Melawat Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu

Taman Tamadun Islam adalah tempat menarik yang mesti dilawati jika anda bercuti di Kuala Terengganu. Terkenal dengan Masjid Kristal, ia sebenarnya merangkumi dua kawasan iaitu Zon A Monument Park dan Zon B kawasan awam. Taman Monumen mengambil lebih separuh keluasan pulau ini. Di kawasan awam pula terdapat Masjid Kristal, Convention Centre, Arked Terengganu, Restoran B’Beteng dan Tasik Pahlawan.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain, sila ke halaman Tempat menarik di Kuala Terengganu untuk dilawati.

Masjid Kristal Ikon Taman Tamadun Islam.

Percutian Bajet sempat mengunjungi Taman Tamadun Islam pada Februari 2017. Ia adalah pengalaman yang cukup menyeronokkan. Kawasannya luas dihiasi lanskap menarik. Tiada pencemaran atau hiruk-pikuk manusia. Suasana di sini cukup tenang. Berehat sambil menikmati pemandangan indah Sungai Terengganu begitu mendamaikan.

Lokasi

Taman Tamadun Islam terletak di Pulau Wan Man, iaitu sebuah pulau kecil di muara Sungai Terengganu. Jarak dari pusat bandar Kuala Terengganu ialah kira-kira 9 KM sahaja. Anda akan melalui Kampung Losong yang terkenal dengan keropok ikan yang sedap.

Alamat:
TTI Management Sdn. Bhd.
Pulau Wan Man,
Losong Panglima Perang,
21000 Kuala Terengganu,
Terengganu

Hubungi:
Telefon: +60 9-627 8888
Laman web: http://www.tti.com.my

Peta untuk ke Taman Tamadun Islam.

Tarikan

Tarikan yang ada di Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal dan Taman Monumen. Selain itu, terdapat restoran, gerai makan, kedai cenderahati dan beberapa lokasi menarik untuk bersantai melihat keindahan muara Sungai Terengganu. Kebanyakan pengunjung tempatan yang datang membawa ahli keluarga melawat Taman Monumen. Ada yang sekadar bersantai di kawasan awam menikmati keindahan lanskap yang cantik dan bergambar kenangan sebelum pulang.

Masjid Kristal

Tarikan utama di TTI ialah Masjid Kristal yang terletak di Zon B iaitu kawasan awam. Lokasinya di hujung pulau menghadap Jambatan Sultan Mahmud. Masjid cantik ini dibina diatas air di pinggir Sungai Terengganu. Ia adalah ikon Taman Tamadun Islam dan cukup unik kerana dibina dari besi dan kaca seluruhnya.

Masjid Kristal di waktu malam.

Masjid Kristal mula dibina pada tahun 2006 dan dirasmikan pada 8 Februari 2008 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu. Masjid bersaiz sederhana ini boleh memuatkan sehingga 700 orang jemaah pada satu masa. Ia mempunyai hiasan kaligrafi dan cermin tingkap yang menarik. Melihat dari dekat, Masjid Kristal kelihatan sangat cantik berkilau bagaikan kristal.

Untuk maklumat lanjut, sila ke halaman Masjid Kristal Kuala Terengganu.

Taman Monumen

Taman Monumen ialah tempat menarik yang mesti dikunjungi di Taman Tamadun Islam ini. Ia mempamerkan keindahan senibina Islam seluruh dunia yang dibina semula dengan saiz yang lebih kecil. Sejumlah 22 monumen keseluruhan tidak termasuk kincir air. Walaupun cuma replika, ia memaparkan rekabentuk dan ukiran asal. Keindahan serta keunikan dapat dilihat di setiap binaan. Ia benar-benar mengagumkan.

Taman Monumen.

Waktu operasi:
9.00am - 7.00pm Jumaat, Sabtu, Ahad
10.00am - 7.00pm Isnin - Khamis

Nota: Ditutup setiap hari Selasa kecuali pada cuti sekolah dan sesetengah cuti umum.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM21.20
Kanak-kanak: RM15.90

Tiket terakhir dijual pada pukul 6.15pm.

