Rimba Rekreasi Lata Mengkuang Sik

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang ialah kawasan peranginan menarik yang terletak di Sik, Kedah. Ia cukup popular satu ketika dahulu kerana memiliki air terjun yang cantik. Terdapat dua lokasi tumpuan iaitu kawasan air terjun yang terletak dibahagian atas dan kawasan rekreasi dibawah. Kedua-duanya mempunyai tarikan tersendiri.

Percutian Bajet sempat mengunjungi Rimba Rekreasi Lata Mengkuang pada Januari 2017. Cukup mengejutkan kerana ia sangat bersih dan terjaga. Kawasannya luas dan dikelilingi kehijauan hutan semulajadi yang menghijau. Tiada pencemaran, sampah-sarap atau hiruk-pikuk manusia. Tiada kolam buatan, gelongsor air dan sebagainya. Apa yang menanti ialah sungai berbatu dan air terjun semulajadi yang mengagumkan.

Lata Mengkuang, Sik.

Lokasi

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang terletak dalam Hutan Simpan Rimba Teloi. Jaraknya kira-kira 13 KM dari pekan Sik. Kawasan rekreasi terletak ditepi jalan Sik ke Baling. Pengunjung akan bertemu Keda Resort Bendang Man terlebih dahulu sebelum tiba ke destinasi.

Peta untuk ke Rimba Rekreasi Lata Mengkuang.

Tarikan

Tarikan Rimba Rekreasi Lata Mengkuang Sik ialah air terjun dan alam semulajadi yang kaya dengan berbagai spesis flora dan fauna di Hutan Simpan Rimba Teloi. Kebanyakan pengunjung yang datang membawa ahli keluarga untuk berkelah dan mandi-manda. Ada yang sekadar bersantai menikmati keindahan alam dan kadang-kala kem bina semangat turut diadakan.

Air terjun

Tarikan utama disini ialah air terjun. Terdapat air terjun bertingkat yang cantik dibahagian atas boleh dikunjungi dengan kenderaan ataupun berjalan kaki merentas hutan. Jaraknya lebih-kurang 1KM dari kawasan bawah. Keindahan air terjun Lata Mengkuang memang mengagumkan terutama di musim monsoon dimana kekerapan hujan akan mengakibatkan air lebih banyak.

Air terjun Lata Mengkuang.

Alam semulajadi

Bagi pencinta alam semulajadi, meneroka Hutan Simpan Rimba Teloi pasti menyeronokan. Berbagai spesis pokok-pokok hutan semulajadi, haiwan, flora dan fauna boleh ditemui sepanjang jungle trekking. Pemandu pelancong berpengalaman boleh membawa anda melihat berbagai khazanah alam yang tersimpan disini.

Keindahan alam semulajadi.

Kemudahan

Beberapa kemudahan awam disediakan di Rimba Rekreasi Lata Mengkuang bagi menjamin keselesaan pengunjung. Walaupun demikian, keaslian alam tetap terpelihara.

Tempat meletak kereta

Dikawasan Rimba Rekreasi Lata Mengkuang ada tempat letak kereta yang boleh memuatkan lebih-kurang 20 buah kereta. Kawasannya berturap cantik dan terletak berhampiran gerai makanan dan minuman.

Gerai makan

Terdapat gerai makan dibangunan kedai dan stall dikawasan letak kereta. Biasanya gerai makan hanya dibuka pada hujung minggu serta cuti umum. Tidak banyak pilihan ada. Seeloknya anda membawa makanan sendiri jika merancang untuk berada seharian disini.

Gerai makan di tempat letak kereta.

Tandas

Tandas awam terletak didalam kawasan rekreasi. Papan tanda dan lorong pejalan kaki disediakan bagi membantu pengunjung mencari kedudukan tandas.

Tandas awam di kawasan taman rekreasi.

Dewan

Dua buah dewan berbumbung disediakan untuk pengunjung yang ingin mengadakan seminar, kursus atau perkhemahan. Dewannya agak luas sesuai untuk aktiviti dalam kumpulan, ice breaking, motivasi dan sebagainya.

Dewan berbumbung disediakan.

Pondok rehat

Banyak pondok dibina dikawasan rekreasi untuk pengunjung berehat. Ia biasanya dijadikan tempat makan bersama keluarga.

Pondok rehat turut disediakan untuk pengunjung.

Kerusi meja

Kerusi dan meja yang diperbuat dari simen terdapat dibeberapa tempat sekitar kawasan rekreasi. Anda boleh berehat, makan-minum sambil berbual disini.

Bangku simen.

Tapak perkhemahan

Tapak perkhemahan yang luas disediakan untuk jabatan atau sekolah yang ingin mengadakan kem motivasi ataupun kursus.

Kawasan taman rimba yang dijaga dengan bersih.

Taman permainan kanak-kanak

Taman permainan kanak-kanak juga disediakan dikawasan rekreasi. Walaupun tidak banyak permainan, ia pasti menarik perhatian anak anda.

Taman permainan kanak-kanak.

Aktiviti

Beberapa aktiviti menarik boleh dilakukan di Rimba Rekreasi Lata Mengkuang Sik,

Mandi-manda

Aktiviti utama di sini ialah mandi sungai, kolam dan air terjun. Air yang jernih dan sejuk begitu menyegarkan. Waktu paling seronok mandi ialah tengahari hingga ke petang.

Sungai untuk mandi-manda.

Fotografi

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang cukup menarik untuk dijadikan lokasi outdoor photography. Banyak tempat menarik dan objek unik boleh dijadikan subjek foto.

Sesi fotografi di Lata Mengkuang.

Merentas hutan

Bagi pencinta alam semulajadi dan penggemar aktiviti lasak, anda boleh melakukan aktiviti jungle trekking atau merentas hutan.

Perkhemahan

Kawasan Rimba Rekreasi Lata Mengkuang sangat luas sesuai untuk aktiviti perkhemahan.

Kawasan yang luas dan lapang untuk perkhemahan.

Penginapan

Tiada resort atau chalet di Rimba Rekreasi Lata Mengkuang. Walau bagaimanapun, ada beberapa tempat menarik berhampiran yang boleh dijadikan lokasi penginapan jika anda ingin bercuti disini.

Keda Resort Bendang Man

Tempat penginapan paling hampir dengan Rimba Rekreasi Lata Mengkuang ialah Keda Resort Bendang Man. Malah ia adalah lokasi paling sesuai jika anda merancang untuk tinggal beberapa hari disini. Selain chalet yang banyak, ia mempunyai tarikan tersendiri. Selain itu, anda boleh mendapatkan pemandu pelancong untuk jungle trekking disini.

Serendah Si Kebun Bunga

Pilihan lain yang menarik untuk dijadikan tempat penginapan ialah Serendah Si Kebun Bunga. Ia tidak kurang hebatnya berbanding Keda Resort cuma lokasi agak jauh dari Lata Mengkuang. Namun keselesaan dan suasana menarik disini diakui oleh ramai pengunjung.

Jika anda seorang pencinta alam semulajadi, berkunjung ke Rimba Rekreasi Lata Mengkuang pasti tidak akan mengecewakan. Keindahan persekitaran, tempat mandi yang banyak dan kehijauan hutan semulajadi disini benar-benar menarik. Suasana sunyi dan menenangkan menjadikan ia lokasi yang cukup sesuai untuk berehat.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi