Bercuti di Teluk Senangin

Tidak ramai yang mengetahui bahawa Teluk Senangin di Perak adalah salah satu lokasi menarik untuk percutian. Ia adalah sebuah kawasan pantai yang cantik dan sentiasa menjadi lokasi perkelahan penduduk setempat. Dari pantai Teluk Senangin, pengunjung boleh melihat Pulau Pangkor yang jauh ditengah laut. Deretan pokok-pokok rhu ditepi pantai pula menambah keindahan disini. Bagi anda yang ingin keluar dari kesibukan kota, suasana damai dan keindahan Teluk Senangin pasti memberi ketenangan yang anda inginkan. Kali ini Percutian Bajet telah menyediakan sedikit maklumat berkenaan lokasi tempat menarik ini sebagai panduan pengunjung yang ingin bercuti kesana.

Matahari terbenam di Teluk Senangin.

Keterangan gambar: Pemandangan menarik matahari terbenam di Teluk Senangin.

Apa ada di Teluk Senangin?

Tarikan utama di Teluk Senangin ialah pantainya yang cantik, berpasir halus dan laut yang berombak kecil sesuai untuk mandi. Selain itu, kemudahan perkhidmatan pelancongan juga disediakan untuk pengunjung seperti:

  • Penginapan - Pengunjung yang ingin bermalam boleh menginap di resort, chalet dan homestay yang agak banyak disini.
  • Aktiviti pelancongan - Memancing, banana boat, sukan pantai dan lain-lain.
  • Makanan - Gerai makan (tidak banyak).
  • Gerai - Berbagai jenis gerai (musim cuti).

Jika anda mengambil pakej percutian, makanan adalah termasuk dalam pakej penginapan anda. Bagi anda yang merancang percutian bajet sendiri, pastikan anda membawa barang makanan yang secukupnya kerana agak sukar untuk mendapatkannya disini. Kemudahan dapur, BBQ dan lain-lain ada disediakan oleh kebanyakan chalet tetapi sebaiknya anda pastikan terlebih dahulu semasa membuat tempahan.

Pantai Teluk Senangin.

Keterangan gambar: Pemandangan pantai dan ombak laut di Teluk Senangin.

Bagaimana untuk ke Teluk Senangin?

Teluk Senangin terletak di daerah Manjung, Perak, iaitu dalam kawasan Seri Manjung. Jaraknya lebih-kurang 32 KM dari bandar Setiawan. Ia juga berhampiran dengan jeti Lumut.

  1. Pengunjung yang ingin ke Teluk Senangin dari utara semenanjung Malaysia (Kedah, Pulau Pinang, Perlis) boleh menggunakan lebuhraya PLUS dan ikut susur keluar Changkat Jering. Seterusnya ikut jalan Trong ke Pantai Remis dan seterusnya ke Teluk Senangin.
  2. Pengunjung dari selatan pula boleh menggunakan lebuhraya PLUS dan ikut susur keluar Bidor. Jika dari susur keluar Bidor, anda perlu ke Teluk Intan, Setiawan dan seterusnya ke Teluk Senangin.
  3. Pengunjung juga boleh ikut susur keluar Gopeng dan melalui Batu Gajah ke Bota dan seterusnya ke teluk Senangin.
Pemandangan laut Teluk Senangin.

Keterangan gambar: Pemandangan laut di Teluk Senangin.

Aktiviti menarik di Teluk Senangin

Percutian pasti hambar tanpa aktiviti-aktiviti menarik untuk dilakukan. Jika ke Teluk Senangin, anda tidak perlu risau. Banyak yang boleh dilakukan seperti senarai dibawah:

  • Boating - Meronda dengan bot melihat pemandangan menarik disekitar kawasan berhampiran.
  • Mandi laut - Air laut bersih dan jernih. Pantainya landai serta ombak juga tidak kuat. Pantai ini sangat sesuai untuk mandi-manda.
  • Bermain bola tampar pantai.
  • ATV - Harganya RM30 untuk 15minit.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Flying fox - Disediakan oleh hotel.
  • Berkayak- Disediakan oleh hotel.
  • Memanah - Disediakan oleh hotel.
  • Memancing - Ada beberapa lokasi memancing di sekitar pantai Teluk Senangin tetapi buat pemancing serius, anda boleh menyewa bot untuk memancing ditempat yang lebih menarik.
  • BBQ - Peralatan disediakan oleh chalet.
  • Perkhemahan - Tapak perkhemahan disediakan oleh pemilik chalet.

Lokasi Teluk Senangin juga berhampiran jeti Lumut. Pengunjung boleh mengambil day trip ke Pulau Pangkor jika berminat.

Tempat menarik di teluk Senangin.

Keterangan gambar: Tempat menarik disekitar Teluk Senangin.

Penginapan di Teluk Senangin

Terdapat beberapa buah hotel dan resort menarik di Teluk Senangin. Antaranya yang sesuai dipilih sebagai penginapan percutian anda ialah:

  1. Hotel Swiss Garden Golf Resort & Spa Damai Laut - Jika anda inginkan penginapan yang menarik dan selesa semasa bercuti di Teluk Senangin, Hotel Swiss Garden Golf Resort & Spa Damai Laut adalah hotel bertaraf 4 bintang yang menawarkan perkhidmatan terbaik untuk anda. Berbagai kemudahan, fasiliti dan aktiviti menarik disediakan untuk tetamu.
  2. Yeob Bay Hotel & Resort - Sebuah hotel baru yang menarik terletak di tepi pantai. Yeob Bay Hotel & Resort menyediakan bilik penginapan yang selesa untuk pengunjung yang ingin bercuti di Teluk Senangin Perak. Ada beberapa jenis bilik seperti bilik standard RM125, Joint Room RM240 dan lain-lain lagi. Untuk maklumat lanjut atau tempahan, hubungi Yeob Bay Hotel & Resort di nombor telefon 03 - 4252 6535 atau 03 - 4252 9535. Anda juga boleh mendapat potongan harga jika menempah secara online di BOOKING.COM.

Untuk percutian bajet, anda boleh memilih chalet murah di Teluk Senangin yang disenaraikan dibawah. Semua chalet disini adalah milik penduduk tempatan. Lokasi chalet kebanyakannya memang terletak ditepi pantai. Kemudahan yang disediakan termasuk bilik berhawa dingin, katil queen, bilik mandi dengan tandas dan hot shower. Ada juga chalet yang menyediakan kemudahan untuk bbq. Jika berminat, anda boleh terus menempah melalui nombor telefon yang disertakan.

  1. Chalet Haji Kamal - Chalet ini terletak berhampiran dengan pantai. Pengunjung boleh memasak dan BBQ. Harga sewa bilik adalah sangat berpatutan. Amat sesuai untuk dijadikan lokasi penginapan percutian bajet di Teluk Senangin. Untuk tempahan anda boleh menghubungi 012 -528 7825.
  2. Telok Senangin Chalet - 012-312 7708, 019-228 6501
  3. Sri Senangin - 013-518 7982, 012-564 7699.
  4. De Idaman Chalet - 012-433 7576, 017-5653 567.
  5. Mesra Chalet - 012-919 8447, 016-5589 764.
  6. Pak Ya Chalet and Mini Camp - 017-533 7051, 013-411 2834.

Teluk Senangin mungkin tidak sehebat Cherating, Teluk Cempedak atau lain-lain tempat menarik di pantai timur semenanjung Malaysia namun ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Jika tidak mana mungkin resort dan chalet disini sentiasa penuh di musim cuti sekolah. Bercuti disini juga tidak memerlukan kos yang tinggi. Jadi bolehlah bawa keluarga beramai-ramai bercuti di Teluk Senangin Perak.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.