Senarai taman tema di seluruh Malaysia

Malaysia mempunyai banyak taman tema menarik yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Taman tema air menjadi pilihan ramai berbanding taman hiburan (amusement park) mungkin kerana ia lebih sesuai untuk percutian keluarga. Percutian Bajet telah menyediakan senarai taman tema air di Malaysia dan juga taman tema lain yang disusun mengikut negeri sebagai panduan untuk pengunjung merancang percutian ke sana.

Taman tema di Perlis

Tidak ada taman tema di Perlis buat masa sekarang. Walau bagaimanapun sebuah taman tema air sedang dalam peringkat perbincangan untuk dibuka di Titi Tinggi, Padang Besar. Jadi orang Perlis kena bersabar dulu. Buat masa sekarang anda boleh ke negeri lain untuk bergembira di taman tema.

Taman tema di Kedah

Bagi anda yang ingin bercuti ke Kedah, ada taman tema yang menarik boleh anda kunjungi. Di bandar Sungai Petani terdapat sebuah taman tema air dan di pulau Langkawi pula ada taman tema cabaran. Jadi orang Kedah tidak lagi perlu pergi jauh ke The Lost World of Tambun, yang jauh di Ipoh semata-mata ingin bercuti riang-ria bersama keluarga di taman tema air.

Senarai taman tema di Kedah yang menjadi tarikan pelancong:

The Carnivall Water Park Sungai Petani.

Keterangan gambar: The Karnivall Water Park Sungai Petani.

Taman tema di Penang

Taman tema paling popular di Penang semestinya The Escape Teluk Bahang. Ia adalah taman tema cabaran. Ada berita mengatakan The Escape juga akan menambah sebuah taman tema air bernama Waterplay yang diusahakan bersama sebuah syarikat dari Turki. Sama-sama kita nantikan hasilnya. Manakala taman tema air berkonsep terapung iaitu Wet World Wild Adventure Park (WWW) yang terletak di Pantai Moonlight, Batu Feringghi telah pun ditutup. Selain itu, terdapat beberapa amusement park yang boleh anda cuba jika bercuti ke Penang.

Senarai amusement park dan taman tema di Penang:

  • The Escape Teluk Bahang - Taman tema cabaran yang menyediakan berbagai permainan menarik.
  • The Top Penang.

The Escape Teluk Bahang.

Keterangan gambar: The Escape Teluk Bahang.

Taman tema di Perak

Perak ialah antara negeri yang terawal yang memperkenalkan taman tema air di Malaysia. Setakat ini terdapat dua buah taman tema air yang menjadi tarikan pelancong namun ada taman tema baru yang sangat-sangat di tunggu kemunculannya tidak lama lagi.

Senarai taman tema di Perak yang menjadi lokasi percutian menarik:

  • The Lost World Of Tambun - Taman tema air yang sangat terkenal di Malaysia. Disini juga terdapat amusement park yang menyediakan beberapa permainan mengujakan.
  • Bukit Merah Lake Town Resort - Taman tema air dan resort menarik.
  • Movie Animation Park Studios - Taman tema yang sangat dinantikan oleh seluruh peminat animasi di Malaysia.

The Lost World Of Tambun, Ipoh

Keterangan gambar: Taman tema air The Lost World of Tambun.

Taman tema di Selangor

Selangor ialah negeri yang mempunyai paling banyak taman tema air di Malaysia. Dan yang paling popular tentunya Sunway Lagoon yang menyediakan berbagai permainan dan gelongsor air. Taman tema lain yang ada juga tidak kurang hebatnya dan mempunyai tarikan tersendiri.

Senarai taman tema di Selangor yang menjadi tarikan pelancong:

  • Sunway Lagoon Water Park - Taman tema air di Malaysia yang paling popular. Berbagai permainan dan aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.
  • Sunway Lagoon Amusement Park - Berbagai permainan mengujakan disediakan untuk pengunjung (menjerit?).
  • Wet World Shah Alam - Taman tema air untuk keluarga.
  • Gold Coast Morib - Taman tema air di apartment resort yang menarik. Terletak di tepi pantai dan turut menyediakan berbagai aktiviti menarik.
  • Skytrex Adventure Shah Alam - Taman tema cabaran yang menyediakan aktiviti lasak.
  • i-City Water World - Taman tema air yang menarik. Terdapat beberapa gelongsor air yang sangat mengujakan.
  • SnoWalk i-City Shah Alam.

Sunway Lagoon Water Park.

Keterangan gambar: Taman tema air Sunway Lagoon.

Taman tema di Kuala Lumpur

Bagi penghuni ibu kota, terdapat beberapa buah taman tema di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi percutian menarik di hujung minggu. Ada taman tema air untuk bergembira bersama keluarga dan ada taman hiburan yang menyediakan permainan menyeronokkan untuk pengunjung.

Senarai taman tema popular di Kuala Lumpur:

Desa Water Park Kuala Lumpur.

Keterangan gambar: Desa Water Park Kuala Lumpur.

