Tempat menarik di Cameron Highland mesti dilawati

Kami ingin berkongsi senarai tempat menarik di Cameron Highland yang mesti dilawati semasa bercuti disana. Tempat-tempat ini dipilih berdasarkan keunikan, keindahan dan beberapa faktor lain termasuk harga tiket bayaran masuk yang dikenakan. Kebanyakan destinasi pelancongan ini adalah percuma melainkan beberapa tempat yang berbayar. Namun kami merasakan ianya berbaloi dan tidak membebankan, jadi kami syorkan kepada anda.

Jika ini kali pertama anda ingin ke Cameron Highland, sila lawati Panduan bercuti di Cameron Highlands untuk membaca dengan lebih menyeluruh. Ada juga boleh mendapatkan tips berguna tempat menarik, tempat makan dan hotel penginapan.

Ladang Teh

Salah satu tarikan utama di Cameron Highland ialah ladang teh. Kehijauan pokok-pokok teh yang memenuhi lereng bukit cukup mempersonakan. Cuaca sejuk yang menyegarkan membolehkan pengunjung bersiar-siar disekitar ladang sambil bergambar untuk mengabadikan kenangan disini. Berikut ialah beberapa ladang teh yang boleh dilawati.

Ladang teh Cameron Highland

Ladang Teh Boh

Teh Boh cukup popular dikalangan para penggemar teh di Malaysia. Jika sebelum ini anda hanya menikmatinya dirumah, apa kata sesekali anda melawat tempat dimana ia dihasilkan. Jangan bimbang kerana tempat ini memang menarik, tidak membosankan dan masuk adalah percuma. Antara tarikan yang ada ialah ladang teh yang menghijau, melawat pameran, galeri dan kilang teh. Berbagai maklumat dikongsikan termasuk sejarah, peralatan dan proses penghasilan teh Boh. Selain itu terdapat cafe yang menyediakan kek dan pastri serta tidak ketinggalan teh Boh sendiri.

Lokasi / Alamat:
BOH Sungai Palas Tea Centre
39000 Brinchang,
Pahang

Ladang Teh Bharat

Pengeluar teh kedua terbesar di Malaysia, Cameron Bharat Plantations yang menghasilkan Cameron Valley Tea mempunyai ladang yang sangat luas terletak di Ringlet dan Kuala Terla. Ladang teh ini merangkumi kawasan bukit yang menawarkan pemandangan mengagumkan. Tempat menarik yang ada mesti lawati ialah Cameron Valley Tea House yang terletak di Kuala Terla. Anda boleh merasa keenakan teh di cafe yang turut menyediakan kek, pai dan lain-lain untuk dinikmati bersama. Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar disekitar ladang boleh berbuat demikian samada berjalan kaki atau menyewa buggy yang disediakan dengan bayaran RM10 seorang. Bagi yang ingin merasa pengalaman yang lebih mencabar, anda boleh menyewa ATV Cameron Adventurous yang terletak di lokasi yang sama.

Ladang Teh Bharat - Cameron Valley Tea

Lokasi / Alamat:
Cameron Valley Tea House KT
Batu 50, Kuala Terla District,
39000 Tanah Rata,
Pahang

Taman Agroteknologi Mardi

Taman Agroteknologi Mardi yang juga terkenal sebagai Little Cameron ialah salah satu tempat menarik di Cameron Highland yang mesti dilawati. Kawasan seluas 42 hektar ini mempunyai segalanya. Anda boleh melawat ladang teh, taman-taman bunga, ladang strawberi dan bermacam-macam lagi. Memang puas menjamu mata dan bergambar. Harga tiket RM5 dikenakan untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Bagi kami, ianya sangat berbaloi.

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland

Berbagai kemudahan yang disediakan termasuk Pusat Informasi, Cafetaria, Pusat Jualan, tandas, surau, Flower Nursery, Walking Trail dan apartmen penginapan. Jika anda berminat untuk membeli pokok bunga, tanah atau baja, disini adalah tempatnya. Selain itu, anda boleh melihat demonstrasi penanaman, penggunaan baja dan pemprosesan makanan serta berbagai maklumat berkaitan kajian yang dilakukan oleh pihak MARDI.

Lokasi / Alamat:
Taman Agroteknologi Mardi Cameron
39000 Tanah Rata,
Pahang

Ingin mengetahui lebih lanjut? Sila lawati halaman Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands

Kea Farm

Apa yang menarik di Kea Farm ialah pasar yang terletak disini. Datang waktu pagi untuk mendapatkan berbagai sayuran segar, buah-buahan dan bunga-bunga tempatan yang dijual dengan harga berpatutan. Selain itu terdapat gerai menjual makanan yang boleh anda cuba. Antara yang terkenal ialah jagung manis, ubi rebus, cendawan goreng dan tidak ketinggalan strawberi coklat.

