Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah

Salah satu aktiviti menarik semasa bercuti disesuatu tempat ialah merasa makanan tempatan. Jika anda bercuti ke Sungai Petani, Kedah, pastikan anda singgah merasa makanan di tempat makan sedap yang kami senaraikan ini.

Marina Tomyam, Sungai Petani

Restoran masakan Thai ini terletak berhampiran lampu isyarat tol Sungai Petani Utara. Berbagai jenis masakan ala-Thai yang ada, namun makanan yang sedap ialah seperti:

  • Koey teaw tomyam.
  • Siakap tiga rasa.
  • Tomyam campur.
  • Sayur.
  • Masakan barat.

Restoran nasi kandar ZBCH, Bedong, Kedah

Terletak di tepi jalan utama Sungai Petani - Gurun, Restoran nasi kandar ZBCH di Bedong ini sentiasa dipenuhi pelanggan. Anda pasti dapat mengagak lokasi restoran ini dengan melihat kenderaan seperti lori dan kereta yang banyak berhenti ditepi jalan.

Lauk-pauk nasi kandar restoran ZBCH, Bedong, Kedah.

Menu makan utama di restoran ZBCH, Bedong ini ialah nasi kandar dengan pelbagai jenis lauk. Selain itu, terdapat juga masakan panas segera ala-Thai dan roti canai. Berbeza dengan restoran nasi kandar di Penang, pekerja di restoran nasi kandar ZBCH, Bedong, Kedah ini hampir semuanya wanita.

Restoran nasi kandar ZBCH, Bedong, Kedah.

Sedap tak masakan di restoran nasi kandar ZBCH, Bedong, Kedah ini? Tentu sekali sedap. Dua jenis nasi disediakan untuk pelanggan. Antara lauk-pauk yang sedap ada di restoran ini ialah:

  • Ayam goreng - Saiz besar. Seketul ayam goreng cukup untuk dua orang makan.
  • Kari kambing - Harga yang jauh lebih murah berbanding restoran nasi kandar lain.
  • Sambal sotong.
  • Ayam madu.
  • Daging masak hitam.
  • Kari kepala ikan.

Berbagai jenis masakan lauk-pauk lagi seperti udang besar, ikan goreng dan telur ada dijual. Namun apa yang menarik ialah harga makanan di restoran ini lebih murah berbanding restoran lain di Sungai Petani. Amat berbaloi jika anda membawa keluarga atau rakan-rakan menjamu selera beramai-ramai.

Roti canai juga ada ri Restoran ZBCH, Bedong, Kedah.

Bagi anda yang kurang menggemari nasi kandar, masakan ala-Thai dan berbagai jenis roti canai juga tidak mengecewakan. Manakala minuman yang dibancuh seperti teh tarik, teh ais dan jus epal cukup memuaskan tekak.

Masakan ala-Thai juga ada di restoran ZBCH, Bedong.

Nasi kandar Naina, Bedong, Kedah

Nasi kandar Naina ini terletak berhampiran lampu isyarat Bedong, Kedah. Anda tidak akan terlepas kerana ia betul-betul terletak disebelah lampu isyarat persimpangan ke Merbok. Ia bukanlah restoran yang besar tetapi hanyalah gerai tepi jalan di hujung bangunan.

Nasi kandar ini agak terkenal di Kedah dan sentiasa dipenuhi pelanggan. Masakan dan jenis lauk-pauk pula adalah sama seperti kebanyakan nasi kandar lain namun kesedapannya cukup terasa. Mungkin kerana resepi dan rempah-ratus yang digunakan berbeza.

D'Madinah Corner

Restoran D'Madinah Corner Padang Temusu Sungai Petani. Menyajikan makanan barat, roti dan sup. Harga makanan berbaloi kerana makanan yang sedap. Restoran ini sentiasa dipenuhi pelanggan. Berikut ialah gambar hidangan menarik di restoran ini.

Menu masakan barat di restoran D'Madinah Corner.

Restoran D'Madinah Corner ini dikongsi oleh rakan yang mencadangkan restoran sedap yang harus dicuba jika ke Sungai Petani. Katanya selain menyajikan makanan yang sedap, restoran ini juga bersih. Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca blog: Makan Malam di D’Madinah Corner, Sungai Petani.