Taman tema di Putrajaya

Bagi anda yang tinggal di Lembah Klang, sebuah taman tema baru di Putrajaya yang menarik boleh anda kunjungi iaitu Distric 21, IOI City Mall. Ia adalah taman tema cabaran yang menyediakan beberapa permainan mengujakan untuk dicuba. Ada permainan untuk kanak-kanak tetapi kebanyakkannya adalah untuk orang dewasa.

Taman tema di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan mempunyai sebuah taman tema unik iaitu Wet World Pedas iaitu sebuah taman tema air panas yang cukup popular. Beberapa permainan gelongsor air turut disediakan untuk pengunjung. Selain itu ada taman tema air di Tiara Beach Resort Theme Park, Port Dickson.

Taman tema di Melaka

Melaka turut menyediakan beberapa taman tema air bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Yang terbaru ialah Taman Tema Air Gold Coast Resort Melaka. Berikut merupakan senarai taman tema di Melaka yang menjadi destinasi percutian pelancong:

  • A'Famosa theme park - Taman tema air Melaka yang sangat popular.
  • Wonderland Melaka - Sebuah lagi taman tema air di Melaka yang boleh dikunjungi.
  • Bayou Lagoon Melaka Resort - Taman tema air untuk keluarga yang agak menarik. Di resort ini juga terdapat permainan dan aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.
  • Taman Tema Air Gold Coast Resort Melaka.

A Famosa Theme Park Melaka.

Keterangan gambar: A Famosa Theme Park Melaka.

Taman tema di Johor

Johor ialah salah sebuah negeri yang mempunyai banyak taman tema menarik. Taman tema antarabangsa yang pertama di Malaysia iaitu Legoland merupakan tarikan utama pelancong ke Johor Bahru. Selain itu ada beberapa taman tema lain yang tidak kurang menariknya. Berikut ialah senarai taman tema di Johor:

  • Legoland Malaysia - Taman tema air antarabangsa dan amusement park menarik yang terletak di Nusajaya.
  • Wet World Batu Pahat Village Resort
  • Hello Kitty - Sanrio Hello Kitty Town ialah taman tema keluarga yang terletak di Puteri Harbour, Nusajaya.
  • Taman Tema Aktiviti Angry Birds Johor Bahru.
  • Dinosaur Water Theme Park - Taman tema air yang terletak di KSL Resort, Johor Bahru.
  • Ulu Tiram Indoor Theme Park - Taman tema indoor untuk kanak-kanak.

Legoland Malaysia.

Keterangan gambar: Taman tema Legoland Malaysia.

Taman tema di Pahang

Taman tema paling terkenal di pahang ialah Genting Highland theme park. Namun setelah Genting Outdoor Theme Park ditutup untuk dinaiktaraf, Bukit Gambang Water Park telah mengambil-alih tempatnya. Dibawah ialah senarai taman tema di Pahang:

  • Bukit Gambang Water Park.
  • Resort World Genting Indoor Theme Park.
  • Genting Outdoor Theme Park - Taman tema paling popular di Malaysia ini ditutup sementara waktu untuk kerja-kerja pembinaan taman tema baru iaitu 20th Century Fox Theme Park yang dijangka dibuka pada 2016.

Taman tema di Terengganu

Terdapat sebuah taman tema air yang baru di buka di Terengganu iaitu Kenyir Water Park. Ia adalah taman tema air di Malaysia yang pertama dibina didalam tasik. Ada beberapa fasa pembangunan yang dirancang dan kini fasa pertama sudahpun dibuka kepada orang-ramai. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan semakin popular serta menjadi tarikan terbaru pelancong ke Hulu Terengganu.

Kenyir Water Park Terengganu.

Keterangan gambar: Kenyir Water Park Terengganu.

Taman tema di Kelantan

Sebuah taman tema di Tanah Merah iaitu Sand City Water Park pernah dirancang pembinaannya sekitar tahun 2013. Tidak pasti apakah kesudahan taman tema ini. Besar kemungkinan ianya terbengkalai. Mungkin orang Tanah Merah lebih mengetahui. Sila komen dibawah jika anda mempunyai maklumat mengenai taman tema air ini.

Taman tema di Sarawak

Berita perancangan pembinaan Senadin Water Theme Park yang lebih besar dari Sunway Lagoon sekitar tahun 2011 menggemparkan seluruh negara. Jika diikutkan tahun 2015 ini bakal dibuka namun tiada berita. Pada masa sekarang, taman tema di Sarawak yang boleh dikunjungi ialah Sinar Serapi Eco Theme Park Resort yang terletak di Kuching. Ia adalah gabungan taman tema air, water sport dan juga taman hiburan keluarga.

Taman tema di Sabah

Bagi peminat taman tema di Sabah, anda boleh mengunjungi Water World Theme Park, yang terletak di Kota Kinabalu. Ia adalah satu-satunya taman tema air di Sabah. Beberapa permainan gelongsor air menarik disediakan untuk pengunjung. Juga terdapat kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak, sukan air serta lain-lain aktiviti riang-ria bersama keluarga.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan senarai taman tema air di Malaysia dan taman tema lain untuk makluman semua. Sekiranya maklumat yang dikongsikan ini salah, sila komen dan kami akan betulkan. Kongsikan pengalaman percutian anda di taman tema dengan kami. Akhir kata, selamat bercuti.

Lokasi