Salah satu tarikan pelancongan di Penang ialah makanan sedap yang terdapat di negeri ini. Paling terkenal ialah nasi kandar, laksa Penang, pasembor dan char kuey teow. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi tempat makan best di Penang yang boleh anda cuba jika bercuti disini. Selain untuk panduan pelancong yang tidak tahu ke mana hendak dituju bila ingin menjamu selera, ia juga bertujuan untuk mengelakkan salah faham seperti pengunjung yang order char kuey teow di Padang Kota dan merungut char kuey teow Penang tidak sedap. Jadi buat semua, terimalah senarai lokasi makanan sedap di Penang.
Lihat semua: Tempat menarik di Penang - Panduan 2020.
Nasi kandar Penang
Makanan sedap di Penang yang paling terkenal ialah nasi kandar. Walaupun restoran nasi kandar sudah ada di merata-rata, namun nasi kandar Penang lebih istimewa dan mempunyai kelainan serta rasa tersendiri. Jika anda bercuti di Penang, anda akan melihat restoran nasi kandar ada dimana-mana tetapi jangan main redah. Bukan semuanya sedap. Untuk panduan anda para penggemar kari, roti naan, tandoori dan seangkatan dengannya, dibawah ini kami senaraikan restoran yang cukup popular. Rasai sendiri apa yang berbeza dengan restoran nasi kandar ditempat anda. Kesedapan, kebersihan dan harga, itu anda sendiri yang nilai.
Restoran Kapitan
Restoran nasi kandar Penang yang terkenal ini sentiasa menjadi tumpuan orang-ramai terutama pelancong. Selain nasi kandar dan pelbagai masakan lauk-pauk, restoran ini popular dengan masakan ayam tandoori dan claypot beriani yang sedap. Ia adalah salah satu tempat makan best di Penang yang anda harus pergi.
Alamat:
Restoran Kapitan
93, Lebuh Chulia,
George Town, 10200 Penang.
Nasi Kandar Deen
Terletak di Jelutong, nasi kandar Deen menyediakan masakan yang sangat sedap menurut kata peminat tegar nasi kandar. Ramai yang kata nasi kandar Deen adalah yang paling sedap di Penang sekarang. Anda boleh mencuba sendiri apa yang sangat istimewa dengan masakan yang disediakan bila bercuti ke Penang. Jangan lupa datang awal tengahari. Kalau lambat nanti lauk dah kurang. Kalau nak makan malam, datang dalam pukul 6 petang sebab lauk untuk sesi malam baru lepas masak.
Alamat:
Restoran Deen Nasi Kandar
598, Jelutong Highway,
Taman Jelutong,
11600 George Town, Penang
Nasi kandar Kampung Melayu
Ada dua cawangan restoran nasi kandar Kampung Melayu. Satu terletak di Flat Kg Melayu Ayer Itam dan lagi satu di Cawangan Farlin, Food Court Desa Mawar. Masakan lauk-pauk di restoran ini dikatakan benar-benar sedap. Dibuka dari pukul 6 pagi hingga 1 petang. Kemudian ia akan beroperasi semula dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam. Jadi kalau anda ingin merasa nasi kandar Kampung Melayu sila ambil perhatian. Jangan datang salah waktu pula.
Alamat:
Nasi Kandar Kg Melayu
Lot 5 3288 Foodcourt,
Lintasan Kampung Melayu 2,
11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Nasi Dalca Rahim
Berbeza dengan nasi kandar lain, restoran ini menyediakan nasi dalca iaitu nasi yang dimasak bersama kacang dal. Bagaimana rasanya? Sedap sangat ke? Anda harus mencuba sendiri di restoran Nasi Dalca Rahim jika ke Penang.
Alamat:
Nasi Dalca Rahim
Queen Street,
Georgetown, Penang.
Nasi Kandar Beratur Penang
Restoran nasi kandar ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong di Penang. Menu masakan macam nasi kandar lain juga, kari, ayam, daging, sotong, telur ikan dan sebagainya. Ada yang kata sedap dan ada yang kata biasa saja. Pasal selera masing-masing punya citarasa berbeza. Jika anda ingin mencuba, jangan datang siang kerana Nasi Kandar Beratur Penang dibuka pada pukul 10 malam. Jika siang itu lain punya nasi kandar. Pastikan anda sanggup beratur dan berdiri lama-lama. Lokasi Restoran Nasi Kandar Beratur ialah disebelah Masjid Kapitan Keling.
Alamat:
Nasi Kandar Beratur Penang
Jalan Masjid Kapitan Keling
10200 Pulau Pinang.
Nasi kandar Line Clear
Restoran nasi kandar Penang yang sangat terkenal dikalangan orang luar. Terletak di tengah-tengah bandaraya Georgetown, restoran ini sebenarnya terletak di lorong belakang bangunan kedai. Mungkin bagi sesetengah orang, ianya kurang sesuai dari segi kebersihan dan keselesaan. Namun Restoran Nasi Kandar Line Clear ini tetap popular. Mungkin kerana masakannya betul-betul sedap atau mungkin juga kerana nama yang unik dan suasana warung yang menampakkan kesederhanaan membuatkan orang ingin mencuba.
Menu makanannya lebih-kurang saja dengan nasi kandar lain. Ayam goreng yang besar, kari sotong, kurma ayam, daging masak hitam, ayam madu, kari kepala ikan, udang, telur dan bermacam-macam lagi. Jika anda sanggup mencari tempat letak kereta dan berjalan ke sini, cuba rasa sendiri masakannya berbaloi atau tidak.
Maklumat lanjut lihat Nasi Kandar Line Clear Penang.
Alamat:
Nasi kandar Line Clear
Lorong sebelah 161 Penang Road.
Pulau Pinang.
Tips: Kalau makan nasi kandar Penang, jangan ingat nak jimat duit, ambil separuh-separuh. Ambil separuh pun harga penuh. Jadi, bubuh lauk tu biar berbaloi, nanti puas hati bayar.
Laksa Penang
Satu lagi makanan yang terkenal ialah laksa Penang. Ada yang panggil asam laksa Penang. Walaupun namanya begitu popular tetapi tidak banyak kedai laksa yang sedap disini. Berikut ialah antara kedai laksa yang terkenal yang boleh anda kunjungi.
Laksa Janggus
Laksa Penang yang paling terkenal ialah Laksa Janggus yang terletak di Balik Pulau. Ramai yang bercuti ke Penang akan ke kedai ini untuk merasa laksa yang dikatakan sangat sedap ini. Kedai ini dibuka dari pukul 3.30 petang hingga 8 malam. Jika anda penggemar laksa, cubalah sendiri adakah ia sehebat laksa Kedah atau sesedap laksa Kuala Perlis.
Alamat:
Laksa Janggus
Kampung Perlis, Balik Pulau,
Pulau Pinang
Laksa Tempurung Penang
Laksa Penang yang dihidangkan dalam tempurung. Laksa biasa cuma cara hidangan yang unik ini menjadikannya popular dikalangan peminat laksa. Ramai yang kata rasa kuah laksanya sedap. Laksa Tempurung Penang ini dimakan bersama cendol yang juga dihidangkan didalam tempurung. Macamana? Berani cuba?
Alamat:
Laksa Tempurung Penang
Jalan Teluk Kumbar,
Kampung Sungai Batu,
11950 Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Char kuey teow Penang
Makanan sedap di Penang yang seterusnya ialah char kuey teow. Walaupun kedai char kuey teow sudah dibuka di merata-rata tetapi rasanya tidak sama. Jika ingin merasa char kuey teow Penang yang asli memang kena datang Penang juga. Ada banyak kedai yang boleh anda kunjungi. Rasanya juga berbeza. Jangan silap masuk kedai. Antara lokasi terkenal yang boleh anda singgah di pulau ialah:
Sany Char Kuey Teow
Sany Char Kuey Teow ialah antara yang terawal terkenal yang menyediakan masakan char kuey teow melayu di Penang. Kedainya bersih, masakannya sedap dan udang yang banyak. Semestinya tempat makan best di Penang yang anda mesti singgah. Kedai Sany terletak di alamat dibawah:
Alamat:
Sany Char Kuey Teow
Jalan Tokong Ular,
Bayan Lepas, Penang.
Mady Penang Char Kuey Teow
Jika anda bercuti di Batu Ferringhi jangan lupa untuk mencuba Mady Char Kuey Teow. Kedai ni memang famous. Artis pun ramai yang datang makan kat sini. Ada yang kata sedap dan ada yang kata overrated. Ye la selera masing-masing. Apa kata anda? Tak cuba mana nak tau ye tak?
Alamat:
Mady Penang Char Kuey Teow
Jalan Sungai Emas,
Batu Ferringhi,
11100, Pulau Pinang
Jeff Char Kuey Teow
Satu lagi kedai yang menyediakan char kuey teow Penang terbaik di pulau. Ramai yang kata Jeff char kuey teow ini betul-betul sedap. Kalau anda nak rasa boleh ke kedai Jeff di alamat dibawah:
Alamat:
Jeff Char Kuey Teow
Jln. Sg. Dua,
11700 Gelugor,
Pulau Pinang
Ikan bakar, makanan barat, ala-Thai dan lain-lain
Bagi anda yang tidak gemar nasi kandar, jangan risau. Ada berbagai makanan sedap di Penang yang boleh anda nikmati. Dibawah ialah senarai restoran ikan bakar, makanan barat, ala-Thai dan lain-lain yang terkenal untuk anda cuba.
Ikan Bakar Adnan bin Hassan
Anda boleh memilih sendiri berbagai jenis ikan, sotong dan lain-lain untuk dibakar dan dimakan dengan nasi.
Alamat:
Ikan Bakar Adnan bin Hassan
Kampung Teluk Tempoyak,
Batu Maung,
Bayan Lepas, Penang.
Tari Cafe
Terletak di Tanjung Tokong jalan menghala ke Batu Ferringhi. Tari Cafe menyediakan makanan barat dan tempatan. Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 4 pagi.
Alamat:
Tari Cafe
477 Tanjong Tokong
10470 Penang
Pak Hussin Tomyam
Lokasi di Sungai Ara. Masakannya sedap dan harga yang murah. Menyediakan tomyam dan berbagai jenis masakan Thai panas-panas untuk dimakan dengan nasi. Kalau tak tahu nak order apa, anda boleh ambil set makanan yang dicadangkan didalam menu.
Alamat:
Pak Hussin Tomyam
14, Jalan Bayan,
Kampung Tersusun Sungai Ara,
11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Tempat makan best di tanah besar Penang
Jika tadi semua tempat makan terletak di sebelah pulau, sekarang senarai tempat makan best di tanah besar Penang (orang Penang panggil seberang) pula. Biasanya ramai yang hanya berminat dengan kedai makan di pulau kerana pelancong lebih bertumpu ke sana. Tapi untuk betul-betul merasa makanan sedap di Penang, anda perlu singgah menikmati hidangan di lokasi yang kami senaraikan dibawah.
Din Ikan Bakar Kepala Batas
Satu lagi tempat makan best di Penang yang harus singgah untuk makan tengahari ialah restoran Din Ikan Bakar di Kepala Batas. Berbagai jenis makanan laut seperti ikan, daging, udang dan sotong bakar menanti anda. Bukan itu saja, macam-macam lauk lagi yang ada. Nak tahu lebih lanjut kena datang sendiri.
Alamat:
Restoran Ikan Bakar Din
6735, Jalan Butterworth,
Kampung Permatang Manggis,
13200 Kepala Batas, Pulau Pinang.
Bawal Goreng Kelapa Sawit
Terletak di Juru dikawasan kelapa sawit. Ia juga terkenal dengan nama warung Bawal Panas Juru. Makanan yang terkenal seperti namanya iaitu bawal goreng rangup makan panas-panas dengan sambal kicap. Ada berbagai lauk-pauk lain yang boleh anda pilih ikut selera masing-masing.
Alamat:
Warung Kelapa Sawit
Jalan Tok Kangar,
14100 Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Puncak Mutiara Cafe
Lokasi di Kubang Semang. Ia terletak agak dalam dihujung kampung. Restoran Puncak Mutiara Cafe ini sangat besar. Terdapat banyak pondok-pondok yang dibina agar pengunjung boleh makan dengan selesa bersama keluarga atau rakan-rakan. Tempat meletak kereta juga sangat luas. Menu istimewa ialah berbagai masakan kambing.
Alamat:
Puncak Mutiara Cafe
Lot 179, MK 3, Kampung Pelet,
Kubang Semang, Pulau Pinang.
Char Kuey Teow Sungai Dua
Ramai yang kata Char Kuey Teow Sungai Dua adalah yang paling sedap di Penang. Ikut selera masing-masing la, kan. Ada beberapa cawangan di sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya. Restoran ini istimewa kerana slogan Telur Ayam Di Basuh. Jika ingin mencuba, anda boleh ke restoran ini yang dibuka dari pukul 5 petang hingga 3 pagi. Ditutup setiap hari Rabu.
Alamat:
Char Kuey Teow Sungai Dua
Jalan Sungai Dua
13800 Butterworth, Penang.
Ada banyak lagi kedai char kuey teow Penang yang sedap di Seberang Perai seperti Kedai Abang Misai Di Simpang Ampat, Key char kuey teow di Seberang Jaya dan Adam char kuey teow di Permatang Pauh. Semuanya cukup terkenal dan kedai sentiasa ramai orang.
De Pauh Garden
Jika anda mencari lokasi untuk makan malam di Penang, anda boleh ke De Pauh Garden yang terletak di Permatang Pauh. Lokasinya tidak jauh dari Politeknik Seberang Perai. Ia menyediakan berbagai jenis makanan seperti masakan melayu, claypot, masakan barat dan macam-macam lagi. Dibuka dari pukul 5 petang hingga 3 pagi.
Alamat:
De Pauh Garden
1618, Jalan Permatang Pauh,
13500 Prai, Pulau Pinang.
Mid Gulai Kawah Batang Pisang
Gulai kawah batang pisang ialah masakan melayu yang sering menjadi menu di majlis kenduri kahwin. Pada hari biasa memang susah nak dapat masakan ini tetapi jika anda ke Penang, bolehlah lepaskan rindu di Restoran Mid Gulai Kawah Batang Pisang di Sungai Dua. Bagi yang tak pernah merasa, cubalah. Kalau anda tak suka tak apa, ada juga lauk-pauk lain di sini.
Alamat:
Mid Gulai Kawah Batang Pisang
Sungai Dua,
Penang.
Tambahan senarai tempat makan di Penang
Ada beberapa tempat makan di Penang yang masih boleh anda cuba seperti pasembor yang cukup popular dikalangan pelancong.
Pasembur Padang Kota
Makanan yang paling terkenal di Padang Kota Lama sejak dahulu lagi ialah pasembur. Ia adalah sejenis makanan yang asasnya mengandungi timun, ubi sengkuang dan cucur udang dimakan bersama kuah yang manis dan sedikit pedas. Sekitar tahun 80an dahulu banyak gerai yang menjual pasembur disini. Istimewanya pasembur di Penang ialah berbagai makanan boleh dipilih untuk dimasukkan kedalam pasembur seperti udang, ketam, sotong, bebola ikan, paru dan bermacam-macam lagi.
Biasanya pasembur ini seronok dimakan beramai-ramai. Anda boleh memasukkan apa saja yang anda suka dan sama-sama habiskan. Yang pentingnya bila bayar boleh kongsi ramai-ramai sebab harga pasembur memang agak mahal. RM50 sepinggan adalah normal.
Alamat / Lokasi:
Medan Renong,
Jalan Tun Syed Sheh Barakah,
10200 George Town,
Pulau Pinang
Esplanade Park Food Court
Esplanade Park Food Court ialah tempat paling best untuk dikunjungi apabila anda sudah penat berjalan, lapar dan dahaga setelah mengunjungi pusat pelancongan yang ada di Padang Kota Lama. Sebenarnya ia adalah medan selera dimana berbagai jenis makanan dan minuman dijual. Ramai yang berkunjung untuk makan tengahari disini setiap hari. Anda boleh cuba apa yang best jika datang ke Penang.
Alamat / Lokasi:
Esplanade Park Food Court
Jalan Padang Kota Lama,
10200 George Town,
Pulau Pinang
Jika tempat-tempat makan yang dinyatakan diatas tidak mencukupi, berikut ialah senarai tempat makan sedap lain yang ada di Penang untuk anda singgah:
- Astaka Taman Tun Sardon - Berbagai makanan sedap untuk sarapan.
- Ayu Mee Udang di Teluk Kumbar.
- Restoran Sup Hameed - Berbagai jenis sup. Lokasi di Jalan Penang berhampiran Sekolah Convent.
- Mee sotong di Padang Kota Lama.
- Pasembor, Rojak, Cucur Udang - Persiaran Gurney.
- Padang Brown, Jalan Dato Keramat - Berbagai gerai makanan ada disini.
- Nasi Campur Man Apom, di Gelugor.
- Nasi Tomato di Batu Lanchang.
- AB Cafe Jalan Argyll - Lokasi di George Town. Menyediakan makanan barat dan tempatan.
- Roti Bakar Transfer Road - Anda boleh cuba sarapan di warung ini.
Kesimpulan
Sebenarnya banyak lagi tempat makan best di Penang yang hendak dikongsikan tetapi masa tidak mengizinkan. Setakat ini dahulu, nanti akan ditambah bila ada kesempatan. Saya harap senarai restoran diatas cukup untuk memenuhi selera anda bila bercuti ke sini. Jika anda rasa ada lokasi makanan sedap di Penang yang lebih istimewa dan mesti dicuba, sila komen dibawah artikel ini.
Artikel berkaitan
Jangan datang ke Penang sebelum baca semua artikel dibawah.
- Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Penang
- Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Penang
- Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Penang
- Terokai semua: Penang - Tempat menarik, aktiviti dan percutian