Restoran, medan selera dan gerai menarik di Sungai Petani

Berikut ialah senarai tempat makan sedap yang ada di Sungai Petani:

  • Restoran D'King mee udang berhampiran lampu isyarat tol Sungai Petani Selatan. Anda perlu mengambil jalan ke Butterworth dan membuat pusingan U untuk patah balik ke pekan Sungai Petani. Simpang masuk ke restoran mee udang tidak berapa jauh dari lampu isyarat pasaraya Giant. Pastikan anda berada di lorong kiri agar tidak terlepas restoran tersebut. Banyak komen negatif tentang restoran ini. Kalau boleh, sila elakkan. Banyak lagi restoran di Sungai Petani yang boleh dikunjungi.
  • Restoran nasi kandar Pelita berhampiran Jam Besar Sungai Petani. Restoran ini terletak berhampiran bangunan Bank HSBC. Makanan dan masakan yang dihidangkan tidaklah terlalu sedap namun sesuai jika anda tidak ingin memandu jauh dan keluar dari pusat bandar Sungai Petani.
  • Pengkalan Ikan Bakar, Sungai Petani. Lokasi restoran ini ialah di Jalan Pengkalan, berhampiran sungai. Makanan yang ada selain ikan bakar ialah berbagai makanan laut, tomyam dan lain-lain. Pengunjung boleh memilih ikan, udang, sotong atau apa saja untuk dibakar atau untuk masakan lain yang digemari.
  • Restoran Bawal Sembilang, di Padang Temusu, Sungai Petani. Kalau dari susur keluar tol Sungai Petani anda perlu mengambil jalan ke Butterworth. Lokasi restoran ini ialah lepas sedikit sahaja dari Padang Temusu. Makanan yang sedap disini ialah gulai semilang, bawal goreng, asam pedas ikan pari dan ulam-ulaman beserta sambal belacan. Buka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Hari Jumaat tutup.
  • Jika anda gemarkan western food, LeBOSS Cafe Restaurant yang terletak di Lagenda Height Sungai Petani menyajikan berbagai jenis masakan barat yang sedap.
  • Hotmas Restaurant di Taman Lagenda Indah, Sungai Petani turut menyediakan makanan barat dan juga masakan melayu. Bagi anda yang tidak biasa dengan bandar Sungai Petani, lokasi Restoran Hotmas berhampiran dengan Hotel Swiss Inn. Antara masakan yang sedap ialah nasi goreng kambing dan nasi goreng pakprit. Nasinya banyak, sepinggan boleh makan dua orang. Minuman juice disini juga terbaik. Dibuka dari pukul 5 petang hingga tengah malam.
  • Restoran Nasi Padang Langkasuka yang terletak di Taman Ria Jaya Sungai Petani menyediakan kelainan jika anda ingin mencuba. Restoran ini menyajikan nasi campur dengan berbagai jenis lauk-pauk untuk makan tengahari. Lokasinya tidak jauh dari The Carnival Water Park. Lihat artikel Restoran Nasi Padang Langkasuka, Sungai Petani.
  • Gerai Nan Sungai Petani menyediakan masakan ala-thai dan ikan bakar. Pengunjung boleh memilih ikan dan jenis masakan. Antara masakan yang sedap ialah ikan jenahak tiga rasa, tomyam, sup ekor dan masakan panas lain. Lokasi Gerai Nan terletak di jalan menuju ke Jeti Sungai Semeling. Selepas traffic light, restoran disebelah kanan.
  • Food Court Aman Jaya Mall - Jika anda ingin makan dikawasan bandar Sungai Petani, food court ini tidak mengecewakan. Berbagai jenis makanan ada seperti makanan barat, mee, nasi ayam, masakan Thai, nasi campur, pizza, sizzling dan lain-lain lagi. Semuanya makanan halal. Maklumat lanjut boleh dibaca di Food Court Aman Jaya Mall Sungai Petani.

Makan malam di Pengkalan Ikan Bakar

Nota: Ingin kami ingatkan bahawa kebanyakan restoran yang disenaraikan diatas sangat popular. Pada hari minggu, musim cuti sekolah atau cuti umum, restoran-restoran ini sentiasa penuh. Anda mungkin terpaksa menunggu pelanggan selesai makan dan beredar sebelum mendapat tempat.

Setakat ini dahulu senarai tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah yang dapat kami cadangkan untuk anda. Kami akan sentiasa mengemaskini halaman ini dan menambah restoran menarik serta berbagai jenis makanan sedap yang ada di kawasan ini. Jika anda ingin berkongsi tempat makan sedap lain yang terdapat di Sungai Petani, sila komen dibawah artikel ini.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi