Gerbang Malam Ipoh

Gerbang Malam Ipoh ialah pasar lewat malam atau uptown yang popular di bandaraya ini. Ia menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi pada waktu malam bagi pengunjung yang bercuti di Ipoh. Jika anda datang pada musim cuti persekolahan, suasana cukup meriah dengan pengunjung yang datang dari merata-rata tempat.

Seperti kebanyakan uptown lain, gerai-gerai disini menjual barangan seperti pakaian, kasut, topi, aksesori, perfume dan sebagainya. Deretan gerai-gerai dibuka lebih 350 meter di Jalan Dato Tahwil Azar. Jika berjalan dari hujung ke hujung kemudian berpatah balik boleh mercik peluh di dahi.

Masuk ke Gerbang Malam

Lokasi Gerbang Malam Ipoh

Gerbang Malam Ipoh terletak di pusat bandaraya dan mudah untuk cari. Lokasinya ialah di Jalan Dato Tahwil Azar, tidak jauh dari Restoran Nasi Ganja Ipoh. Anda boleh menggunakan Google Maps jika ada masalah. Tempat letak kereta pula boleh didapati disekitar kawasan ini.

Alamat:
Gerbang Malam Ipoh
Jalan Dato Tahwil Azar,
30300 Ipoh,
Perak

Hubungi:
Tel: -
Email : -

Harga:
Harga barangan tidak tetap. Pandai-pandailah pujuk.

Waktu operasi:

Setiap hari: 8.00 malam - 1.00 pagi

Gerbang Malam di Ipoh

Apa yang menarik?

Apa yang menarik di Gerbang Malam Ipoh? Dari segi konsep, ia adalah sama seperti pasar lewat malam ditempat lain juga. Gerai-gerai yang ada juga menjual barangan yang sama. Harga pun tidak banyak beza. Cuma di Ipoh, pasar malam ini lebih besar dan meriah terutama pada musim cuti sekolah.

Gerbang Malam Ipoh

Semasa kunjungan saya mendapati beberapa gerai yang agak menarik. Antaranya ialah gerai yang menjual tengkolok, cincin, keris, golok dan lain-lain. Jika di pasar karat gerai seperti ini adalah biasa tetapi tidak di uptown.

Gerai menjual tengkolok, keris, cincin dan lain-lain

Satu lagi yang menarik perhatian saya ialah gerai yang menjual beg. Berbagai jenis beg ada tetapi yang istimewa ialah beg bergambar tarikan pelancongan di Ipoh.

Beg menarik di Gerbang Malam Ipoh

Di Gerbang Malam ini juga beberapa gerai urut refleksologi. Ramai pengunjung yang mengambil kesempatan ini untuk memulihkan tenaga setelah penat berjalan atau bekerja di siang hari.

Perkhidmatan urut refleksologi

Pertama kali saya jumpa gerai menjahit pakaian di pasar lewat malam atau uptown. Street Jeans Repair.

Street jeans repair

Suasana di Gerbang Malam ini memang meriah. Tidak dinafikan, ramai yang berkunjung ke sini terutama pada hujung minggu.

Suasana meriah di Gerbang Malam

Pada saya, hanya itu yang menarik dan unik di Gerbang Malam Ipoh ini. Gerai-gerai lain banyak dan menjual bermacam-macam barangan tetapi biasa dilihat dimana-mana.

Kesimpulan

Gerbang Malam Ipoh adalah pasar lewat malam yang sangat meriah di musim cuti sekolah. Ramai yang berkunjung kesini samada untuk membeli-belah atau sekadar jalan-jalan cuci mata. Jika anda bercuti di Ipoh dan ingin ke sini, jangan teragak-agak. Tempat ini menarik untuk bersiar-siar kerana diwaktu siang anda tidak akan dapat melihat suasana sebegini.

Lokasi