Bercuti di Pantai Merdeka - Tips lengkap 2019

Pantai Merdeka adalah salah satu tempat pelancongan popular yang ada di Kedah. Ia terletak di daerah Kuala Muda. Pantai ini merupakan lokasi percutian pelancong dan tempat menarik yang menjadi tumpuan penduduk disekitar daerah Kuala Muda. Ramai yang datang bersama keluarga untuk mandi laut atau bersantai melihat pemandangan disini. Pengunjung pasti terpesona melihat Gunung Jerai yang tersergam indah dan juga pekan Tanjung Dawai yang terletak bertentangan dengan Pantai Merdeka.

Pantai ini sentiasa dipenuhi orang-ramai dihujung minggu dan musim cuti persekolahan. Sekiranya anda ingin bersendiri menikmati percutian yang aman dan tenteram, elakkan waktu tersebut. Tempat ini juga tersangat ramai pada hari cuti umum menyebabkan keadaan kurang selesa. Kesesakan jalanraya sangat panjang. Pilih destinasi lain kalau boleh.

Pemandangan Gunung Jerai dari Pantai Merdeka.

Kemudahan

Sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kedah, kemudahan yang terdapat di Pantai Merdeka tidak mengecewakan. Semuanya ada disediakan cuma isyarat penerimaan telefon sahaja yang agak lemah. Antara kemudahan yang ada ialah:

  • Resort dan chalet penginapan - Ada resort di Pantai Merdeka. Chalet dan homestay pula banyak terdapat dikawasan berhampiran.
  • Tandas awam.
  • Medan selera - Terdapat 16 buah gerai menjual berbagai jenis makanan dan minuman tapi tak semuanya buka.
  • Gerai-gerai jualan.
  • Surau - Surau baru didalam kawasan resort dan surau lama dibelakang dewan berhampiran kaki bukit.
  • Dewan.
  • Kemudahan bot pelancong - Pengunjung boleh menyewa bot untuk bersiar-siar melihat pemandangan menarik disekitar Pantai Merdeka. Bot penumpang ke Tanjung Dawai juga terdapat disini.

Pantai Merdeka Resort, Kedah.

Aktiviti menarik di Pantai Merdeka

Pantai Merdeka menjadi destinasi pilihan penduduk negeri Kedah dan negeri berhampiran untuk berkumpul pada musim cuti terutama pada cuti umum. Aktiviti yang biasa dilakukan disini ialah berkelah. Beberapa aktiviti menarik boleh dilakukan semasa anda bercuti ke Pantai Merdeka seperti:

  • Mandi laut.
  • Bermain layang-layang.
  • Memancing.
  • Berkayak.
  • Perkhemahan.
  • Menaiki bot melihat pemandangan menarik.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Padang permainan.
  • Berbagai permainan untuk kanak-kanak.

Pada hari cuti umum, berbagai aktiviti lain boleh didapati seperti bouncy castle, kereta permainan untuk kanak-kanak, basikal, skuter dan macam-macam lagi.

Mandi laut di Pantai Merdeka, Kedah.

Pantai Merdeka Resort

Pantai Merdeka Resort menyediakan chalet penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam disini. Lokasi Pantai Merdeka Resort adalah berhampiran dengan pantai. Manakala chalet yang disediakan ada berbagai jenis dan harga sewa chalet bergantung kepada jenis chalet. Kemudahan yang disediakan serta aktiviti yang boleh dilakukan termasuk:

  • Kolam mandi dewasa.
  • Kolam mandi kanak-kanak.
  • Padang serbaguna - untuk aktiviti sukaneka hari keluarga dan lain-lain.
  • Barbeque.

Harga chalet disini agak mahal berbanding dengan apa yang ditawarkan. Mungkin kerana ia adalah satu-satunya resort di Pantai Merdeka. Bagi pengunjung tempatan, mereka lebih selesa mendirikan khemah beramai-ramai pada musim cuti umum. Cuma kawasan ini banyak nyamuk. Sangat tidak selesa.

Chalet di Pantai Merdeka, Kedah.

Alamat:
Pantai Merdeka Resort
Kota Kuala Muda,
08500 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

Hubungi:
Telefon : +604-4377 551 / 552 / 555
Fax : +604-4377550
Emel : merdekaresort.sales@gmail.com

Harga tiket:
Harga chalet / bilik pada hari minggu dan peak season.

Standard : RM148+
Deluxe : RM190+
Family : RM296+
Executive : RM392+
Royal : RM530+
Dorm : RM445+

Resort Pantai Merdeka.

Tempat makan sedap di sekitar Pantai Merdeka

Anda tidak perlu risau tentang makanan di Pantai Merdeka. Terdapat banyak tempat untuk anda menjamu selera.

Medan selera Pantai Merdeka

Berbagai makanan ada dijual di medan selera ini. Pengunjung boleh menjamu selera dengan makanan goreng atau berkuah. Antara makanan dan minuman yang istimewa boleh didapati disini ialah:

  • Mee udang.
  • Nasi goreng udang.
  • Char kue teaw.
  • Mee ketam.
  • Laksa.
  • ABC special.
  • Cendol.
  • Laicikang.

Yang agak mengecewakan ialah pengunjung cuma boleh memesan makanan dari gerai dimana mereka duduk sahaja. Makanan juga terlalu lambat. Mungkin kerana terlalu ramai pelanggan di musim cuti sekolah.

Medan Selera Pantai Merdeka.

Gerai ditepi pantai

Pada musim cuti persekolahan terdapat banyak gerai yang menjual berbagai barangan dikawasan Pantai Merdeka. Antaranya ialah:

  • Makanan dan minuman - Berbagai jenis makanan seperti bihun sup, laksa, makanan ringan, air kelapa dan lain-lain ada disini.
  • Buah-buahan - Buah-buahan tempatan turut dijual disini seperti mempelam, tembikai, limau, oren, pisang dan lain-lain.
  • Permainan kanak-kanak - Pelbagai jenis permainan kanak-kanak dijual termasuk permainan belon air dan lain-lain permainan yang sesuai dimain ditepi pantai.
  • Pakaian - Pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sekiranya anda terlupa membawa seluar mandi, anda boleh mendapatkan disini.

Gerai-gerai disekitar Pantai Merdeka.

Tempat makan malam berhampiran

Jika anda bercuti dan menginap di chalet Pantai Merdeka, ada beberapa tempat makan menarik yang boleh dikunjungi di waktu malam.

  • Pulau Sayak - Makan mee udang yang sangat terkenal di Kedah dan berbagai jenis makanan laut yang segar.
  • Sungai Petani - Berbagai jenis makanan seperti ikan bakar, masakan ala-Thai, masakan barat dan lain-lain. Lihat Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah.
  • Tanjung Dawai - Makan makanan laut di pantai Tanjung Dawai. Pengunjung perlu menaiki bot dari Pantai Merdeka untuk ke Tanjung Dawai. Walau bagaimanapun, bot cuma beroperasi diwaktu siang sahaja.

Padang permainan di Pantai Merdeka.

Tempat menarik berhampiran

Tempat menarik berhampiran Pantai Merdeka ialah:

  • Tanjung Dawai - Membeli-belah di jeti dan kawasan Tanjung Dawai atau melihat matahari terbenam di pantai Tanjung Dawai.
  • Monumen Tsunami Pekan Kuala Muda
  • Pulau Sayak.
  • Pasar Bisik - Pusat Jualan Ikan Borong di Kuala Muda. Pemborong yang berminat akan membisikkan harga tawaran kepada penjual. Penjual kemudiannya akan memilih pemborong mana untuk menjual ikannya.

Nota: Untuk melihat tempat-tempat menarik lain di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Tanjung Dawai berhampiran Pantai Merdeka, Kedah.

Kesimpulan

Bercuti di Pantai Merdeka selama 2 hari 1 malam sudah cukup untuk menikmati keindahan dan mengunjungi tempat menarik yang ada dikawasan ini. Apa yang agak kurang menyenangkan sepanjang percutian kami kesini ialah masalah tiada air di surau Merdeka Beach Resort untuk wuduk dan surau yang agak kotor dibahagian muslimah. Semoga pihak berkenaan memperbaiki kekurangan ini. Surau lain boleh anda kunjungi iaitu berhampiran tempat letak kereta persendirian sebelum masuk ke Pantai Merdeka.

Penginapan yang lebih murah ada dikawasan berhampiran pantai merdeka seperti Homestay Makteh, Juwita Chalet Pantai Merdeka, Dyan Chalet Pantai Merdeka dan Bayu Samudera Chalet. Ia lebih baik dan selesa dari Merdeka Beach Resort yang sudah lama.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.