Muzium Perak di Taiping

Muzium Perak juga dikenali sebagai Muzium Taiping merupakan salah satu tempat menarik yang mesti dilawati jika anda berkunjung ke bandar ini. Ramai yang merasakan bahawa melawat muzium adalah aktiviti yang membosankan tetapi kami pasti anda tidak akan beranggapan sedemikan selepas melawat muzium ini.

Jika anda datang melawat pada musim cuti sekolah, muzium ini akan dipenuhi dengan rombongan sekolah dan ibubapa yang membawa anak-anak bercuti. Ini menunjukkan bahawa muzium yang dibina pada zaman penjajahan British dahulu memang popular. Jadi pilih waktu yang sesuai untuk keselesaan anda.

Anda boleh melihat halaman Tempat menarik di Taiping Perak. Halaman ini memaparkan tempat menarik dan lokasi wajib singgah jika bercuti di Taiping.

Muzium pertama di Malaysia

Lokasi Muzium Perak

Muzium Perak terletak di pinggir bandar Taiping. Jika anda dari lebuhraya dan ingin menuju ke pusat bandar, anda akan melalui muzum ini. Anda tidak akan terlepas pandang lantaran keunikan bangunan era British ini.

Salah satu penanda lokasi Muzium Perak ialah Penjara Taiping. Kedua-duanya terletak bertentangan antara satu sama lain.

Alamat:
Muzium Perak
Jalan Taming Sari,
34000 Taiping,
Perak Darul Ridzuan

Hubungi:
Tel: 05-807 2057
E-mail : pr.mp@jmm.gov.my
Fax : 05-806 3643

Harga tiket:
Dewasa RM2.
Kanak-kanak bawah 12 tahun PERCUMA.
Kanak-kanak berpakaian sekolah PERCUMA.

Waktu melawat:
Setiap hari : 9.00 am - 6.00 pm
Tutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Apa yang menarik?

Apa yang menarik tentang Muzium Perak di Taiping ialah harga tiketnya yang sangat murah. Berbanding dengan pameran artifek dan berbagai tarikan yang ada disini, ia terlalu murah.

Jujurnya, apa yang menarik di muzium ini adalah koleksi artifek yang dipamerkan termasuk koleksi yang jarang dilihat seperti spesis haiwan dan barangan tembikar yang berusia lebih seratus tahun.

Bagi anda yang merancang untuk ke sini, kami ceritakan secara ringkas apa yang menariknya.

Muzium tertua di Semenanjung Malaysia

Muzium Taiping ditubuhkan pada tahun 1883. Ia adalah muzium pertama di Malaysia. Bangunan colonial muzium ini dibina berkonsepkan arkitektur British kuno jenis Art Dico. Ia memang unik dan kelihatan cukup megah bila diperhatikan dari luar.

Muzium Perak di Taiping

Disebelah dalam, rekaan dalaman ruang muzium adalah luas dan selesa. Ruang pameran berada di aras bawah dan aras satu. Anda akan menaiki tangga yang cantik untuk ke tingkat atas (aras satu).

Berbagai pameran menarik

Sebelum masuk ke Muzium Perak lagi, pengunjung telah disajikan dengan pameran menarik dihalamannya. Disini terpampang dengan megah sebuah kapal terbang lama. Ia benar-benar menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang kemari.

Kapal terbang lama

Dibelakang kapal terbang lama, ada gerabak keretapi nombor 2 yang diperbuat dari kayu. Pada gerabak ini tertulis PERAK STATE RAILWAY. Pasti anda tertanya-tanya bagaimana rupa bahagian dalam gerabak ini. Sayang sekali ia berkunci.

Gerabak keretapi penumpang lama

Seterusnya, ada beberapa pameran lain dikawasan ini yang boleh anda lihat seperti sauh lama dan enjin keretapi dibawah.

Sauh dan enjin lama

Dan tidak ketinggalan patung mat saleh ini. Siapakah beliau?

Patung Robert Sandilands Frowd Walker
Patung Robert Sandilands Frowd Walker

Melangkah masuk kedalam Muzium Perak, ada ruang pameran yang luas. Semasa saya datang ada pertunjukan barangan logam berbagai jenis yang diperbuat dari perak, tembaga dan lain-lain. Ia adalah barang-barang mewah yang digunakan oleh golongan bangsawan pada zaman dahulu dan sekarang.

Pameran tembikar

Koleksi artifek lebih 100 tahun

Seterusnya pengunjung boleh ke ruang pameran haiwan liar. Disini terdapat tulang rangka gajah, kuda, tapir dan lain-lain. Ia seolah-olah melawat Jurassic Park.

Tulang rangka gajah

Rangka gajah ini adalah yang paling besar ada di Muzium Perak.

Rangka kuda

Rangka kuda ini agak kecil. Mungkin anak kuda atau kuda padi.

Berbagai rangka binatang

Disekeliling ruang pameran ini terdapat pelbagai jenis binatang yang diawet dan ia begitu menakjubkan. Ini juga adalah masa yang sesuai untuk anda ibubapa menunjukkan bakat sebagai pemandu pelancong kepada anak-anak.

Koleksi burung yang di awet

Berbagai jenis burung

Burung gagak dan burung tiong

Burung gagak dan burung tiong yang diawet.

Landak

Landak yang ada di negeri Perak.

Tupai

Berbagai jenis tupai turut diawetkan untuk pameran.

Galeri hidupan laut

Ruang pameran seterusnya ialah galeri hidupan laut. Saya sendiri terlupa nama sebenar galeri ini. Ia agak menarik cuma tidak banyak koleksi yang dipamerkan.

Galeri hidupan laut

Galeri Kebudayaan Perak

Anda mungkin terasa agak janggal bila memasuki ruang pameran ini. Mana tidaknya, sebelum ini Jurassic Park dan kemudiannya Underwater World, tiba-tiba muncul butik tradisional.

Walau bagaimanapun, ia agak menarik bila melihat pakaian tradisional yang cantik ini dipamerkan.

Pameran Kebudayaan
Gambar ini seperti tiada kaitan. Sebenarnya ada dihujung sana.

Permainan tradisional

Pameran berbagai jenis permainan tradisional di negeri Perak.

Proses pertukangan logam

Pameran proses pertukangan logam juga ada.

Galeri Orang Asli dan Tembikar

Galeri Orang Asli dan Tembikar terletak di aras satu. Anda perlu menanggalkan kasut untuk menaiki tangga menuju ke atas. Jadi, pastikan stokin anda tidak berbau kerana ia akan mengganggu pengunjung lain.

Galeri pameran mengambil keseluruhan ruang tingkat atas. Anda boleh melihat berbagai koleksi barangan dan peralatan orang asli, barangan kraftangan serta berbagai jenis tembikar yang berusia beratus tahun. Memang unik dan menakjubkan.

Lantaran itu, saya cuma berkongsi gambar dibawah sahaja supaya anda simpan perasaan teruja anda.

Galeri Orang Asli dan Tembikar

Kenderaan lama

Selesai melawat anda perlu berpatah balik untuk ke ruang legar dan seterusnya keluar bangunan melalui jalan belakang. Jangan salah jalan. Pastikan anda melalui kedai cenderahati sebelum keluar. Dihadapan pintu pula, anda akan melihat perahu lama dibawah.

Perahu lama

Kenderaan lama terletak diluar bangunan muzium. Beberapa jenis kereta antik keluaran England dipamerkan. Tidak pasti samada kereta ini masih ada enjin atau hanya kulit badan semata-mata. Jika anda belum pernah melihat kereta antik sebelum ini, datang ke Muzium Perak. Anda boleh melihat bagaimana rupa kereta mewah pada zaman dahulu.

Kereta antik buatan England

Dibahagian tepi pagar pula terdapat koleksi kenderaan berbagai jenis. Mungkin kereta jenazah ini sedikit menggerunkan. Saya harap tidak terserempak di jalanraya pada waktu malam.

Van jenazah antik

Berbagai jenis kenderaan dipamerkan disini.

Kenderaan lama yang dipamerkan

Kemudahan dan fasiliti

Kemudahan awam yang disediakan di Muzium Perak tidak banyak. Yang pasti, tempat letak kenderaan adalah percuma. Tiada cafe dan surau yang saya nampak. Sila betulkan jika salah.

Tandas awam

Tandas awam disediakan tetapi pengunjung perlu berjalan keluar muzium. Kalau dah rasa sikit-sikit, eloklah terus ke tandas dahulu sebab ia memang agak jauh dibelakang.

Kedai Cenderahati

Sebuah kedai cenderahati ada didalam muzium ini. Berbagai barangan yang ada kaitan dengan Muzium Perak, Taiping dan negeri Perak ada dijual disini.

Kedai Cenderahati

Tempat menarik berhampiran

Zoo Taiping

Tarikan utama semestinya Zoo Taiping. Ramai yang datang bercuti ke sini semata-mata ingin membawa keluarga melawat zoo. Semestinya ia cukup menarik dan tidak mengecewakan. Datang pada awal pagi kerana haiwan akan diberi makan pada waktu itu. Mereka akan lebih aktif berbanding waktu petang.

Maklumat lanjut lihat halaman Melawat Zoo Taiping.

Bukit Larut

Satu lagi tarikan sejarah dan warisan di Taiping. Bukit Larut menjadi lokasi istirehat pegawai tentera British pada zaman dahulu. Mereka membina rumah rehat dipuncak bukit yang dikenali sebagai Maxwell Hill pada masa itu. Ia masih dapat dilihat hingga hari ini.

Anda boleh melihat halaman Bercuti di Bukit Larut. Halaman ini memaparkan cerita dan gambar menarik.

Taman Botani Perak

Tempat menarik yang baru dibuka pada tahun 2019. Walaupun belum siap sepenuhnya seperti yang dirancangkan, Taman Botani Perak adalah tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di Taiping. Selain mempelajari berbagai jenis tumbuhan dan herba, tempat ini sesuai untuk beriadah bersama ahli keluarga.

Maklumat lanjut lihat halaman Taman Botani Perak.

Hotel berhampiran

Banyak hotel berhampiran yang boleh dijadikan tempat penginapan. Antara yang menarik ialah Hotel Seri Malaysia, Novotel Taiping dan hotel Grand Baron.

Untuk melihat hotel yang lebih murah atau potongan harga bilik, anda boleh menyemak serta menempah penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Kesimpulan

Muzium Perak atau Muzium Taiping ini adalah lokasi paling sesuai dikunjungi bagi yang merancang percutian keluarga, rombongan atau percutian bajet ke bandar ini. Ia mempunyai berbagai tarikan yang mengujakan bukan sahaja kanak-kanak tetapi orang dewasa juga. Bangunannya luas, kawasan pameran selesa dimana anda tidak perlu bersesak dengan ramai orang seperti di sesetengah lokasi pelancongan. Harga tiket yang dikenakan juga sangat murah. Kesimpulannya, ia adalah lokasi lawatan percutian bajet 5 bintang.

Lokasi