Tempat menarik di Baling

Jika anda mencari destinasi ecotourism yang mengagumkan di Kedah, datang ke daerah Baling. Beberapa tempat menarik di Baling cukup mempersonakan terutama air terjun dan gunung. Selain itu, terdapat tarikan lain yang tidak kurang seronoknya seperti membeli-belah dan mandi di kolam air panas semulajadi.

Apa yang paling menggembirakan ialah semua tempat-tempat menarik ini tidak memerlukan belanja yang besar. Cuma lokasi tempat menarik agak berjauhan. Untuk lebih selesa, anda disyorkan mengambil penginapan samada hotel bajet atau homestay yang banyak dan murah. Dengan itu, anda boleh melawat destinasi pelancongan dan menjamu selera di tempat-tempat makan yang terkenal di daerah ini.

Gua Sireh

Gua Sireh adalah tarikan pelancongan baru di Baling yang semakin terkenal dikalangan pelancong tempatan. Ia terletak di Kampung Padang Che Mas. Gua sepanjang 400 meter ini cukup unik. Terdapat satu bahagian dimana dinding dan bumbung gua berwarna putih secara semulajadi.

Gua Sireh Baling

Gua Sireh baru sahaja dikenali dan kemudahan yang ada dibangunkan oleh persatuan penduduk. Laluan pejalan kaki dibina didalam gua. Kabel elektrik dan lampu juga dipasang. Semua ini sudah cukup membantu pengunjung meneroka dan melihat keindahan semulajadi didalam gua ini.

Lokasi: Kampung Padang Che Mas, 09100 Baling, Kedah

Kolam air panas Ulu Legong

Kolam air panas Ulu Legong ialah destinasi pelancongan dan percutian di Baling yang paling popular. Kawasan air panas atau hotspring ini telah dimajukan dimana kolam-kolam yang besar dibina dan kemudahan seperti tempat pengnapan serta kemudahan asas disediakan.

Kolam air panas Ulu Legong

Tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu dan cuti umum. Penduduk di Kedah biasanya datang pada waktu malam dan pulang pada awal pagi. Ramai yang datang membawa khemah masing-masing. Gerai-gerai makanan juga dibuka pada waktu malam untuk pengunjung menjamu selera.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam, dapatkan chalet atau homestay di kampung KEDA disini.

Maklumat lanjut lihat artikel Taman Rekreasi air panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Lata Bukit Hijau

Jika anda peminat air terjun, ada tempat menarik di Baling yang mesti dikunjungi iaitu Lata Bukit Hijau. Ia terletak agak jauh dari pekan Baling iaitu di Hutan Lipur Bukit Hijau yang bersempadan dengan Kulim. Tempat ini juga berhampiran dengan Sungai Sedim, satu lagi tempat menarik di Kedah yang menyediakan aktiviti white water rafting dan tree top walk canopy.

Lata Bukit Hijau boleh dikatakan air terjun paling cantik di Kedah. Ia mempunyai tiga air terjun tinggi dengan kolam semulajadi yang luas. Air terjunnya juga besar dengan arus deras. Ia lebih sesuai untuk orang dewasa. Walau bagaimanapun terdapat kolam cetek dan air yang perlahan untuk kanak-kanak. Tangga dibina hingga ke air terjun paling atas.

Sayangnya kawasan air terjun ini tidak lagi diselenggara. Ia terbiar dan hampir semua prasarana rosak atau tidak boleh digunakan lagi. Jika anda ingin membawa keluarga berkelah, anda boleh ke satu lagi air terjun terkenal di Baling iaitu Lata Bayu. Namun jika anda ingin melihat air terjun paling cantik, anda mesti ke sini. Lata Bukit Hijau tidak akan mengecewakan.

Maklumat lanjut lihat artikel Lata Bukit Hijau.

Air terjun Lata Bukit Hijau

Lata Bayu

Lata Bayu adalah destinasi perkelahan yang paling popular di Baling. Ia adalah tempat peranginan air terjun yang cantik lengkap dengan kemudahan asas. Tempat menarik ini terletak lebih-kurang 30KM dari pekan Baling. Pengunjung boleh memandu terus ke destinasi mengikut laluan K15 Parit Panjang - Baling.