Pasar Kea Farm

Selain pasar, ada beberapa tempat menarik yang boleh anda lawati disini seperti Kea Garden yang terletak dikawasan yang sama iaitu bersebelahan Kea Garden Guest House. Anda tidak akan terlepas lokasi ini jika anda meronda seluruh pasar. Ia adalah taman bunga yang direka dengan cantik dan berwarna-warni. Melewati kawasan ini bagaikan berada dalam alam fantasi, cukup mengagumkan. Bayaran masuk RM1 dikenakan.

Kea Garden

Lokasi / Alamat:
Kea Farm Vegetable Market,
Kea Garden,
39100 Kea Farm,
Pahang

Baca lebih lanjut di halaman Pasar pagi Kea Farm Cameron Highlands

Green View Garden

Tempat menarik seterusnya yang mesti dilawati di Cameron Highland ialah Green View Garden. Ia adalah salah sebuah ladang strawberi terbesar yang mempunyai lebih 20,000 pokok. Kawasan yang luas ini turut memuatkan taman bunga, taman haiwan, kolam dan cafe. Sejujurnya, tempat ini memang menarik. Anda tidak perlu membayar tiket masuk untuk melawat ladang strawberi, taman bunga dan House of Lavender, dimana anda boleh menikmati pemandangan serta bergambar kenangan. Anak-anak juga boleh bermain dengan arnab dan mengayuh paddle boat di kolam (berbayar). Selain itu, rekaan cafe yang unik, kawasan makan yang agak luas sangat selesa jika anda merancang untuk menjamu selera. Berbagai produk tempatan dijual seperti strawberi, pokok bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Green View Garden Cameron Highland

Green View Garden terletak bersebelahan dengan Avant Chocolate & Ice Cream yang mana turut merupakan lokasi menarik di Cameron Highland.

Lokasi / Alamat:
Green View Garden
11, Taman Matahari Cerah,
39010 Kampung Raja,
Cameron Highland

Maklumat lanjut di halaman Green View Garden Cameron Highlands

Pasar Malam Cameron Highland

Tempat menarik di Cameron yang tidak boleh dilupakan ialah Pasar Malam Cameron Highland yang dulunya dikenali sebagai Pasar Malam Brinchang, Ia telah berpindah dari pekan Brinchang ke lokasi baru iaitu di Golden Hills. Mengekalkan konsep yang sama iaitu gerai-gerai jualan yang memenuhi kiri kanan jalan seperti pasar-pasar malam lain. Manakala barangan yang dijual pula merangkumi produk tempatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan pakaian.

Pasar Malam Cameron Highland

Tarikan pasar malam ini ialah harga barangan yang dijual lebih murah berbanding tempat lain di Cameron Highland. Anda boleh membeli buah tangan dan cenderahati seperti t-shirt, pokok bunga, kaktus dan lain-lain untuk dibawa pulang. Jika anda tidak tahu lokasi kedai makan atau restoran sedap di Cameron Highland, beli saja makanan di pasar malam ini dan makan di hotel atau apartment anda.

Pasar Malam Golden Hills Cameron Highland ini dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Pada musim cuti sekolah ia dibuka setiap hari. Waktu operasi ialah dari pukul 4 petang hingga 11 malam.

Lokasi / Alamat:
Pasar Malam Golden Hills Cameron Highlands
Jalan Sungai Ruil,
39000 Brinchang,
Pahang

Cactus Point

Di Cameron Highland, terdapat dua kebun kaktus yang popular iaitu Cactus Valley dan Cactus Point. Kedua-duanya berkonsepkan kebun bunga yang hampir sama. Bezanya di Cactus Point, masuk adalah percuma. Disini anda boleh melihat dan membeli berbagai jenis kaktus dan pokok-pokok bunga lain.

Lokasi / Alamat:
Cactus Point
39000 Brinchang,
Pahang

Ee Feng Gu Bee Farm

Tempat menarik yang agak lain dari yang lain di Cameron Highland ialah Ee Feng Gu Bee Farm. Ia merupakan ladang lebah yang terbesar di sini. Pengunjung boleh belajar bagaimana lebah diternak untuk menghasilkan madu. Anda tidak akan bosan sebagaimana melawat muzium kerana terdapat taman yang luas, kebun bunga, kebun sayuran dan kedai cenderahati. Ia juga adalah lokasi yang baik untuk membawa anak-anak anda bagi mengenali lebah dan madu secara lebih dekat. Masuk percuma.

Ladang Madu Lebah Ee Feng Gu Bee Cameron Highland

Lokasi / Alamat:
Ee Feng Gu Bee Farm
39000 Brinchang,
Pahang

Tempat-tempat menarik di Cameron Highland memang banyak. Namun kebanyakannya lebih-kurang sama sahaja. Malah ada beberapa tempat yang mengenakan bayaran yang agak tinggi dan tidak berbaloi dengan apa yang ditawarkan. Apa yang kami cadangkan disini ialah lokasi yang mesti dilawati bagi memenuhi masa percutian anda. Untuk percutian 2 hari 1 malam, destinasi diatas cukup sesuai dikunjungi.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.