Tempat menarik di Bandar Melaka

Melaka memang banyak pusat pelancongan menarik yang boleh dilawati. Malah jika diikutkan, percutian 3 hari 2 malam belum cukup untuk melawat semua tempat menarik di bandar Melaka sahaja, belum lagi di daerah lain. Dari perbualan dengan pelancong luar yang ditemui, ada yang telah tinggal lebih dari dua minggu bagi mengikuti sepenuhnya tarikan yang ada di sini. Jadi, kali ini saya ingin berkongsi keistimewaan yang ada disekitar bandar Melaka sebagai panduan anda.

Nota: Untuk senarai penuh, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Melaka.

Muzium Samudera

Jika ke Bandar Melaka, pemandangan kapal laut yang besar di atas darat pasti menarik perhatian anda.Sebenarnya itu ialah Muzium Samudera. Terdapat dua buah muzium samudera iaitu Muzium Kapal dan Muzium Samudera 2. Kedua-dua muzium ini sangat menarik dan terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi.

Muzium Kapal

Muzium Kapal ini dibina berlandaskan kapal portugis Flor de La Mar. Pengunjung dapat melihat struktur binaan dan susun-atur didalam kapal seperti bilik kapten, bilik peta dan sebagainya. Pameran didalam kapal meliputi berbagai kaedah menarik seperti arca, lukisan dan khazanah lama. Semuanya berkaitan sejarah di zaman Kesultanan Melaka.

Muzium Kapal.
Muzium Kapal salah satu dari Muzium Samudera Melaka.

Pameran dalam Muzium Kapal Melaka.
Arca pameran perdagangan di zaman kesultanan Melaka dalam Muzium Kapal.

Muzium Samudera 2 - Maritime Museum

Muzium Samudera 2 atau Maritime Museum pula terletak disebelah Muzium Kapal. Ia mempamerkan berbagai maklumat tentang lautan di Malaysia termasuk hidupan laut, karang dan teknologi perkapalan. Berbeza dengan muzium kapal, muzium ini berkonsepkan teknologi moden yang cukup menarik.

Muzium Samudera 2.
Muzium Samudera 2 atau Maritime Museum.

Nota: Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Melawat Muzium Samudera Melaka.

Rumah Terbalik - Upside Down House Gallery Melaka

Rumah Terbalik atau Upside Down House Gallery Melaka terletak tidak jauh dari Muzium Samudera. Anda boleh berjalan kaki tidak sampai lima minit untuk ke sini. Bagi yang suka bergambar, galeri ini mungkin menyeronokkan bagi anda.

Rumah Terbalik di Melaka.

Sebenarnya Upside Down House Gallery Melaka ini bukanlah rumah terbalik. Ia sebenarnya rumah kedai sahaja. Bahagian dalamannya telah diubah-suai membentuk dapur, bilik tidur dan tandas. Yang uniknya, semua perabot, peralatan elektrik dan perkakasan rumah semuanya dalam kedudukan terbalik.

Upside Down House Gallery Melaka.

Craft Centre - Medan Samudera

Craft Centre dan Medan Samudera terletak dalam bangunan yang sama. Ia adalah bangunan dua tingkat yang terletak berhadapan dengan Muzium Samudera. Percutian Bajet sangat mengesyorkan anda singgah disini untuk membeli barangan cenderahati dan menjamu selera.

Craft Centre Melaka.

Craft Centre

Jika anda ingin membeli barangan cenderahati dari Melaka untuk dibawa pulang, Craft Centre mempunyai banyak kedai yang menjual barangan tempatan. T-shirt bercetak Melaka dijual dengan harga semurah RM10 sehelai. Barangan lain termasuk pakaian, topi, barangan kraftangan dan makanan kering turut dijual disini.

Kedai Cenderahati di Craft Centre Melaka.

Tips: Kedai-kedai cenderahati terdapat di aras bawah dan aras atas. Pastikan anda kunjungi semua kedai sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu. Harga barangan berbeza mengikut kedai. Ada kedai yang mudah untuk tawar-menawar. Saya mendapat potongan harga yang agak banyak dari harga asal yang sememangnya sudah murah dan sangat berpuas-hati dengan peniaga yang ramah.

Medan Samudera

Medan Samudera ialah medan selera yang terletak didalam bangunan Craft Centre. Banyak kedai makan yang menghidangkan menu masakan tempatan termasuk asam pedas Melaka. Harga makanan juga berpatutan. Ia adalah tempat makan di bandar Melaka yang paling banyak pilihan dan murah.

Kedai makan di Medan Samudera.
Kedai makan yang pertama dijumpai di tingkat atas. Kedai ini ada ulam-ulaman dan masakan kampung.

