Melawat rumah P Ramlee di Penang

Rumah kelahiran P Ramlee yang terletak di Penang adalah sebuah lokasi pelancongan yang mesti dilawati jika anda bercuti di negeri ini. Rumah yang diperbuat dari kayu ini dipelihara dengan baik dan terdapat berbagai barangan peninggalan Allahyarham dipamerkan didalam rumah. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat Galeri P Ramlee di bangunan Arkib Negara Malaysia yang juga berada didalam kawasan yang sama.

Nota: Untuk melihat tempat menarik di lokasi lain di Penang, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Penang untuk dilawati.

Rumah kelahiran P Ramlee.

Lokasi dan waktu operasi

Rumah P Ramlee terletak di Georgetown, tidak jauh dari Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Alamat:
Rumah Kelahiran P.Ramlee
Lot 2180, Jalan P.Ramlee,
10450 Pulau Pinang

Tel : +604 263 1628

Waktu operasi:
Selasa - Ahad : 9 pagi - 5.30 petang.
Jumaat : 9 pagi - 12 tengahari. Rehat. 3 petang - 5.30 petang.
Isnin : Tutup (kecuali cuti umum dan cuti sekolah).

Harga tiket

Tiada bayaran dikenakan. Masuk adalah PERCUMA. Pengunjung boleh melawat Rumah Kelahiran P.Ramlee dan juga Arkib Negara Malaysia yang terletak didalam kawasan yang sama.

Alamat Rumah Kelahiran P Ramlee.

Rumah Kelahiran P Ramlee

Rumah ini dibina pada tahun 1926 oleh bapa P Ramlee dengan bantuan bapa saudaranya Rejab Bin Husin. Ia pernah dibaiki semasa zaman Jepun tetapi tidak melibatkan pengubahsuaian pada rekabentuk asalnya.

Rumah P Ramlee di Penang.

Rumah kelahiran P Ramlee diperbuat daripada kayu dan beratapkan rumbia. Rumah lama dengan rekabentuk senibina melayu ini kecil sahaja dan mempunyai hanya sebuah bilik tidur. Pengunjung yang ingin masuk kedalam rumah boleh menaiki tangga kayu untuk ke beranda. Di beranda ada satu lagi tangga untuk masuk ke ruang tamu rumah.

Halaman rumah P Ramlee.

Halaman rumah P Ramlee terdapat pokok-pokok bunga yang ditanam dan dijaga dengan baik. Ia kelihatan kemas dan cantik. Menurut pihat Arkib Negara, pokok-pokok dikawasan rumah adalah yang asal terdapat disitu. Manakala dibawah rumah pula terdapat sebuah basikal dan sebuah sampan lama.

Ruang tamu rumah P Ramlee.

Ruang tamu Rumah P Ramlee mempunyai lima tingkap yang cukup untuk menerangi ruang kecil ini. Tiada kerusi, sofa atau tikar menghiasi lantainya. Di dinding pula tergantung maklumat pengenalan tentang seniman agung ini.

Ruang tengah dalam rumah P Ramlee.

Ruang tengah rumah pula terdapat sebuah bilik tidur yang digunakan oleh ibubapa beliau. Di dalam bilik tidur pula terdapat sebuah katil besi lama dengan tilam dan bantal serta dilitupi kelambu. Ada sebuah peti besi yang digunakan oleh keluarga beliau untuk menyimpan pakaian. Selain itu disini juga terdapat sebuah tingkap dan pintu dapur.

Gambar lama P Ramlee yang dipamerkan.

Di dinding ruang tengah ini turut digantung gambar-gambar P Ramlee, sebuah biola dan juga piala-piala.

Dapur rumah P Ramlee.

Yang terakhir sekali ialah dapur rumah yang agak kecil. Di ruangan ini terdapat rak pinggan mangkuk, sebuah dapur kayu, tempayan untuk mengisi air, batu giling dan lain-lain lagi.

Galeri P Ramlee

Galeri P Ramlee terletak di bangunan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang. Terdapat berbagai barangan, maklumat, gambar dan sebagainya dipamerkan disini. Gambar-gambar dibawah ialah antara bahan pameran yang boleh dilihat dalam galeri P Ramlee.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang.

Galeri P Ramlee terletak disebelah kanan bangunan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang ini. Di sebelah kiri ialah Auditorium P Ramlee.

Galeri P Ramlee.

Pintu masuk ke Galeri P Ramlee yang diuruskan oleh Arkib Negara Malaysia. Bayaran masuk tidak dikenakan.

Poster filem P Ramlee.

Poster filem-filem P Ramlee ialah antara bahan pameran menarik didalam galeri ini.

Maklumat keluarga dan rakan-rakan P Ramlee.

Pengunjung boleh mendapatkan banyak maklumat berkenaan keluarga P Ramlee dan juga rakan-rakan beliau. Gambar-gambar kenangan lama beliau turut dipamerkan disini.

Gambar P Ramlee dan isteri.

Sebuah gambar lukisan cat minyak yang sangat cantik Seniman P Ramlee dan seniwati Saloma.

Pelbagai maklumat mengenai P Ramlee.

Pelbagai maklumat berkaitan kerjaya, sejarah hidup dan sumbangan P Ramlee dipamerkan di galeri ini. Jika anda seorang peminat beliau, galeri ini wajib dilawati bila berkunjung ke Penang.

Biola P Ramlee.

Rumah kelahiran P Ramlee ini bukan hanya sekadar rumah. Berbagai barangan seniman agung seperti alatan muzik, pakaian, koleksi gambar dan berbagai-bagai lagi dipamerkan disini. Banyak yang boleh dipelajari jika berkunjung ke sini. P Ramlee bukan lahir dalam kekayaan. Berbagai kesusahan dan kesukaran yang beliau tempuhi dalam hidup dan kerjaya. Akhirnya beliau berjaya dan sumbangan yang dicurahkan dalam bidang seni bukannya sedikit. Beliau adalah satu dalam sejuta. Insan teristimewa yang tiada pengganti. Al-Fatihah untuk Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh.

Add new comment