Tempat menarik di Langkawi - Panduan 2020

Tempat menarik di Langkawi memang banyak. Sebab itu tidak bosan jika ingin bercuti ke pulau ini berulang-kali. Ia adalah destinasi percutian yang mempunyai segala-galanya. Keindahan alam semulajadi seperti pantai, gunung, pulau dan tasik cukup mempersonakan.

Selain itu, berbagai tarikan pelancongan dibangunkan termasuk aktiviti, taman tema dan kompleks membeli-belah. Tempat penginapan seperti resort, hotel dan homestay juga banyak dibangunkan. Kesemua faktor ini menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi popular untuk bercuti bersama keluarga, rakan-rakan mahupun rombongan.

Dalam artikel ini, kami telah kumpulkan tempat menarik yang ada di Langkawi sebagai panduan anda merancang percutian yang diingini. Anda boleh melihat maklumat yang lebih terperinci melalui pautan yang disertakan untuk setiap destinasi.

Isi Kandungan

[collapsed title="Klik untuk lihat tempat menarik" class="shut nested1"]

  1. Pulau menarik
  2. Pantai menarik
  3. Tempat bersejarah
  4. Taman haiwan
  5. Agrotourism
  6. Muzium dan galeri
  7. Ecotourism
  8. Taman tema dan rekreasi
  9. Tempat pelancongan
  10. Tempat membeli-belah
  11. Sudah tidak beroperasi
  12. Kesimpulan

[/collapsed]

Pulau menarik

Terdapat banyak tempat menarik di Langkawi untuk dilawati dan satu darinya ialah pulau-pulau disekitar perairan ini. Langkawi terdiri dari gugusan pulau-pulau dimana Pulau Langkawi adalah yang terbesar. Terdapat lebih seratus pulau termasuk pulau-pulau kecil yang ada disini.

Jika anda ingin melawat pulau-pulau menarik ini, anda boleh mengambil pakej island hopping dari ejen-ejen pelancongan yang banyak terdapat di Langkawi atau melalui Internet. Biasanya, ia adalah 'day trip' dan mengambil masa beberapa jam. Anda akan dibawa menaiki bot melawat pulau-pulau dan singgah untuk melakukan aktiviti disana seperti mandi pantai, trekking dan sebagainya. Antara pulau-pulau menarik di Langkawi ialah:

Pulau Dayang Bunting

Tasik Dayang Bunting, Langkawi

Pulau yang terkenal dengan mitos Tasik Dayang Bunting ini kini menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Langkawi. Mitos ini mengisahkan seorang puteri dari kayangan yang bernama Mambang Sari yang selalu turun mandi di tasik ini. Kemudian puteri ini telah jatuh cinta pada seorang pemuda bernama Mat Teja. Walau bagaimanapun, Mat teja telah meninggalkan puteri ini yang kemudiannya mengandung dan melahirkan seorang anak. Tujuh hari lepas bersalin anaknya meninggal dunia akibat penyakit misteri. Kerana terlalu sedih, puteri ini telah meninggalkan anaknya di tasik ini dan kembali ke kayangan.

Pengunjung yang ingin ke Pulau Dayang Bunting boleh mengambil pakej "Island hopping" yang turut membawa pelancong ke sini. Antara yang menarik di pulau ini ialah berbagai aktiviti air di Tasik Dayang Bunting seperti mandi, berkayak, boat paddle dan boat solar.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pulau Dayang Bunting Langkawi.

Pulau Singa Besar

Memberi makan burung helang di Langkawi

Terletak di antara Pulau Beras Basah dan Pulau Dayang Bunting. Pulau Singa Besar merupakan habitat semulajadi burung helang, monyet dan juga beberapa spesis haiwan lain. Pulau ini tidak dihuni manusia dan tidak ada hotel atau resort dibina bagi memelihara dan mengekalkan alam semulajadi disini.

Aktiviti menarik di Pulau Singa Besar ialah memberi makan burung helang. Bagi pelancong yang mengambil pakej island hopping, pemandu bot akan mematikan enjin bot berhampiran pulau dan mencampakkan beberapa ketul ayam kedalam laut. Tidak lama selepas itu datang beberapa ekor helang berbagai spesis berterbangan dikawasan tersebut lalu menyambar ayam yang telah dicampakkan tadi. Bagi anda yang belum pernah melihat situasi ini, ia adalah satu pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan.

Pulau Beras Basah

Pulau Beras Basah Langkawi.

Pulau Beras Basah merupakan salah satu destinasi menarik yang termasuk dalam pakej Island hopping di Pulau Langkawi. Ia mempunyai pantai yang cantik dengan air yang jernih. Pengunjung boleh berehat, berjalan-jalan ditepi pantai yang berpasir bersih atau mandi laut. Pengunjung juga pasti terpesona dengan kecantikan pulau ini yang mempunyai hutan semulajadi yang menghijau. Pulau Beras Basah juga tiada hotel atau resort untuk pelancong. Alam semulajadinya dipelihara sebagaimana asalnya yang merupakan tempat persinggahan nelayan apabila ribut di laut.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pulau Beras Basah, sila lawati halaman Island hopping Langkawi.

Pulau Tuba

Gua Kelawar Langkawi

Pulau yang berpenghuni ini mempunyai berbagai tarikan pelancong. Pulau Tuba terletak berhampiran Pulau Dayang Bunting. Pulau ini didiami penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan dan petani. Penduduk di Pulau Tuba masih mengekalkan cara hidup tradisional dan ramai yang masih menggunakan air perigi walaupun air paip bersih dibekalkan di pulau ini. Lantaran itu, perkampungan nelayan disini telah diwujudkan program homestay dimana pelancong boleh tinggal bersama penduduk bagi melihat secara dekat kehidupan harian, aktiviti serta budaya masyarakat tempatan.