Tips: Banyak kedai makan di tingkat atas. Saya makan di kedai hujung sekali menghadap Muzium Samudera. Makanannya agak sedap. Banyak jenis lauk dan masakan berbanding kedai lain. Saya makan asam pedas ikan pari. Rasanya boleh tahan dan harganya jauh lebih murah berbanding Restoran Asam Pedas Jr 2 yang terletak tidak jauh dari sini.

Nota tambahan: Sepanjang 3 hari di bandar Melaka, saya mencuba masakan asam pedas setiap hari. Di Restoran Asam Pedas Jr 2, asam pedasnya pahit. Kena paksa diri untuk habiskan. Tidak berbaloi dengan harganya yang sangat mahal. Di sebuah kedai lain yang saya lupa nama kedainya, asam pedas ikan pari cuma RM3 seketul. Rasanya lebih baik dari restoran sebelum ini. Kedai di Medan Samudera sahaja yang saya dapat hirup kuahnya dan menikmati rasa asam pedas. Kalau anda tahu kedai makan yang menyediakan asam pedas Melaka yang original atau yang paling sedap sila tinggalkan nama dan alamat kedai dibahagian komen. Saya akan cuba di lain masa bila ke sini lagi.

Menara Taming Sari

Tempat menarik di bandar Melaka yang tidak boleh dilupakan ialah Menara Taming Sari. Ia terletak di belakang Craft Centre, berhampiran Dataran Pahlawan. Menaiki menara ini di siang hari membolehkan anda melihat seluruh bandar Melaka termasuk pulau-pulau yang ada di Selat Melaka. Anda boleh melihat pemandangan sekeliling dan ia sangat menyeronokkan apabila melihat lokasi yang pernah anda lawati disekitar kawasan ini.

Menara Taming Sari Melaka.

Bangunan Merah - Dutch Square

Bangunan Merah atau lebih dikenali sebagai Dutch Square ialah lokasi pelancongan yang sangat popular di Bandar Melaka. Ia adalah tempat dimana beberapa bangunan kolonial di cat dengan warna merah. Ia kelihatan cukup menarik. Ini kerana keunikan rekabentuk bangunan dengan senibina Eropah membuatkan anda merasa seolah-olah berada di luar negara. Tambahan pula, kawasan ini sentiasa dipenuhi pelancong asing.

Dihadapan bangunan merah ini terdapat satu dataran yang agak luas dimana pelancong berkumpul melihat keindahan pemandangan disini. Ia mempunyai hiasan lanskap yang menarik dan pancutan air yang dikenali sebagai Queen Victoria Memorial Fountain. Disini juga terdapat sebuah menara jam menarik iaitu Tan Beng Swee Clock Tower.

Tan Beng Swee Clock Tower.

The Stadthuys

The Stadthuys ialah bangunan bersejarah yang dibina oleh Belanda semasa memerintah Melaka sekitar tahun 1650. Ia menempatkan pejabat gabenor dan timbalan gabenor Belanda pada masa itu. Bangunan yang melalui beberapa zaman dan peperangan ini pernah dijadikan sebagai Malacca Free School semasa pemerintahan British. Kini ia menjadi Muzium Sejarah dan Ethnografi. Pengunjung dapat melihat pameran bahan sejarah dan maklumat penubuhan Melaka dari tahun 1400 sehingga kemerdekaan Tanah Melayu. Disamping itu, pengunjung juga dapat melihat berbagai barangan dan informasi berkaitan kebudayaan dan cara hidup pelbagai kaum yang ada di Melaka.

Muzium Sejarah dan Ethnografi Melaka.

Balai Senilukis Melaka

Sebuah lagi bangunan merah yang ada disini ialah Balai Senilukis Melaka atau Melaka Art Gallery. Ia terletak di sebelah bangunan Christ Church Melaka. Galeri senilukis terletak di tingkat atas. Aras bawahnya ialah Muzium Belia Melaka. Balai Senilukis Melaka mempamerkan 150 judul lukisan serta arca hasil karya artis terkemuka tanah air dan luar negara. Hasil seni ini cukup menarik dan mengagumkan.

Balai Senilukis Melaka.

Muzium Belia Malaysia

Bangunan Muzium Belia Malaysia ini pada asalnya ialah salah sebuah bangunan pentadbiran Belanda yang memerintah Melaka pada zaman dahulu. Ia pernah dijadikan pejabat pos dan kemudiannya sekolah Anglo-Chinese pada tahun 1931. Muzium ini mempamerkan dokumen dan maklumat tentang berbagai organisasi belia di Malaysia dan luar negara.

Christ Church Melaka

Christ Church Melaka ialah sebuah gereja yang dibina pada tahun 1753 sempena seabad Belanda di Melaka dan juga bagi menggantikan gereja Portugis yang telah musnah. Gereja ini masih mempunyai binaan dan perabot asal yang berusia lebih 200 tahun.

Dutch Square Melaka.

Melaka River Cruise

Melaka River Cruise ialah aktiviti menarik yang mesti dilakukan jika bercuti di bandar Melaka. Anda dapat melihat berbagai tempat menarik ditepi sungai sepanjang perjalanan dengan bot. Antara yang menarik ialah anda akan menempuh beberapa buah jambatan, melihat "wall art", lanskap menarik, hotel, kampung melayu tradisional dan lain-lain lagi.

Lihat artikel: Melaka River Cruise untuk maklumat lanjut.

Harga tiket:
Dewasa: RM10.
Kanak-kanak: RM5.
Berkumpulan (satu bot): RM400.

Alamat:
Melaka River Cruise
Jalan Laksamana,
75000 Melaka

Hubungi:
Telefon: 06-2814322

Melaka River Cruise beroperasi siang dan malam. Jika ada kesempatan, anda mesti mencuba kedua-duanya kerana ia menawarkan pengalaman yang berbeza.

Kaunter tiket Melaka River Cruise.
Kaunter tiket Melaka River Cruise berhampiran Muzium Samudera.

Sebenarnya ada dua lokasi untuk menaiki river cruise sungai Melaka. Satu di pusat bandar Melaka. Jetinya berhampiran Muzium Samudera. Satu lagi di Jalan Tun Mutahir, berhampiran 6D Motion Ride.

Melaka River Cruise.
Melaka River Cruise Boarding Jetty di jalan Tun Mutahir.

Melaka River Cruise ialah aktiviti pelancongan yang sangat popular dikalangan pelancong. Anda terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket jika melawat melaka di musim cuti sekolah atau cuti umum.

Tips:

  1. Elakkan masalah tersebut dengan membuat tempahan tiket awal secara online.
  2. Jika orang terlalu ramai semasa sesi siang, anda boleh memilih sesi malam.
  3. Jika terlalu ramai pelancong beratur di satu jeti, anda boleh ke jeti satu lagi.
  4. Semasa menaiki bot, jangan duduk dibahagian hadapan. Apabila bot berselisih, air sungai akan terpercik kedalam bot dan menyimbah anda. Airnya kotor dan berbau busuk.

Kampung Morten

Kampung Morten ialah perkampungan melayu yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Melaka. Semasa menaiki Melaka River Cruise anda dapat melihat keindahan kampung ini yang terletak ditepi sungai. Jika anda inginkan pengalaman yang lebih menarik, anda boleh tinggal di homestay yang ada disini. Selain itu, di kampung ini juga terdapat sebuah rumah yang istimewa iaitu Villa Sentosa. Ia adalah rumah asal pengasas Kampung Morten yang dijadikan galeri persendirian oleh pewarisnya.

Kampung Morten Melaka.

Masjid Selat Melaka

Masjid ini terletak di Pulau Melaka. Kedudukannya ditepi laut kelihatan seolah-olah ia adalah sebuah masjid terapung. Ia adalah sebuah masjid yang sangat cantik. Rekabentuk dan senibinanya unik dan mengagumkan. Kedudukannya agak jauh dari pusat bandar, maka anda perlu mengambil teksi jika tidak membawa kenderaan sendiri.

Masjid Selat Melaka.

Tempat menarik lain

Jika anda mempunyai masa, ada banyak lagi tempat menarik di bandar Melaka yang boleh dilawati. Berikut ialah antara lokasi pelancongan popular dan menjadi tumpuan pelancong asing.

  1. Kota A'Famosa - Satu lokasi pelancongan yang tidak asing lagi. Ia adalah kota peninggalan penjajah yang memerintah Melaka pada zaman dahulu.
  2. Istana Kesultanan Melaka - Sebuah replika istana di zaman Kesultanan Melaka.
  3. Muzium Tentera Laut - Muzium TLDM ini terletak berhampiran Muzium Samudera. Selain pameran utama di dalam bangunan, terdapat sebuah kapal laut yang boleh dilawati.
  4. Muzium Kastam - Terletak berhampiran Kaunter Tiket Melaka River Cruise. Bersebelahan Muzium Samudera.
  5. Jonker Street - Jonker Street ialah kawasan pelancongan yang sangat popular dikalangan pelancong luar negara.
  6. Baba And Nyonya Heritage Museum.
  7. Masjid Kampung Hulu - Sebuah masjid lama yang didirikan sejak zaman penjajah.

Kesimpulannya, memang banyak tempat-tempat menarik di bandar Melaka yang boleh dilawati jika bercuti disini. Ada yang menyeronokkan dan ada yang membosankan. Banyak yang memberi manafaat dan ilmu pengetahuan. Banyak juga yang sia-sia. Apa pun semuanya bergantung pada minat masing-masing. Saya harap apa yang dikongsikan dalam artikel ini berguna untuk anda. Perkara paling kecil yang boleh dilakukan sebagai tanda penghargaan ialah dengan berkongsi artikel ini di laman sosial anda. Terima kasih.

Lokasi