Bercuti di Teluk Batik Lumut

Teluk Batik ialah salah satu destinasi percutian popular di negeri Perak. Ia telah lama terkenal kerana pantainya yang cantik dan landai cukup sesuai untuk mandi laut. Selain itu, suasana yang tenang serta kemudahan tempat penginapan yang banyak menjadikan ia pilihan ramai setiap kali tiba musim cuti sekolah. Kawasan pantai yang luas menjadi pilihan bagi yang ingin mengadakan hari keluarga dan aktiviti perkhemahan.

Nota: Untuk melihat destinasi pelancongan lain, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak.

Pantai Teluk Batik di Lumut, Perak.

Kami telah bercuti di Teluk Batik pada Mac 2017. Ia adalah pengalaman yang cukup menyeronokkan. Kawasan pantainya luas, berpasir bersih dan menawarkan pemandangan menarik. Beberapa buah resort berlatarbelakangkan bukit yang menghijau sangat menarik untuk dijadikan tempat penginapan. Harga bilik juga murah sesuai untuk percutian bajet.

Lokasi

Teluk Batik terletak dalam daerah Manjung. Lokasinya ialah di Lumut, yang terkenal sebagai pintu masuk ke Pulau Pangkor. Pelancong boleh ke sini dengan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Anda juga boleh memandu kenderaan sendiri terus ke sini. Jarak dari pusat bandaraya Ipoh ialah kira-kira 85 KM. Jika dari utara semenanjung Malaysia, anda boleh menggunakan PLUS dan ikut susur keluar Changkat Jering. Manakala dari selatan pula, sesuai ikut susur keluar Sungkai atau Bidor.

Alamat:
Teluk Batik,
32200 Lumut,
Perak

Peta untuk ke Teluk Batik Lumut.

Tarikan pelancongan

Tarikan yang ada di Teluk Batik ialah pantainya yang cantik. Selain itu, terdapat restoran, gerai makan, kedai cenderahati dan beberapa aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan. Kebanyakan pengunjung tempatan yang datang membawa ahli keluarga untuk mandi laut. Ada yang sekadar bersantai di kawasan pantai menikmati keindahan pemandangan dan bergambar kenangan sebelum pulang.

Pantai

Pantai Teluk Batik memang cukup menarik. Kawasannya bersih dan sangat luas. Struktur pantai yang landai, air laut yang jernih dan ombak yang agak tenang menjadikannya destinasi popular untuk mandi laut. Pada musim cuti sekolah, pantai ini akan dipenuhi orang-ramai yang datang bercuti.

Pantai yang cantik.

Anda boleh bersantai diatas pasir, berkelah dibawah pokok-pokok rhu yang merimbun atau berjalan-jalan di gigi air dan menikmati suasana pantai yang mendamaikan. Setelah penat, anda boleh berehat dan menyewa kerusi pantai dengan harga RM3 sahaja. Bagi yang membawa anak-anak, pelampung turut disewa dengan kadar RM5 - RM10 mengikut saiz.

Kerusi rehat untuk disewa.

Sukan air

Aktiviti sukan air adalah antara tarikan yang ada di pantai Teluk Batik. Paling menyeronokkan ialah banana boat, sejenis water sport yang tidak asing lagi dimana pengunjung akan menaiki pelampung gergasi berbentuk pisang ditarik dengan bot laju meredah ombak. Satu lagi aktiviti yang boleh dicuba ialah Big Mable, sejenis pelampung yang ditarik dengan jetski. Datang pada musim cuti jika anda ingin mencuba semua aktiviti ini.

Aktiviti water sport yang ada di Teluk Batik

Memancing

Pada yang gemar memancing, pastikan anda membawa peralatan semasa bercuti di Teluk Batik. Di hujung pantai terdapat kawasan berbatu yang menjadi pilihan kaki pancing. Jika bernasib baik, anda boleh membawa pulang ikan-ikan segar atau dibakar semasa aktiviti bbq bersama keluarga dan rakan-rakan.

Aktiviti memancing ikan.

Melihat matahari terbenam

Salah satu tarikan di pantai Teluk Batik ialah ia merupakan lokasi strategik untuk melihat matahari terbenam. Jika cuaca elok, anda akan dapat menyaksikan betapa cantiknya cahaya yang membelah awan, perlahan-lahan tenggelam mewarnai ufuk barat dan diatas permukaan laut, kemudian beransur redup hingga akhir sekali terbenam meninggalkan mega-mega merah di kaki langit. Ia menimbulkan berbagai perasaan dalam jiwa.manusia. Ada yang tenang, ada yang hiba. Segalanya kebesaran Ilahi.

Melihat matahari terbenam di Teluk Batik.

Makanan laut

Kawasan Teluk Batik dan disekitar Lumut terdapat banyak restoran makanan laut yang menyajikan masakan yang menyelerakan. Hasil laut yang segar cukup sedap di makan panas-panas. Makanan laut seperti ikan bakar, masakan tiga rasa, sotong goreng tepung dan lain-lain menjadi menu yang mesti dicuba.

Kemudahan

Bagi anda yang bercuti di Teluk Batik atau berkunjung harian, anda tidak perlu risau dengan kemudahan yang disediakan. Segala kemudahan awam terdapat disini bagi menjamin keselesaan pengunjung. Cuma rangkaian telefon agak kurang baik. Anda perlu keluar ke Lumut atau Manjung untuk mendapat talian penuh.

Menara tinjau di Pantai Teluk Batik.

Tempat meletak kereta

Tempat meletak kereta khas yang luas disediakan untuk pengunjung dikawasan berhampiran pantai. Pada musim cuti persekolahan, bayaran masuk dikenakan sebanyak RM3. Bagi yang menginap di resort, anda cuma perlu berjalan kaki sahaja. Jika membawa banyak barang, anda boleh masuk terus hingga ke kawasan pantai dan meletak kenderaan ditepi jalan berhampiran kawasan tandas awam.

Gerai pakaian dan cenderahati

Tidak jauh dari pantai terdapat gerai-gerai perniagaan yang menjual pelbagai barangan. Antaranya ialah gerai pakaian dan cenderahati. Jangan risau jika anda tidak membawa pakaian mandi. Anda boleh membeli seluar, baju, pelampung untuk anak-anak dan lain-lain. Jika anda inginkan sesuatu untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan, disini ada t-shirt Teluk Batik, topi, keychains dan macam-macam lagi.

Gerai makan

Gerai makan juga ada dikawasan perniagaan berhampiran pantai. Anda boleh menjamu selera dengan berbagai makanan setelah penat mandi laut. Selain itu, ada motor yang menjual aiskrim disekitar tepi pantai.

Tandas

Ada dua tandas awam di pantai Teluk Batik. Ia sangat memudahkan kerana tidak perlu menunggu lama untuk membersihkan badan setelah selesai mandi laut.

Tandas awam dan bilik mandi.

Pondok rehat

Beberapa pondok rehat dibina dikawasan awam untuk pengunjung. Biasanya ia digunakan oleh pengunjung sebagai tempat untuk berkelah dan meletak barangan. Jika anda bercadang menggunakan pondok ini, datang awal kerana ia terhad.

Pondok rehat disediakan untuk pengunjung.

Penginapan

Banyak tempat penginapan disediakan disekitar kawasan pantai menarik ini. Beberapa buah resort dibina tidak jauh dari pantai. Antara yang resort dan chalet Teluk Batik yang popular ialah:

Virgo Batik Resort

Virgo Batik Resort ialah resort yang agak popular terletak di Teluk Batik. Ia menawarkan harga berpatutan dan beberapa jenis bilik untuk dipilih. Ruang bilik agak luas tetapi tandas dan bilik air sempit serta kurang menyelesakan. Kemudahan kolam renang dan spa disediakan. Jika anda datang bersama kumpulan, aktiviti pelancongan turut disediakan oleh pihak resort. Antara yang menarik ialah aktiviti pantai, jungle trekking dan wall climbing.

Telefon: +60 5-669 1334

Teluk Batik Holiday Apartment

Jika anda inginkan penginapan yang lebih selesa, Teluk Batik Holiday Apartment ialah pilihan utama dikawasan berhampiran pantai. Anda boleh memilih bilik yang sesuai seperti studio, executive apartment, two room apartment dan family studio. Sekiranya anda bercadang membawa keluarga bercuti, tempah deluxe apartment atau two room apartment kerana ruang rehat, dapur dan ruang makan yang selesa disediakan. Selain itu, kemudahan kolam renang yang luas pasti menggembirakan hati anak-anak anda.

Telefon: +60 5-683 2191

Teluk Batik Resort

Tempat penginapan lain yang popular berhampiran pantai ialah Teluk Batik Resort. Seperti Teluk Batik Holiday Apartment dan Virgo Batik Resort, bilik-bilik yang disediakan ada berbagai jenis. Anda boleh memilih mengikut kesesuaian. Ketiga-tiga resort ini berkongsi kolam renang yang sama.

Telefon: +60 5-683 8688

Chalet Denai Impian

Selain resort, chalet Teluk Batik juga menarik untuk dijadikan tempat penginapan percutian anda. Jika anda inginkan tempat penginapan yang betul-betul berhampiran pantai, Chalet Denai Impian boleh dipertimbangkan. Berbagai jenis chalet disediakan untuk pengunjung. Anda hanya perlu berjalan kaki untuk mandi laut atau bersiar-siar menikmati pemandangan di tepi pantai. Sekiranya berminat, anda boleh dapatkan maklumat lanjut di laman facebook.

Telefon: +60 5-683 2876

Chalet Kenangan Pak Man

Satu lagi chalet Teluk Batik yang terletak betul-betul terletak ditepi pantai menghadap laut ialah Chalet Kenangan Pak Man. Ia adalah tempat penginapan paling menarik buat anda yang inginkan suasana pantai. Pemandangan laut juga boleh dinikmati sepanjang masa. Kemudahan dorm turut disediakan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman facebook.

Telefon: +60 5-683 5544

Nota: Untuk melihat senarai lengkap tempat menarik untuk dilawati, sila ke halaman Tempat menarik di Perak mengikut daerah.

Aktiviti pantai.

Anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Bercuti di Teluk Batik Lumut cukup menyeronokkan. Ia adalah lokasi yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga. Kos penginapan dan makanan yang murah menjadikannya salah satu destinasi percutian bajet popular di Perak. Samada bercuti atau berkunjung harian, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan matahari terbenam yang cukup mengagumkan.

Lokasi