Air terjun Lata Bayu

Kita sering mendengar perkataan air terjun. Malah ramai dari kita yang sering ke air terjun. Namun definasi air terjun yang sebenar, jika anda ingin tahu, sila ke Lata Bayu Baling. Sesiapa yang pernah kesini pasti ingin datang kembali. Ia adalah air terjun yang cukup mengagumkan.

Maklumat lanjut lihat artikel Air terjun Lata Bayu Baling.

Kolam mandi untuk kanak-kanak.

Air Terjun Lata Celak

Air Terjun Lata Celak terletak di Kampung Iboi. Air terjun ini agak kurang dikenali berbanding dengan air terjun lain di daerah Baling. Namun ia sangat menarik dan seronok untuk mandi-manda. Sungainya agak besar dan banyak tempat yang sesuai untuk mandi. Kawasan air terjun juga kurang dibangunkan membuatkannya begitu asli.

Gunung Baling

Gunung Baling terletak di pekan Baling. Pengunjung yang bertandang kesini pasti tidak akan terlepas pandang. Ia adalah sebuah bukit batu kapur dengan ketinggian 420 meter, belum cukup untuk bergelar gunung. Namun itulah dia Gunung Baling.

Gunung ini menjadi terkenal setelah gambar menarik yang dirakam dari puncaknya tersebar. Ia lantas mengundang pengunjung dari luar untuk mendaki dan melihat sendiri keindahan pemandangan menarik pekan Baling serta kawasan sekitarnya dari tempat tinggi. Pendakian ke puncak gunung cuma mengambil masa lebih kurang 2-3 jam.

Gunung Baling Kedah.

Gua Jepun

Gua Jepun terletak di kaki Gunung Baling. Ia adalah tarikan pelancongan baru yang giat dibangunkan oleh Majlis Daerah Baling bagi menarik lebih ramai pelancong kesini. Walaupun belum siap sepenuhnya, pelancong masih boleh ke lokasi dan melihat kawasan gua. Malah anda boleh mengunjungi gua ini pada waktu malam kerana lampu di pasang dan pemandangan cukup menarik dapat disaksikan.

Gua Jepun Baling.

Pekan Baling

Jika sudah datang kesini, jangan lupa membeli-belah di Pekan Baling. Ia terkenal sebagai tempat untuk membeli periuk belanga dan pinggan-mangkuk murah. Ada sebuah kedai digelar Kedai Assalamualaikum. Kalau pengunjung cari kedai ini memang takkan jumpa sebab tiada kedai nama sedemikian disini. Namun jika anda ingin membeli periuk belanga sebesar kawah, datang ke Jalan Badlishah (Baling Uptown). Sampai sini tanya sahaja mana kedai Assalamualaikum. Anda akan terkejut nanti.

Membeli-belah di Baling

Jika tiada masalah, datang pada hari rabu. Anda boleh membeli-belah di pasar pagi Pekan Baling yang sangat menarik. Ia adalah pasar pagi yang besar menjual berbagai barangan keperluan dapur, buah-buahan, sayur-sayuran, pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi.

Akhir sekali, jika anda sudah di pekan Baling, jangan lupa singgah ke masjid baru Baling. Ia adalah masjid yang besar dan cantik. Anda boleh rehat dan rawat serta solat dengan selesa.

Masjid Baling

Kesimpulan

Tempat menarik di Baling adalah destinasi yang cukup istimewa dan unik. Walaupun agak jauh dari bandar-bandar utama lain di Kedah, ia berbaloi untuk dilawati. Anda akan berpuas-hati. Jika anda merancang untuk tinggal sehari dua, beberapa hotel dan homestay ada disekitar pekan Baling. Anda juga boleh membeli-belah di kompleks bebas cukai atau terus ke negara Thailand melalui Betong yang hanya beberapa KM dari sini.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi