Pulau Dayang Bunting Langkawi

Pulau Dayang Bunting ialah salah satu destinasi pelancongan menarik yang mesti dilawati jika anda bercuti ke Langkawi. Tarikan utama ialah keindahan tasik air tawar yang luas dan alam semulajadi yang masih terpelihara di pulau ini. Selain itu, beberapa aktiviti pelancongan turut disediakan untuk pengunjung seperti berkayak, merentas hutan, dan lain-lain. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi maklumat tentang pulau ini sebagai panduan anda yang merancang untuk ke mari.

Nota: Untuk melihat lokasi percutian menarik, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk bercuti di Langkawi.

Pemandangan Tasik Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting adalah pulau yang kedua terbesar selepas Pulau Langkawi. Namanya mungkin berasal dari gunung di pulau ini yang kelihatan seperti perempuan mengandung yang sedang baring. Dalam perjalanan menaiki bot ke pulau ini, pelancong akan dibawa ke lokasi dimana pemandangan ini dapat dilihat dengan jelas. Gunung ini membentuk kepala, dada dan perut perempuan yang sedang mengandung.

Bentuk perempuan mengandung
Keterangan gambar: Gunung berbentuk perempuan mengandung yang sedang baring.

Walau bagaimanapun, pulau ini tidak didiami penduduk. Selain tarikan alam semulajadi, pulau ini terkenal dengan mitosnya yang tersendiri. Berbagai versi wujud kerana ia adalah cerita mulut ke mulut. Salah satu mitos yang popular ialah mengenai tasik yang ada di sini. Ringkasnya, kisah Tasik Dayang Bunting ialah mengenai seorang puteri benama Mambang Sari yang bercinta dengan seorang pemuda bernama Mat Teja. Walau bagaimanapun, tujuh hari selepas dilahirkan, anaknya menderita penyakit misteri dan meninggal dunia. Kerana kecewa dengan kematian anaknya dan Mat Teja yang telah meninggalkannya, Mambang Sari kembali ke kayangan dan meninggalkan anaknya di sebuah tasik yang kini dikenali sebagai Tasik Dayang Bunting.

Kisah lagenda ini boleh dibaca di laman web Mitos Dua Cerita Dongeng Langkawi.

Gambar Tasik Dayang Bunting

Lokasi Pulau Dayang Bunting Langkawi

Pulau Dayang Bunting terletak di selatan Pulau Langkawi berhampiran Pulau Tuba. Tiada jalan darat yang menghubungkan kedua-dua pulau ini. Cara untuk ke pulau ini ialah dengan menaiki bot secara pakej atau sendiri. Biasanya ramai yang memilih pakej island hopping dimana pelancong akan dibawa ke beberapa pulau lain seperti Pulau Beras Basah dan Pulau Singa Besar. Lokasi jeti bot untuk pakej ini ialah Jeti Pelancongan Pekan Rabu di Kuah dan Awana Porto Malai Terminal di Pantai Tengah.

Pulau Dayang Bunting Langkawi

Tiada hotel, resort atau chalet menarik menanti pengunjung. Selalunya pulau ini hanya menerima pelancong harian. Walau bagaimanapun, jika anda ingin bermalam, tapak perkhemahan ada di Hutan Simpan Pulau Dayang Bunting. Segala urusan termasuk surat kebenaran perlulah melalui Pejabat Hutan Langkawi.

Alamat:
Pejabat Perhutanan Daerah Kedah Utara (Langkawi),
07000 Kuah , Pulau Langkawi,
Tel: 604 – 9666 835

Apa yang menarik?

Apa yang menarik di Pulau Dayang Bunting? Secara jujur, pulau ini mungkin membosankan bagi sesetengah orang. Tiada pantai yang cantik berpasir putih dengan air yang jernih untuk mandi-manda. Disini juga tiada hotel 5 bintang atau resort menarik untuk berbulan madu. Namun ia menawarkan sesuatu yang lain kepada pelancong. Berikut ialah beberapa tarikan pelancongan yang ada di Pulau Dayang Bunting.

Tasik Dayang Bunting

Tarikan utama pulau ini ialah Tasik Dayang Bunting. Ia adalah sebuah tasik air tawar yang luas melebihi keluasan tiga buah padang bolasepak. Tasik ini cukup unik dan sangat cantik jika dipandang dari udara. Kedudukannya hampir dengan laut namun masih mengekalkan air tawar kerana bukit batu yang membentuk dinding memisahkan keduanya.

Tasik Dayang Bunting dari udara

Berbagai cerita rakyat mengenai Tasik Dayang Bunting boleh didengar dan dibaca di Internet. Antara yang agak popular ialah bagaimana wanita yang sukar hamil jika minum air dari tasik ini akan mengandung. Ia adalah kepercayaan karut dan tidak berasas. Mungkin cerita ini direka kerana gunung berbentuk perempuan mengandung yang terdapat di pulau tersebut.

Tangga di Pulau Dayang Bunting

Disebabkan tasik ini dikelilingi bukit, pengunjung perlu mendaki bukit yang agak tinggi. Namun tangga dan laluan pejalan kaki yang selesa dibina hingga ke destinasi. Sebaik menuruni tangga, terdapat kawasan aktiviti air yang dibina diatas tasik. Disini juga terdapat kedai cenderahati yang menjual berbagai barangan untuk kenang-kenangan.

Kawasan aktiviti air

Hutan semulajadi

Pulau Dayang Bunting telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Simpan. Jadi tiada pembangunan dilakukan di pulau ini. Hutan semulajadi yang terdapat di sini ialah dari jenis Hutan Bukit Pantai. Berbagai jenis pokok yang berusia ratusan tahun masih kekal. Pengunjung dapat melihat berbagai spesis binatang yang tinggal disini termasuk burung.

Laluan pejalan kaki di tepi Tasik Dayang Bunting

Batu-batu menarik

Dalam perjalanan menuju ke Tasik Dayang Bunting, pengunjung akan mendaki bukit dimana terdapat batu-batu besar yang menarik boleh dilihat ditepi laluan pejalan kaki. Batu-batu ini sangat unik dan terhasil akibat fenomena alam sejak beribu tahun.

Batu-batu menarik kesan hakisan semulajadi

Aktiviti menarik

Beberapa aktiviti menarik boleh dilakukan di Pulau Dayang Bunting. Paling popular ialah aktiviti air di Tasik Dayang Bunting. Pengunjung boleh berkayak, mandi, berenang atau mengayuh paddle boat di tasik yang luas terbentang.

Aktiviti kayak
Keterangan gambar: Kayak untuk di sewa.

Paddle boat
Keterangan gambar: Paddle boat untuk di sewa.

Deretan paddle boat
Keterangan gambar: Deretan paddle boat untuk di sewa.

Kolam mandi kanak-kanak
Keterangan gambar: Kolam mandi untuk kanak-kanak.

Kawasan aktiviti air
Keterangan gambar: Berbagai aktiviti air di Tasik Dayang Bunting.

Tips Percutian Bajet:

  1. Pakai selipar atau sandal. Anda akan mandi dan melakukan aktiviti air lain.
  2. Bawa tuala.
  3. Bawa pakaian mandi.
  4. Bawa kamera.
  5. Bawa makanan dan minuman.
  6. Pinjam Life Jacket dari bot yang membawa anda. Ini kerana untuk aktiviti air di Tasik Dayang Bunting, anda perlu menyewa Life Jacket disana. Anda sudah berjimat RM5.

Peringatan:

  1. Wanita mengandung dinasihatkan agar tidak mengikuti pakej Pulau Dayang Bunting kerana boleh membahayakan kandungan. Perjalanan menaiki bot ke destinasi agak jauh dan bot sering melambung-lambung dipukul ombak.
  2. Bagi orang Islam, mempercayai air Tasik Dayang Bunting boleh membuatkan wanita mengandung adalah khurafat. Berhati-hatilah jangan sampai rosak akidah atau melakukan perbuatan syirik.

Kesimpulan

Pulau Dayang Bunting Langkawi ialah lokasi pelancongan menarik yang mesti dilawati. Namun keseronokan hanya dapat dinikmati jika pengunjung mencuba aktiviti yang disediakan. Mandi-manda, mengayuh paddle boat atau berkayak bersama pasangan dan kawan-kawan sangat menggembirakan.

Anda juga boleh berjalan kaki disekitar kawasan ini untuk melihat keindahan alam semulajadi yang menenangkan. Kecantikan Tasik Dayang Bunting yang luas dengan air yang jernih dikelilingi hutan menghijau pasti memikat hati sesiapa sahaja.

Peringatan: Pengunjung perlu beringat dan berhati-hati serta mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan. Banyak kejadian pelancong lemas semasa melakukan aktiviti disini.

Artikel berkaitan

Lihat artikel mengenai tarikan pelancongan yang ada di Langkawi.

Lokasi