Bercuti di Bukit Larut

Bukit Larut adalah tempat menarik di Taiping yang sangat popular. Ia merupakan salah satu tempat warisan dan sejarah yang ada di bandar ini. Selain itu, ia juga merupakan destinasi popular jungle trekking dan mendaki bukit. Hutan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna serta suasana yang tenang dengan udara yang segar dapat mendamaikan setiap jiwa yang datang ke sini.

Dari segi sejarahnya, Bukit Larut adalah tempat peranginan tanah tinggi yang pertama dan tertua di Malaysia Ia dibangunkan pada tahun 1870 dan diberi nama Maxwell Hill sempena nama pembantu residen British pertama di Perak, George Maxwell.

Rumah Rehat Bukit Larut

Pada awalnya, Maxwell Hill menjadi lokasi percutian golongan atasan British yang membina rumah percutian mereka dipuncak bukit dan ada diantaranya masih kekal hingga hari ini. Disini juga pernah wujud ladang teh dan terdapat Tea Garden House dimana pengunjung bersantai menikmati teh.

Hari ini, Bukit Larut telah menjadi lokasi pelancongan kerana peninggalan sejarah tersebut, alam semulajadi yang kaya dengan khazanah alam, suhu yang sejuk dan pemandangan menarik yang boleh dilihat dari puncak bukit.

Mercu Tanda Bukit Larut

Lokasi Bukit Larut

Bukit Larut terletak 12 KM dari bandar Taiping. Anda boleh memandu terus ke kaki Bukit Larut dan tinggalkan kenderaan anda di ruang letak kereta yang disediakan.

Alamat:
Pusat Peranginan Bukit Larut
34020 Taiping,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-807 7241, 05-807 7243
Email : ppbl@mptaiping.gov.my

Harga tiket:
Harga tiket / Bayaran jeep
Dewasa : RM10
Kanak-kanak : RM5

Waktu operasi:

Setiap hari : 8.00 am - 5.00 pm

Apa yang ada di Bukit Larut?

Ramai pelancong yang bercuti di Taiping memilih untuk mendaki Bukit Larut. Terdapat jalan tar hingga ke puncak. Beberapa pemandangan menarik dapat dilihat sepanjang perjalanan termasuk air terjun serta flora dan fauna.

Jalan Bukit Larut

Walau bagaimanapun, tidak banyak tempat menarik untuk dilawati di puncak Bukit Larut. Apa yang ada antaranya ialah menara tinjau, taman bunga dan rumah-rumah kolonial yang pernah menjadi tempat penginapan pegawai British. Kebanyakan tempat sudah terbiar dan tiada usaha untuk memulihara sejak beberapa tahun.

Namun masih ada chalet yang elok dan beroperasi sebagai tempat penginapan pelancong. Jika anda ingin bermalam di puncak Bukit Larut, hubungi nombor telefon yang disediakan diatas.

Banglo terbiar usang

Bukan seperti Cameron Highlands

Jika anda mengharapkan Bukit Larut adalah destinasi percutian tanah tinggi seperti Cameron Highlands, anda akan kecewa. Tiada kedai bunga, ladang teh, kedai cokelat, ladang strawberi dan sebagainya. Apa yang ada adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini. Itu sahaja.

Namun jika persepsi anda adalah untuk melihat keunikan Bukit Larut dan apa yang ada disini, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana keindahan semulajadi yang ada cukup memberi kepuasan kepada pengunjung. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ketika melihat keindahan panorama dari menara tinjau di atas Bukit Larut. Anda cuma mampu memuji kebesaran Ilahi.

Pemandangan di puncak Bukit Larut

Nota: Nampaknya pada Sep 2019, lawatan saya mendapati Menara Tinjau dan Jambatan Gantung juga sudah ditutup kerana tidak selamat digunakan.

Menara Tinjau tidak selamat digunakan

Bagaimana untuk naik ke Bukit Larut?

Anda ada dua pilihan untuk naik ke atas kawasan Bukit Larut iaitu:

  1. Menyewa kenderaan yang disediakan oleh pihak Bukit Larut. Jika anda ingin bermalam di atas, anda dinasihati untuk menempah awal perkhidmatan kenderaan Jeep, kerana sentiasa akan penuh pada musim cuti sekolah. Dikenakan bayaran sebanyak RM10 untuk dewasa dan untuk kanak-kanak separuh dari harga dewasa. RM15 dikenakan untuk mengangkut semua barang dan beg anda. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 30 minit untuk sampai ke tempat penginapan.
  2. Jika anda seorang yang lasak, anda boleh mendaki untuk ke puncak Bukit Larut. Jarak perjalanan naik dan turun ialah kira-kira 20km dan ketinggiannya mencecah 1036m dari paras laut. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam, bergantung pada setiap individu. Laluan menggunakan jalan yang diturap sepenuhnya. Turut disediakan beberapa pondok ditepi jalan untuk anda berehat melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian.

Jeep yang membawa penumpang

Jeep ke puncak Bukit Larut beroperasi 4 trip setiap hari kecuali hari Jumaat 3 trip sahaja. Jadual trip adalah seperti dibawah:

  1. Bertolak Naik: 8.30am, 10.30am, 12.30pm, 2.30pm
  2. Bertolak turun : 11.00am, 1.00pm, 3.00pm, 4.30pm

Jumaat:

  1. Bertolak Naik: 8.30am, 10.00am, 3.00pm
  2. Bertolak turun : 10.30am, 12.00pm, 4.30pm

Tempat duduk penumpang

Penginapan di Bukit Larut

Tidak banyak tempat penginapan yang ada di atas Bukit Larut. Banyak rumah rehat dan chalet yang terbiar dan semakin dipenuhi lalang dan tidak terurus. Hanya tinggal beberapa rumah dan chalet sahaja untuk disewa. Chalet yang sering mendapat perhatian jika ke Bukit Larut ialah Cendana Hut. Terdapat beberapa jenis bilik yang disediakan antaranya ialah standard room dan family room. Selain itu, Cendana Hut turut menyediakan cafe untuk pengunjung Bukit Larut.

Chalet di puncak Bukit Larut

Ramai pelancong yang berkunjung ke Bukit Larut mengatakan destinasi pelancongan ini semakin dibiarkan tanpa jagaan yang rapi. Banyak tempat-tempat menarik yang terbiar tanpa pengawasan. Antaranya ialah tempat semaian bunga tulip, titi gantung dan menara serta rumah dan chalet yang terbiar kosong. Selain itu, tidak disediakan kemudahan pelancongan yang lengkap. Cuma hanya ada sebuah sahaja cafe yang dibuka sehingga jam 4.30 petang.

Cafe Bukit Larut

Jika anda berminat untuk bermalam disini, sila bawa bekalan makanan yang mencukupi dan juga peralatan untuk memasak. Akhir sekali, kongsikan pengalaman anda bersama kami jika anda pernah bercuti di Bukit Larut.

Tips

Jika anda merancang untuk ke puncak Bukit Larut, baca tips yang kami kongsikan ini terlebih dahulu. Anda akan berterima kasih kemudian.

  1. Jangan pergi jika anda mengandung. Jalan berlubang-lubang dan jeep akan melantun sepanjang perjalanan lebih-kurang 30 minit.
  2. Jangan bawa anak berumur bawah 5 tahun. Alasannya sama seperti diatas. Percayalah, perjalanan sangat mengerikan.
  3. Bawa makanan dan minuman secukupnya. Harga makanan dan minuman di cafe Bukit Larut memang mahal.
  4. Bawa payung atau baju hujan. Bukit Larut selalu hujan.
  5. Pertimbangkan baju tebal bagi anda yang tidak tahan sejuk. Suhu adalah sekitar 10 darjah celcius (malam) hingga 25 darjah celcius (siang).

Kesimpulan

Bukit Larut adalah destinasi pelancongan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia unik dengan peninggalan sejarah dari zaman penjajahan British. Rugi jika tidak berkunjung ke sini. Namun bagi saya, sekali lawatan sudah cukup kerana tidak banyak tempat menarik yang ada serta tiada pembaharuan dapat dilihat dari segi pemuliharaan warisan sejarah sedia ada.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Taiping sebelum anda membaca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Muzium Perak di Taiping
  2. Bersiar-siar: Taman Botani Perak
  3. Aktiviti menarik: melawat Zoo Taiping
  4. Terokai semua: Tempat menarik di Taiping Perak
Lokasi