Membeli-belah

Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan semasa bercuti ialah membeli-belah. Malah ia boleh dikatakan aktiviti wajib terutama bila membawa isteri bercuti. Pilihan paling popular untuk membeli-belah tentu sekali shopping kompleks. Namun yang lebih menarik ialah mengunjungi destinasi unik yang ada ditempat anda bercuti. Tempat-tempat seperti pasar karat, pasar malam dan uptown sangat menarik untuk dikunjungi. Jika tidak ingin membeli sekalipun, anda boleh bersiar-siar melihat suasana yang pasti menceriakan percutian anda.

Berikut ialah antara tempat membeli-belah menarik yang ada di Malaysia. Pastikan anda singgah jika bercuti dikawasan ini.

Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah ialah salah satu tarikan pelancongan popular di Kelantan. Ia adalah kompleks perniagaan yang mengumpulkan berbagai barangan tempatan seperti pakaian, kain batik, kain pasang, makanan, barangan dapur, aksesori dan bermacam-macam lagi. Bangunan besar setinggi tiga tingkat ini mempunyai berpuluh buah kedai yang kebanyakannya menjual barangan yang sama.

Nota: Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Wakaf Che Yeh Kota Bharu

Wakaf Che Yeh Kota Bharu

Jika anda bercuti di Kota Bharu, jangan lupa untuk ke Wakaf Che Yeh. Ia adalah pasar malam yang besar dan meriah. Dibuka dari jam 8 malam hingga 2 pagi, ia adalah tempat menarik yang mesti dikunjungi di waktu malam. Anda boleh membeli-belah barangan tempatan seperti kain batik dan kain pasang atau berbagai barangan dari Thailand yang dijual dengan harga yang murah.

Tidak seperti kebanyakan pasar malam biasa yang dibuka secara mingguan, Wakaf Che Yeh dibuka setiap hari. Ia menjadi salah satu tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan.

Membeli-belah di Johor Premium Outlets

Johor Premium Outlets

Johor Premium Outlets atau lebih dikenali sebagai JPO ialah tempat membeli-belah yang mesti dikunjungi jika bercuti ke Johor Bahru. Ia adalah cawangan Premium Outlets yang pertama di Malaysia. Kepada pengunjung yang belum pernah ke sana, Johor Premium Outlets ialah tempat membeli-belah yang menjual berbagai barangan berjenama dari luar negara. Ada juga jenama tempatan yang berkualiti disini tetapi tidak banyak. Susun-atur kedai-kedai di JPO ialah secara deretan dalam bangunan dua tingkat. Berbeza dengan pasaraya dimana semua kedai terletak didalam satu kompleks berhawa dingin.

Pasar Karat JB

Salah satu tempat menarik di Johor Bahru waktu malam yang mesti dikunjungi ialah Pasar Karat JB. Ia adalah bazar yang menjual pelbagai barangan dan cukup meriah. Kebanyakan gerai yang ada menjual pakaian termasuk t-shirt design sendiri, jersi dan seluar sukan serta koleksi bundle yang menarik. Selain itu terdapat gerai yang menjual kasut dan sandal, wangian dan perfume serta berbagai aksesori telefon. Malah disini juga terdapat persembahan artis jalanan yang cukup berbakat menyanyikan berbagai lagu popular berbagai genre.

Tempat menarik di Nilai Negeri Sembilan

Nilai ialah sebuah bandar baru terancang yang terkenal sebagai lokasi membeli-belah barangan murah. Tidak sah melancong ke Negeri Sembilan jika tidak singgah disini. Keistimewaan membeli-belah di Nilai ialah pengunjung tidak perlu pergi ke merata-rata tempat untuk mencari barangan yang dikehendaki. Semuanya ada di satu lokasi, iaitu kawasan perniagaan yang disediakan. Selain itu di sini juga terdapat beberapa tarikan pelancongan lain seperti pelancongan pendidikan, tarikan alam semulajadi dan tempat-tempat menarik.

Membeli-belah di Padang Besar, Perlis

Padang Besar Perlis

Padang Besar ialah sebuah pekan di negeri Perlis Indera Kayangan. Ia terkenal sebagai tempat membeli-belah berbagai jenis barangan dengan harga murah. Lokasinya ialah di utara negeri Perlis dan bersempadan dengan negara Thailand. Padang Besar juga adalah pintu masuk utama ke negara tersebut. Terdapat Pejabat Imigresen di pekan Padang Besar yang memantau urusan keluar masuk pelancong. Waktu operasi perniagaan di Padang Besar, Perlis adalah sekitar pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang. Ada juga kedai yang ditutup agak lewat sekitar pukul 7 petang namun tidak banyak.

Pasar malam Guar Chempedak

Pasar malam Guar Chempedak Kedah

Pasar malam Guar Chempedak adalah antara yang terbesar di Daerah Yan. Orang ramai dari sekitar daerah ini datang untuk membeli barang keperluan harian dan juga makanan. Di bangunan tepi pasar malam ini terdapat surau di tingkat 1 yang sangat luas dan digunakan oleh peniaga serta orang-ramai untuk solat berjemaah. Kemudahan tandas juga ada disini. Cukup besar dan bersih.

Pasar malam ini beroperasi setiap hari Sabtu. Ia bermula dari seawal pukul 5 petang dan berakhir sekitar 10 malam. Lokasinya adalah berhampiran lampu isyarat pekan Guar Chempedak jalan menghala ke Yan.

Pasar Kemboja di Malaysia

Pasar Kemboja di Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis pakaian murah yang dijual secara borong dan runcit. Antara pakaian yang dijual di Pasar Kemboja ialah baju kurung, tudung, selendang, kain pasang, pakaian lelaki dan kanak-kanak serta lain-lain lagi. Disebabkan pengunjung dapat membeli pakaian dengan harga borong, ramai yang mendapat manafaat dengan berniaga kecil-kecilan secara online. Malah ramai yang sanggup datang dari jauh untuk membeli-belah di pasar kemboja ini.

Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang

Pasar Kemboja Pendang

Pasar kemboja kini semakin popular di Malaysia. Ia bukan lagi sekadar pasar borong malah menjadi salah satu tarikan pelancongan di tempat berkenaan. Kali ini Percutian Bajet memaparkan maklumat mengenai Pasar Kemboja Pendang yang semakin popular di Kedah dan juga negeri berhampiran seperti Perlis dan Pulau Pinang. Bagi pengunjung yang belum pernah ke Pendang dan ingin membeli-belah di pasar kemboja, artikel ini akan membantu memberi gambaran sebenar tentang lokasi dan apa yang ada di pasar tersebut.