Untuk maklumat lanjut, sila ke halaman Taman Monumen Kuala Terengganu.

TTI River Cruise

Tarikan pelancongan lain yang ada di Taman Tamadun Islam ialah river cruise. Ia adalah aktiviti santai yang cukup menarik untuk dicuba. Jika anda inginkan pengalaman unik dan berlainan, ikuti perjalanan menyusuri Sungai Terengganu melihat keindahan pemandangan yang ada disamping melakukan aktiviti menarik yang disediakan. Berbagai pakej disediakan. Anda boleh menyemak setiap pakej yang ada di laman web Taman Tamadun Islam.

Sungai Terengganu dan Jambatan Sultan Mahmud.

Waktu operasi:
9.00am - 7.00pm Jumaat, Sabtu, Ahad
10.00am - 7.00pm Isnin - Khamis

Nota: Ditutup setiap hari Selasa kecuali pada cuti sekolah dan sesetengah cuti umum.

Tiket terakhir dijual pada pukul 5.45pm.

Kemudahan

Beberapa kemudahan awam disediakan di Taman Tamadun Islam bagi menjamin keselesaan pengunjung.

Tempat meletak kereta

Tempat meletak kereta percuma yang luas disediakan untuk pengunjung. Dihadapan Taman Monumen ada kawasan sendiri untuk kereta dan bas. Pelancong boleh meletak kenderaan disini dan berjalan ke Masjid Kristal melalui tepi sungai atau laluan dihadapan Convention Centre jika datang pada musim sibuk. Pada waktu biasa, anda boleh membawa kereta terus ke sana.

Restoran B'Beteng

Sebuah restoran yang agak besar terdapat di TTI iaitu Restoran B'Beteng. Lokasinya ialah diantara Jeti Tok Ku Paloh dan Taman Monumen. Restoran ini menawarkan ruang makan berhawa dingin dan juga kawasan terbuka yang menghadap muara Sungai Terengganu.

Menu dan Waktu operasi:
10.00am - 5.00pm (Layan Diri - Menu Tempatan)
5.00pm - 11.30pm – Ala-Carte
5.00pm - 11.30pm – Menu Istimewa (Steamboat & Ikan Bakar)

Rehat solat Maghrib: 7.15pm - 8.00pm)
Rehat solat Jumaat: 12.30pm - 2.00pm

Kiosk dan Gerai makan

Terdapat kiosk dan gerai makan ditepi sungai berhampiran Masjid Kristal. Kiosk menjual berbagai barangan cenderahati termasuk baju, topi dan keychain. Gerai makan pula menyediakan menu ringan seperti keropok lekor dan nasi lemak. Tidak banyak pilihan makanan. Seeloknya anda membawa makanan sendiri jika merancang untuk berada seharian disini kerana ia lebih menjimatkan.

Kiosk Masjid Kristal.

Tandas

Tandas awam ada di dalam Taman Monumen dan juga di kawasan awam. Papan tanda dan lorong pejalan kaki disediakan bagi membantu pengunjung mencari kedudukan tandas.

Tandas dan tempat mengambil wuduk disebelah kiri.

Pondok rehat

Beberapa pondok dibina dikawasan awam untuk pengunjung berehat. Tidak banyak seperti di tempat peranginan atau taman rekreasi. Anda perlu membuat persediaan sendiri jika ingin berada lama disini.

Meja gerai makan berhampiran Masjid Kristal.

Nota: Untuk melihat destinasi percutian, sila ke halaman Tempat percutian menarik di Terengganu.

Melawat Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu ini cukup menyeronokkan. Melihat sendiri keindahan Masjid Kristal dan melawat Taman Monumen memberi banyak ilmu pengetahuan baru. Kepelbagaian rekabentuk binaan dalam tamadun Islam sangat mengagumkan. Ia melahirkan satu keinginan untuk mengunjungi masjid-masjid tersebut di tempat asalnya.