Apa yang menarik di Pulau Tuba ialah, walaupun terdapat penduduk mendiami pulau ini, alam semulajadinya masih kekal terpelihara. Pokok tuba, iaitu sejenis pokok yang diambil akarnya yang memabukkan dan digunakan untuk menangkap ikan masih banyak terdapat di pulau ini. Selain itu, hutan disini juga masih kaya dengan herba, akar kayu yang boleh dijadi ubat-ubatan tradisional, buah-buahan hutan dan madu lebah. Ia menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan penduduk di pulau ini.

Salah satu tempat menarik yang ada di Pulau Tuba ialah Gua Kelawar. Gua sepanjang 60 meter ini merupakan tempat kediaman kelawar. Pengunjung boleh melihat beratus-ratus kelawar yang bergantungan dibumbung gua ini. Anda tidak perlu risau berjalan didalam gua ini kerana laluan pejalan kaki dibina untuk kemudahan pelancong.

Manakala aktiviti menarik di Pulau Tuba pula ialah melihat kelip-kelip diwaktu malam, mencandat sotong, memancing ikan dan juga merentas hutan. Sebagai kenang-kenangan di Pulau Tuba, pelancong boleh membeli berbagai barangan kraftangan unik yang dihasilkan oleh penduduk pulau ini seperti tikar, bakul dan lain-lain.

Pulau Rebak

Pulau Rebak Langkawi.

Pulau yang sangat cantik ini dapat dilihat dengan jelas jika anda menaiki kapal terbang ke Pulau Langkawi. Begitu juga jika anda menaiki Kereta Kabel Langkawi. Deretan kapal layar yang tersusun dipinggir pantai membayangkan yang ia adalah sebuah tempat yang eksklusif.

Namanya dari kisah mitos tentang dewa yang bernyanyi dan bermain alat bunyi-bunyian dan tiba-tiba dua buah rebab jatuh kedalam laut dan menjadi pulau. Pulau Rebak merupakan sebuah pulau persendirian Taj Hotels, Resorts & Palaces Group yang memiliki Rebak Island Resort, iaitu resort eksklusif yang terletak di pulau ini. Selain penginapan dan aktiviti yang disediakan di Rebak Island Resort, tiada aktiviti menarik lain di pulau ini.

Pulau Tepor

Pulau Tepor

Pulau Tepor terletak diantara Pulau Rebak Besar dan Pulau Beras Basah. Pulau berbentuk huruf U ini tidak didiami penduduk dan kekal dengan alam semulajadi. Terdapat hutan yang agak tebal dan pantai menarik di pulau ini yang menghadap ke Pulau Langkawi. Pengunjung yang ingin ke Pulau Tepor untuk melihat pulau ini dengan lebih dekat dan berjalan-jalan di pantainya yang cantik dan berpasir bersih boleh menyewa bot yang banyak ditawarkan oleh agensi pelancongan di Langkawi.

Pulau Timun

Pulau Timun Langkawi.

Pulau ini terletak di sebelah barat pekan Kuah, Langkawi. Pulau Timun tidak dihuni manusia dan tidak dimajukan dengan hotel hotel, resort atau restoran untuk pelancong. Pulau ini turut dibiarkan kekal dengan alam semulajadinya. Airnya yang jernih dan pemandangan dasar laut yang menarik sesuai untuk aktiviti snorkeling.

Pulau Dendang

Pulau Dendang (juga dikenali dengan Pulau Tanjung Dendang) terletak berhampiran Pulau Langgun. Terdapat dua buah gua di pulau ini iaitu Gua Assam dan Gua China. Disebelah pantai timur pulau ini terdapat sebuah teluk yang dipanggil Teluk China Mati.

Pulau Langgun

Peta Langkawi menunjukkan pulau Langkawi dan pulau-pulau disekitarnya.

Terletak di sebelah barat Pulau Langkawi, bersebelahan dengan Pulau Dendang. Pulau Langgun ialah sebuah lagi pulau tidak berpenghuni di Langkawi namun sangat cantik dan mempunyai beberapa lokasi menarik. Terdapat sebuah tanjung di utara pulau ini yang dikenali dengan nama Tanjung Langgun. Bahagian timur Pulau Langgun pula ialah Teluk Dalam dan dibahagian baratnya Teluk Mempelam. Ditengah-tengah Pulau Langgun terdapat sebuah tasik yang agak besar iaitu Tasik Langgun. Pulau ini mempunyai pantai yang cantik dan berpasir halus. Pengunjung yang gemarkan aktiviti perkhemahan boleh bermalam di tapak perkhemahan yang disediakan untuk pelancong di pantai ini.

Pulau-pulau di Langkawi mempunyai keunikan tersendiri. Ada pulau yang berpenghuni dan berbagai aktiviti menarik untuk pelancong disediakan manakala yang lainnya cuma untuk melihat kecantikan semulajadi sahaja.

Pelancong boleh menaiki bot untuk ke pulau-pulau menarik yang disenaraikan diatas. Pakej "Island Hopping" cuma membawa pelancong ke Pulau Beras Basah, Pulau Singa Besar dan Pulau Dayang Bunting sahaja. Untuk melawat pulau-pulau lain, anda boleh menyewa bot melalui agensi pelancongan yang terdapat di Pulau Langkawi.

Pantai menarik

Salah satu tempat menarik di Langkawi percuma ialah pantai-pantai yang cantik. Malah, boleh dikatakan tidak sah bercuti ke sini jika tidak berkunjung ke pantai. Anda boleh melihat pemandangan cantik, mandi laut, bermain aktiviti air, melihat keindahan matahari terbenam atau menjamu selera. Antara pantai yang popular dan menjadi tumpuan pelancong ialah:

Pantai Cenang

Pantai Cenang Langkawi.

Pantai yang paling terkenal dan menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Cenang (atau Pantai Chenang). Ia juga merupakan lokasi popular untuk penginapan. Terdapat berbagai kemudahan pelancongan seperti hotel, resort dan chalet untuk penginapan, restoran, operator pelancongan serta perkhidmatan kereta sewa. Disini juga terdapat deretan kedai di tepi pantai yang menjual berbagai barangan seperti pakaian, topi, beg, barangan cenderahati dan lain-lain lagi. Bagi pelancong yang inginkan suasana meriah percutian di Langkawi, Pantai Chenang adalah pilihan terbaik untuk anda.

Pantai Chenang ialah sebuah pantai yang cantik. Selain mandi laut, terdapat berbagai aktiviti pelancongan yang disediakan disini seperti jetski, berkayak, parasailing dan banana boat. Ia adalah salah satu tempat menarik di Langkawi yang harus dilawati jika melancong ke pulau ini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Bercuti di Pantai Cenang Langkawi.

Pantai Tengah

Pantai Tengah.

Pantai Tengah terletak berhampiran Pantai Chenang. Kedua-dua pantai ini dipisahkan oleh tebing berbatu. Pantainya landai dan berpasir serta cantik sama seperti Pantai Chenang. Keadaan di Pantai Tengah tidak semeriah dan sesibuk Pantai Chenang. Terdapat banyak pilihan penginapan disini yang terdiri dari resort menarik hingga ke hotel bajet. Jika anda inginkan penginapan ditepi pantai tetapi tidak jauh dari Pantai Chenang, chalet dan resort di Pantai Tengah adalah pilihan terbaik.

Di pantai ini juga terdapat banyak operator yang menawarkan pelbagai aktiviti air (watersport) seperti parasailing, jetski, banana boating dan sebagainya. Jika anda ingin menghilangkan lenguh-lenguh, sakit badan dan kelesuan selepas aktiviti lasak, ada beberapa buah spa yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan terapi dengan harga yang berpatutan boleh dikunjungi.

Lain-lain yang menarik di Pantai Tengah ialah kemudahan restoran-restoran, kompleks membeli-belah serta berbagai jenis kedai disepanjang jalan.

Pantai Tanjung Rhu

Pantai Tanjung Rhu.

Jika anda lebih gemarkan suasana percutian yang sunyi, tenang dan aman, maka Pantai Tanjung Rhu adalah pilihan yang lebih sesuai untuk lokasi penginapan anda berbanding Pantai Chenang. Malah pantainya lebih menarik dari Pantai Chenang dan dikatakan pantai yang paling cantik di Pulau Langkawi. Walaupun anda tidak menginap disini, pantai ini adalah salah satu tempat menarik yang harus dikunjungi. Ia dibuka untuk pelancong dari pukul 10 pagi hingga 5:30 petang sahaja. Selainnya, pantai ini dikhaskan untuk penghuni resort.

Pantai Kok

Pantai Kok Langkawi.

Pantai Kok terletak tidak jauh dari Cable Car Langkawi di Gunung Mat Chincang. Kawasan ini masih diliputi hutan semulajadi yang menghijau manakala pantainya pula berpasir bersih dengan air laut yang jernih membiru. Berbeza dengan Pantai Chenang, tidak terdapat resort atau chalet berderetan di tepi pantai. Yang ada cuma dua buah hotel dan resort mewah disudut pantai yang menawarkan penginapan eksklusif bagi pengunjung yang inginkan percutian yang romantik, sunyi dan mendamaikan. Walau bagaimanapun, pantai ini menjadi agak sesak dengan orang-ramai yang datang berkelah bersama keluarga dihujung minggu.

Tarikan lain yang ada dikawasan ini ialah Perdana Quay Light House dan Telaga Harbour Marina.

Pantai Teluk Burau

Pantai Teluk Burau Langkawi.

Pantai Teluk Burau merupakan satu lagi lokasi pantai menarik di Langkawi. Ia terletak berhampiran Pantai Kok dan Gunung Mat Chinchang. Pantai Teluk Burau juga sangat luas dan menarik. Pasirnya yang bersih dan air laut yang jernih sesuai untuk mandi-manda. Selain itu, pemandangan laut yang membiru dan juga kehijauan Gunung Mat Chinchang pasti memberikan ketenangan pada anda yang mengunjungi pantai ini. Pantai Teluk Burau ialah pantai awam. Pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari naik dan juga matahari terbenam yang sangat menarik disebabkan oleh lokasi dan kedudukan pantai ini.

Pantai Teluk Datai

Pantai Teluk Datai.

Terkenal sebagai pantai yang tercantik di Langkawi, Pantai Teluk Datai terletak di utara Pulau Langkawi berhampiran Pantai Pasir Tengkorak. Ia adalah pantai yang kecil tetapi cukup menarik kerana terdapat batu-batu besar dikedua-dua hujungnya dan pantai berpasir halus yang landai terus ke permukaan laut yang jernih membiru.

Pantai Pasir Hitam

Pantai Pasir Hitam.

Pantai Pasir Hitam menarik untuk dikunjungi tetapi tidak sesuai untuk mandi. Pasir pantai ini berwarna hitam terbentuk dari hasil paduan beberapa mineral seperti turmalin, ilmenit, zirkon dan batuan granit yang memberi pemandangan unik bagi pengunjung yang belum pernah melihat pemandangan seperti ini.

Pantai Pasir Tengkorak

Pantai Pasir Tengkorak ialah pantai cantik yang masih kekal dengan suasana alam semulajadi. Lokasinya ialah diantara Crocodile Adventureland dan air terjun Temurun.

Jika sukakan suasana pantai yang sunyi, pantai ini memang untuk anda. Walaupun tidak seluas mana, namun suasana disini cukup romantik untuk anda luangkan masa bersama orang tersayang.

Tempat Bersejarah

Selain keindahan semulajadi, di Langkawi juga terdapat beberapa tempat bersejarah yang boleh dilawati. Kesan peninggalan dari lagenda Mahsuri masih boleh dilihat hingga ke hari ini. Bagi yang berminat mendalami kisah penuh tragis ini, anda boleh berkunjung ke destinasi berikut:

Beras Terbakar di Padang Matsirat

Tapak kawasan Beras Terbakar di Padang Matsirat, Langkawi.

Lokasi pelancongan tempat bersejarah di Langkawi, Beras Terbakar ialah di Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat. Beras Terbakar merupakan salah satu destinasi pelancongan di Langkawi yang berada di tanah persendirian. Dari segi sejarahnya, ia adalah tempat dimana beras disembunyikan dari pihak musuh yang menyerang Langkawi. Namun setelah Langkawi tewas dalam peperangan, kawasan itu dibakar bagi mengelakkannya jatuh ke tangan musuh.

Beras Terbakar ini terletak tidak jauh dari jalan raya. Anda boleh singgah sebentar jika melalui kawasan ini. Selain kesan sejarah, disini terdapat banyak gerai yang menjual pakaian termasuk kain batik, kain pelikat dan baju langkawi dengan harga murah.

Untuk maklumat lanjut sila lawati halaman Beras Terbakar di Padang Matsirat Langkawi.

Kota Mahsuri

Makam Mahsuri.

Bagi pengunjung yang selama ini mendengar kisah Mahsuri, kini anda boleh mengunjungi makam beliau yang terletak di kawasan Kompleks Kota Mahsuri, Mukim Ulu Melaka iaitu kira-kira 12 KM dari Pekan Kuah. Tempat bersejarah di Langkawi ini merupakan destinasi yang sentiasa dikunjungi pelawat dan merupakan salah satu tarikan utama pelancong yang datang ke pulau ini. Selain Makam Mahsuri, terdapat muzium, teater traditional dan sebuah rumah tradisional Kedah yang dibina didalam Kompleks Kota Mahsuri.

Walaupun pengunjung perlu membayar tiket untuk masuk ke Kota Mahsuri ini, ia tidak merugikan. Berbagai tarikan ada seperti beberapa buah rumah tradisional melayu, perigi, muzium dan lain-lain cukup unik. Kawasannya juga luas dimana anda tidak perlu bersesak dengan pengunjung lain.

Kisah Mahsuri yang dianiaya dan dihukum bunuh tanpa usul-periksa sangat menyayat hati. Walaupun terdapat unsur-unsur dongeng seperti tubuh Mahsuri yang kebal dan berdarah putih, namun berbagai pengajaran lain dapat diambil dari kisah sejarah ini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Kota Mahsuri Langkawi.

Taman Haiwan

Jika anda membawa anak-anak, beberapa tempat menarik di Langkawi sesuai untuk dilawati. Antaranya ialah taman haiwan. Berikut adalah lokasi yang popular untuk dikunjungi.

Taman Buaya (Crocodile Adventureland Langkawi)

Taman Buaya Langkawi.

Crocodile Adventureland Langkawi atau lebih dikenali sebagai Taman Buaya adalah salah satu tarikan pelancongan popular yang boleh dilawati bersama keluarga. Ia terletak dalam kawasan seluas 20 ekar dikelilingi pokok-pokok yang menghijau. Pengunjung boleh berjalan dengan santai melihat buaya hidup didalam sangkar dari yang kecil hingga yang berpuluh kg beratnya.

Taman Buaya Langkawi terletak di Kubang Badak iaitu kira-kira 32 KM dari Kuah. Terdapat hampir 1,000 ekor buaya dari berbagai spesis yang boleh dilihat oleh pengunjung taman ini. Antara aktiviti menarik disini ialah melihat buaya diberi makan oleh pekerja dan juga pertunjukan bermain dengan buaya.

Walaupun bayaran tiket agak mahal, melawat Taman Buaya Langkawi tidak merugikan. Ia adalah taman buaya terbesar di Malaysia. Anda perlu masuk ke taman ini paling tidak sekali. Anak-anak anda akan selalu mengingati pengalaman menarik ini dan bercerita mengenainya untuk waktu yg lama.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Taman Buaya Langkawi.

Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi.

Akuarium yang menempatkan pelbagai spesis ikan. Dibina diatas kawasan seluas enam ekar, Underwater World Langkawi adalah akuarium yang terbesar di Malaysia dan merupakan salah satu tarikan pelancongan yang utama di Langkawi. Ia terletak di sempadan antara Pantai Chenang dan juga Pantai Tengah. Terdapat lebih 200 spesies ikan laut dan ikan air tawar termasuk anjing laut, penguin, jerung, penyu hijau, pari gergasi dan Arapaima Amazon.

Jika anda membawa anak-anak bercuti di Langkawi, tempat ini cukup sesuai untuk menggembirakan hati mereka. Cuma hati anda mungkin resah sedikit kerana harga tiket yang agak mahal.

Maklumat lanjut lihat Underwater World Langkawi.

Langkawi Wildlife Park

Langkawi Wildlife Park.

Langkawi Wildlife Park adalah salah satu tarikan pelancongan utama di Pulau Langkawi. Lokasi menarik ini sesuai dikunjungi seisi keluarga. Dahulunya ia adalah sebuah taman burung tetapi telah diubah menjadi taman binatang. Aktiviti menarik disini ialah anda boleh memberi makan dan membelai binatang-binatang jinak yang ada seperti arnab, burung kakak tua, keldai, landak dan lain-lain lagi. Pengalaman ini pasti menceriakan anak-anak anda.

Agrotourism

Agrotourism atau pelancongan pertanian mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Selain berbagai ilmu pengetahuan baru yang boleh didapati, benih-benih tanaman dan produk pertanian juga boleh didapati di lokasi tersebut. Jika anda bercuti di Langkawi, beberapa tempat menarik di Langkawi boleh dilawati.

Taman Agroteknologi Mardi Langkawi

Mardi Agro Technology Park Langkawi.

Taman Agroteknologi Mardi adalah sebuah dusun yang mempunyai berbagai pokok buah-buahan tempatan yang ditanam secara organik oleh MARDI. Jka anda mengunjungi taman ini di musim buah-buahan, anda akan dapat merasa buah-buahan ini dengan percuma. Bagi anda yang tinggal di bandar, berkunjunglah ke sini dan jadikan diri anda seorang pakar dengan memperkenalkan pokok buah-buahan tempatan seperti betik, nangka, durian, manggis, belimbing dan berbagai-bagai lagi kepada anak anda.

Laman Padi Langkawi

Laman Padi Langkawi.

Terletak di Pantai Chenang, Laman Padi Langkawi ialah sebuah kawasan pelancongan dimana terdapat sawah padi dan juga aktiviti berkaitan penanaman padi dan tuaian padi dijalankan. Pelancong boleh mencuba aktiviti-aktiviti ini termasuk menanam padi, menuai padi dan membanting padi secara tradisional. Selain itu juga terdapat aktiviti menangkap ikan menggunakan serkap. Jika belum puas, anda boleh melawat muzium padi pula yang turut berada dalam kawasan ini.

Muzium dan Galeri

Antara tempat menarik di Langkawi yang agak istimewa ialah beberapa buah galeri unik yang hanya ada di Langkawi. Rugi jika anda tidak melawat lokasi berikut jika datang ke pulau ini.

Galeria Perdana

Galeria Perdana Langkawi.

Galeria Perdana merupakan hadiah daripada Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Dr. Mahathir sebagai pameran untuk tatapan umum. Pelbagai barangan menarik seperti kristal, perak, tekstil, alat permainan, senjata, seramik, alat muzik dan hasil seni yang bercirikan keislaman dipamerkan disini.

Muzium 3D Langkawi

Muzium 3D Langkawi.

Antara tarikan terbaru di Langkawi ialah Muzium 3D Langkawi yang terletak di Oriental Village. Muzium seluas hampir 2,000 meter persegi ini dibina dalam bangunan tiga tingkat. Ia terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif 1 dan 2, fantasi, zon klasik, zon tema Mesir, istana lama dan zon Malaysia.

Sekiranya anda mengambil pakej percutian ke Langkawi, segala aktiviti pelancongan telah disediakan untuk anda. Kunjungan ke tempat menarik telah disusun dan terhad mengikut jadual yang disediakan. Itu mungkin kekurangannya tetapi dengan pakej percutian, anda tidak perlu risau tentang kos perbelanjaan berlebihan dan perancangan serta pengurusan aktiviti pelancongan yang hendak dilakukan.

Kampung Buku

Kampung Buku Langkawi.

Bagi anda yang gemar membaca dan mencari maklumat, Kampung Buku adalah tempat pelancongan di Langkawi yang harus dikunjungi. Ia terletak dipinggir kaki bukit di kawasan air terjun Lubuk Semilang. Dibina didalam hutan yang cantik, ia menyimpan koleksi buku-buku pelbagai topik, buku-buku lama dan juga baru serta berbagai jenis majalah. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai Malaysia, Eropah, Asia Timur, Islam, Sastera, Sukan, Asia dan lain-lain lagi. Berbeza dengan perpustakaan, Kampung Buku menyimpan bahan bacaan didalam enam buah rumah dengan rekabentuk binaan yang unik. Suasana tenang dan kehijauan pohon-pohon rendang disini juga sungguh mendamaikan.

Bukan itu sahaja, malah berbagai acara menarik sering dianjurkan disini. Antaranya ialah bengkel kuih tradisional, pembuatan batik, permainan tradisional dan bermacam-macam lagi. Jika belum pernah lagi kesini, anda mesti luangkan masa jika datang lagi ke Pulau Langkawi.

Upside Down House Gallery Langkawi

Upside Down House kini ada dimana-mana sahaja. Jika datang ke Langkawi, anda boleh melawat Upside Down House Gallery Langkawi yang sangat menyeronokkan. Anda boleh beraksi berbagai ragam dengan pelbagai benda dan barang yang terbalik. Rakamkan dengan kamera dan kongsikan pada rakan-rakan.

Staf disini memang ramah dan membantu. Pengunjung akan diajar cara bergaya dan mengambil gambar yang betul. Apa yang menarik ialah melihat berbagai ragam pengunjung yang melucukan.

Ecotourism

Untuk para pencinta alam semulajadi, anda boleh menikmati keindahan dan keunikan pulau lagenda ini dengan mengikuti beberapa aktiviti seperti menyusuri Kilim Geoforest Park, Island Hopping dan lain-lain. Selain itu terdapat beberapa air terjun yang cantik di Pulau Langkawi. Walau bagaimanapun, pada musim kemarau, air kurang menyebabkan kawasan ini tidak menarik untuk dikunjungi.

Kilim Geoforest Park

Kilim Geoforest Park, Langkawi

Salah satu tarikan utama di Langkawi ialah Kilim Geoforest Park. Pengunjung boleh menaiki bot mengairi Sungai Kilim sambil melihat keindahan alam semulajadi yang terdapat di kawasan ini. Antara yang menarik ialah kawasan pokok-pokok bakau yang berusia ribuan tahun dan juga batu-batu kapur yang telah wujud sejak jutaan tahun.

Maklumat lanjut lihat Mangroves tour Kilim Geoforest Park Langkawi.

Air Terjun Telaga Tujuh

Air Terjun Telaga Tujuh.

Air terjun Telaga Tujuh ialah air terjun semula jadi yang berpunca dari tujuh punca air yang berlainan. Air terjun ini juga mempunyai tujuh buah kolam mandi dan dikelilingi oleh hutan yang merimbun memberikan kedamaian kepada pengunjung. Air terjun ini dikatakan tempat puteri bunian bersiram pada masa dahulu.

Bagi anda yang berminat melakukan aktiviti lasak, disini ada sesuatu yang cukup menarik yang boleh anda cuba iaitu Umgawa Zipline.

Air terjun Temurun

Air Terjun Temurun ialah antara tarikan semulajadi di Pulau Langkawi yang cukup mempersonakan. Terletak berhampiran Teluk Datai, pengunjung akan melalui hutan semulajadi yang menghijau sebelum tiba ke destinasi.

Seperti kebanyakan air terjun, anda terpaksa memanjat tangga yang agak tinggi sebelum tiba ke kawasan air terjun utama. Terdapat tiga tingkat air terjun yang boleh anda nikmati.

Waktu yang sesuai melawat air terjun Temurun ialah dimusim hujan. Jangan datang pada musim kemarau kerana air kurang dan ia akan mengecewakan anda.

Air terjun Durian Perangin

Air terjun Durian Perangin Langkawi

Jika anda memang peminat air terjun, ada beberapa air terjun menarik di Langkawi yang boleh anda kunjungi. Selain lokasi menarik yang dinyatakan diatas, air terjun Durian Perangin juga boleh dikunjungi. Kawasan ini banyak kebun buah-buahan dan dusun durian. Ini menjelaskan bagaimana nama tempat ini berasal.

Kawasan air terjun Durian Perangin dibangunkan dengan baik. Terdapat pondok rehat untuk pengunjung bersantai sambil menikmati juadah. Tangga dan jambatan juga dibina dikawasan air terjun. Pengunjung boleh bersiar-siar melihat pemandangan menarik, bergambar dan semestinya mandi air terjun.

Air terjun Lubuk Semilang

Air terjun Lubuk Semilang agak kurang terkenal jika dibandingkan dengan air terjun yang dinyatakan sebelum ini. Ini kerana tiada air terjun tinggi yang cantik menanti pengunjung. Walau bagaimanapun, air sungai yang jernih dengan kolam mandi memang sesuai untuk mandi-manda bersama ahli keluarga.

Lubuk Semilang atau nama penuhnya Hutan Lipur Lubuk Semilang sebenarnya ialah sebuah kawasan rekreasi. Ia menjadi lokasi masyarakat setempat untuk beriadah. Selain itu, disini juga terdapat satu tempat pelancongan menarik di Langkawi iaitu Kampung Buku.

Aktiviti lain yang seronok dilakukan disini ialah jungle trekking dan memanjat Gunung Raya. Salah satu laluan mendaki gunung yang popular terletak disini iaitu Tangga Helang Seribu Kenangan. Trek sejauh 3.1KM ini akan mengambil masa lebih-kurang 2 jam 15 minit untuk tiba ke puncak.

Gunung Raya

Gunung Raya ialah kemuncak tertinggi di Pulau Langkawi. Ia merupakan salah satu lokasi terbaik untuk melihat pemandangan Langkawi dari tempat tinggi. Ada dua cara untuk ke puncak gunung. Pertama, anda boleh memandu kereta atau motorsikal. Jalanraya yang agak selesa disediakan. Kedua, anda boleh mendaki mengikut trek hutan. Trek mendaki yang popular ialah Tangga Helang Seribu Kenangan yang bermula dari Kampung Buku.

Pulau Payar

Snorkeling di Pulau Payar

Pulau Payar terkenal sebagai lokasi untuk aktiviti snorkeling. Ia adalah salah satu aktiviti popular yang sering ditawarkan kepada pelancong yang bercuti di Langkawi. Kawasan laut sekitar pulau ini mempunyai terumbu karang dan ikan-ikan yang cantik. Air laut juga jernih.

Sebenarnya Pulau Payar tidak termasuk dalam kepulauan Langkawi. Lokasinya hampir 30KM dari pulau Langkawi iaitu kira-kira sejam perjalanan menaiki feri. Anda perlu memperuntukan masa sekurang-kurangnya sehari jika ingin ke Pulau Payar dan melakukan aktiviti snorkeling disini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Snorkeling ke Pulau Payar.

Taman Tema dan Rekreasi

Beberapa taman rekreasi menarik boleh dilawati semasa anda bercuti di Langkawi. Tarikan terkini ialah taman tema air yang sangat mengujakan.

Splash Out Waterpark

Splash Out Waterpark ialah taman tema terbaru yang dibuka di Langkawi. Ia terletak di tepi pantai di pekan Kuah. Berbagai tarikan disediakan untuk pengunjung. Beberapa gelongsor air yang menanti anda disini. Datang bersama rakan-rakan atau keluarga untuk menikmati kegembiraan bersama.

Taman Lagenda Langkawi

Taman Lagenda Langkawi ialah sebuah taman menarik yang dibina diatas 20 hektar tanah berhampiran Pantai Chenang, Langkawi. Taman yang luas ini memaparkan tema kisah dongeng dan mitos Langkawi untuk dihayati oleh pengunjung. Disini juga terdapat 4 buah tasik yang menarik dan 17 monumen yang mempunyai kisah-kisah tersendiri.

Dataran Helang

Dataran Helang Langkawi.

Dataran Helang atau Dataran Lang ialah tempat menarik popular di pulau ini. Lokasi bersantai dan bergambar ini terletak berhampiran jeti Kuah. Terdapat sebuah tugu burung helang yang sangat besar yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi di dataran ini. Selain itu, terdapat landskap yang agak menarik, taman permainan kanak-kanak dikawasan berhampiran dan beberapa buah kerusi untuk bersantai. Walaupun tiada aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan disini, Dataran Helang adalah lokasi yang harus anda singgah jika bercuti di Langkawi.

Tempat pelancongan menarik

Jika belum puas melawat tempat menarik di Langkawi, berikut ialah destinasi pelancongan popular yang boleh anda kunjungi semasa bercuti di pulau ini.

Oriental Village

Oriental Village Langkawi.

Oriental Village terletak di kaki Gunung Mat Chincang. Sekiranya anda ingin mencari makanan yang unik, datang kesini. Disini terdapat banyak restoran makanan dari luar negara. Selain itu, anda boleh membeli-belah dan melakukan berbagai aktiviti menarik seperti ATV, Muzium 3D,  6D Cinemotion, SkyDome serta lain-lain. Disini juga terletaknya Stesen Kereta Kabel, salah satu tarikan utama di Pulau Langkawi.

Tarikan lain yang ada disini ialah sebuah Taman Arnab dimana pengunjung boleh memberi makan arnab-arnab yang comel dan jinak. Ia sesuai untuk anda yang membawa anak-anak bercuti.

Untuk lebih terperinci, sila lawati halaman Oriental Village Langkawi.

Kereta Kabel Langkawi

Kereta Kabel Langkawi

Kereta Kabel ialah salah satu tarikan utama di Pulau Langkawi. Stesennya terletak di Oriental Village. Kereta kabel ini akan membawa penumpang ke puncak Gunung Mat Chincang.

Sepanjang perjalanan, penumpang akan dapat melihat pemandangan menarik hutan semulajadi dibawah dan laut yang membiru dikejauhan. Ia adalah pengalaman yang cukup menakjubkan.

Untuk lebih terperinci, sila lawati halaman Kereta Kabel Langkawi.

SkyBridge Langkawi

SkyBridge Langkawi

SkyBridge Langkawi terletak di puncak Gunung Mat Chincang. Apabila kereta kabel tiba di stesen paling atas, penumpang boleh membeli tiket untuk menaiki gondola ke sini. Jambatan gantung yang melengkong ini pasti mencabar perasaan anda samada teruja atau gayat. Ini kerana ia akan berayun dan anda akan merasainya walaupun perlahan.

Namun pemandangan yang ditawarkan disini memang cukup mempersonakan. Anda boleh melihat hutan tropika di puncak gunung dengan lebih jelas. Manakala panorama pantai Kok, Pulau Burau, Paradise 101 Langkawi dan pulau-pulau kecil di Teluk Burau pasti membuatkan anda terkesima.

Kampung Ayer Hangat

Kampung Air Hangat Langkawi.

Kampung Ayer Hangat ialah sebuah kawasan air panas semulajadi di Langkawi. Ia adalah antara tarikan pelancong yang dibangunkan semula dan sekarang mempunyai landskap menarik disekitar kawasan ini. Pengunjung boleh merasai air hangat semulajadi dari kolam air panas samada untuk merendam kaki, membasuh tangan atau anggota badan lain. Terdapat tiga buah kolam yang disediakan dimana kini telah dibina bumbung yang cantik seperti gazebo. Apa yang menarik ialah, telaga air hangat ini mengeluarkan air masin. Berbeza dengan telaga air hangat biasa, telaga air hangat masin (salt water hot springs) amat jarang dan cuma boleh didapati dibeberapa tempat sahaja didunia. Ia dikatakan dapat mengubati penyakit kulit, melegakan penyakit gout dan menyegarkan badan.

Antara lain yang menarik di Kampung Air Hangat ialah terdapat pertunjukan kebudayaan, gerai menjual kraftangan, restoran dan lain-lain lagi. Pengunjung juga boleh mempelajari cara-cara untuk membuat produk kraftangan disini. Harga tiket sebanyak RM15 dikenakan.

Di Kampung Air Hangat ini juga terdapat 12 buah Jacuzzi yang boleh memuatkan sehingga lapan orang setiap satu. Jacuzzi ini sesuai untuk pengunjung yang membawa keluarga dimana ia turut dilengkapi tandas, tempat mandi dan juga gazebo. Harga untuk sejam ialah RM100 keatas.

Telaga Harbour Marina

Telaga Harbour Langkawi.

Terletak di Jalan Pantai Kok, Telaga Harbour adalah tempat berlabuh kapal-kapal mewah di Pulau Langkawi. Pengunjung biasanya mengunjungi tempat ini untuk melihat pemandangan menarik kapal-kapal yang cantik, mengambil gambar dan juga menjamu selera. Walaupun tanpa aktiviti menarik, suasana dan pemandangan indah disini menjadikan Telaga Harbour salah satu lokasi yang harus dikunjungi jika bercuti di Langkawi.

Kompleks Kraf Langkawi

Kompleks Kraf Langkawi terletak di atas bukit menghadap laut di Teluk Yu iaitu bahagian utara Pulau Langkawi. Terdapat berbagai barangan kraftangan seperti batik catan, ukiran perak dan lain-lain. Ia adalah tarikan pelancongan unik yang mesti dikunjungi jika bercuti di pulau ini.

Tempat menarik lain berhampiran Kompleks Kraf Langkawi ialah Pantai Pasir Hitam dan Kampung Ayer Hangat. Pastikan anda singgah ke semua tempat menarik yang unik ini.

Tempat membeli-belah

Salah satu tarikan pelancongan di Langkawi ialah membeli-belah. Ini kerana berbagai jenis barangan dijual dengan harga yang lebih murah kerana Langkawi telah diwartakan sebagai Pulau Bebas Cukai.

Kompleks Haji Ismail Group

Kompleks HIG

Kompleks Haji Ismail Group atau lebih dikenali sebagai Kompleks HIG ialah tempat membeli-belah popular yang terletak di pekan Kuah. Ia adalah kompleks yang besar. Berbagai barangan dijual disini. Antara yang popular dikalangan pengunjung ialah coklat dan pinggan-mangkuk. Barangan lain yang ada termasuk kain batik, kain pelikat dan berbagai peralatan dapur. Ramai yang mengatakan harga barangan di HIG paling murah berbanding tempat lain.

Billion Supermarket

Billion Supermarket ialah satu lagi lokasi membeli-belah popular di pekan Kuah. Barangan yang dijual disini sama seperti di Kompleks HIG. Hampir semua bas pelancongan di Langkawi akan membawa pelancong kesini. Potongan harga juga diberikan. Mengikut kata pemandu pelancong, harga disini lebih murah. Apa yang pasti, ada barang yang lebih murah dan ada juga yang lebih mahal. Sebaiknya, anda buat perbandingan sendiri.

Rams Home Decor

Rams Home Decor terletak di Kompleks perniagaan Pekan Rabu, juga di pekan Kuah. Ia juga adalah salah satu tempat popular untuk membeli-belah di Langkawi. Barangan yang dijual disini juga lebih kepada peralatan rumah. Antara yang popular ialah cadar dan langsir. Dari segi harga, ada barang yang lebih murah disini berbanding tempat lain. Misalannya, saya dapati harga beg luggage disini paling murah berbanding tempat lain semasa kunjungan saya tempohari. Walau bagaimanapun, harga sekarang mungkin berubah.

Gamat Nusantara Maju

Show room Gamat Nusantara Maju

Gamat Nusantara Maju adalah tempat membeli-belah paling popular dikalangan pelancong yang mencari barangan tempatan seperti produk gamat dan herba. Ia terletak ditepi jalan dan mudah untuk dikunjungi.

Sebenarnya ada beberapa produk gamat lain yang ada di Langkawi. Jika ingin tahu mana yang terbaik, pandai-pandailah anda merisik dengan penduduk asal di Langkawi.

Tempat menarik yang sudah tidak beroperasi

Setakat bulan Julai 2020, beberapa tempat menarik di Langkawi sudah tidak beroperasi lagi. Tempat-tempat ini sudah ditutup terus, bukan hanya di musim PKP. Jadi anda perlu ambil maklum.

Buffalo Park Langkawi

Buffalo Park Langkawi.

Buffalo Park Langkawi ialah sebuah kawasan pelancongan yang terletak diantara Gunung Mat Chincang dan Gunung Raya. Ia adalah tempat penternakan kerbau bagi menghasilkan beberapa produk seperti keju, dadih dan juga susu segar. Pengunjung akan dapat melihat dari dekat bagaimana susu diperah dan merasa makanan yang dihasilkan disini.

Kampung Kristal Langkawi

Kampung Kristal Langkawi terletak di Pulau Rebak. Berbagai barangan kristal pelbagai bentuk dan rupa dijual disini. Bagi peminat barangan hiasan, anda harus kesini kerana kristal menarik yang ada pasti akan menambah kecerian rumah anda. Ada yang mengatakan Kampung Kristal Langkawi sudah ditutup. Kami belum dapat memastikan kesahihan berita ini. Namun jika anda ingin juga mencari produk kristal tempatan, ianya boleh didapati di Kompleks Kraf Langkawi. Pelbagai produk menarik yang bermutu dijual disana dengan harga yang berpatutan.

Kesimpulan

Banyak tempat menarik di Langkawi terdiri dari alam semulajadi yang unik. Ditambah pula dengan tarikan pelancongan yang dibangunkan, memang tidak jemu melawat pulau ini. Aktiviti tahunan yang diadakan juga menjadikan ia semakin popular dikalangan pelancong dalam dan luar negara.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Langkawi yang dapat kami kongsikan kepada anda. Kami akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik halaman ini agar dapat menjadi rujukan pengunjung yang ingin melancong ke pulau ini. Jika anda rasa maklumat ini berguna, jangan lupa untuk kongsikan kepada rakan-rakan di laman sosial anda sebagai tanda sokongan. Terima kasih dan selamat bercuti.

Artikel berkaitan

Lihat artikel mengenai tarikan pelancongan yang ada di Langkawi.

Lokasi