dimiliki hartawan negara. Disepanjang perjalanan, anda akan singgah dibeberapa lokasi menarik dan bersejarah untuk bergambar kenang-kenangan.

Buggy Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Pemandu Buggy Pelancong yang comel-comel.

Tempat menarik di Bukit Bendera

Apa yang ada di atas Bukit Bendera? Seringkali soalan itu bermain diminda pelancong yang datang kesini. Sebenarnya ada beberapa aktiviti yang boleh dilakukan seperti melawat tempat menarik yang ada diatas Bukit Bendera. Pengunjung boleh berjalan melihat sendiri keindahan disini sambil menghirup udara segar di puncak bukit. Gerai kraftangan ditepi jalan, pelukis jalanan dan lain-lain pasti memberikan pengalaman yang berbeza untuk anda. Antara tempat menarik di Bukit Bendera yang boleh dilawati ialah:

Keretapi Bukit Bendera

Keretapi Bukit Bendera dilengkapi dengan penghawa dingin untuk keselesaan pelancong. Pelancong boleh memilih untuk berdiri didalam kereta kabel untuk bebas melihat keindahan pemandangan dikiri kanan laluan yang dipenuhi pokok-pokok hutan dan flora serta fauna menarik. Perasaan teruja untuk sampai ke puncak bukit akan lebih membuak-buak apabila terlihat pemandangan bandaraya Georgetown dan laut yang membiru nun jauh dibawah.

Keretapi Bukit Bendera terkini.
Keterangan gambar: Keretapi Bukit Bendera 2015.

Astaka Bukit Bendera

Tempat menarik di Bukit Bendera yang tidak akan dilepaskan. Astaka Bukit Bendera adalah antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong di puncak bukit. Beberapa tarikan ada disini seperti Cliff Cafe, Muzium Burung Hantu, Love Lock dan gerai-gerai cenderahati. Dihadapan Astaka Bukit Bendera terdapat sebuah dataran yang agak luas dan tempat duduk yang banyak termasuk kawasan berbumbung untuk pelancong bersantai. Jika penat berjalan disekeliling kawasan Bukt Bendera, anda boleh berehat sebentar. Disini juga terdapat beberapa lokasi menarik untuk bergambar kenangan.

Astaka Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Astaka Bukit Bendera ini terletaknya Cliff Cafe, Owl Museum dan Love Lock.

Cliff Cafe

Cliff Cafe adalah medan selera yang terletak ditebing bukit didalam Astaka Bukit Bendera. Jika lapar, anda boleh menjamu selera sambil menikmati pemandangan menarik pokok-pokok yang menghijau dikawasan bukit berhampiran. Seperti kebanyakan destinasi pelancongan, harga makan disini agak mahal berbanding dengan menu makanan yang biasa-biasa sahaja. Selain gerai-gerai makanan, disini juga terdapat gerai cenderahati.

Love Lock

Love Lock adalah trend terkini di puncak Bukit Bendera. Ia adalah kawasan viewing deck diruang atas Astaka Bukit Bendera yang dijadikan lokasi menarik untuk kunci cinta dipuncak setinggi 823 meter. Love Lock menjadi tumpuan terutama pasangan bercinta. Anda boleh menulis kata cinta dan kuncikan dipagar yang disediakan. Jangan lupa untuk kuncikan cinta anda bersama orang tersayang disini dimana ia tak akan terbuka lagi untuk selama-lamanya.

Love Lock Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Kelihatan pagar untuk meletakkan padlock di Love Lock.

Muzium Burung Hantu

Muzium Burung Hantu atau Owl Museum ini terletak di Astaka Bukit Bendera. Bayaran masuk yang dikenakan ialah RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak. Tiket boleh dibeli dipintu masuk astaka. Muzium ini mengumpulkan pelbagai jenis arca burung hantu dan mendapat anugerah Book Of Record.

David Brown’s Strawberry Hill Cafe

David Brown’s Strawberry Hill Cafe adalah salah satu tempat bersejarah di Bukit Bendera. Dulunya ia adalah Penang Hill Tea Kiosk. Ia menjadi lokasi pelancong luar menjamu selera terutama para penggemar hidangan dan citarasa English. Cafe dibuka dari pukul 11 pagi hingga 10 malam. Hidangan yang disediakan ialah makan tengahari, minum petang dan juga makan malam.

David Brown’s Strawberry Hill.
Keterangan gambar: Diatas bukit ini letaknya David Brown Cafe.

Bel Retiro

Rumah penginapan bersejarah yang dibina oleh Francis Lights sebagai penempatan gabenor British. Ia dibina untuk urusan kerajaan dan kekal hingga kini menjadi lokasi untuk kegunaan kerajaan sahaja. Pengunjung hanya boleh melawat hingga ke pintu gerbangnya sahaja kerana Bel Retiro adalah kawasan larangan. Bel Retiro pernah menjadi lokasi kesukaan Yang Di Pertuan Agung yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman.

Masjid Bukit Bendera

Masjid ini terletak dikawasan puncak tertinggi di Bukit Bendera. Ia di bina pada tahun 1966 sebagai tempat beribadat orang Islam yang berkerja di puncak bukit. Pengunjung boleh panjat menggunakan tangga yang dibina atau mengikut jalan tar yang menghala ke Bel Retiro.

Masjid Bukit Bendera.
Keterangan gambar: Kelihatan kubah masjid di puncak bukit.

Penang Hill Hindu Temple

Penang Hill Hindu Temple yang dikenali sebagai Sri Aruloli Thirumurugan terletak ditebing bukit dipuncak Bukit Bendera. Kuil Hindu ini adalah antara kuil yang tertua di Penang. Ia dibina sekitar tahun 1800.

Viewing Deck berhampiran Stesen Atas.
Keterangan gambar: Ini ialah Viewing Deck yang terletak berhampiran Stesen Keretapi Atas Bukit Bendera.

Kesimpulan

Pastikan jika anda ingin bercuti ke Bukit Bendera, pilih hari dan tarikh yang sesuai. Jika ingin lebih selesa datang pada hari biasa. Anda perlu beratur panjang untuk menaiki keretapi ke puncak bukit jika datang pada musim cuti sekolah. Bukit Bendera sangat sesuai dijadikan tempat untuk percutian keluarga kerana anda dapat mengisi masa bersama anak-anak melihat keindahan pemandangan dari atas dan melawat tempat-tempat menarik yang ada.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Penang sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Penang
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Penang
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Penang
  4. Terokai semua: Penang - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi