Kereta Kabel Langkawi - SkyCab Panorama Langkawi

Kereta Kabel Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawi Cable Car ialah salah satu tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi. Mula beroperasi pada 25 Februari 2005, ia sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Apa yang menarik tentang Kereta Kabel Langkawi adalah ia mempunyai laluan yang paling curam di dunia. Ia juga merupakan pengangkutan utama untuk ke puncak Gunung Mat Chinchang (Machincang) dimana pengunjung dapat melihat keindahan alam semulajadi, pemandangan menarik Langkawi dan pulau-pulau diperairannya.

Jika ini adalah kali pertama anda akan menaiki kereta kabel Langkawi, bacalah dengan teliti kerana artikel ini pasti berguna.

Isi Kandungan

[collapsed title="Klik untuk lihat isi kandungan" class="shut nested1"]

  1. Lokasi Kereta Kabel Langkawi
  2. Apa yang menarik?
  3. Kemudahan dan fasiliti
  4. Tempat menarik lain
  5. Kesimpulan

[/collapsed]

Gondola Kereta Kabel Langkawi

Lokasi Kereta Kabel Langkawi

Kereta Kabel Langkawi terletak di Oriental Village iaitu di kaki Gunung Mat Chinchang. Pengunjung boleh kesini dengan bas, van atau kereta sewa pandu sendiri. Jarak dari pekan Kuah ke Langkawi Cable Car lebih-kurang 30KM, manakala dari Pantai Cenang pula ialah kira-kira 20KM.

Maklumat lanjut lihat Oriental Village Langkawi

Alamat:
Cable Car Station
Oriental Village,
Teluk Burau,
07000 Langkawi,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-959 4225/1225
Fax: 04-959 1121/4121
Email : info@panoramalangkawi.com

Harga:
Harga tiket Kereta Kabel Langkawi.

Gondola Biasa : RM33 - RM85 (Beratur)
Gondola Biasa : RM83 - RM135 (Lorong Ekspress)
Private Gondola : RM550 (Tanpa Beratur)
VIP Gondola : RM550 (Tanpa Beratur)
Gondola Lantai Kaca: RM105 (Tanpa Beratur)
Gondola 360° : RM155 (Tanpa Beratur)

Harga tiket termasuk SkyDome, SkyRex dan 3D Art Langkawi.

Waktu operasi:

Setiap hari : 9.30am - 7.00pm

Apa yang menarik?

Kereta Kabel Langkawi akan membawa penumpang ke puncak Gunung Mat Chincang. Disepanjang perjalanan lebih-kurang 15 minit ini, penumpang akan dapat melihat pemandangan hutan semulajadi yang menghijau dari udara, kata orang putih bird eyes view. Apabila semakin tinggi, lautan dan pulau-pulau kecil diperairan Langkawi mula kelihatan. Penumpang juga dapat menyaksikan kelainan jenis pokok-pokok apabila ketinggian berbeza serta struktur batuan yang berusia lebih 500 juta tahun.

Terdapat tiga stesen kereta kabel iaitu:

  1. Stesen Bawah - Stesen pertama dimana penumpang mula menaiki gondola.
  2. Stesen Tengah - Stesen kedua untuk bergambar.
  3. Stesen Atas - Stesen terakhir iaitu lokasi utama untuk melihat pemandangan.

Nota: Peringatan untuk anda yang pertama kali menaiki Kereta Kabel Langkawi, jangan turun di Stesen Tengah.

Saya akan ceritakan secara terperinci pengalaman menaiki Cable Car Langkawi.

Menaiki gondola

Stesen Kereta Kabel Langkawi

Kereta kabel atau dipanggil Gondola akan membawa penumpang ke puncak gunung. Ada beberapa jenis gondola dengan harga yang berbeza iaitu:

  • Gondola biasa - Mempunyai dua tempat duduk bertentangan. Boleh memuatkan 6 orang penumpang dengan berat maksima 480kg.
  • Gondola Lantai Kaca - Mempunyai lantai kaca telus. Penumpang dapat melihat pemandangan sekeliling, atas dan bawah. Boleh memuatkan 6 orang penumpang.
  • Gondola VIP - Gondola mewah dengan 3 'bucket seat' untuk penumpang yang inginkan privasi. Turut menyediakan makanan, minuman dan muzik. Boleh memuatkan 3 orang penumpang sahaja.
  • Gondola 360° - Produk terkini dimana dinding kaca gondola digantikan dengan grill besi. Konsep 'open air' sesuai untuk anda yang pernah menaiki kereta kabel sebelum ini merasai kelainan dan pengalaman baru. Gondola ini cuma boleh memuatkan 4 orang penumpang sahaja.

Jika anda datang bersama rombongan atau membawa keluarga yang ramai, anda akan dipecahkan mengikut kumpulan. Anda berkemungkinan berkongsi gondola dengan penumpang lain. Pengunjung akan beratur menaiki gondola secara berperingkat. Melainkan anda menaiki selain gondola biasa, anda akan mengikut prosedur ini. Gondola lain menggunakan Lorong Ekspress. Pengunjung tidak perlu beratur.

Gondola tidak akan berhenti semasa melalui platfom. Pintu akan dibuka untuk menurunkan penumpang dari Stesen Atas. Ia akan bergerak perlahan-lahan. Penumpang perlu berhati-hati semasa ingin masuk ke dalam gondola. Pegang pintu, langkah masuk dengan pantas dan terus duduk. Pintu akan ditutup secara automatik apabila meninggalkan platform.

Setelah pintu ditutup, gondola akan bergerak meninggalkan platform perlahan-lahan. Laluan kereta kabel Langkawi dibahagian bawah agak landai dan tidak terlalu curam. Jika anda terasa gayat, jangan panik. Fokuskan pandangan didalam gondola. Tarik nafas dalam-dalam dan hembus. Bernafas secara teratur sehingga anda berasa tenang.

Didalam gondola

Gondola akan melalui beberapa tiang menara dan sebuah stesen ditengah perjalanan sebelum tiba di puncak. Ditempat-tempat ini akan berlaku sedikit gegaran. Kadang-kadang gondola akan berhenti seketika didalam perjalanan. Walaupun jarang berlaku, ia adalah proses biasa dan penumpang tidak perlu panik.

Apabila tiba di Stesen Tengah, pintu gondola akan terbuka. Akan ada orang yang menanti di platfom dan menyuruh anda turun. Kali pertama datang, saya turun di stesen ini. Apa yang ada ialah sebuah pelantar tinjau. Anda diminta untuk mengambil gambar. Selepas itu hanya ada gondola untuk turun. Untuk naik ke atas, anda perlu naik semula di stesen pertama dibawah. Saya tidak pasti bagaimana sistem pada masa sekarang tetapi untuk selamat, jangan turun di stesen ini.

Jika tidak turun, kereta kabel akan membawa anda ke stesen terakhir, iaitu stesen paling atas di puncak Gunung Mat Chinchang. Laluan ini adalah yang paling curam. Tekanan udara juga berlainan disini. Jangan risau, apabila tiba ke destinasi, anda akan dapat melihat pemandangan yang cukup menarik dan mengagumkan.

Kesimpulannya, semasa menaiki gondola, anda mungkin akan merasa takut, teruja dan sebagainya. Apapun perasaan anda, jangan bergerak aktif semasa berada didalam gondola seperti melompat atau berjalan-jalan.

Pemandangan Gunung Mat Chinchang

Pemandangan batu gunung Mat Chincang

Semasa menaiki Kereta Kabel Langkawi, dari jauh kelihatan Gunung Mat Chinchang tersergam indah. Penumpang akan melihat hutan semulajadi yang meliputi kawasan ini. Dibahagian bawah, kelihatan pokok-pokok yang tinggi menghijau. Gondola akan melalui puncak pokok-pokok ini.

Apabila separuh perjalanan menghampiri Stesen Tengah, puncak gunung semakin jelas kelihatan. Disini beberapa pemandangan menarik boleh disaksikan. Pastikan anda tidak terlepas menyaksikan:

  • Struktur batu kapur yang unik membentuk Gunung Mat Chinchang.
  • Air terjun Telaga Tujuh yang mengagumkan.
  • Jenis pokok yang berbeza dari bahagian bawah.

Pandangan bertentangan pula ialah laut yang membiru. Kelihatan pulau-pulau kecil dan kapal-kapal layar berwarna putih di Teluk Burau. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ia adalah pemandangan yang sangat cantik. Menakjubkan.

Pemandangan puncak Gunung Mat Chincang

Setelah melalui Stesen Tengah, perjalanan akan menuju ke puncak tertinggi Gunung Mat Chinchang. Laluan disini paling menakutkan. Jika anda mampu melawan perasaan gayat, saksikan pemandangan pokok-pokok yang ada dikawasan ini. Ia kelihatan lebih kecil dan renek. Batu kapur yang berusia lebih 500 juta tahun yang membentuk gunung ini dapat dilihat apabila gondola menghampiri stesen.

Pelantar Tinjau

Pelantar Tinjau

Setelah tiba di Stesen Atas, ada dua pelantar tinjau di kiri dan kanan menanti pengunjung. Anda boleh ke mana-mana pelantar tinjau tanpa risau kerana ia berhubung. Pastikan anda berkunjung ke kedua-duanya kerana ia menawarkan pemandangan yang berbeza. Ikut laluan tangga dan anda akan tiba ke destinasi.

Semasa mengikuti laluan untuk ke pelantar tinjau, terdapat beribu-ribu mangga berbentuk hati yang diletakkan oleh pengunjung di sepanjang kabel. Ia adalah tanda atau bukti cinta dan kasih-sayang pasangan yang berkunjung ke sini. Agak romantik. Aku kuncikan cinta kita dan abadikan ditempat tertinggi yang ku mampu. Perghh!!!

Mangga di laluan ke pelantar tinjau

Dihujung laluan, ada kedai cenderahati (SkyBoutique) dan cafe (SkyBistro). Anda boleh singgah disini untuk berehat sebentar bagi menghilangkan perasaan gementar menaiki kereta kabel. Jika tidak sabar lagi, anda boleh menaiki tangga untuk melihat pemandangan. Pelantar tinjau ini berbentuk bulat. Ia membolehkan pengunjung melihat pemandangan sekeliling. Disini juga terdapat teropong dan papan kenyataan yang memaparkan maklumat mengenai Gunung Mat Chincang.

Teropong di pelantar tinjau

Dari atas pelantar tinjau, pengunjung dapat melihat pemandangan alam semulajadi di puncak gunung dengan lebih dekat. Berhampiran pelantar ada batu-batu besar yang unik dan menarik. Pokok-pokok hutan yang ada pula kecil-kecil. Dari sini juga pengunjung dapat melihat laluan kereta kabel dengan gondola yang sentiasa bergerak membawa penumpang.

Pemandangan cantik dari pelantar tinjau kereta kabel Langkawi

Paling menarik ialah pemandangan laut dan pulau-pulau kecil diperairan Langkawi yang sangat mengagumkan. Jika cuaca cerah, anda akan dapat melihat kepulauan di perairan Thailand. Jika naik diwaktu petang, jangan turun awal kerana pelantar tinjau ini juga merupakan tempat terbaik untuk menikmati pemandangan matahari terbenam. Dapatkan tempat terbaik di SkyBistro dan order kopi kegemaran anda. Enjoy!

Di pelantar tinjau sebelah kanan stesen kereta kabel, pengunjung dapat melihat jambatan unik yang melengkung. Ramai pengunjung kelihatan berjalan, bergambar dan melihat pemandangan diatas jambatan. Itu adalah SkyBridge. Jika kereta kabel belum cukup mendebarkan, anda boleh ke sini.

SkyBridge (Jambatan Gantung)

SkyBridge atau Jambatan Gantung

Tarikan lain yang ada dipuncak Gunung Mat Chincang ialah SkyBridge atau Jambatan Gantung. Ia adalah sebuah jambatan berbentuk melengkung yang dibina di puncak Gunung Mat Chincang. Jambatan ini digantung pada sebuah tiang (menara) setinggi 82 meter. Ia merentasi dua puncak dengan ketinggian lebih-kurang 100 meter dari tanah. Panjang jambatan dari hujung ke hujung ialah 125 meter.

Hanya 250 orang pengunjung sahaja boleh berada diatas jambatan pada satu-satu masa. Pada yang berminat untuk merasa debaran berada diatas jambatan gantung ini, tiket boleh didapati melalui kaunter tiket SkyBridge di Stesen Atas. Harga tiket dewasa ialah RM6 dan kanak-kanak RM4.

Pengunjung dapat melihat pemandangan menarik, menikmati keindahan hutan semulajadi dan merasai pengalaman bagaimana rasanya bila jambatan gantung ini berayun.

Kemudahan dan fasiliti

Beberapa kemudahan dan fasiliti disediakan kepada pengunjung yang mengikuti aktiviti kereta kabel Langkawi. Surau ada di bahagian bawah iaitu di Oriental Village. Tandas pula ada di bawah dan Stesen Atas.

SkyBistro

SkyBistro di Stesen Atas Gunung Mat Chincang

Makanan dan minuman tidak diboleh dibawa menaiki kereta kabel. Jangan risau kerana anda boleh menjamu selera di SkyBistro di stesen paling atas di puncak gunung. Menu makanan barat dan nasi lemak disediakan. Minuman panas dan sejuk juga dijual.

Seperti kebanyakan tempat pelancongan lain, harga memang agak mahal. Jika anda tidak ingin berbelanja disini, makan dan minum dibawah sebelum masuk ke stesen kereta kabel.

SkyBoutique

SkyBoutique kedai cenderahati

SkyBoutique ialah kedai yang menjual berbagai barangan cenderahati berkaitan Kereta Kabel Langkawi. Barangan seperti t-shirt, topi dan beg adalah antara yang dijual disini. Jika anda inginkan barangan asli untuk dijadikan kenangan, dapatkan disini.

Jangan lupa masuk ke SkyBoutique yang terletak di Oriental Village dan Stesen Atas kereta kabel untuk melihat pelbagai barangan cenderahati yang ditawarkan.

Tempat menarik lain

Seperti yang dinyatakan dibahagian Harga, tiket kereta kabel turut merangkumi beberapa tempat menarik lain yang ada disini. Anda boleh melawat semua tempat menarik ini setelah selesai aktiviti menaiki kereta kabel. Namun pada waktu puncak dimana ramai pelancong beratur untuk menaiki kereta kabel, anda boleh kesini terlebih dahulu.

3D Art Langkawi

3D Art Langkawi

3D Art Langkawi adalah muzium 3D terbesar di Malaysia. Ia menawarkan berbagai lukisan 3D menarik. Pengunjung dapat menyaksikan hasil seni lukis yang unik dan cukup mengagumkan.

Berbagai kategori lukisan boleh dilihat. Kebanyakannya berkonsepkan fantasi. Anda pasti puas bergaya didepan kamera. Abadikan kreativiti dengan cara tersendiri bersama lukisan 3D yang menarik.

3D Art Langkawi turut menyediakan pertunjukan pada waktu-waktu tertentu. Lokasinya ialah disatu kawasan luas dengan lukisan 3D berkonsepkan Mesir purba. Tanpa pertunjukan, dinding besar dan lantai dipenuhi lukisan piramid, padang pasir, patung firaun dan lain-lain. Semasa pertunjukan, lampu akan ditutup dan cahaya berwarna-warni serta projektor dimainkan.

SkyRex

SkyRex

Di SkyRex, anda akan duduk beramai-ramai diatas platfom dengan kerusi yang disusun seperti tram. Setiap pengunjung akan diberi spek 3D (3D glasses). Kemudian platform akan bergerak memasuki cinema. Disini pengunjung akan berpengalaman merasai suasana pengembaraan di zaman purba dimana dinosour masih berkeliaran diatas muka bumi.

Apa yang menyeronokkan ialah platform akan bergerak dan berayun mengikut jalan cerita yang ditayangkan. Ia adalah satu konsep yang menarik cuma pemandangan 3D belum cukup 'real' dengan 3D glasses. Masa lebih-kurang 15 minit sahaja. Tidak puas.

SkyDome

SkyDome Langkawi

SkyDome ialah salah satu tempat menarik yang termasuk dalam pakej tiket kereta kabel Langkawi. Ia adalah pertunjukan menarik mengenai angkasa lepas. Sebanyak 12 projektor digunakan untuk menghasilkan imej 360°. Pengunjung boleh melihat bintang-bintang, planet, satelit dan lain-lain dalam bentuk 3D.

Ia adalah pengalaman yang cukup menakjubkan. Walau bagaimanapun, pertunjukan angkasa terlalu pendek. Masa yang diperuntukkan adalah singkat, lebih-kurang 10 minit sahaja dan ia dihabiskan dengan roller coaster yang cukup mengecewakan.

Kesimpulan

Kereta Kabel adalah aktiviti yang mesti dilakukan jika anda ke Langkawi. Ia adalah aktiviti paling menarik dan unik di pulau ini. Debaran menaiki gondola dan pemandangan dipuncak gunung adalah yang terbaik dan tidak mungkin dilupakan.

Harga tiket agak mahal tetapi berbaloi kerana selain kereta kabel, anda juga boleh masuk ke beberapa tempat menarik lain yang ada disini. Semuanya menarik dan saya cukup berpuas hati.

Bagi muslim, atau ibubapa yang membawa anak kecil, elakkan menonton Laser Show 3D Art Langkawi. Ia bagaikan pertunjukan mengagungkan firaun. Anak-anak kecil juga menangis ketakutan.

Artikel berkaitan

Lihat artikel berkaitan.

Lokasi