Makam Mahsuri

Makam Mahsuri ialah antara tarikan pelancongan yang terkenal di Langkawi. Ia terletak di Ulu Melaka, iaitu kampung asal dimana beliau dilahir dan dibesarkan. Oleh kerana ia sering menjadi tumpuan pelancong, tempat ini telah dibangunkan menjadi sebuah kompleks pelancongan dan dikenali sebagai Kota Mahsuri.

Hari ini Makam Mahsuri ialah antara destinasi pelancongan utama di Langkawi. Antara tarikan yang ada termasuk muzium, perkampungan melayu tradisional dan Telaga Mahsuri. Selain itu, berbagai artifak peninggalan sejarah berkaitan Langkawi serta persembahan kebudayaan dapat disaksikan didalam Kompleks Kota Mahsuri.

Makam Mahsuri

Lokasi Makam Mahsuri

Makam Mahsuri terletak didalam Kota Mahsuri di Kampung Mawar, Mukim Ulu Melaka. Lokasinya hampir ditengah-tengah Pulau Langkawi. Jarak dari Pekan Kuah ke sini ialah kira-kira 13 KM. Dari Pantai Cenang pula jauhnya lebih-kurang 12 KM.

Makam Mahsuri ini berada dalam kawasan kampung yang sangat cantik. Ia dikelilingi sawah padi yang luas dan bukit-bukau yang menghijau.

Alamat:
Makam Mahsuri
Kota Mahsuri,
Kampung Mawar,
07000 Langkawi,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-955 6055
Fax : -
E-mail : -
Website : -

Harga tiket:
Harga tiket Makam Mahsuri 2020:
Dewasa : RM12
kanak-kanak : RM6

Waktu melawat:

Setiap hari : 9.00 am - 5.00 pm

Lagenda Mahsuri

Kisah lagenda Mahsuri sangat popular di Malaysia. Ia bukan setakat dibukukan malah telah dijadikan filem dan pementasan teater. Bagi anda yang tidak tahu tentang kisah Mahsuri, berikut ialah ringkasannya.

Mahsuri dikatakan seorang wanita yang sangat cantik dan tinggi budi pekerti. Ibunya bernama Endah Alang (Mek Andak Alang) dan bapanya bernama Pandak Mayah (Pandak Maya). Ibubapanya berasal dari negeri Siam sebelum berhijrah ke Pulau Langkawi.

Setelah dewasa, Mahsuri dikahwinkan dengan Wan Derus, iaitu adik kepada Wan Yahya. Wan Yahya yang dikenali sebagai Dato Pekermajaya (Dato' Seri Kerma Jaya) ialah wakil Sultan Kedah memerintah Langkawi.

Pada satu masa, Wan Derus terpaksa pergi berperang meninggalkan Mahsuri yang baru hamil. Pada ketika ini, seorang pemuda yang pandai bersyair bernama Deramang datang ke Langkawi. Dengan ihsan ibubapa Mahsuri, beliau tinggal dirumah mereka bagi mengajar syair dan dendang kepada penduduk kampung.

Kemudian, Mahsuri yang mengandung selamat melahirkan anak dan diberi nama Wan Hakim. Wan Mahura iaitu isteri Dato Pekermajaya yang telah lama cemburu telah memfitnah Mahsuri bermukah dengan Deramang hingga melahirkan anak.

Dato Pekermajaya yang termakan hasutan isterinya lantas menjatuhkan hukuman bunuh keatas Mahsuri dan Deramang. Mahsuri ditangkap dan dibawa ke Padang Matsirat. Beliau ditikam dengan tombak namun tidak dapat menembusi badannya.

Pandak Mayah, bapa Mahsuri telah membawa sejumlah wang sebagai harta tebusan namun ditolak. Lantaran kecewa kerana dihukum tanpa usul-periksa, Mahsuri menyatakan bahawa beliau hanya dapat dibunuh dengan keris pusaka keluarganya. Hanya setelah itu barulah beliau berjaya dibunuh.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mahsuri mengharamkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau telah difitnah. Beliau turut bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi padang jarak, padang tekukur dan tidak akan aman selama 7 keturunan.

Apabila Wan Derus pulang dan mengetahui cerita sebenar, beliau berasa marah dan kecewa lalu membawa anaknya keluar meninggalkan Langkawi.

Tidak lama selepas itu, Siam telah menyerang Langkawi. Sawah padi habis dibakar hingga menjadi padang jarak padang tekukur. Dato Pekermajaya dan Wan Mahura dibunuh. Apa yang disumpah Mahsuri telah menjadi kenyataan. Langkawi tidak pernah tenteram selepas itu kerana sering diserang kerajaan Siam dan lanun.

Makam Mahsuri

Makam Mahsuri pandangan sisi

Mahsuri dihukum bunuh di Padang Matsirat. Setelah itu jasadnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Melaka. Namun tiada siapa tahu lokasi sebenar dimana beliau dikebumikan. Ini kerana setelah Langkawi tidak lagi tenteram, ramai yang keluar dan cuma beberapa perkampungan wujud pada masa itu.

Semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Pegawai Daerah, beliau telah berusaha mencari lokasi dimana Mahsuri dikebumikan dan akhirnya menemui sebuah kubur lama di Ulu Melaka. Kubur ini ditandakan dengan dua batu besar sebagai nisan. Sebuah batu lebih tinggi dari yang lagi satu. Beliau telah membina makam dan menamakannya sebagai Makam Mahsuri.

Pada hari ini, Makam Mahsuri telah dipagar disekelilingnya dan pengunjung cuma boleh melihat dari jauh. Berhampiran makam ini dibina sebuah batu tanda yang diukirkan tulisan berikut:

MAHSURI BINTI PANDAK MAYAH

MAHSURI TELAH DIHUKUM BUNUH PADA 1235 HIJRAH BERSAMAAN 1819 MASIHI AKIBAT DARI FITNAH DAN IRIHATI. SEMASA MENERIMA HUKUMAN BELIAU BERSUMPAH "PULAU LANGKAWI TIDAK AKAN AMAN DAN MAKMUR SELAMA TUJUH KETURUNAN"

Jalan ke Makam Mahsuri

Pengunjung melawat Makam Mahsuri

Makam Mahsuri di Langkawi

Kota Mahsuri

Pintu masuk ke Kompleks Kota Mahsuri

Oleh kerana sering menjadi tumpuan pelancong, kawasan Makam Mahsuri telah dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. Sebuah kompleks yang menempatkan koleksi barangan sejarah, kebudayaan, muzium, kedai cenderahati dan pejabat pentadbiran dibina.

Berhampiran dengan makam, sebuah perkampungan melayu tradisional turut dibina. Rumah Mahsuri, rumah Penghulu dan beberapa buah rumah dengan bentuk senibina melayu mengisi perkampungan ini. Rumah yang diperbuat dari kayu ini cukup mengagumkan.

Rumah Mahsuri

Rumah Mahsuri

Telaga Mahsuri

Telaga atau Perigi Mahsuri

Disini juga terdapat perigi lama yang diberi nama Telaga Mahsuri. Pengunjung boleh mengambil air perigi dengan menggunakan timba tali yang disediakan. Air telaga ini turut dijual didalam botol. Ada yang mengatakan air perigi ini mujarab untuk wanita yang sukar hamil.

Maklumat lanjut lihat Kota Mahsuri Langkawi.

Kesimpulan

Makam Mahsuri ialah tempat bersejarah di Langkawi yang mesti dilawati. Bukan setakat melawat makam, berbagai maklumat, khazanah lama, kebudayaan dan bermacam-macam lagi ada disini. Lokasinya strategik dan mudah untuk dikunjungi.

Harga tiket Makam Mahsuri boleh dikatakan murah dan berbaloi dengan apa yang ada. Selain itu, terdapat deretan kedai berhadapan dengan Kota Mahsuri. Jika ingin membeli kain batik, kain pelikat, t-shirt dan seumpamanya terdapat disini. Jika pandai tawar-menawar, anda boleh dapatkan dengan harga yang lebih murah dari tempat lain.

Terokai semua di Pulau Langkawi.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.